Memaparkan catatan dengan label ANGGUN SARI AZAH AZIZ. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ANGGUN SARI AZAH AZIZ. Papar semua catatan

Marvina Reynolds : "Apa Dibuatnya Kepada Hujan"

Cuma hujan gerimis di sana sini turunnya
terangkat kepala rumput mendengarkan suaranya
hujan gerimis hanya, hujan gerimis hanya
apalah dibuatnya kepada hujan?

Cuma si anak kecil berdiri di tengah hujan
yang bertahun-tahun mesra berderaian
dan rumput musnah, si anak pun hilang
dan hujan merintik juga seperti air mata hiba
dan apalah dibuatnya kepada hujan?


Cuma sehembus angin dari angkasa
daun -daunan tunduk ketika diusapnya
cuma sehembus angin berkabus duka di matanya
apalah dibuatnya kepada hujan? 

Lirik terjemahan dari "What Have They done To the Rain"
Petikan "kartika Di Langit Seni" 
Budayawan Azah Aziz

Akar Umbi Pantun Melayu VII

SANTUN BERADAT

Pisau raut panjang sekerat
buat meraut rotan saga
ikan di laut asam di darat
dalam belanga berjumpa juga


Kuat tarik kerana kuda
kuat ikat kerana tali
buat baik berpada-pada
buat jahat jangan sekali

Baju baharu kain bertekat
baju belah pakaian kerongsang
bersatu padu kena seikat
kalau berpecah dimakan orang

Petikan "Kartika di Langit Seni 
Budayawan Azah Aziz

Akar Umbi Pantun Melayu VI

JURAI BUDAYA

Asal sutera menjadi benang
asal benang menjadi kain
yang lama mesti dikenang
jangan hilang berganti lain

Berapa tinggi pucuk pinang
tinggilah lagi pucuk meranti
berapa tinggi gunung ledang
tinggilah lagi harapan hati

Gunung serayu sayup dipandang
nampak dari selat melaka
hilang mutu emas ditimbang
kalau intan disangka kaca

Tinggi melampai pohon beringin
beringin ada di tengah kota
hendak berpesan kepada angin
angin tidak pandai berkata 

Petikan "Kartika Di Langit Seni"
Budayawan Azah Aziz

Akar Umbi Pantun Melayu V


CITRA BONDA

Pokok mangga tidak berbuah,
pokoknya ada di tepi kota;
ibu bekerja menuai di sawah,
mencari beras untuk kita

Burung puyuh terbang melintang,
singgap hinggap di semak lalang;
melihat ibu sudah datang,
hati cemas menjadi hilang

Terbang burung dari selatan,
dipuput angin disangga bayu;
bukalah surat dari lipatan,
lihatlah pantun bahasa melayu

Apa ditebang di tengah lembah,
tentulah kayu sahaya lintangkan;
bunga sekuntum sudah tergubah,
jikalau sudi tuan suntingkan

Petikan "Kartika Di Langit Seni"
Budayan Azah Aziz

Akar Umbi Pantun Melayu IV


 KEMBARA SUKMA

Pagi-pagi awan berlari,
bintang sebiji membelah bukit;
kalaulah dapat bagai di hati,
dunia dipandang tinggal sedikit


Tinggi-tinggi si matahari,
anak kerbau mati tertambat;
sudah lah lama saya mencari,
baru sekarang saya mendapat

Bintang tujuh sinar berseri,
bul;an purnama datang menerpa;
ajaran guru hendaklah dicari,
mana yang dapat jangan dilupa

Pokok nanas di kuala daik,
mari dipetik anak melayu;
tuan umpama teras yang baik,
kal ditunu makin berbau

Kokok ayam terbang ke bumi,
sayap kembang lebat bulunya;
pohon gaharu kayunya wangi,
ditiup angin timbul baunya

Petikan "Kartika Di Langit Seni"
Budayawan Azah Aziz

Gurindam Tradisi Melayu

SANTAPAN MELAYU BERADAT
Alkisah... Menurut yang empunya ceritera tersebut kisah suatu temasya Pada suatu malam syahdu berlangsung majlis cara melayu Jamuan beradat menurut sejarah zaman gemilang di bumi bertuah Tersedia jamuan di dewan seri hidangan melayu tiada terperi Nasi pelangi tujuh warna diiringi lauk tujuh rasa Ulam rampai berukir bunga juadah dan halwa memikat selera Hidangan nikmat tujuh bangsa puspa ningrat, anta kesuma tiga dengan gubahan halwa empat dengan agar-agar bersakar lima dengan mega wangsa enam dengan emas sejemput tujuh dengan rumput syurga Manis rasanya buah-buahan dusun diolah, digubah, di dulang tersusun Sambil tetamu menikmati jamuan irama merdu mengalun perlahan Senandung biduan menyampai madah lagu lama irama nan indah Selesai lagu melimbai lah penari tarian bernama impian pelangi Selendang dipakai berwarna warni nipis melayang, berseri-seri Sesudah makan tetamu budiman dibawa cerek, pembasuh tangan Lalu memakai minyak diraksi harum baunya ambar kasturi Kedengaran pula lagu melayu lagu dikarang biduan dahulu Biduan berdendang suaranya merdu bagaikan bunyi buluh perindu Tepak sirih diedar pula makanlah sirih tetamu yang mulia Sirih tersusun di atas cerana lengkap dengan rempah ramuannya Terhibur semalaman tetamu bistari tampillah penari sekali lagi Pesona songket nama tarian songket dipuja pusaka berzaman Tarian disusul lagu nan merdu lagu tinggalan para datu Telah dinihari di majlis cemerlang berakhir sudah jamuan gemilang Bulan mengambang bertambah terang bintang timur mengarak siang Siang mengejar malam malam mengejar siang.. Budayawan Azah Aziz "Kartika Di Langit Seni"

Akar Umbi Pantun Melayu III

RINTIH KASIH

Anak kecil di tengah padang,
riang bermain seorang diri;
langit hangus bumi terpanggang,
awan menangis tak padam api

Asam jawa pokok di hutan,
dibawa orang tanam di desa;
ada nyawa ada harapan,
tiada lah mahu berputus asa

Naik ke bukit bermain angin,
pandan berbuah akan permata;
sungguh sakit bercerai main,
makan berkuah air mata

Anak sawa sebesar lengan,
meniti-niti di batas padi;
hendak tertawa tiada berteman,
senyum sedikit di dalam hati 

Petikan "Kartika Di Langit Seni"
Budayawan Azah Aziz

Akar Umbi Pantun Melayu II

BINTANG KECIL

Rumah kecil tiang seribu,
rumah besar tiang sebatang;
kecil-kecil di timang ibu'
sudah besar di timang gelombang

Ada kolam ada masjid,
tempat orang sembahyang raya;
tengah malam bulan terbit,
bintang sebiji membawa cahaya

Pohon kerukup si tepi pongsu,
sayang buahnya lebat di dahan;
sudah cukup menghadap guru,
barulah boleh masuk di medan

Budak-budak bermain kolek,
kolek di dayung bertiga-tiga;
kita bermain adik beradik,
kalau salah jangan berkira

Bongkar sauh ke tanjung pinang,
orang sarawak menjual kain;
tempat jatuh lagi dikenang,
kononlah pula tempat bermain 

Petikan dari : 
"Kartika Di Langit Seni'
Budayawan Azah Aziz

Akar Umbi Pantun Melayu

BUSANA MELAYU

Kalau ada kain berkampuh,
apalah guna kain selerang;
kalau ada angin  merempuh,
takkanlah bunga tak mahu kembang


Kain ini kain sutera,
kalau mandi disesah jangan;
pakaian ini pakaian lama,
kalau sayang diubah jangan

Kalau tuan naik ke bukit,
singgah di bawah pohon terap;
tuan umpama si emas songket,
terang cahaya merelap-relap

Kain baldu kain makasar,
halus tidak dapat ditenun;
laut madu sungai bersakar,
haus tidak dapat diminum

Petikan dari
"Kartika Di Langit Seni"
Budayawan Azah Aziz