PUISI : Iringan Tekad

 

Nyalakanlah dian
buat peneman latar sekini
mengintip lenggang liuk cahayanya
menghambar tipis tari kabut
meratap seru
akan gerah hari yang kan dijelang

Tengadahkanlah wajah
mengetus bibit nada harapan
menyulap kilau serakan bintang
melambai pesonanya dewi purnama
mengamit sayu
akan serlahan doa yang kan dimimpi

Gapaikanlah tangan
mengelus arakan komulus awan
menyapa semilir pawana sebu
merajut hangatnya mesra swarga
mencarik sendu
akan busa silam yang kan diusir pergi

Sunggingkanlah senyum
menyambut restu muda waktu
menyandar pundak ke semarak takdir
menyerah redha ke hadrat Tuhan
mengkamit doa 

Moga hari kita seindah perca kelmarin...

SELAMAT MENYAMBUT DEKAD BARU

 Riesna Zasly 
31 Desember 2009

SELAMAT TAHUN BAHARU 2010

Glitter Graphics

Glitter Graphics

Rimbunan Pertitih Melayu








keris panjang berkeluk
ke mana dibawa
ke mana elok
Maksudnya : seorang yang sangat berguna

kilat beliung sudah dikaki
kilat pisau sudah ditangan
Maksudnya : orang bijaksana dapat mentafsir maksud setiap perkataan

kita baru mencapai pengayuh
orang sudah tiba di seberang
Maksudnya : kalah pada orang yang lebih cekap

kuah sama dihirup
sambal sama dicolek
Maksudnya : bersama dalam susah dan senang

kuat akar kerana tunjang
kuat tunjang kerana akar
Maksudnya : kuat kerana saling membantu

kuat berdiri pohon kerana akarnya
kuat akar kerana tanah
Maksudnya : kukuh kerana bermuafakat

kuat ikan kerana radai
kuat burung kerana sayap
kuat ketam kerana sepit
Maksudnya : kuat kerana kelebihan yang dimiliki

Pantun & Gurindam
Prof Abdullah Hassan

PROSA : Menggumam Impi


Sewindu lagi
mataku kan mampu menatap haru
mendekap jam randik waktu nan usai berdentang
mengelus pilu jarum telunjuknya nan gerah
beralih senoktah demi noktah mempapar masa
tanpa endah nan perduli akan tangis tawarikh
akan cita dan cinta yang terlempar jauh 
serelung hayat kita yang terusir olehnya
utuh berbekas memorial

Aku berdiri tekur
terkial ragu menyeberangi sempadan dekad
bertoleh berkali-kali merintih perginya citra silam
yang seusai ku sempurnakan dalam kelam dan girang
entah kelu mengapai zaman edan nan kabur
mungkin nelangsa melepas kuntum bunga semalam
yang celaru untuk ku gamit neracanya
lewat pansuhan sukma raga


Tuhan
aku hanya pasrah berteleku
berkamit akan sinar suria nan teguh memayung
bergetus akan pawana nan semilir meneman
menyiram relung jiwa lewat bibit-bibit hujan pendamai
mengandeng erat tangkai citaku tanpa kepalang gundah
mengkhayal impi sedesis kelicap bernyanyi
menganyam mega bercarik taman sati
mendoa kelestarian luhuran budi
segenap hati

 Riesna Zasly 
27 Desember 2009

Estetika Persandingan Melayu : Adat Tradisi Berinai


 Istiadat Berinai yang dilupakan

 Semakin waktu berlalu, masyarakat melayu kian melupakan adat istiadat berinai ini. Malahan, jika ia diadakan sekalipun, prosedurnya tidak pernah diambil endah. Adat berinai diadakan sekali imbas dan secara membuta tubi sahaja tanpa mengikut saranan nenek moyang.

Ditambah pula ada sebahagian masyarakat masa kini yang berasa adat ini tak perlu dan takut bertentangan dengan perkahwinan melayu secara islam, terutamanya risau akan hukum muhrim berlainan jantina.

Untuk pengetahuan umum, adat berinai telah dirombak prosedur upacaranya semenjak pengislaman melaka dahulu kala. Berikut di buktikan kewujudkan prosedur yang dirombak oleh nenek moyang kita itu yang selaras dengan Islam



Prosedur Adat Berinai


+Alatan berinai yang disediakan adalah tempat pembaraan, dua buah dulang berisi beras kunyit dan beras basuh, lima cepu berisi bunga rampai, minyak berboreh, kelembak, narawastu dan minyak wangi, semangkuk tepung tawar serta seikat daun-daun herba dengan bungaan harum.

+Ayahanda pengantin lelaki mengambil sejemput bunga rampai lalu menabur ke atas pangkuan kedua pengantin

+ diraih pula sedikit beras kunyit dan menaburkannya lagi dengan cara yang sama. setelah itu turut di raih pula beras basuh.

+ merenjis minyak wangi , kelembak dan narawastu

+ mencelupkan ikatan daun-bunga ke dalam tepung tawar lalu membasahkan belakang tangan pengantin lalu membalikkan tangan tersebut.

+ mengambil sedikit inai dari mangkuk lalu mengenakan ke tapak tangan pengantin (lelaki dahulu), bermula dari tangan kanan ke tangan kiri (bapa pengantin tidak menginai pengantin perempuan)

+pengantin lelaki mencium tangan ayahandanya

+ setelah itu, ayahanda pengantin perempuan melakukan adat yang serupa pada pengantin perempuan.


Sejarah Adat Istiadat Kesultanan Melayu
Yayasan Warisan Johor 2002
Ahmad Fadzil Haji Yassin

KADO BUAT SAHABAT VI


Estetika Melayu : Nyanyian Mendodoi Anak






  
Ndoi ndoi cak
cak makan padi
anak datuk teriakmak dia mana pergi

Ngoi ngoi cak
cak makan padi
anak jangan teriak
mak ketam padi

pss : lagu memujuk bayi yang menangis di dalam buaian

Petikan dari "Nyanyian Tradisi Melayu"
Aziz Deraman

Pantun Berbisik Rindu


 

Tumbuh lengkuas di tepi bendang
Berdaun lebat pohon dedalu;
Disangka puas matang memandang
Rupanya dapat selenggang lalu

Nyiur gading tinggi menjulang
Masak ketupat berisi inti
Buah delima di dalam cawan;
Hancur daging berkisi tulang
Belum dapat belum behenti
Hendak bersama denganmu, Tuan


Penciptaan-NYA


  
"Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui..."

Surah Ghafir (40) : 57

Estetika Melayu : Kesenian Ghontak kudo


Ghontak Kudo (rentak kuda) amat popular di masyarakat Minangkabau di Negri Sembilan.

Ahli yang menganggotai kesenian ini dalam anggaran enam hingga lapan orang. Hampir semuanya bertugas memukul rebana dan seorang ditugaskan memukul gong. Mereka akan serentak berpantun yang dilagukan dengan iringan paluan rebana serta gong. Iramanya tersusun indah seolah-olah kuda yang sedang menari.


Setiap pantun terdiri dari enam baris dan ditambah sedikit dengan bunga-bunga lagu sebagai penyedap penyampaian.



Antara lagu-lagu yang popular

la-illah tuan
ko jolobak ko jolobu
tuailah padi tigo soghangkai
lah donak donai

botuahnyo badan
kalau dah kono komat jolobu
kalau tak mati badan monghasai

a-hailah tuan
kepayo tumbuh di bukit
ondak di makan di dalam puan
lah donak donai

hai nasibnyo badan
kasihnyo ese bukan sedikit
padolah dagho di tompek tuan

Dalam kesenian Ghontak Kudo, ada peraduan seakan berbalas pantun. Jika terdapat satu pihak yang behenti dan tak dapat membalas pantun yang diberi, mereka dianggap kalah.


Ghontak Kudo biasanya dimainkan pada waktu malam terutamanya di musim menuai padi.

Petikan "Nyanyian Tradisi Melayu
Haji Aziz Deraman


PSS : kepada adik ridh dan teman-teman yang berketurunan Minang, benarkah kesenian ini telah lupus di kalangan anda?

Filosofi Jiwa





PROSA : Mengunjung Firdausi


Pernahkah benakmu tergamit
akan mimpi menjejak swara taman
menyongsong jiwamu syahdu
mengetar aura mempesona
dari noktah gemerlap dunia
nan akrab bersenyum?

Kau kulai kaki lenjangmu
membenah aluran kocakan bening
terlantas tubir matamu erat tertutup
mengelam jiwamu mendamai layu
mengecap belaian lengket sang air
meruntun seru

 

Kau biarkan singkap rautmu 
terjamah titisan percikan hening 
bergulir melemas sekujur wajah
mencanda gerah sudut mulus kulitmu
menewas sepuhan lara dari sukma
membias haru

Kamu!
Pimpinkanlah ragaku ke sana
bergandeng melumur citra syorga denganmu
berdekap menggumul nada seloka girangmu 
dari selindung pandangku nan buta
akan takjub lestari swargaloka
anugerah dari-NYA
 
Riesna Zasly 
menjelang Natal 2009

Sejiwa


Estetika Melayu : Nyanyian Dodoian Anak



Ndoi ndoi dam
anak lembu patah tanduk
cik mek kena godam
cik awang kena tumbuk

Tumbuk damak batu
pasang damak raya
tebuk lubang pintu
nak tengok anak dara

Anak dara datuk
mandi tepi kolam
apa jamu datuk
jamu nasi ulam

Buah jambu masak
masak hujung julai
apa jamu kakak
jamu nasi gulai

Sahabat


Rimbunan Pertitih Melayu







  
tumbuh pada alur sudah diturut
tumbuh pada jalan sudah ditempoh
Maksudnya : semua kewajiban telah dilaksanakan 

turut hati yang geram
hilang takut timbul berani
Maksudnya : meredam amarah 

umpan habis pancing putus
punca terlepas dari tangan
Maksudnya : rugi dan sia sia 

untung sepanjang jalan
malam sekejab mata
Maksudnya : amat sukar untuk berjaya namun mudah untuk tewas 

untung tak dapat diraih
malang tak dapat ditolak
Maksudnya : ketentuan dan takdir tak mampu diubah 

Pertatah-Pertitih Melayu 
Aripin Said

PROSA : Meruntun Senjakala





Aku tidak tahu
untuk apa harus berintih sendu
pesona apa yang mengkabur di awangan
tatkala ditatap hening senja itu
dukaku tercarik

Mungkinkah mega jergah mengejek
bertari di sela nuansa jingga sinisnya
lewat sinar mendung di wajahku

Lalu sengaja diusir paksa
komulus awan nan bertangkai di sana
biar menjauh dari menaungi jasadku
bahana gerah sambutan alam
akan hadirnya malam

Sejenak mataku berkaca
menyeru ufuk nan bertabir longlai
meruntun perginya sinar siang hari
bersama sejuta bias impi
agar cerah kian lagi mendatang
mengapai esok hari

Riesna Zasly
22 Disember 2009

Sepersalinan Tuan Malim Dewa



"Baju beledu ainul-banat, kain kembung kampuh pelangi, bukannya kain di bawah angin, keris kelambu Rasulullah. Berikat pinggang kain cindai... Keris bersarung emas sepuluh. Hulunya menikam sembilan warna. Keris bernama jalak jantan, berkerawang pamur dipangkalnya, pedang jejawi lantai balai. Selebar daun padi, solek belah mumbang dihulunya. Tepinya bertelepuk perada terbang, azimat bertulis kalimah arab"

Hikayat Malim Dewa
1963 : 16

Gurindam Melayu : "Pujian Sang Budiman"










  
Tuan umpama pohon nan rendang
tempat semua dapat berteduh

Harta tuan banyak tidak terkira
makin tuan memberi, makin bertambah
makin tuan mengagihkan, makin bertimbun
makin tuan tarah, makin menggunung
makin tuan cangkul, makin tinggi

Manakan tuan tidak pemurah
belum diminta tuan memberi
belum ditadah, sudah di isi
belum di sebut, sudahlah faham

Orang datang selangkah,
tuan dekati dua langkah

Apabila diminta satu, tuan memberi tiga
apabila memberi pin jam, tidaklah ditagih
kepada yang sempit, tuan halalkan
kepada yang susah, tuan berikan saja

Maka itulah
kalau tuan turun ke laut
ikan pun mengenyang
kalau tuan turun ke padang,
belalang ken yang
kalau tuan ke udara
burung mengenyang
kalau tuan turun ke tanag,
cacing kenyang
kalau tuan memanjat pokok
ulat mengenyang
kalau tuan masuk ke hutan
harimau kenyang! 

Pantun & Gurindam Melayu
Prof Abdullah Hassan

Sahabat


PROSA : Tatkala Tangan Saling Berpaut



Teman 
genggamkanlah jemariku
unjukkan gurasan rasa
yang tergulir bening
lewat semarak merah darahmu
menyatu di gombolan citra nadi
meremas kehangatan
mesra

Teman
biarkanlah gandengan tangan ini
berpaut erat bersama senyuman  gerah
terlestari menjangkau prahara hayat
tak putus digomol sengketa
tak di endah bedaan filsafat
lonjakkan nada serasi jiwa
menyemi  aura akrab
utuh di pundak sati

Teman
ketahuikanlah akan hematku
tak mungkin ku kan berpaling 
memutus kemas pautan
selagi dirimu tiada nekad 
melerai jabat....

Riesna Zasly 
21 Disember 2009

Indonesian : Andrea Hirata : "Rahasia"



Kan ku beritahu 
suatu rahsia padamu, kawan;
buah paling manis 
dari berani bermimpi,
adalah kejadian-kejadian 
yang menakjubkan,
dalam perjalanan kita mengapainya....

Novela Maryamah Karpov, Jakarta

rimbunan pertitih melayu










  
hilang kayu berbuah
hidup manusia biar berjasa
Maksudnya : pokok dihargai kerana buahnya, manusia dihargai dengan jasanya

kaki tertarung, inai padahannya
mulut terdorong, emas padahnya
Maksudnya : apabila melakukan sesuatu pekerjaan, mestilah berani menanggung risiko 

kayu besar di tengah padang
tempat bernaung apabila kepanasan
tempat berlindung apabila kehujanan
Maksudnya : pemimpin yang baik 

keladi muda, muda buahnya
menurut hati muda, berkelahi sudahnya
Maksudnya : orang muda cepat marah 

kelapa tebal sabut
terhempas ke batu tidak pecah
dibuang ke laut tidak tenggelam
Maksudnya : apabila ramai anak cucu, dikasihi kaum keluarga, suka menolong, hidup tentu selamat 

keluar tidak menganjilkan
masuk tidak menggenapkan
Maksudnya : orang yang tidak penting 

Pantun & Gurindam 
Prof Abdullah Hassan

KADO BUAT SAHABAT VI


Nyanyian Melayu Deli yang hampir dilupakan


Baru-baru ini saya agak terkejut dan terkilan. Beberapa orang teman-teman dari Jakarta membuat sebuah kertas kerja mengenai "Tradisi Nyanyian & Muzik Melayu" untuk tesis akhir pengajian mereka. Di situ, mereka terakan lagu "CINDAI' dari penyanyi tersohor Siti Nurhaliza sebagai sebuah irama lagu tradisi melayu yang dikira sebagai lagu asli yang sukar dibawa kerana nada tinggi

Saya amat terkejut dengan kecetekan pemikiran mereka. justeru juga bersedih hati. Ternyata mereka tidak tahu muzik melayu yang benar-benar asli itu bagaimana bunyinya, dan irama melayu asli melayu itu bagaimana bentuk nyanyiannya.



Memang banyak irama melayu yang kita dendangkan saban waktu terutamanya di majlis-majlis kebudayaan tertentu. Terutamanya lagu-lagu rakyat dan kanak-kanak yang kita pelihara secara turun temurun sejak sekian lama.

Namun, kita jangan lupa, ada beberapa lagu melayu asli yang cukup indah seninya sudah hampir lupus di pemikiran anak bangsa. Salah satu sebabnya ia agak sukar dinyanyikan. Bukan hanya oleh kita, tapi juga pada penyanyi masa kini. kKta selama ini di tetek bengekkan dengan lagu melayu asli yang agak mudah difahami dan senang diikut rentaknya.

Pernahkah anda mendengar lagu LELA MANJA dan PASIR ROBOH. Tentu sukar untuk mendengarkan ia dinyanyikan semula sekarang kan? Kalau pernah dengar pun, dari nyanyian penyanyi lama dari rakaman hampir 30 tahun lalu. Dan tiada artis baru yang benar-benar mampu membawanya dalam rentak yang benar-benar berseni. Sayang sekali!!

Siswa di jakarta itu bertanya pada saya, "Mana lagu asli melayu yang kau kata benar-benar hebat itu? Yang tak mampu dibawa oleh che Siti dan artis hebat masa kini?"

Mereka mencabar saya... lalu saya suruh mereka mencari tiga buah lagu melayu deli di bawah ini yang dirakam pada 30 hingga 40 tahun lalu..

Setelah menghayatinya, mereka terus terdiam... berremang bulu roma katanya kagum...

Dibawah entri ini saya lampirkan 3 buah lagu melayu asli bercorak deli tersebut... bagi yang pernah mendengarnya, pasti akan terimbas nolstalgia silam... bagi yang belum pernah tahu, hayatilah dan kagumilah rekacipta nenekmoyang bangsa anda...                             

Melayu Deli : Ratapan Kamarulzaman



Sayang kiambang, si bunga kiambang
kembang sekuntum di atas perigi
sinaran cahaya bulan mengambang
awanlah juga membawa diri

Bunga kiambang tegak berdiri
di sunting anak permaisuri
jasa ditabur tidak terperi
hilanglah akal kerana budi

Mekar kiambang ditepi telaga
tempat orang bersiram mandi
emas perak memang berharga
budi bahasa sukar dicari

Untuk menghayati warisan nenek moyang yang indah ini : 





Melayu Deli : Mega Mendung



Mendung
si mega mendung
mendung datang dari utara
Termenung
jangan dik termenung
diturut hati, rusak binasa

Mendung
si mega mendung
mendung datang bertalu-talu
Termenung
jangan bang termenung
kasih tak ada usah ditunggu

Hayati irama Melayu Deli yang hampir dilupakan
istimewa buat penghayatan "ANAK LAUT"





Melayu Deli : Burung Putih



Burung putih terbangnya pagi
mati ditambat si hulubalang
bercerai kasih merungkai hati
siang dan malam terbayang-bayang

Malang nasibmu si burung putih
hendakkan hinggap ranting tak ada
memang sedihnya bercerai kasih
makan tak enak, tidur tak lena

Bersama menghayati wulangreh pusaka bangsa :






PUISI : Pesonamu Bonda


SELAMAT HARI JADI!!

Diabadikan buat Budayawan & Sasterawati Bonda Siti Zainon Ismail 
sempena ulangtahun ke 60 pada 18 disember 2009 (1 Hijrah)



Bonda...
Tak pernah benak ku tenggelam
meriak dalam taburan pesona
lewat lirih "Nyanyian Malam"mu
melestari aura bibit remaja
menerjang prahara gentar bercalit duka cinta
mendaki lelah jejak puncak mahameru
yang ternukil lewat polesan nafas mudamu
demi membibit cita

Bonda
"Alam Puisi"mu mengasuh ku melakar
Bertenun impi menyorot harapan
menghela syahdu prosa nan muktahir
bergamit tangan menukil askara demi askara
berterjang tapak-tapak yang kau tinggalkan
agar mampu ku meniti di belakang
menyinambung alur langkahmu
mengorak santun jaya 



Bonda
Terujaku mengaum lewat "Percikan Seni'mu
mengajar ku mendaki puncak estetika budaya
meredah hijau wulangreh bangsa
dengan sahutan bangga berlapang dada
bersama disemai nuansa halus seni berjiwa
di riba simpuhan adat nenek moyang
agar kuhargai tradisi murni nan sati
segenap raga hati

Bonda
perlukah kita menengadah ke langit
mencium aroma wangi pawana
seperti tancapan 'bunga-bunga bulan'mu
melantun puisi jiwa mengkanvas kirmizi
menukil pelangi mengerah mega
membayang sinar raja matahari
agar bekas jejakmu menguasa dunia
tak runtun haus terpadam
diheret latar waktu



Bonda
Kan ku harungi rajut silammu
meracik 'witir sela berapi' yang memurni nafas muda
menyiram luhur 'bunga putik putih' yang kau bibitkan
melaung 'puisi putih buat kekasih' sehela nafasmu
sejurus 'jurai palma' yang gontai dibangga
menyemarak khazanah budi yang kau luhurkan
agar ia tegar bersibak waktu
bersama hasrat nuranimu

Bonda
Moga dijangkau enam puluh tahun
di kemuncak jaya ultah kelahiranmu
membias jasa yang terus bergemerlap
tak lelah mensatriakan seni bangsa
tak lesu mewarga warisan budaya
persis cita yang akrab kau azamkan
sealir semarak darahmu
bersama doaku..


Riesna Zasly 
17 Disember 2009


Moga Bonda 
tetap tampil muda, berpicu tenaga muda & maju melakar karya muda