Hadilla diselubungi bingung. Bercelaru fikirannya tatkala dilayar kembali memori pahit itu. Aturan nafas dihela berat bersalut debaran yang tidak kunjung padam. Sementelah pagi yang masih muda pada hari itu ditempohnya dengan wajah nan suram. Keruh gara-gara terpercik kenangan silam yang hadirnya tidak diundang. Lantas segalanya serba muram bahana terputik semula seraut luka yang selama ini tertutup rapi di dada kenyataan. Sementelah naluri turut bersurup kelam nan dalam.
Sekilas, dirasa ruang pejabat yang kaku dalam empat tembok konkrit padu itu seolah-olah melemaskan dirinya dalam diam. Ruang yang menjadi kebanggaannya selama ini. Lambang gemilang dalam kerjaya lewat gurasan titik peluh yang tidak pernah mengenal lelah. Bersela iringan bibit doa serta restu umi yang tidak berpenghujung. Sehingga dia menjadi seorang arkitek yang berjaya di hari ini. Justeru berdiri utuh menggenggam kemewahan manusiawi.
“Ada apa-apa yang Puan nak saya sediakan pagi ini ke?”
Wajah tua setiausahanya menyembul dari balik daun pintu ruang pejabat. Tak semena-mena lamunan Hadilla tersangkak. Seakan berkerut keraguan, setiausahanya itu melihat dia hadir di pejabat dengan sikap tidak acuh. Malah tegar mempamer raut mencuka bersama pakaian yang tidak beres. Justeru tidak memberi salam kepada mereka seperti selalu.
“Tak ada apa-apa lah kak Maznah. Cuma saya nak bersendirian rasanya hari ini. Tunda semua appointment saya ya!”
Tergetus hambar suara Hadilla menjenguk rasa. Lantas setiausaha yang setia berbelas tahun berkhidmat sejak dia berusia 22 tahun itu pun berlalu, sebaik sahaja meletak selonggok fail urusan, secawan kopi serta sebotol air mineral di atas meja kerja di hadapannya.
Kamar itu kembali disergap sunyi. Kesepian turut menyentuh ke relung batin Hadilla yang sedia bermurung. Lantas dia bingkas menyibak tirai langsir berwarna biru laut yang menutupi jendela kaca di sepanjang sudut kanan kamar. Membenarkan cahaya matahari yang muda menjingga itu menumpah masuk ke seluruh pelosok ruang dalam. Justeru ikut menjamah ke kulit tubuhnya yang berona kuning gading. Seolah-olah memberi nafas pada kelam suasana. Sembari merangsang semula aura semangatnya di sebalik biasan sinar suam-suam kuku itu.
Setelah itu, Hadilla mulai berlabuh duduk di dalam paduan kerusi empok bersadur baldu kelabu di hadapan meja kerja. Sembari tancapan matanya menerawang ke sekitar ruang yang serba luas itu. Justeru ralit melayan minda yang utuh bercangkaliwang. Dia berdengus kasar beberapa kali. ternyata kemewahan ruang yang terhampar di hadapannya tidak mampu menenangkan benak yang rakus bergelora.
“Pergilah Ila menjenguk. Sudah begitu lama orang tua itu terkedang kaku di hospital. Nampak seperti masanya sudah tak lama!” Masih sayup-sayup tergiang suara Maklong Saanah membujuknya malam tadi, mengegar di nubari.
Hadilla berkeluh lesu. Diyakini sudah cukup sempurna dia melayan kehendak lelaki itu. Sudah ditempahkan sebuah kamar khas di wad kelas pertama. Seorang jururawat juga telah diadakan khas untuk menjaga.
Malah dia tegar membiayai keseluruhan keperluan untuk rawatan yang ada. Baginya itu sudah cukup baik berbanding apa yang pernah lelaki itu lakukan pada umi serta mereka adik-beradik dulu.
Namun Maklong Saanah tetap terus mendesaknya tanpa hilang asa. Bahkan memohon agar dia tidak menyimpan sebarang dendam di dalam hati. Justeru bertegas agar dendam itu tidak bersemarak membakar diri. Sehingga membuak penyesalan padanya dikemudian hari.
“Saya tak mampu menjengah wajahnya, Mak Long... terlalu luka!”
Sejenak, wajah Maklong Saanah tergambar di relung nubari. Adik umi itulah yang berbakti menjaga mereka selama ini. Membalut luka mereka yang tercedera, setelah bubarnya tanggungjawab seorang lelaki bernama ayah. Justeru menjadi peneraju pada semangat hidup mereka sekeluarga.
Maklong Saanah yang berkerjaya sebagai guru itu memelihara kehidupan mereka sekeluarga tanpa sekelumit pun berkeluh. Membiayai seluruh pelajaran mereka adik-beradik. Sehingga mereka mampu menyandang puncak jaya di hari ini. Bakti yang tak terbilang luhur itu amat dikenang seumur hidup.
Maklong Saanah tahu apa yang mereka hadapi. Apa yang gemulah umi tempoh dengan jiwa yang lara. Bagaimana dia, tiga beradik mengaut hidup muda dengan penuh trauma. Maklong saksi segala sengsara. Namun kini dia didesak agar menyibak luka itu kembali. Dia tak sanggup! Maklong tidak mengerti!
Hadilla sekali lagi berkeluh lemah. Jam mewah yang berpaut kaku di sudut atas pintu masuk dikerling tipis. Detak loceng yang bergegar gagah itu melupus sejenak benak yang bercelaru. Bersela sayup-sayup kedengaran suara riuh-rendah para kakitangannya dari luar kamar. Mungkin kesemuanya sedang sibuk bergegas untuk keluar makan tengahari. Dia terjeda seketika. Ternyata sungguh lama perasaannya terjera di ruang biliknya itu. Sehingga di sepanjang pagi itu, dia tidak mampu membereskan apa-apa kerja sekali pun. Hanya berlamun melayan hati kacau. Jiwa tambah pusang!
“Pergilah Ila. Siapa pun dia, dia tetap seorang ayah yang tak dapat dicari ganti. Darahnya mengalir di setiap gerah tubuhmu. Tak dapat di kecuali!”.
Suara bujukan Maklong Saanah menerjah terus di halwa telinga. Bagai menekan-nekan rongga dadanya yang tidak puntus berkuncup debar. Lantas segera diteguk rakus sebotol air mineral yang diraih dari sudut kanan meja. Cuba menyiram kepedihan lewat hati yang senak. Mohon dititip ketenangan minda. Penyejuk raga.
Sepintas lalu, wajah lembut gemulah umi yang dipotret indah di sudut dinding kamar, ditatap dalam benak nan hiba. Senyum umi yang menggoyah rasa, bagai menyejuk semangat. Hanya itulah satu-satunya kenangan wajah umi yang tulus diabadikan.
Potret yang ditempah khas dari pelukis tersohor itu seolah-olah hidup dalam sebuah bingkai besar bersadur rona emas. Wajar membujur sirih umi yang penuh kemelayuan menyentuh pilu di nurani. Disela sepasang mata bundar umi yang beralis indah sarat tarikan. Sinar mata itu sarat menyimpan lara sampai mati.
Umi telah banyak berkorban. Umi menempuhhidup sengsara demi mereka, anak-anaknya. Fiqura umi membenamkan seraut kasih buat mereka dalam lumuran haru. Semenjak kecil mereka tidak pernah hidup dalam kesenangan. Penuh pahit dan getir. Malah masih segar di cepu ingatannya, tatkala mereka hidup di sebuah pondok kecil berdinding papan dan berbumbung nipah milik nenek kepada umi. Di rumah pusaka itulah mereka membesar dan umi mendidik budi pekerti.
Batin Hadilla luruh sayu mengenang umi yang amat cekal berjiwa. Pelbagai kerja dilakukan untuk menyempurnakan mereka. Seraya berbakti pada nenek yang sudah melarat tua. Sepanjang hari umi bekerja di dusun pusaka milik keluarga. Adakala turut mengambil upah membasuh kain serta masuk ke rimba mencari herba terpilih yang mendatangkan duit. Di waktu malam pula, tangan umi tidak pernah lelah menjahit baju pada yang tekun mengupah. Jahitan umi begitu halus sekali. Malah tiada tolok banding di kampung mereka.
Sementara ayah pula begitu jarang menampakkan muka. Seingatnya, sejak kecil mereka tidak pernah dilayan seadanya. Tidak ditanya khabar. Bertegur jauh sekali. Ayah pulang hanya tika ingin berkehendakkan sesuatu dari umi. Justeru hanya untuk melunas hati perut.
Umi selalu parah diperlakukan ayah. Raungan umi membuatkan mereka adik beradik saling menangis berpelukan mengincar lara malam. Tamparan, herdikan serta pukulan ayah pada umi membesarkan mereka dalam naungan trauma.
Hadilla masih ingat semasa tragedi kemuncak dalam hidup mereka di rumah pusaka nenek itu. Ketika itu dia hanya 6 tahun. Malam itu ayah yang berwajah bengis beserta pakaian yang kusut-masai pulang lagi. Riak dipapar baran bersela liang amarah yang tidak terlintas fikir. Lantas umi di pukul teruk. Kepala umi dihantuk keras ke lantai papan. Raungan umi bergegar di persada malam. Ratapan umi menghiba bahana diperlakukan secara tidak adil.
Nenek yang dimamah pikun dan bertubuh kecil cuba melerai amokan tersebut. Namun telah ditolak ke luar tangga kayu yang curam. Sehingga tersungkur menemu ajal. Kak long yang cuba membantu umi, dihentak kayu api di kaki kanan sampai menjadi capek hingga kini. Jeritan kak long ketika itu tak pernah luput di rongga ingatannya seumur hidup.
Ayah ibarat dirasuk syaitan. Dengusan kuat nafas ayah bersela aroma minuman yang memabukkan itu menggerunkan mereka. Jergahan serta bunyi pukulan demi pukulan bergema membingit suasana. Lantas dia dan adik hanya mampu saling berpelukan seraya memandang dari sudut ceruk dapur. Tanpa mampu berbuat apa-apa. Sebelum ayah menghilang lagi bersama barang yang dirampas.
Keesokan hari, situasi suram mengelilingi mereka. Gemulah nenek di kebumikan dengan sepenuh pilu di hati umi. Kehadiran penduduk kampung serta anggota polis tidak mampu memadamkan bara pilu di lubuk hati. Nenek tewas ditangan suami umi sendiri.
Namun umi tidak pernah kalah pada takdir yang menimpa. Umi terus bangkit. Bekerja tidak behenti-henti. Seakan tidak menghirau lelah diri. Justeru terus menbimbing mereka tanpa sekelumit gundah. Bersama senyum yang tetap berukir biar luka terus mencarik. Hanya Tuhan yang tahu hati umi penuh duka sengsara. Ayah pula terus menghilang tidak pulang-pulang. Mungkin sudah dapat apa yang dicita. Atau takut akan dijejaki pihak berkuasa. Mereka aman buat seketika.
Tenyata pelukan damai itu tidak lama. Hidup mereka bergolak lagi tatkala di suatu malam rumah pusaka umi didatangi sekumpulan orang yang mencari ayah. Empat orang pemuda berwajah bengis bersama riak tidak bersahabat menjadi tamu yang tidak diduga. Hadir dengan suara amaran yang menggegar liang nurani. Rusuh di wajah umi tampak tambah gementar.
“Kita harus pergi, nak! Kita harus pergi! Kita harus tinggalkan tempat ini. Bersiaplah!” Nada tenang yang berkisah di wajah umi mengkagetkan mereka. Mata umi yang berkaca bersulam derita pasti diingat mereka seumur hidup.
Mereka bergegas membungkus segala pakaian dalam selonggok kain yang besar. Segala keperluan sekolah juga tak lupa dicapai. Umi mengaul segala lauk yang dimasak ke dalam periuk nasi yang besar lalu turut melonggok ke dalam sehelai kain batik untuk di gendong.
Mereka meninggalkan rumah itu. Kak long dengan longgokan kain baju. Dia yang mengandeng tangan sang adik yang terkapai-kapai mengekori. Umi dengan gendungan periuk di pangkuan. Mereka berjalan tanpa sekalipun menoleh.
Umi bertangis esak di sepanjang jalan. Wajah mereka adik beradik beriak pucat bagai dikejut halilintar. Saat itu hujan turun agak lebat. Berpusar-pusar menyirami tubuh mereka. Airmata umi jatuh bergulir bersama rintis hujan melemas wajah. Mereka basah kuyup. Lantas segera berlindung di sebuah parkin bas dipinggir kampung.
Dari jauh, dia menyeka lemasan hujan di sebujur wajah kecilnya itu seraya bertoleh sejenak. Tampak rumah pusaka nenek diruntuhkan orang. Dusun umi ditarah semuanya. Musnah begitu sahaja.
“Mengapa mereka runtuhkan rumah kita umi? Kenapa kita kena keluar?” Suara kecilnya yang sarat cemas lancar menuntun penjelasan. Umi terus termenung. Pertanyaannya terus dibiar sipi. Kak Long tampak tidak henti-henti berisak tangis seraya menyapu air mata dengan bucu lengan baju.
Suasana begitu muram. Adik memeluknya dari belakang sambil menahan gigil kesejukan. Umi meraih adik dalam pelukan lalu meraungkan tangis hiba lagi. Dia terpaku tidak mengerti. Sesungguhnya dia terlalu kecil benar waktu itu untuk memahami arti lara.
Sepanjang malam, mereka sekeluarga bermalam di situ. Makan nasi bergaul lauk seperti rojak dari periuk nasi gendungan umi. Mulut kecil mereka disuap umi satu-persatu dengan penuh pilu. Umi masih bertekad tenang. Lantas dalam gerimis malam yang membasah, mereka tidur berpelukan dalam pangkuan umi, menahan gigil sejuk. Hanya sehelai tuala lusuh milik umi yang melindung mereka dari hurungan liar agas serta nyamuk.
Sehinggalah Maklong Saanah, adik umi datang menjemput mereka di parkin tersebut. Setelah penghulu kampung mengkabar apabila terkesan kebakaran di rumah pusaka umi, serta kehilangan jejak mereka sekeluarga yang kabur begitu sahaja. Maklong saanah bertekad datang mencari kelibat mereka sekeluarga sampai bertemu. Ajak ikut hidup bersama di kota besar ini. Sementelah Maklong juga sebatang kara menyongsong diri setelah kematian suami. Lantas mereka melayar hidup baru yang lebih sempurna.
Sementelah dia meningkat remaja, barulah pertanyaan masa kecilnya terjawab. Kaki Kak Long menjadi capek bahana dipukul ayah. Geran pusaka nenek yang dirampas ayah lalu di gadaikan pada pemiutang. Tanah dan rumah nenek dirampas juga atas ulah lelaki itu. Ayah membuat umi hilang segalanya. Ayah juga membunuh nenek yang tidak berdosa. Ayah terlalu kejam!
Hadilla menyeka butiran air mata yang bergulir di kedua belah pipi. Sedan kecilnya meluruh segala kesedihan hati. Memori itu terlalu pahit untuk ditelan. Sungguh kelat untuk di kenang. Kisah pertemuan semula dengan ayahnya kini mengincar-incar batin tambah nelangsa. Luka lama berdarah kembali. Kenapa ayah harus muncul lagi, merobek hati mereka ke gaung yang dalam? Kenapa lelaki itu mencari mereka lagi? Mereka tak perlukan pertemuan ini! Tidak idamkan sama sekali!
“Puan, kami nak keluar untuk makan tengahari. Puan hendak kirim apa-apa? Puan ok ke?”
Sapaan kak Maznah di balik daun pintu, membuat khayalannya sekali lagi mati andar.
“Tak mengapalah, kak Maznah. Saya pun nak keluar ni. Tak balik lagi petang nanti”
“Baiklah Puan. Saya pergi dulu ya!”
Kak Maznah bingkas berlalu sambil menutup daun pintu kayu kukuh itu dengan teliti. Seolah-olah gugup melihat dirinya dihurung emosi seperti itu. Tampak aksi yang salah tingkah.
Hadilla bingkas merapi solekan di sekitar mata. Diseka kesan air mata yang menempel dengan sehelai tisu, lalu disapu kembali dengan bedak compak. Tak lupa dipoles lagi gincu di bibir yang sudah samar warnanya. Dia bangun seraya menyisir pula rambutnya yang mengurai mencecah bahu dengan jemari tangan. Dihela nafasnya perlahan seraya terpekur sejenak. Sebelum digenggam kunci kereta dari atas meja. Lantas meraih beg tangan dari perut laci kanan. Dia mahu keluar dari ruang yang melemaskan itu. Lari menenangkan diri.
*****
Kereta dipandu laju meluncur di dada aspal. Sepantas debar yang berdegup kencang di rongga benak. Hadilla masih termangu-mangu mengemudi tanpa arah tujuan. Dia mati kutu. Fikiran utuh berterawang entah ke mana.
Tingkap sisi kereta dibuka bersama deru alat penghawa dingin yang masih melancar di ruang dalam. Angin yang deras menyibak-nyibak wajah serta helaian rambut yang bergurai panjang. Angin ikut mengibar-ngibar kain baju kurung hijau daun pisang yang dikenakan.
Turut menyelak-nyelak lengan baju bersulam rajut di tangan kiri yang sedang memaut kemudi. Sehingga parut itu jelas ternampak
“Apa yang kau nak tenguk sangat ha! Suka sangat nak tenguk! Kau kemari sini. Aku tunjukkan kau yang nak tengok sangat tu! Kemari kau!”
Ayah mengheretnya ke dalam kamar umi. Dia ditangkap mengintai ayah yang sedang sibuk mengulung sesuatu di sebalik pintu kamar. Ayah membanting tubuhnya yang kecil itu tanpa belas kasihan. Tangan kecilnya sakit terpulas dalam genggaman tangan kekar ayah.
“Sakit ayah! Sakit! Jangan ayah! Sakit!”
Raungannya memecah keheningan rumah pusaka. Umi tiada di waktu itu, kerana sibuk membasuh baju di rumah Makcik Gayah. Nenek turut mengikut sambil menjenguk anak Makcik Gayah yang bersalin zuriat pertama.
Paras ayah berseringai menakutkan. Mata membuntang aneh seperti kerasukan. Ayah menenyeh-nenyeh puntung rokok daun yang berbara ke lengannya sambil bergilir-gilir menyedut buat mengepul bara. Dia yang bertubuh kurus meronta-ronta menahan kesakitan. Dicuba sedaya upaya untuk melepaskan diri. Ayah tidak peduli. Makin dikuatkan cengkaman tangan seraya mendekap tubuh kecilnya yang tak berdaya.
Ayah kian kuat tertawa seperti tidak siuman lagaknya. Mata ayah merah seperti jelmaan iblis dan khayalan entah apa-apa. Seakan terhibur melihat dirinya yang masih kecil itu teronta-ronta menanggung kepedihan. Tingkah itu berlaku berulang-ulang sehingga hampir seluruh tangan kecilnya berbirat kesan cucuhan. Lebam-lebam di belakang tubuh kecilnya tak terkira, gara-gara penangan sepakan kaki ayah. Terlalu kejam!
“Honnnnnnnnnn!”
Bunyi hon kenderaan di belakang mematikan lamunan Hadilla lagi. Dia menekan minyak, seraya meluncur keretanya laju melintasi lampu merah. Airmata masih jatuh berjujuhan. Esakan halus masih beraung di rongga dada. Hati disergap sebak. Akhirnya dia memutus untuk behenti di pinggir pantai Danga yang bersisiran panjang di tepi jalan itu. Menyambut sendu hati.
Langit yang membiru tampak suram di sebalik kepulan awan komulus nan putih samar. Hadilla menengadahkan wajah. Membiarkan semilir bayu laut mencecah lembut ke sebujur wajah. Tak dipeduli bahang matahari yang ikut menyentuh hangat kulitnya di tengahari itu. Dia nampak wajah umi di situ. Raut dalam sunggingan senyum yang sejuk terabadi.
Wajah umi sekali melayar di mata hati. Dia masih ingat di saat umi dilanda nazak hampir dipukul maut lewat dua tahun yang lalu. Wajah umi tetap tenang. Umi jatuh ketika mengambil wudhuk di waktu pagi hening. Jeritan Maklong Saanah mengejutkan mereka adik beradik di bilik masing-masing. Kak Long memangku kepala umi yang siap berkerudung putih untuk solat subuh. Wajah umi tetap segar menatap paras mereka, adik-beradik. Satu persatu.
“Umi akan pergi! Rasanya masa telah tiba. Kak Long jagalah adik-adik ya! Jejaklah ayahmu. Maafkanlah dia. Ayahmu cinta umi yang tiada tara. Biarpun dibalas tuba, dia tetap suami umi. Ayahmu jua. Maafkanlah dia. Kerana umi sudah lama memaafkan..” Umi berlalu tanpa rengkuhan sakit. Begitu mudah. Wajah umi yang memutih mulus persis manusia yang tidurnya dalam aman nyenyak. Senyum tetap terukir tanda jiwa nan damai.
Hadilla berdesah pilu. Pawana yang membelai di sekujur tubuh seolah-olah dekapan tangan umi yang mengelus mesra. Airmatanya mengering dalam sejatan angin. Memaut damai.
“Memaafkan itu amat indah, Ila. Contohilah umimu. Dia pergi dalam aman, kerana ada maaf dalam hati. Tiada dendam dibawa pergi dalam jiwa” Bujukan Maklong Saanah terus bergiang. Seolah-olah meluru halus ke liang sukmanya mempuput rasa
Hadilla kembali meneruskan pemanduan. Kereta Honda CRV mewah itu meluncur laju di landasan aspal yang meruap dibahang terik matahari. Bergerak tegar memasuki laman bangunan berwarna putih berbumbung merah yang tersergam besar di hadapannya. Hadilla terus terpaku menatap bangunan itu. Telefon tangannya tiba-tiba berdering.
“Kau kemana Ila. Dia sudah tenat. Datanglah!” Suara lengkingan Maklong Saanah memeranjatkan dirinya yang terduduk kaku. Hadilla tersentak seolah-olah disambar halilintar. Bagai dibias aura semangat baru, dia mengengsut keluar dari perut kereta. Lantas berlari anak memasuki ruang bangunan tersebut. Menuju ke wad kelas pertama
Hadilla melihat Maklong Saanah di sudut ruang menunggu. Di tangannya erat memaut surah kecil Yasin sambil bibir berkumat kamit mengalunkan ayat suci tersebut. Hadilla melangkah perlahan. Maklong Saanah bingkas berdiri menatapnya dengan mata berkaca.
“Akhirnya, kau datang juga ila!” Ucap Maklong Saanah perlahan. Ada haru pada nada suara itu.
Hadilla segera memeluk tubuh Maklong saanah seerat mungkin. Seakan mahu melepaskan segala gemurat hati. Air matanya turut merembes lagi tanpa lelah.
“Ila!”.
Tak semena-mena terdengar namanya diseru dari arah belakang. Hadilla bingkas berkalih pandang. Tampak kelibat Kak Long yang terjengkot-jengkot dengan kaki yang capek itu. Berlangkah gontai ke arahnya dalam biasan haruu. Kaki capek ulahan ayah. Bibir Kak Long menguntum senyuman girang. Tangan kanan kemas menjinjing sang adik yang turut ikut serta.
Adiknya yang sedang menuntut di Amerika itu muncul mendadak seraya mengejutkannya. Bilakah adik pulang? Hadilla terpana. Maklong Saanah terketus ungkapan alhamdulillah di ulas bibir. Mereka adik beradik seolah-olah berjanji pula untuk berkumpul di situ.
“Kita akan sama-sama menempuhnya, Ila! Kita akan sama-sama tunaikan hasrat umi!” Kak Long berucap tegas. Seperti membias semangat kepada mereka adik beradik. Tangan mereka berpaut erat dalam genggaman padu.
“Kak Long sudah memaafkan?”
“Kita akan cuba memaafkan. Demi umi!”
Airmata bergulir di pipi kak Long. Adik sudah tersedu menangis. Maklong Saanah juga masih diselubungi sendu.
Mereka menguak daun pintu putih wad kelas satu itu dengan jiwa yang sengaja didamaikan. Debaran masih sarat mengisi dada. Terlihat seorang tua terkedang lesu di atas sebuah katil serba putih. Wajah tua itu tampak amat pikun menanggung derita jiwa. Kesakitan dari pelbagai penyakit yang ditanggung begitu jelas terpamer lewat nafas yang dihela lesu. Mata tua itu juga dilihat terkebil-kebil menatap mereka dengan riak tidak percaya. Ada gurasan kesal penuh di raut sarat kerutan itu. Mata tua itu berkaca-kaca
“Anakku! Maafkanlah ayah! Maafkan ayah!”
Suara serak serta lesu itu beringis bercampur sendu. Penuh derita. Seperti adik beradiknya, Hadilla digamit haru. Airmata pecah di setiap wajah
“Ayahhh!”
Majalah SERI DEWI & KELUARGA
Edisi Disember 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan