Memaparkan catatan dengan label WULANGREH TRADISI BANGSA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label WULANGREH TRADISI BANGSA. Papar semua catatan

AL FATIHAH ... SEMOGA ROH ALMARHUM DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK DICUCURI RAHMATNYA



ISTIADAT PERMAKAMAN DIRAJA

Apabila seorang Raja Pemerintah mangkat maka adalah menjadi tanggungjawab dan kerja Setiausaha Dewan Negara Perak dan Setiausaha Kerajaan Negeri mengumumkan perkara yang menyedihkan itu kepada semua Raja-Raja, Orang Besar-Besar dan rakyat jelata. Setiausaha Dewan Negara Perak juga akan memanggil suatu mesyuarat khas bagi semua ahli-ahli Dewan Negara untuk bersidang mengenai istiadat-istiadat kemangkatan, pemakaman dan berkabung selepas berdatang menghadap Duli Tuanku Raja Perempuan.

Semboyan akan dipasangkan dengan bilangan tembakan das mengikut usia Almarhum, iaitu satu das bagi setahun. Biasanya semboyan kemangkatan dipasang di sebelah malam selepas pukul sepuluh, dan apabila kedengaran bunyi meriam, maka alamat tanda mengkatnya Raja Pemerintah.

Lazimnya, Raja Muda atau Raja Di Hilir dan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja akan mengetuai segala pekerjaan terhadap Istiadat Kemangkatan dan Istiadat Pemakaman. Pekerjaan membuat usungan atau pedati yang dinamakan 'Seraja Diraja' atau 'Raja Diraja' akan dimulakan secepat mungkin.

Jenazah Almarhum itu dimandi dan dikafankan oleh para alim ulama dan diletakkan Seri Balai, Istana Iskandariah untuk Istiadat Pemasyhuran Raja Pemerintah Baru. Pemilihan Raja Pemerintah baru dibuat dalam mesyuarat khas Dewan Negara Perak yang dihadiri oleh anggota-anggotanya. Lazimnya, istiadat pemasyhuran dilangsungkan di sebelah pagi dan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja akan mengumum nama Raja Pemerintah baru dan membaca perisytiharan pemasyhuran itu. Majlis kemudian diikuti laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali daripada semua hadirin yang berada dalam Seri Balai. Tembakan meriam 21 das akan dilepaskan. Istiadat pemasyhuran Raja Pemerintah baru hendaklah diadakan sebelum Istiadat Memberi Penghormatan Terakhir dan Istiadat Pemakaman.

Setelah selesai Istiadat Pemasyhuran Raja Pemerintah baru, jenazah Almarhum dibawa dan diletakkan di atas persada khas empat segi tujuh tingkat bersalut kain kuning degan pegawai tentera darat, udara dan laut serta polis berkawal di keempat-emapat penjurunya. Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Kehormatan Almarhum disusun di sekliling aras lima persada yang dibina di pertengahan Balairong Seri atau Dewan Santapan di istana Iskandariah. Bacaan ayat suci al-Quaran berkumandang di ruang itu ketika kerabat diraja, Orang Besar-Besar, orang kenamaan dari dalam dan luar negara serta orang kebanyakan memberikan penghormatan terakhir mereka kepada Almarhum. Istiadat Memberi Penghormatan Terakhir kepada jenazah Almarhum lazimnya berlangsung selama beberapa jam sahaja dan tempoh ini ditetapkan oleh Dewan Negara Perak dengan kerjasama pihak Kerajaan Negeri. Cara berpakaian untuk istiadat ini ialah baju Melayu hitam bersamping hitam dan bersongkok yang berbelit dengan kain putih selebar 2.5 cm di tengah-tengah songkok. Kerabat diraja, Orang Besar-Besar Negeri dan bentara-bentara akan bertengkolok putih. Orang kebanyakan berpakaian lounge suit hitam dan bersongkok dengan kain putih yang telah disebutkan di atas. Kaum wanita berpakaian baju kurung hitam dan berselendang putih (untuk Melayu) atau hitam (untuk lain-lain bangsa). Ketika memberi penghormatan terakhir, mereka yang beragama Islam turut mengambil peluang berdoa supaya Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum. Selepas istiadat memberi penghormatan terakhir maka persiapan akan dijalankan untuk mengusungkan jenazah ke luar dari istana dengan pedati khas ke Masjid Ubudiah untuk disembahyangkan. Orang ramai boleh datang untuk menziarahi mahupun menyaksikan Istiadat Pengiringan Jenazah Almarhum dari Istana Iskandariah ke Masjid Ubudiah. Ada pula yang datang mengiringi jenazah Almarhum diarak di atas pedati dalam perjalanan ke masjid.

Selepas jenazah disembahyangkan, biasanya oleh Mufti Kerajaan Negeri, maka jenazah akan dibawa untuk disemadikan dengan penuh adat istiadat yang dikenali sebagai Istiadat Pemakaman. Pada kelazimannya, istiadat ini dihadiri oleh kerabat diraja, Orang Besar-Besar dan orang kenamaan, dan mereka akan menyaksikan jenazah Almarhum diturunkan ke dalam liang lahad yang telah disediakan sebaik sahaja tersiarnya berita mengenai kemangkatan Almarhum. Bacaan talking dan doa akan diketuai oleh Mufti Kerajaan Negeri, dan sebaik sahaja talking dan bacaan doa selesai, tembakan meriam dengan bilangan das berdasarkan usia Almarhum dilepaskan. Istiadat kemudian disusuli dengan menabur bunga rampai dan menyiram air mawar ke atas makam Almarhum dengan didahului oleh Raja Pemerintah baru, isteri gahara Almarhum, dan lain-lain kerabat diraja mengikut protokol yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan Negeri.
Bacaan talkin selepas Istiadat Permakaman

Pada zaman dahulu, Istiadat Berkabung dilaksanakan dengan setiap orang lelaki dalam istana bercukur dan wanita berkerat rambut. Kini, istiadat berkabung cuma ada berkaitan dengan peraturan pakaian dan pembatalan acara rasmi sahaja. Tempoh perkabungan akan ditetap dan disiarkan oleh pihak Kerajaan Negeri, dan dalam tempoh ini bendera Negeri Perak hendaklah dinaikkan setengah tiang, acara-acara rasmi yang dikelolakan oleh pihak Kerajaan Negeri dikehendaki dibatal atau ditunda kepada suatu tarikh yang lain selepas tempoh perkabungan itu. Majlis-majlis bercorak hiburan, nyanyian dan tarian juga wajib dibatalkan. Dua buah gendang nobat dan dua buah gendang nengkara akan dibalut dengan kain putih sebagai tanda penghormatan kemangkatan Almarhum. Segala pawai kerajaan Negeri seperti lembing kerajaan, paying kerajaan, keris dan pedang kerajaan juga dikehendaki diikat dengan lapisan kain putih. Dalam tempoh berkabung, kerabat diraja lelaki berpakaian baju Melayu hitam dan bertengolok putih ikat solek. Kaum lelaki Melayu daripada orang kebanyakan memakai baju Melayu dengan bersongkok hitam yang berbelit kain putih selebar 2.5 cm. Lelaki daripada bangsa lain boleh berpakaian lounge suit atau baju kemeja berlengan panjang dan bertali leher hitam atau warna gelap tanpa bercorak serta memakai toha hitam selebar 8 cm di lengan kanan. Kaum wanita Melayu berbaju dan berkain hitam atau warna lain yang gelap dan berselendang mahupun bertudung putih. Wanita berbangsa lain juga berpakaian hitam atau gelap dan berselendang hitam.

Untuk Paduka Seri Sultan, tempoh perkabungan ialah 100 hari, manakala untuk Raja Muda 40 hari, Raja Di Hilir 7 hari dan Raja-Raja Bergelar 5 hari. Untuk Raja Perempuan mahupun Raja Permaisuri hendaklah berkabung selama 40 hari, dan Raja Puan Besar 14 hari, Raja Puan Muda 7 hari serta isteri-isteri lain Paduka Seri Sultan tidak melebihi 7 hari dan ditetapkan oleh Tuanku Paduka Seri Sultan.

Selepas seratus hari daripada hari pemakaman berlangsunglah Istiadat Menurunkan Batu Nisan. Istiadat ini cuma disaksikan oleh kerabat-kerabat yang terdekat sahaja. Batu nisan itu akan dililiti dengan kain kuning mahupun kain putih, kuning dan hitam yang merupakan warna-warna kebesaran kerajaan Negeri Perak

SENI PANTUN : ADAT & BUDI



Anak cina bertimbang madat
dari mengkasar lalu ke deli
hidup di dunia biar beradat
bahasa tidak dijual beli

Ada kerusi ada meja
itulah tempat membasuh kaki
ada budi ada bahasa
itulah tempat ditaruh hati

Kalaulah pergi ke pekan nyalas
masuk ke balai membeli gelang
kalaulah budi minta dibalas
itulah budi tidak dikenang

Hari redup menyemai padi
Wak Dollah menanam jagung
kalau hidup tidak berbudi
duduk salah, berdiri pun canggung

Ambil bertih dari hulu
isi mari di dalam balang
bersihkan laman kita dahulu
baru bersihkan halaman orang

Orang hulu memalu nobat
nobat dipalu kayu berangan
fikir dahulu sebelum buat
kalau dibuat menyesal jangan

Sisirlah sisir rambut panjang
lepas disisir bersolek bunga
fikirlah fakir sepanjang-panjang
datang hujan tidak berguna

WARISAN GAMELAN MELAYU - Timang Burung

ti

Timang-timang burungku sayang
Mari ku timang , mari ku dendang
Hati rindu pada cik abang
Siang malam terbayang-bayang

Timang burung,
Anak raja turun ke taman

Timang-timang burung terebang
Hinggap mari di dahan kayu
Wajah tuan terkenang-kenang
Tidur tak lena, makan tak lalu

Timang burung
Ala sayang si lambang sari

Anak merbuk, anak merpati
Turun mari di atas dahan
Abang seorang kekasih hati
Tiada yang lain darimu tuan

Timang burung,
Anak raja turun ke taman

Anak tiong terbang sekawan
Turun mari dahan berduri
Di angin lalu ku kirim pesan
Rindu ku tanggung seorang diri

Timang burung,
Ala sayang si lambang sari

Burung nuri terbang tinggi
Turun mari di atas dahan
Mari-mari kekasih hati
Aku rindu padamu tuan

Timang burung
Anak raja turun ke taman

- Melestari Wulangreh pusaka bangsa -

Tari Saman ,Dance of Gayo...



“Adat ngon hukom hanjeuet,
cree lagee zat ngon sifeut
Adat nan Islam bersyariat
unsur sifat tidak kan terpisah”

“Adat bak poteumeureuhom,
hukom bak syiah kuala,
Adat dimuliakan raja penguasa,
fatwa hukum berteras ulama”

+ Tari Saman diasaskan oleh seorang syeikh arab bernama Syeh Saman. 

+ Ditarikan dengan mengalun sebuah iringan Syair saman dalam bahasa Arab dan bahasa Aceh 

+ Tari ini menggunakan tepukan tangan, tepukan dada dan tepukan di atas lutut, mengangkat tangan ke atas secara bergantian

Sisipan Budaya : Pedoman Ureung Aceh


Memberi Salam 
Assalamu ‘alaikum...
Jika ucapan salam itu tidak dijawab kerana ketiadaan penghuni misalnya, maka tetamu tadi tidak akan masuk ke dalam rumah yang didatanginya itu, dia segera beranjak dari tempat ini untuk menghindarkan fitnah


+Tangan Kiri atau Kaki kiri
Tidak akan menyerahkan, menerima sesuatu atau memegang seseorang dengan tangan kirinya, baik secara bergurau apalagi secara bersungguh - penggunaan tangan kiri dianggap paling tidak sopan kerana kegunaannya hanyalah untuk membersihkan bahagian tubuh setelah melakukan hajat besar 

+Memegang Kepala 
bahagian tubuh yang ditakdirkan ‘Tuhan berada di atas sekali. Memegang atau mengambil penutup kepala yang sedang dipakai seseorang, baik secara bergurau apalagi secara sengaja merupakan hal yang amat  dilarang.

+ Memuliakan yang Tua 
lebih tua usianya dipandang terhormat


 +Jiran 
kelompok orang yang paling rapat hubungannya bagi orang Aceh.

+Damai 
berperasaan damai di hati terhadap siapa pun selagi tidak dipandang remeh atau dihina oleh sesuatu golongan lain. Makna salam yang diucapkan pada setiap kali bertemu dan berpisah dimana pun tempatnya itu sebenarnya merupakan ajaran bagi seorang Aceh untuk hidup damai

+Taloe bermakna kalah 
hal yang sangat negatif.
Istilah peribahasa "sihet bek rho bah habeh, miring jangan tumpah biarlah, ertinya daripada miring-miring atau tanggung-¬tanggung, biarlah tumpah atau sungguh-sungguh sekali asal tidak sampai malu

+Dendam 
perbuatan yang harus sesuai dengan ajaran agama yang dianutnya / tueng bila, maksudnya menuntut bela / bahasa Aceh ada perkataan dendam yang disebut dam 

+Pergaulan

+Nilai Kekeluargaan

(Artikel sempena kajian Acheh untuk projek karya puisi bagi lukisan ternama "Selendang Akhir Meulaboh" karya Bonda Siti Zainon Ismail. Sekadar perkongsian bersama)

MELAYU LAMA - Satria Abadi


Berkembang dan mewangi
perjuangan yang dikau beri
kupuja dan kupuji
menambahkan kedaulatan suci

Bersama kuturuti
mendoakan kekanda pergi
kubelai dan kujaga
cahayamata kesayangan kita

Menantikan masa
dikau pulang di hari bahagia
seribu harapan
kemenangan menjadi impian

Usah bimbang dihati
tabah sabar satria abadi
waspada gerak-geri
bentengkanlah nusantara ini

Melestari wulangreh budaya bangsa

MELAYU DELI - Gambus Palembang

s

 Pucuk pauh delima batu
anak sembilang ditapak tangan
sungguh jauh di negeri satu
hilang dimata, dihati jangan

Sungguh besar kota Melaka
dijaga orang malam dan siang
sungguh benar bagai dikata
takkan sama dengan yang hilang

"Memartabat wulangreh tradisi bangsa"

MELAYU DELI - Batu Belah


Batu belah Negri Sembilan
Dipecahkan oleh anaknya deli
Banyak susah yang ku tanggungkan
Putus kasih membawa mati

Batu belah, batu di gunung
Pecah berderai di waktu pagi
Hidup yang susah, biar kutanggung
Asal bersama si jantung hati 

"Memartabat warisan seni estetika budaya bangsa"

WARISAN PANTUN ADAT


Adat Melayu bersendi syarak
Syarak bersendi ke kitabullah
Adat Melayu pantang dianjak
Dianjak sekali tentu menyalah

Syarak bersendi di kitabullah
Ditudung payung sunnah Nabi
Dianjak sekali tentu menyalah
Binasa kaum rosaklah negeri

Petikan Pantun Adat Bilang Tujuh
Khanazah Pantun Melayu Riau
Tenas Effendy

ZAPIN MELAYU - Yaladan


Tinggilah tinggi terbang tinggi
akhirnya jatuh ke tanah juga
janganlah kita meninggi diri
akhirnya jatuh ke bawah juga

Jangan diturut resmi lalang
baik diturut resmi padi
meninggi diri dibenci orang
budi bahasa itu dicari

Baik-baik pegang kemudi
janganlah sampai terlanggar karang
baik baik kita berbudi
janganlah sampai dikata orang

melestari estetika melayu

MELAYU DELI : Banjar Masin



Dari Singgawang ke Banjar masin
Minyak tanah hasil buminya
Nasib yang malang, hidupku miskin
Kian ke mari mencari nafkah

Negeri Singgawang kotanya indah
Disana banyak orang berkunjung
Hidup melarat selalu sengsara
Tiada pernah rasa beruntung

"Melestari estetika bangsa"

MELAYU - Dondang Sayang


Pergi menebang si kayu bakau
Buat bekalan pergi ke laut
Sudah ku renung sembilan pulau
Barulah dapat tempat berpaut

Anak peladang pergi ke surau
Memakai baju butangnya tiada
Ribut dan taufan tidak ku hirau
Pulau harapan ku cita juga

"Melestari Estetika Budaya Bangsa"

MELAYU DELI : Selayang pandang


Layang-layang selayang pandang
Ini lagu Selayang pandang

Lama sudah tidak ke ladang
Tinggi rumput darilah lalang
Lama tak kupandang, hatiku bimbang
Ingin ku turut, ia menghilang

Layang-layang selayang pandang
Hati di dalam, rasa bergoncang

Layang-layang dipohon bambu
Sudah dipandang, hati tak tentu

Buah randu, si buah pinang
Ambil kancip, dibelah rata
Hati yang rindu bukan kepalang
Mengenang nasib jauh di mata

Layang-layang jatuh ke kali
Sekali pandang, jatuh ke hati

Pulau Pandan jauh ke tengah
Balik pulau si angsa dua
Hancurlah badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang jua

Layang-layang dari Cibitung
Terpaut pandang membikin bingung

Kalau sudah sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi

Layang-layang Melayu Deli
Selayang Pandang sampai di sini


"Melestari Estetika Budaya Bangsa"

SEBERKAS PERIBAHASA MELAYU LAMA

Penggunaan perkataan "AIR" dalam peribahasa klasik melayu buat dikongsi sesama...

air beriak tanda tak dalam
+ orang yang sombong
+ besar cakapnya tapi tidak berisi


air besar batu bersibak
+ perselisihan yang besar akan mencerai-beraikan persaudaraan/persahabatan

air cucuran atap jatuhnya ke pelimbahan juga
+ anak mengikut teladan dan  sifat orang tuanya

air dalam berkumbah, air dengkat bercebok
+ pembelajaan harus dipadankan dengan pendapatan

air dicincang tiada kan putus
+ persaudaraan amat sukar dipisahkan

air diminum berasa duri, nasi dimakan rasa sekam
+ orang yang berduka cita

air diminum sembiluan
+ orang yang di dalam kesusahan

air mata jatuh ke perut
+ berdukacita yang tiada tara

air mudik sungai semua teluk diranai
+ orang yang boros

air pun ada pasang surut
+ untung malam tiada tetap, selalu sdilih berganti

air sama air, sampah ke tepi jua
+ jika kita mencampuri pergaduhan orang yang bersanak saudara, apabila mereka berbaik semula, kita juga yang tersisih dari mereka

air setitik digunungkan, tanah sekepal digunungkan
+ membesar-besarkan perkara yang kecil

air yang tenang, jangan disangka tiada buaya
+ orang yang pendiam jangan disangka bodoh

air tenang menghanyutkan
+ orang pendiam yang dapat melakukan pekerjaan payah-payah

air yang dingin juga dapat memadami
+ bersikap lembah lembut juga mampu menyejukkan hati orang yang sedang marah

ada air adalah ikan
+ dimana ada tempat di situ ada rezeki
+ setiap tempat ada adat resamnya yang tersendiri

adakah dari telaga yang jernih, mengalir air yang keruh
+ adakah dari mulut orang baik-baik, mampu keluar kata-kata yang keji

MELAYU DELI - Siti Payung


Tiup api embun berderai
Patah galah haluan perahu
Niat dihati tak hendak bercerai
Kuasa Allah siapa yang tahu

 Siti Payong lagu melayu
Lagu sejak zaman berzaman
Apa malang nasib diriku
Ke sana ke mari dihina orang

Lestarikan estetika budaya bangsa

Seberkas Peribahasa Melayu lama

Perkataan "Abu" dalam peribahasa Minangkabau (Adat Perpatih) buat dikongsi bersama....

Seperti ABU di atas tunggul
+ dengan mudah boleh dicampak atau terhalau
+ tidak bererti
+ tidak tetap

Sudah menjadi ABU arang
+ sudah rosak sama sekali
+ tiada berguna lagi

Terpegang di ABU hangat
+ Baru sahaja memulakan sesuatu pekerjaan, sudah mendapat kesusahan