Suasana gerimis
kesan sisaan hujan menemani perjalanan keretanya di pagi Jumaat itu. Landasan lengang
aspal ditekur penuh waspada. Sesekali rasa teruja hendak segera tiba ke haluan
yang dituju, mengacah di liang benak. Sepertimana lonjakan perasaan ingin tahu
yang turut membuak-buak.
Dia sedar.
Kepulangan kali ini agak berbeza dari kebiasaan. Meski perjalanan berulang-alik
ke Kampung Tanjung Belanga sudah menjadi rutin peribadinya saban waktu.
Terutama bagi menziarah emak yang mendiami rumah pusaka peninggalan moyang.
Juga menjengok Nek Su yang kian uzur dimamah waktu. Apatah lagi, bersangkut-paut dengan
upacara pernikahan adik bongsunya pada hujung minggu itu.
Ulas bibir mengulum
senyum.Tancapan mata utuh menumpu pada pemanduan di hadapan. Terkadang sempat melirik
pula pada selonggok plastik besar yang memenuhi ruang penumpang kereta di
belakang. Tak semena-mena rasa lucu
menjentik ke liang benak.
Mengenang
telatah Nek Su, hatinya gerah berbunga-bunga. Sejak seminggu lalu, neneknya
yang telah berusia senja itu tak putus-putus meneleponnya menitip peringatan.
Menggesa kembali awal ke kampung halaman. Juga memesan sesuatu untuk dibawa
pulang yang sama sekali tidak masuk akal.
“Liah, kau bawa
balik barang yang Nek Su pesan tu nanti tau. Jangan buat-buat lupa pula.”
“Nek Su nak buat
apa dengan benda tu? Bukan boleh dimakan pun. Kalau Nek Su teringin nak makan buahnya,
saya boleh belikan di Pasar Larkin. Berlambak ada orang jual.”
“Nek Su taknak
buahnya, Liah. Kau petikkan saja daun-daun tu. Bawa banyak-banyak. Adalah benda
yang Nek Su hendak buatkan nanti.
Sejenak, perbualan
yang kerap berulang lewat isu yang sama itu, mengimbas ke relung ingatan. Dia
spontan terbayang sebatang pokok jambu batu yang menghuni di pinggir perkarangan
rumahnya di Gertak Merah. Pohon tua itu memang sudah wujud sejak dia berpindah
ke kawasan itu dulu. Malah langsung tak pernah diperdulikan.
Senyumnya melebar
tatkala mengenang diri terkapai-kapai memetik jambakan daun hijau yang siap
beranting dari pohon rendang itu. Merelakan tangan berlekit getah yang baunya
sedikit meloyakan tekak. Sebelum melonggok ke dalam sebuah plastik besar.
Lantas dibiarkan menghuni di perut
kenderaan sehingga di hari keberangkatan.
Dengus dihambur
perlahan. Papantanda simpang laluan masuk ke Daerah Ayer Hitam yang mempamer
jelas di sisi jalan, membuyarkan lamunannya. Perhatian kembali menera pada
suasana di sekitar. Dia akur. Setelah melewati plaza tol di kawasan itu nanti,
keretanya akan terus diluncur melintasi Bandar Batu Pahat. Sebelum tiba di
Kampung Tanjung Belanga yang terletak di daerah pendalaman Parit Sulong.
“Sampai juga kau, Liah!” Senyum girang emak
menyambut ketibaannya di depan pintu rumah pusaka. Getusan lega terluah di
dalam hati. Perjalanan hampir empat jam dari pusat bandar Johor Bahru itu
terasa hilang lelah sejurus menjergah paras tenang emak.
“Nek Su mana,
mak? Tak nampak bayangnya pun..” Kelibat
nenek menjadi sumber pencarian pertama. Dia perasan tubuh tua itu tidak
kelihatan di mana-mana. Juga tidak menyambut kepulangannya bersama emak seperti
selalu.
“Ada dirumah Tok Wan Zainab di depan tu. Ambil
daun senduduk katanya. Kejab lagi pulanglah nenek kau tu.”
Emak menjuih
bibir ke arah sebuah rumah jiran terdekat dengan lagak sedikit acuh. Seakan
sudah menduga pertanyaan yang diajukan.Tangan emak lincah menyambut sebuah beg
pakaian yang dijinjing, lalu dibawa masuk ke ruang ibu rumah. Sebelum sama-sama
mengekornya semula ke arah kereta bagi mengangkut saki-baki barang yang ada.
“Ini daun jambu batu yang nenek kau suruh
bawak tu, ya? Mari emak tolong angkatkan.”
Perlawaan emak
disambut dengan anggukan kecil. Termengah-mengah dia dan emak mengangkut
plastik besar yang sendat berisi itu ke sudut dapur. Sempat juga dia mengomel
lewat barangan pelik yang beriya-riya dipesan Nek Su itu. Justeru mengetus rasa
jengkel.
“Nek Su nak buat
apa benda ni, mak? Tu pergi mencari daun lain lagi pula tu. Apa-apalah nenek
aku ni. Masyallah!”
Emak terledak
tawa sambil bergeleng kecil. Sememangnya mereka sekeluarga sudah arif benar
dengan sikap Nek Su. Semenjak bersara dari jawatan guru besar hampir dua puluh
tahun lalu, Nek Su agak kurang gemar memerap di rumah. Ada sahaja agenda yang
dilakukan. Malah acapkali tabiat Nek Su begitu payah dicerna akal.
Belumpun sempat
dia mereda lelah seusai menghadap hidangan enak emak, kelibat Nek Su muncul di
muka pintu. Huluran salam serta peluk cium mengiringi pertemuan itu. Sebelum
dirinya ditarik Nek Su keluar dari rumah. Menggesa pemintaan diturut. Sekutik pun
tidak mengendah tubuhnya yang masih kepenatan.
“Mari Liah! Liah
kena tolong Nek Su kali ini.”
“Nek Su hendak
ke mana pula ni? Kan baru balik dengan karung-karung itu..”
Dahi berlapis
kerut mengenang telatah Nek Su. Meski baru pulang, Nek Su tetap tampak
bersemangat. Padahal renikan peluh dilihat melenjun di sebujur wajah tua itu. Juga
di sebahagian baju kurung Kedah yang dipakai. Nek Su tidak kenal erti letihkah?
Dia beristiqhar panjang di dalam hati.
“Kita ke kebun belakang. Liah temankan Nek Su,
ya.”
“Nek Su hendak
buat apa pula ni? Tak penat?”
“Ikut
sajalah...”
Meski benak
sedikit cuak, ditemani juga Nek Su ke dusun kecil di belakang rumah. Terpegun
dia melihat lincah parang Nek Su menetak ranting-ranting pokok manggis yang
masih belum berputik buah.
Malah, tangan
tua itu gigih menarik keluar rumpun-rumpun tumbuhan halia dan lengkuas dari
dalam tanah. Sementara dia hanya bantu melonggok serta mengangkat kesemuanya
pulang ke rumah.
Dia menggaru kepala
yang tidak gatal. Tingkah teruja Nek Su yang agak beriya-riya itu mencetus rasa
hairan. Seakan berkehendak mengerjakan sesuatu yang sudah lama diidam. Juga
tidak sabar-sabar ingin dikotakan. Sedangkan kenduri kahwin adik bongsunya
masih jauh dalam tempoh tiga hari lagi. Dia musykil.
Namun disebalik
berkeluh resah itu, dia memahami benar slot-slot agenda yang bakal ditempohnya
nanti. Dia pasti dipaksa menemani Nek Su lagi selepas ini. Diajak ke merata
tempat yang sukar dimengertikan. Juga agak payah hendak melolos diri.
Ternyata
telahannya benar. Keesokan pagi, tidurnya awal-awal lagi dikejutkan Nek Su. Dia
dikerah mengekor ke pasar borong di kampong seberang. Buat membeli pelbagai
rencah yang kian merenik rasa ragu.
“Nek Su buat apa
beli macam-macam rempah ni? Bukankah kenduri Adik Ita nanti pakai khidmat
katering?” Soalnya separa memprotes.
Terbelalak mata
melihat Nek Su membeli selonggok besar kulit kayu manis, bunga lawang, bunga
cengkeh, ketumbar serta buah pelaga dari salah sebuah gerai. Tak lupa beberapa
ikat batang serai serta beraneka jenis jintan yang turut diborong banyak.
Pelik!
Padahal dia sendiri
tahu, majlis perkahwinan Adik Ita diurus sepenuhnya dengan khidmat katering.
Kesemua lengkap berbayar seperti dirancang. Mereka sekeluarga sememangnya tidak
perlu lagi berbuat apa-apa.
“Liah bawa semua
barang ni masuk ke dalam kereta, ya. Angkat baik-baik tau.”
“Semua ni Nek
Su? Banyaknya.”
“Angkat sajalah....”
Dia menyeringai.
Aroma pelbagai rempah-ratus yang menusuk hidung kian menampan rasa geram.
Sudahlah pertanyaannya tidak disahut, Nek Su selamba mengutus arahan sambil
bersenyum simpul pula.
“Oh ya! Nasib
baik Liah ingatkan tentang katering tu. Kita singgah ke tempat katering pula
sekejab nanti, ya. Nek Su nak ambil barang.”
“Hah!”
Rupanya episod
aneh itu tidak tamat begitu sahaja. Dia dikerah menyusul ke syarikat katering
yang ditempah emak. Terlopong mulutnya memerhati Nek Su meminta lalu melonggok
seguni penuh barang buangan berisi kulit bawang merah ke perut kereta. Paling
kaget, daun pohon mengkudu di laman bangunan rumah kedai itu pun turut dikebas
Nek Su.
“Masyallah.
Kotornya baju kau, Liah. Cepat pergi mandi. Nanti gatal-gatal pula satu badan kerana miang daun tu. Hehe...”
Bercemberut muka
menerima sindiran sarat geli hati emak ketika pulang ke rumah. Bibir mencibir
kebengangan. Habis berbirat kulit muka dan baju yang dipakai bahana habuk
rempah yang bercampur aduk. Pulang pula dengan plastik besar yang seiras karung
sampah. Bau yang terpalit apatah lagi. Paling geram, Nek Su hanya selamba menonong
masuk dengan senyum simpul yang tetap tak lupus-lupus.
“Nenek nak masak
apa sebenarnya, mak? Bahan rencah semuanya pelik-pelik.”
Dia mengulang
persoalan yang sama. Sempat dilihat beberapa papan berisi telur ayam bersusun
tinggi di tepi tungku dapur. Sehimpun dengan bahan-bahan lain yang beraneka
bungkusan. Rasa pelik di hati rakus bergelinjang.
“Kau tanyalah
sendiri pada nenek kau tu. Emak tak mahu masuk campur.”
Emak bersahaja
mengelak sambil tersengih panjang. Dia menetap bibir. Andai hanya ingin merebus
telur untuk hantaran kahwin, takkan diguna segala rempah-ratus ini? Bersama
daun-daun yang tak pernah orang jamah pula? Benaknya terus berteka-teki.
Sehinggalah segala kemusykilan itu akhirnya terbongkar secara tidak sengaja.
“Tak seronoklah
kalau macam ni. Sekarang semua orang kahwin bagi coklat dan gula-gula. Kemudian
bungkus cantik-cantik atau letak dalam
kotak comel. Lebih pada gaya seperti door
gift di hotel itu. Mana ada lagi zaman beri bunga telor seperti dulu. Nek
Su ni lecehlah."
Rengekan Adik Ita
yang bersifat memberontak kepada emak semasa sesi berinai di malam itu
memperjelaskan segalanya. Dia akhirnya tahu hidangan yang ingin Nek Su
sediakan. Meski masih was-was pada rupabentuk serta rasa bunga telor yang
kononnya ingin direbus bersama pelbagai jenis ramuan itu. Pengertiannya utuh
belum sempurna.
“Majlis Ita
bukan buat di hotel besar. Kita buat di kampung ni saja. Buat apa hendak ikut
amalan yang bukan budaya kita? Kitakan ada budaya bangsa kita sendiri. Biar
mati anak, jangan mati adat, Ita.” Bidas emak dalam suara separa memujuk.
“Eii! Siapa nak
makan telur warna coklat tu lagi zaman sekarang ni, mak. Baunya saja dah buat
orang kembang tekak. Rasanya tak taulah pula. Kata kawan Ita, kalau makan
banyak, kentut pun berbau juga nanti.” Cemuh Adik Ita dengan bibir mencemik
sinis.
“Mulut jangan
celupar, Ita. Cakap siang pandang-pandang. Cakap malam dengar-dengar!”
Emak menempelak baran.
Jegil mata emak jelas mempapar rasa kurang senang lewat keceluparan Adik Ita.
Juga bagai resah andai kata-kata itu tertempias ke telinga Nek Su yang menghuni
di kamar sebelah. Dia yang turut berada di situ hanya memerhati dalam diam.
“Bunga telur ni ada maknanya dalam adat kita,
Ita. Telur yang direbus harum dengan segala rempah itu lambang berkat orang
tua-tua. Semacam memohon tetamu yang datang mendoakan agar jodoh berpanjangan.
Restu subur mendapat zuriat.”
Tanpa
disangka-sangka suara Nek Su bergiang dari arah belakang. Bersela kepala Nek Su
menjengol dari balik muka pintu bilik yang separa dikuak. Dia dan emak
serta-merta terpempan sambil saling berpandangan sesama sendiri. Adik ita yang
turut terkejut lewat kemunculan itu, spontan menundukkan wajah. Sedikit mempamer
rasa kesal.
“Zaman
dulu-dulu, hidangan telor inilah yang dibawa orang buat bekal berdagang. Isinya
tahan lama. Walau berminggu-minggu, rasa enaknya tetap takkan hilang. Kalau di
kenduri-kendara, rasa janggal jika hidangannya tidak ada. Orang sampai tercari-cari
dibuatnya.” Sambung Neksu dalam lagak bersungguh. Wajah tegang ketiga mereka di
kilas mata Nek Su silih berganti. Emak dan Adik Ita diam tak berkutik. Dia
turut kehilangan kata-kata.
“Orang dulu-dulu
amat berpegang adat. Bunga telor pun bukanlah berfesyen bekasnya seperti
sekarang. Ada cara tersendiri menurut budaya. Biasanya telor rebus itu diisi bersama
pulut kukus dan bunga di dalam kelongsong. Kerongsong itu dibuat dari daun
pisang bersalut kertas.” Nek Su meneruskan hujah dalam sehela nafas.
“Biasanya pulut
yang dikukus lembut dan diberi warna kuning dimuat dulu ke dalam kelongsong.
Lantas ditutup dengan secebis daun pisang yang dipotong bulat. Kemudian barulah telur rebus yang sudah
dicelup dengan pewarna merah diisi pula di atasnya. Akhir sekali, setangkai
bunga kertas dicucuk diatas telor tadi. Inilah ciri bentuk bunga telor asal
yang dibahagikan kepada tetamu yang datang.” Jelas Nek Su lagi.
“Tahu tak apa
makna tersirat di sebalik warna-warna dan susunan bunga telor itu tadi?” Duga
Nek Su. Mereka serentak bergeleng kepala.
“Pulut kuning
itu lambang tanah dan air. Dimana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Warna
kuning lambang istiadat yang tak lapok dek zaman. Telor berwarna merah pula
memberi isyarat cinta yang didoakan terus bersemekar. Restu mendapat zuriat
yang baik dan dirahmati Maha Esa!” Tutur nek su dalam serak suara bagai
mendayu-dayu pula.
“Nek Su tahu, orang
sekarang sudah tak perduli lagi dengan tradisi pemberian bunga telor ini. Macam
dah lupakan pun. Tapi selagi Nek Su hidup, Nek Su harap anak-cucu Nek Su dapat
merasa dan tahu serba-sedikit resepinya. Setelah Nek Su tiada nanti,
terpulanglah pada kau orang semua hendak teruskan atau tidak.” Ungkap nek su
separa berkeluh lalu perlahan-lahan menyusup keluar dari bilik itu. Dia terkedu
bercampur haru. Emak juga tampak termenung jauh. Suasana di perut bilik itu
terus sepi. Meski bayang Nek Su sudah menghilang lama dari pandangan mata.
Dia sedar. Pasti
hati nek su tersinggung sampai berhujah panjang seperti itu. Jauh di sudut benak,
dia turut dihambat rasa bersalah. Terutama bila dikenang sikap jengkelnya
sendiri ketika mengekori Nek Su di sepanjang siang tadi. Kesalnya termercup.
Lewat malam itu,
dia mencari-cari kelibat Nek Su di sekitar rumah dengan benak yang resah. Dalam
diam, diperhati Nek Su sedang sibok dengan sebuah tungku dapur yang telah
dinyala api. Sebiji periuk sebesar kawah yang separuh diiisi air, teguh
berjerang di atasnya. Sementara tangan Nek Su lincah melerai cebisan daun-daun
dari ranting. Lantas
memasukkan sedikit demi sedikit ke dalam periuk yang sama. Tak terkecuali telur
yang turut diisi dengan lagak waspada.
“Nek su...
Errr... Boleh Liah tolong?” Terkial-kial gugup dia menyapa. Dengan lagak kekok,
dia duduk bersimpuh di sebelah Nek Su. Cuba memaniskan wajah.
“Tolong Nek Su
ketuk-ketuk batang serai dan lengkuas ni, boleh?” Arah Nek Su selamba.
Dia menyungging
senyum. Perlawaan Nek Su itu serba-sedikit menyurup rasa lega.Tanpa berlengah,
jemari tangannya lincah melerai beberapa ikatan batang serai serta balutan
kertas berisi lengkuas dan halia yang turut dilonggok berhampiran. Sebelum
mengetuknya satu-persatu. Lantas ikut memasukkan ke dalam periuk yang sudah
berkepul asap tipis.
“Zaman dulu Liah, telur-telur macam ni direbus
sampai empat hari empat malam. Pelbagai jenis rencah diguna untuk memberi
perasa dan warna yang unik. Tapi jenis bahan yang diguna tu berbeza ikut tukang
masak yang menyediakan. Tak semestinya sama.” Hujah Nek Su tanpa dipinta. Dia
melirik sekilas ke paras tenang Nek Su. Dada terasa lapang. Dia akur. Sekiranya
Nek Su sudah membuka mulut bercerita ramah seperti itu, pasti emosi sudah
stabil sepersis sediakala.
“Daun-daun yang
banyak ni buat apa pula Nek Su? Tak pernah pula tengok orang memasaknya..”
Soalnya dalam lagak ingin tahu. Lebih kepada memberi reaksi balas sebenarnya.
“Daun pokok
manggis, senduduk dan daun jambu batu yang kau bawa tu diguna untuk merebus
saja, Liah. Getah daun itulah yang membuat kulit telor berwarna gelap
kecoklatan. Tapi tak ganggu rasa telor tu.” Jelas Nek Su ramah.
“Habis, macamana
telor tu boleh rasa macam lemak-lemak masin, Nek Su?” Tanyanya lagi.
Dia spontan membayang
rupa bentuk telor rebusan rempah yang sering dimakannya sewaktu kecil dulu.
Diakui rasanya begitu berbeza dari telur rebus biasa yang agak tawar. Telor
rebus yang dipanggil telor pindang itu lebih terhadam perisanya serta enak
dimakan.
“Kena letak
sedikit garam juga ke dalam rebusannya nanti, Liah. Juga sedikit kicap untuk beri
rasa masin berlemak dan warna sedikit hitam pada telor. Yang rempah-ratus lain pula akan tinggalkan bau harum dan sedikit
penyedap rasa. Tapi bahan paling utama adalah kulit bawang merah. Tanpa bahan
tu, tak lengkaplah hendak merebus.” Nek su terus galak memberi penerangan.
“Yang batang
serai, lengkuas dan halia ni pun mesti hendak bagi telor tu wangi kan, Nek Su?”
Duganya dalam benak yang semakin rancak dengan lonjakan ingin tahu.
“Betul tu, Liah.
Bila diketuk dan dimasukkan bersama, rebusan akan jadi wangi sekali.” Nek Su
mengiyakan dalam senyum simpul yang mulai melebar.
Dia terus berangguk
menonjol reaksi berminat. Nyalaan api yang berlenggang-liuk dari bumbu tungku
dapur memenuhi daya tumpuannya.
Dari menanti
sambil bersimpuh, dia berkisar duduk kepada bersila. Tidak lama kemudian terus
berlunjur kaki pula bahana kelenguhan. Namun disedari air dalam periuk itu
tidak juga menggelegak.
“Kecilnya api tu,
Nek Su.. Lamalah hendak tunggu air menggelegak..” Getusnya lesu.
“Api memang tak boleh dinyala besar, Liah. Biarkan
sederhana. Tambah pula telur yang diguna tu jenis yang dibeli dari kedai. Kulit
telurnya memang mudah retak. Juga cepat pecah. Lainlah kau kita guna telor ayam
kampung.” Ujar Nek Su.
“Jadi.. lamalah kena tunggu ye, Nek Su?” Dia
menuntun kepastian.
“Ikut jadual, Nek
Su hendak merebus selama 5 atau 6 jam sampai keluar baunya. Esok pagi dah boleh
dimakan. Tapi kalau hendak sedap lagi, boleh dibiarkan lagi lama. Bergantung
pada jumlah telor dan perancangan kitalah juga.” Bilang Nek Su berkira-kira.
Kepalanya berangguk
akur. Meski hati sedikit jengkel bila dikenang betapa payahnya hendak
menyediakan hidangan itu. Hendak mencari bahan-bahannya sahaja sudah memeningkan
kepala. Belum lagi kena menanti tempoh merebusnya pula. Padahal sekadar untuk
merebus telur!
“Susah juga lah
mahu membuatnya. Mana nak mengumpul berjenis-jenis daun tu lagi. Rempah-ratus
pun sama. Kalau di bandar, puaslah kena mencari.” Rungutnya dalam helaan nafas
panjang. Nek Su tertawa kecil lewat keluhannya itu.
“Tak semestinya kena
ada semua jenis bahan ni, Liah. Boleh memadai saja apa yang ada. Seperti Nek Su
cakap tadi, teknik merebusnya berbeza mengikut tukang masak yang menyediakan. Hasilnya
akan tetap sama. Bau telur itu tetap ada. Cuma kadang-kadang warna gelap pada
telur tu saja tidak segelap yang disangka.” Jelas Nek Su berhemah.
“Daun-daun ni
semua, kalau tak dapat dicari pun, cukuplah ada rempah ratus itu saja. Tapi
kulit bawang merah tu mesti ada. Itu yang paling penting!” Tegas Nek Su lagi.
Dia diam tidak
berkutik. Tumpuan terus menera pada periuk rebusan yang sudah dilitup dengan
bekas penutup. Semerbak bau harum rempah menggesa rasa teruja hendak menjamah
telor itu. Lebih-lebih lagi setelah mendengar penerangan beriya-riya Nek Su
sebentar tadi.
Jam tiga pagi,
Nek Su berpamit masuk ke dalam rumah. Ingin bersolat Tahajud katanya. Dia akur
untuk terus berjaga menanti rebusan itu. Meski Nek Su tidak muncul-muncul lagi
selepas itu. Sehinggalah fajar tampak menyinsing lewat ketibaan hari baru.
“Liah... Pergilah
masuk. Bersolat dan berehat dulu. Air rebusan ni biar emak yang sambung jaga
dan cedukkan.” Emak menyergah dari tingkap dapur.
“Nek Su mana,
mak? Soalnya. Dia menguap. Rasa kantuk rakus menggeromol diri.
“Ada dibiliknya
lah itu. Biarlah nenek kau berehat, Liah. Dari kelmarin orang tua tu sibok tak
menentu.” Rungut emak pula.
Dia mengiyakan. Dengan
langkah longlai, dia menonong masuk ke dalam bilik. Sempat bersolat khusyuk
serta berdoa untuk kesejahteraan majlis yang bakal berlangsung. Sebelum merebah
tubuh di atas tilam lenbam. Tertidur pulas. Sehinggalah bunyi riuh-rendah dari
sudut dapur pada jam sepuluh pagi mengejutkannya dari terus berlena.
“Sudah bangun
pun Kak Liah. Marilah makan sama. Sedap ni..”
Sapaan ceria
Adik Ita menyambutnya di sudut dapur. Sang pengantin muda itu tampak ralit
meratah beberapa biji telor pindang yang telah berkopek kulit. Disamping emak
yang sibok mengisi telor ke dalam bekas bermanik. Dia menjuih bibir sambil
menjeling sekilas.
“Malam tadi merungut-rungut,
sekarang dia melantak bagai sedang kebulur pula. Huh!” Sindirnya pada Adik Ita.
Seketika derai
tawa memecah keheningan suasana. Dia disergap girang. Rasa penat gara-gara
berjaga malam tadi, terus melenyap sebaik menancap longgokan telur comel
kecoklatan di dalam besen besar. Bau berempah turut mencambah rasa nyaman.
“Hantarkan
sedikit telur yang sudah dikupas pada nenek kau tu nanti. Mesti dia suka bila
dapat jamah panas-panas begini..” Usul emak ketika dia turut leka melahap isi
telur yang lemak bermasin.
Dia akur. Dua
biji telur yang siap berkutil kulit disusun dalam sebuah mangkuk. Bergegas
dibawanya ke bilik Nek Su di ruang ibu rumah. Tak sabar mahu melihat reaksi
ceria Nek Su ketika menerima butir telur yang molek dimasak. Juga pada usaha
yang usai dilaksana.
Dengan waspada,
daun pintu bilik Nek Su diketuk berkali-kali. Nama Nek Su turut berseiring
diseru. Dahinya berlapis kerut. Panggilannya langsung tidak bersahut. Malah tiada
sebarang bunyi pun dari perut kamar yang serba bertutup itu. Dia musykil.
Daun pintu dari
kayu kukuh itu, dikuak perlahan. Dia menjejak masuk sambil mata berkeliar
mencari kelibat Nek Su. Sebelum disedar sesosok tubuh sedang berbaring mengiring
di atas sejadah. Utuh berselubung dengan telekung putih bersulam tebuk.
“Nek Su! Bangunlah!
Ni Liah ada bawakan sesuatu untuk Nek Su. Mesti Nek Su suka!”
Dia bersimpuh di
sisi Nek Su. Menguntum senyumnya menatap jernih wajah Nek Su yang beradu
nyenyak. Tangan kanan bingkas menyentuh bahu tua itu lalu menggerak-gerakkan dalam
riak prihatin. Sebelum disedari kedua tangan Nek Su spontan terkulai jatuh dari
pangkuan badan. Malah dengus nafas neneknya itu langsung tidak ada.
Derap jantungnya
terasa behenti berdegup. Dia mengemam bibir dalam paras yang mulai memerah
padam menahan tangis. Semangkuk telur pindang yang erat di tangan kiri turut
terlepas dari pegangan. Lantas jatuh bercempera di atas lantai.
“Nek
Su.........!”
Riesna Zasly
2013