BAIT SENANDUNG MALAM

CONGRATS!!!
TAHNIAH kepada Sifu idola saya yang tercinta, BONDA SITI ZAINON ISMAIL di atas penerbitan istimewa ini... Moga teman-teman penulis muda bisa menghargai karya agung ini...

CERKON : Ibu, Ke Mana Dicari Cinta

Ke mana kucari cinta....
Apakah pada sesosok ibu?

Ibu mengandungkan aku dengan raga yang terpaksa. Dia tak rela menyemai benih yang tumbuh lewat rahimnya. Dia tidak pasrah pada takdir untuk harus memikul kantongan janin selama sembilan bulan. Dia juga tak menyangka harus kecundang pada gelar kehamilan yang membuatnya jera. Jera kerana harus memikul beban berat baginya. Beban berat itu adalah aku! Bayi itu aku!

Batin ibu mengelojak resah mengandungkan aku. Dia cuba melemparkan salahnya ke mana-mana. Mencuba menghumbankan silapnya serata yang mungkin. Mencari latar-latar yang membuat dia kecundang hamil. Latar dirinya pada saat asmara sedang mengebu di dada. Alur pesona nafsu yang mengelubungi cepu kepala. Membuat dia khayal. Bikin dia melayang ke arakan awan swargaloka. Terapung-apung kenikmatan syorga adam hawa. Sehingga dia terleka. Dia lupa!

Adakah aku menelan pil-pil berona warna itu, mengincar hamil?

Adakah aku memaksa sang jejaka menyalut getah berona warna juga, mengelak petaka?

Adakah sang jejaka memancurkan mani suburnya ke sudut selain pintu rahimku?

Ah! Dia terlewat untuk sesal!

Kalbu ibu semarak amarah pada aku. Dia amok kehadiranku mencarik rutin hidupnya. Membuat tubuhnya merubah berlipat ganda. Melebar pinggang kerengganya. Memboyot kulit perutnya bagai belon yang ditiup-tiup. Merekah kulit mulusnya persis arca cermin yang retak. Menukar tubuh si gadis melonjak persis tubuh ibu si gadis pula. Tampak diri dipempan pikun. Tidak cantik. Tidak jelita. Tidak lagi menjadi pujaan! Akibatnya dia tak boleh bekerja. Tak mampu lincah menari di pentas joget itu lagi. Tak mampu bercanda dengan para jejaka gersang yang sering melempar wang padanya. Tak mampu meneguk air kuning penghibur itu gara-gara mual. Tak mampu juga bermain asmara lewat jejaka yang dahagakan tubuhnya. Dia putus wang. Putus rezeki. Putus madu dunia. Gara-gara aku!

Ibu sering mencarut-marut. Memaki hamun. Menyumpah seranah. Melontar kata-kata yang tak harus diungkap lewat alur jiwa keibuan. Menyemat kesumat kebencian lewat hadirku yang tak diundang. Benci itu membuah dendam. Dendam menghambur riak memusuhi. Dan musuh harus dihapus. Dia telan pelbagai buah-sayur, nenas, semangka, pisang raja; yang mana dikata orang mampu membunuhku. Dia teguk pelbagai rona rasa jamu, godoq, malah akar kayu; yang mana dibilang orang mampu menggugurku. Dia merokok. Menghidu ganja. Menghirup heroin. Melakukan segala yang dia tahu dan mampu. Agar dapat menghindar jasadku dari rongga tubuhnya.

“Kandungan puan sudah masuk ke empat bulan, puan. Agak merbahaya untuk melakukan adopsi”

“Kenapa harus digugur. Bayi ini sehat. Perkembangannya normal. Tiada masalah!”

“Adakah suami puan tahu, yang puan mahu melakukan adopsi?”

“Ini menyalahi undang-undang, puan. Seperti pembunuh!”

Kata-kata doktor muda itu seperti menghentam tulang cepu kepalanya dengan sebatang belantan yang keras. Mengiang-giang ke halwa telinganya membuat sesak. Dia bosan. Dia jemu. Ah!

Tidak dapat aku lupa, tika saat ibu melahirkan tubuh bayi mongelku. Bibirnya mencibir. Matanya penuh meluat. Wajahnya keruh seribu. Dia tak ingin aku dihampirkan pada tubuhnya. Tak ingin mendukung apatah mendakap. Tak ingin memberi susu apatah mengucup. Dia berpaling dari harus menatap tubuh comelku. Aku berisak, dia tak perduli. Aku menghambur tangis, dia buat tak reti. Malah diusirnya jururawat yang mengendongku agar pergi jauh.

“Bawa dia pergi jauh!Pergi!”

Jururawat terpinga-pinga mendengarkan usiran itu. Lebih kaget melihat wajah dia berpaling benci. Kaget melihat dia menyulut rokok lewat bibirnya lalu selamba menikmatinya dalam dalam. Puas kerana terpisah tubuh dengan aku barangkali. Dia ketawa-ketawa. Mengekikik bagai kuda berahi sambil bercanda di telefon. Berbisik gersang penuh goda. Seperti perempuan jalang.

Haruskah ada cinta?



CERPEN : Bunda Pari-Pari



Sejak kecil, mama sering bercerita tentang manusia perempuan bersayap putih di pergunungan Alaska. Ia bertubuh indah dan berparas cantik. Sayapnya besar mencecah ke punggung dan bersepuh serakan perak berkilauan. Ia bernama Bunda Pari-Pari. Parasnya sempurna tak dimamah usia.
Bunda Pari-Pari berhuni di pergunungan tinggi Alaska yang selama hayat alamnya bersalji tebal. Berkeliling laut membiru nan berair jernih yang tidak pernah tercemar. Bunda Pari-Pari sukakan lautan. Ia hidup ditemani sekawan burung merpati yang berbulu tulus putih serta berparuh perak. Mata burung merpati itu tajam bagaikan sang elang serta berwarna abu-abu keemasan, dimana ia mampu meneroka ke seluruh pelosok dunia. Ia burung merpati sakti.
Setahun sekali, Bunda Pari-Pari menitip burung-burung saktinya terbang ke seluruh perosok dunia, menyibar lautan mencari kanak-kanak yang mempunyai impian tidak tercapai. Kanak-kanak yang bernasib malang dan berjiwa sendu akan segera ke pantai untuk bertemu dengan sang merpati sakti. Ada yang inginkan permainan baru, kegembiraan yang baru, malah meminta nikmat kehidupan dalam suasana yang baru. Melepasi nasib malang mereka. Sang merpati akan menyampaikan segala hajat kanak-kanak itu kepada Bunda Pari-Pari.
Di setiap tahun juga, Bunda Pari-Pari  memilih tujuh impian dari tujuh kanak-kanak terpilih untuk dikabulkan. Bunda Pari-Pari akan membuka sebuah peti sakti yang bersadur keemasan di puncak gunung Alaska. Dimana di dalamnya tersimpan sebatang tongkat sakti berwarna gangsa serta melentur setipis jarum akupuntur yang  sukar disergah mata kasar. Di hujung tongkat itu, tertekap seketul permata berlian bak burung serindit yang bertenggek di atas sebatang ranting yang nipis. Ikut beralun tatkala digerak-gerak. Permata itu bersinar benderang sehingga malam yang suram ikut bercahaya diserlah pantulan spektrumnya.
Tongkat sakti itu digunakan Bunda Pari-Pari bagi menyempunakan hajat-hajat yang telah dipilih tadi. Kanak-kanak yang muram akan menjadi riang. Gaun yang cacat akan berubah cantik. Hari yang kelam gondol akan bertukar kepada hari yang cerah dirimbuni tumbuhan berbunga yang berwarna-warni.
Dan hanya impian kanak-kanak yang bertuah sahaja akan dikabulkan di setiap tahunnya...

*****
“Mama........”
Suara Sarah yang serak pilu berdengus lemah. Mengundang manusia-manusia lain yang berada di sekitar ikut memerhatikan gadis kecil itu. Sarah cuba beransur-ansur membuka pelupuk matanya. Rasa sakit dan ngilu menguasai seluruh sendi. Rasa bisa ikut menyurup di anggota tubuhnya dimana-mana. Kepala turut menanggung kepedihan sehingga mata agak sukar untuk diterjah buka.
Dalam kesamaran, pandangannya meliar ke suasana di sekelilingnya yang berwarna putih. Dinding keseluruhan ruang berselubung putih. Katil bertiang besi putih bersadur cadar yang serba putih. Selimut di tubuhnya juga. Ada manusia-manusia berseragam putih tampak mundar mandir di sekitar. Dia bingung. Akalnya keras memikirkan dia berada di mana.
‘Mama... Sarah dimana ya? Di syurga kah?’
Hati kecilnya berdesah. Dicari kelibat mama di sekitar ruang yang serba putih bisu itu. Mama tiada di mana-mana. Sarah mulai merasakan hening putih yang melatar di kiri-kanan membuat jiwanya suram. Tapi dia ingat, Mama pernah berkata, putih itu tanda suci dan tulus. Guru di tadikanya, Puan Hanim juga pernah bilang, putih itu tanda tidak tercemar dan bersih. Malah, eyangnya yang tua itu dulu juga pernah menakut-nakutkan dia. Katanya, putih itu petanda kematian. Warna kain kapan! Sarah terus berkeluh lesu. Cepu kepala rasa kian memberat bagaikan dipalu. Sakitnya menyengat hingga ke sekujur tubuh. Dipejamkan matanya lagi. Tidur..
“Kasihan ya budak sekecil itu. Harus tempoh malang!”
“Siapa yang akan menjaganya selepas ini ya. Kan semua keluarganya mati!”
“Amat kasihan! Untung nyawanya selamat...”
“Untung apa! Kalau dia saja yang tinggal sebatang kara! Pasti dia sengsara!”
Suara orang-orang di sekitar terdengar sayup-sayup menerobos halwa telinga Sarah. Sarah terjaga dalam kondisi tubuh yang kurang selesa. Mata bundar kecilnya dibuka perlahan-lahan. Terlihat paras Makcik Laila, adik mama, duduk berteleku di sosok kiri katil di sampingnya. Bersama wajah sekeruh air tasik yang tercemar dalam. Mata Makcik Laila memerah sendu. Seolah-olah sehabis upaya mengoras tangis. Jemari lembutnya mengelus mesra ubun-ubun Sarah.
“Sarah di mana, ya?”
Suara Sarah tenggelam-timbul berpadu serak kegugupan. Masih dirundung emosi yang tak stabil.
Makcik Laila terus menghambur esak. Bingkas dipeluk tubuh suaminya yang turut ada di situ. Rasa sebaknya tambah melarat menatap wajah Sarah. Dahi sarah berkerut kehairanan. Di tatap sayu ke wajah Pakcik Rashid, memaut kepastian.
“Sarah di hospital, sayang.. berehat lah ya.”
Sarah cuba mennguntum senyum kepada Pakcik Rashid, dalam kondisi tubuhnya  yang tersungkup lemah. Dia akur. Mata serta cepu kepalanya seolah-olah terbius dengan suasana dingin di sekelilingnya. Pelupuk matanya perlahan-lahan terpejam. Erat semula.
Sarah hanya berusia enam tahun ketika tragedi itu berlaku. Ingatannya masih bugar mengenang peristiwa di malam Natal itu. Di waktu itu, dia bersama mama, papa dan kak Siska sedang bersiap untuk menghadiri sebuah acara keluarga di sebuah hotel di pusat kota.
Ada majlis makan malam bersama keluarga besar papa di sana. Hari itu juga merupakan hari ulangtahun kelahiran Sarah. Tarikh yang sama dengan hari sambutan Natal. Mereka sekeluarga akan menyambut harijadinya sekaligus di sana nanti.
Mama bilang, dia anak yang bertuah kerana lahir di tarikh yang sama dengan perayaan Natal. Seolah-olah seluruh manusia bercuti dan bersuka-ria menyambut harijadi bersamanya. Seperti warga manusia turut mendoakan kesejahteraan dirinya. Mengundang rahmat buatnya melimpah-ruah.
Mama sering bercanda lucu tentang kisah itu. Cerita yang selalu di ulang-ulang saban tahun di setiap sambutan harijadinya. Lantas mereka sekeluarga seakan berpakat untuk berlakon ketawa mesra bersama mendengarkannya. Lagi dan lagi. Sehingga Sarah sendiri juga sudah mampu menghafal.
Sarah mengenakan sehelai gaun comel untuk ke majlis itu. Gaun berwarna merah bata kesukaannya, hadiah dari mama. Kakaknya, Siska turut berdandan rapi dengan gaun yang serba putih bercorak bunga kecil merah. Begitu juga papa dan mama. Mereka menaiki kereta papa untuk ke sana.
Di sepanjang perjalanan, Sarah dan Kak Siska menyanyi seraya ketawa girang. Mereka sekeluarga dalam situasi yang amat membahagiakan. Kebetulan pula, hari itu jatuh pada hari cuti Natal. Suasana di kiri-kanan jalan tampak begitu meriah dengan hiasan lampu-lampu yang berkerdip aneka warna.
Tiba-tiba sebuah lori yang berisi penuh dengan muatan kayu-kayan terbalik di hadapan  laluan jalan mereka. Muatan kayu-kayan itu terlerai lantas berselerakan di segenap sudut jalan. Ikut merempuh beberapa kenderaan lain di sekitarnya. Sebatang kayu yang agak besar turut menghentak kereta kecil mereka. Sehingga papa gagal mengawal kemudi, lalu kereta mereka terdorong ke luar landasan jalan. Merempuh kuat ke tempok batu di pinggirnya. Langsung menjunam ke gaung dalam.
Menurut Makcik Laila, tubuh Sarah tercampak keluar dari kereta ke tepi jalan. Sarah selamat. Orangramai yang berada di situ prihatin menghantarnya ke hospital. Manakala Papa dan Kak Siska ditemui mati tersangkut di tebing gaung yang curam. Tubuh mereka berkecai. Sayangnya, mayat Mama tidak berhasil ditemu. Makcik Laila bilang, tubuh Mama pasti ikut jatuh memasuki gaung bersama rangka kereta mereka. Mama bersemadi di laut dalam.
Ternyata di malam Natal itu, nasib Sarah tidak bertuah seperti setiap kali harijadinya. Dia kehilangan seluruh keluarga tercinta.
*****
Kini, Sarah telah berusia sembilan tahun. Gadis yang membesar cantik itu tinggal bersama Makcik Laila dan Pakcik Rashidnya. Hanya mereka sahaja, sanak saudara yang ada disisi. Memberi kesinambungan kasihsayang. Membina jati diri lewat hati yang tergores duka. Justeru memadamkannya dari naungan trauma.
Keluarga Sarah juga meninggalkan harta yang begitu banyak buatnya. Pakcik dan makciknya itulah yang menjadi pemegang amanah justeru penjaga sehingga dia menginjak dewasa pada usia 21 tahun.
Semenjak tragedi itu, Sarah berkembang menjadi seorang gadis yang agak pendiam. Dia bisu pada semua suasana disekitarnya. Bahkan tidak acuh dengan segala perkara. Dia juga tidak betah berkawan dengan kanak-kanak lain. Apalagi berkongsi cerita, mahupun bermain bersama.
Sarah mengongkong diri dalam dunia lingkungannya sendiri. Menghalang sesiapa sahaja yang mahu hadir ke dalam dunia fantasinya. Hanya seekor kucing parsi bernama Bobby yang sering menemaninya di masa luang. Sering diajak bermain, bercakap-cakap, malah tempat meluahkan rasa hati.
Di setiap malam, Sarah memanjat ke ruang loteng rumah melalui tangga balkoni di biliknya. Bobby juga turut dibawa bersama. Dia gemar menatap bulan dari situ. Baginya, rupa bulan yang bersinar kuning bagai bayangan semburat wajah mama.
Sarah sering berhalusinasi, mama datang menemaninya lewat bulan itu. Bercerita seperti di waktu dia kecil. Mendodoi lagu kanak-kanak yang indah. Menyentuh sanubarinya dengan senyum keibuan yang amat dirindukan.
Sarah juga selalu bercerita aktivitinya sepanjang hari kepada bayangan mama. Berbicara tentang sekolah. Berceloteh tentang si kucing Bobby yang banyak karenah. Justeru meluahkan rasa rindu yang sarat pada papa, mama dan Kak Siska.
Sarah tambah riang tatkala malam hadir bersama bulan mengambang penuh. Di waktu itu dia mampu menatap wajah mama dengan jelas. Malah mereka dapat bersama agak lama. Selalu juga dia tertidur bersama Bobby di atas loteng itu. Ditemani bayangan mama.
Ketika hujan turun di sela malam, bayangan bulan bagai dipaksa menyorokkan diri. Sarah sering menangis di kala itu. Dia sedih kerana tidak dapat memanjat ke loteng untuk menemui mama. Bahkan mama juga tak muncul menemaninya seperti biasa. Akibatnya, dia akan menghambur tangis hampir segenap malam.
Sehingga Makcik Laila dan Pakcik Rashid terkadang bimbang. Berasa hairan melihat dia menangis setiap kali hujan turun di malam hari. Pelik! Pernah tergetus di benak mereka mungkin Sarah dirasuk hantu. Barangkali di sihir orang. Tambahan pula si kecil itu mewarisi harta yang tak terbilang banyak. Mungkin ada yang iri padanya.
Puas mereka membawa Sarah ke doktor-doktor terkenal untuk dirawat. Namun semuanya gagal. Doktor bilang batin Sarah dicengkam rindu pada keluarganya. Kalbu mereka sayu mendengarkan.
Sarah teringat cerita mama tentang Bunda Pari-Pari sewaktu dia kecil dulu. Perempuan sakti yang mampu mengkotakan hajat kanak-kanak kecil. Burung merpati perak miliknya yang dilepaskan ke seluruh dunia mencari kanak-kanak yang punya impian. Juga cerita pertemuan di pantai bagi mengapai hajat.
Sarah mengimpi untuk bertemu mamanya. Sarah ingin agar mama dapat menemaninya setiap saat, tanpa halangan rintisan hujan, mahupun disela sinar matahari yang menenggelam kehadiran bulan. Sarah ingin hajatnya dipenuhi. Dia berhasrat mengemuka impian kepada Bunda Pari-Pari. Justeru menyampaikannya lewat burung merpati perak di tepi pantai.
Setiap tahun, Sarah sering dibawa bercuti ke desa Pakcik Rashid pada harijadinya. Menemui datuk dan nenek yang turut meraikannya  bersama-sama. Adakala mereka ke hotel-hotel mewah untuk bertemasya dengan sanak-saudara. Mereka berusaha menghibur hatinya yang diurung  gundah. Namun Sarah tidak pernah mampu beriak riang. Hatinya masih utuh mengenang keluarganya yang hilang. Puas seisi keluarga cuba mengembirakannya. Ternyata gagal.
Pada tahun ini, usia Sarah genap sepuluh tahun. Dia membuat permintaan untuk menyambut harijadi di pantai Cherating. Tanpa datuk-nenek. Tanpa kelibat sanak saudara. Tanpa sambutan majlis seperti selalu. Juga tanpa sebuah kek hari jadi.
Sarah hanya ingin menyendiri bersama Bobby. Tanpa gangguan. Ternyata makcik dan pakciknya hairan dengan saranan itu. Setelah mendapat izin dari doktor keluarga yang merelakan hasratnya, mereka terus akur. Mungkin bagi mereka dengan cara ini mampu mengembalikan kegembiraan di hati Sarah. Mereka benar-benar berharap agar Sarah kembali pulih seperti kanak kanak lain.
Mereka bercuti di pantai Cherating selama enam hari. Menetap di hotel mewah yang menghadap jajaran pantai yang luas. Di situ, laut tampak membentang seraya berbalam-balam. Di sela latar langit biru yang berkanvas gombolan komulus awan. Suasananya menyorot warna-warna alam yang mendamaikan raga. Begitu indah!
Kedua suami-isteri itu membiarkan sahaja apa yang hendak dilakukan Sarah di situ. Memberikan kebebasan. Memenuhi hasratnya untuk bersendiri. Dengan tak putus berharap moga dengan cara itu, Sarah boleh bertingkah riang seperti sediakala.
Di setiap petang, di kala ufuk jingga mulai mengapai di penghujung langit, Sarah sering membatu diri di pinggir pantai. Bernaung di bawah sepohon kelapa berdaun padat yang memayungi dirinya dari sengatan pijar matahari. Bersama si kucing Bobby yang patuh menemani dalam kendongan.
Sarah menanti kehadiran burung merpati berparuh perak itu. Menunggu untuk meminta disampaikan hajatnya kepada Bonda Pari-Pari. Mengutus impian bertemu mama. Dia nekad menunggu di situ. Malah berdoa.
Sudah tiga hari Sarah patuh menunggu. Tiada satu burung pun yang lewat mendatangi persisiran  pantai itu. Bayangan objek terbang pun tidak ada. Benak Sarah dirundung gusar. Dalam tiga hari itu, dia tidak bermain-main ombak. Tidak merayau menikmat keindahan pantai. Tidak mengecap girang seperti manusia lain di sekelilingnya. Bahkan langsung tak berminat berbuat apa-apa. Hanya menanti.
Tatkala malam sudah berlabuh, Makcik Laila pasti melaung pada Sarah agar naik berehat di ruang hotel. Memutus penantiannya yang terasa sia sia. Kaki kecilnya melangkah hampa. Tersadung putus asa untuk mengapai hajat kepada Bunda Pari Pari. Tubir mata kecilnya bingkas berkaca-kaca, lantas digenangi air bening. Sarah disurup kecewa!
‘Mama! bilakah Sarah dapat berjumpa mama!’
‘Sarah rindu!’
Hari itu masuk hari ke empat Sarah terus berlarut dalam pernantiannya. Lusa dia sudah harus pulang ke ibukota. Meneruskan tuntutan rutin hidup kembali sediakala. Sarah masih termangu di bawah pohon kelapa itu. Menatap mega dengan mata yang memerah gundah. Membiarkan semilir bayu laut mengelus tubuhnya mesra, menyejuk raga. Dia menangis lagi bahana kehilangan asa. Berasa penantiannya tetap sia sia.
Tiba-tiba seorang wanita menyapanya. Wanita yang sebaya mama. Berkulit cantik bagai mulus kulit cengkerang tidak bercela. Mata wanita itu membundar abu abu bercahaya. Penuh bersinar tulus mendamaikan raga. Indah sekali. Parasnya menyerlah manis lewat senyuman yang menguntum di bibir.
Wanita itu berpakaian rapi penuh pesona. Berbaju kebaya labuh berona putih tulus bersama sehelai kain batik bercorak tampuk manggis. Tampak tradisional dengan selendang putih berkerawang panjang yang melitupi rambutnya yang disanggul rapi. Begitu anggun bagaikan maharani dahulukala. Sarah terpana. Wajah keibuan wanita itu persis melepaskan aura rindunya buat mama.
“Kenapa menangis?”
Bahu Sarah disentuh lantas diusap mesra. Seolah-olah memaut simpati yang dalam.
“Tidak lah!”
Sarah malu-malu. Air matanya diseka oleh wanita tua itu dengan selendang panjang sepenuh kasihsayang. Sarah digamit haru.
“Sarah rindu mama sarah ya?”
Sarah terpaku.  Bibirnya kelu. ‘Bagaimana boleh tahu namanya sarah?’. Mata Sarah menatap tajam ke raut cantik itu. Seakan menuntut kepastian.
“Makcik ini siapa?”
Dahi Sarah berkerut digaru kehairanan. Kemunculan wanita tua itu terasa aneh pada pengamatan batinnya. Malah dia ditegur seolah-olah mereka sudah berkenal lama. Sedangkan Sarah amat pasti yang dirinya baru sahaja bertemu dengan wanita itu.
“Panggil sahaja Bonda!”
Senyum tetap terukir tulus buat sarah. Sarah terpegun.
“Makcik Bonda Pari-Pari ke?”
Sarah membibit curiga dalam benak. Peliknya nama!
“ Sarah percaya pada pari-pari?”
Pertanyaan Sarah dijawab dengan pertanyaan juga. Tangan wanita itu mengelus pula ubun ubun kepala Sarah. Sentuhan itu bagai menyimbah dingin ke segenap raganya yang kehilangan. Tubuh wanita itu sudah berlabuh disisi sarah.
“Sarah sedang tunggu merpati pari-pari. Sarah nak sampaikan hajat Sarah. Sarah mahu bertemu mama Sarah.”
Nada suara Sarah terkesan lirih. Mempamer batin yang disurup kerinduan yang sarat.
“Tiada pari-pari di dunia ini, Sarah. Itu cerita dongeng. Orang mati juga tidak boleh hidup kembali”
Sarah sebak. Terasa ungkapan itu menikam kalbu impinya. Dia cuba menafikan kata-kata itu, namun hatinya mula mengetus percaya.
“Sarah rindu mama!!”
Sarah sudah berisak bersama raung yang meluluhkan jiwa. Hatinya rawan. Wanita yang bergelar bonda itu mendakap tubuh kecil sarah. Membelai terus ubun-ubun serta pundaknya, memaut tenang. Sarah terbuai dalam pelukan keibuan itu. Perasaannya terasa damai diperlakukan begitu.
“Sarah hendak tahu tak bagaimana hendak menghantar rindu pada mama sarah yang ada di syurga?”
Suara bujukan itu kembali mengoyah perasaan Sarah yang kecundang trenyuh. Tatapan Sarah melotot ke paras bonda dalam-dalam. Persis kalbunya dibangkitkan dari limbahan kelam.
“Boleh kah Bonda?”
“Sarah boleh menulis salam rindu di atas pasir sana. Tulislah apa saja. Dan bila ombak datang lalu memadamkannya pergi. Itu bermakna salam tulisan itu sudah dikirimkan ke syurga.”
“Sarah mahu kirim rindu untuk mama. Boleh Bonda ajar?”
“ Marilah!”
Bonda mengajar Sarah cara mencoret di atas pasir yang memutih halus. Berpena ranting yang dikutip dari sekitar pohon yang merendang. Bonda mendidik dia mengeja perkataan yang mahu ditulis. Sarah melakar ayat “Rindu mama” berkali-kali, sehingga jari-jemarinya lelah. Seolah-olah mempamer betapa dalam rasa rindu itu lewat coretannya yang banyak.
Apabila ombak datang menghambur lalu memadam lenyap lakaran itu, Sarah melonjak gembira. Sarah yakin tulisannya sudah dititip buat mama di syurga. Sarah pasti mama mendengar nada kerinduannya. Kehadiran Bonda benar-benar mengembirakan dirinya. Di sepanjang petang itu mereka bermain lakaran itu bersama-sama.
Sewaktu kirmizi mulai tenggelam melabuh malam, Kedengaran suara Makcik Laila melaung padanya. Memanggil dia pulang.
“Bonda, bolehkah kita bermain lagi esok?”
“Ya! Bonda akan menunggu di sinii!”
Sarah bingkas melonjak girang. Tubuh kecilnya melompat-lompat. Diraih tubuh si kucing Bobby ke dalam kendongan. Di kucup kedua belah pipi Bonda, selantas Bonda yang ikut mencium dahinya mesra. Setelah itu Sarah berlari riang, pulang ke perut hotel.
Malam itu, Sarah benar-benar tidak dapat menyorok perasaan sukacitanya. Dia menyantap hidangan malam dengan penuh berselera. Sesekali dia bersenandung riang. Senyum juga seperti utuh melekap lewat bibir kecilnya yang comel. Ternyata Makcik Laila tampak pelik memerhatikan gelagatnya. Begitu juga Pakcik Rashid. Mata mereka merenungnya penuh kehairanan.
Sekilas tampak mereka saling berpandangan seolah-olah tidak percaya dengan reaksi gembira Sarah. Dahi mereka berkerut dibias sangsi lewat perubahan itu. Namun, keduanya mempamer raut bersyukur di sela harapan mereka yang inginkan Sarah kembali bertingkah normal seperti kanak-kanak lain. Malam itu, Sarah tidur nyenyak sekali. Dibuai dakapan mama. Dibelai pelukan Bonda.
Keesokan harinya, Sarah bertemu lagi dengan Bonda. Bonda mengajak dia mengutip cengkerang siput serta serpihan karang di persisiran pantai. Bonda bilang benda-benda itu adalah hadiah titipan dari syurga, yang ditabur ke alam buat kenangan mereka yang dirundung rindu. Sarah riang mengutip seusai mendengarkannya. Dia mahu menyimpan kenangan yang banyak buat mama. Seperti betapa besar kerinduan yang tersemat kukuh dalam dada.
Mereka berlumba mengutip sebanyak yang mampu. Mereka saling berkejaran. Saling membaling karang dan cengkerang, lalu Mengungkai perhiasan yang indah dengannya. Bahkan, mereka membina sebuah istana pasir bersama. Sarah gembira. Bonda benar-benar menjadi teman yang baik buatnya.
“Sarah, biar pun mama Sarah sudah tiada, tapi ingatlah yang roh mama sentiasa menjaga Sarah. Mama ada dimana-mana. Seperti udara yang dihirup. Tidak kunjung pergi!”
“Bagaimana kalau Sarah masih rindu sama mama ya, Bonda?”
“Sarah pejamkan mata ya. Bernafaslah perlahan-lahan. Hirup penuh dalam dada. Lantas bayangkan wajah mama Sarah. Pasti dia hadir!”
“Bonda, kenapa mesti begitu?”
“Kerana mama Sarah hidup di sini! Di dalam hati sarah. Sentiasa ada disana”
Sarah hampir menitiskan airmata. Batinnya disergap haru. Sekilas tangan polus bonda yang mendekap pada dadanya, dia sentuh. Dia kucup tangan itu bersama mata yang sarat berkaca-kaca. Sejenak Sarah meraih lantas memeluk tubuh Bonda. Seperti tak mahu melepaskan. Seolah-olah tak rela berjauh. Erat! Bersama wajah yang sudah membasah.
“Bonda, bolehkah Sarah sayangkan Bonda? Seperti mama?”
“Boleh, sarah!”
Bonda utuh mengurat senyum tulusnya buat Sarah. Menyumbar serelung kasih yang erat. Tubuh mereka terus berdekap mesra. Air mata serentak bergulir haru. Mengutus hening.

*****

Pagi itu, Pakcik Rashid berkemas barang keperluan mereka untuk berangkat pulang ke ibukota. Percutian mereka sudah tamat. Sarah terpekur lama. Dia resah untuk pulang. Dia gusar untuk meninggalkan tempat itu. Dia tak tega berpisah dengan Bonda.
“Kita harus pulang, Sarah! Cuti sudah habis,” bujuk Makcik Laila.
“Sarah mahu jumpa Bonda dulu! Nanti Bonda tunggu-tunggu Sarah. Kasihan Bonda!”
Wajah kecil Sarah terus keruh merayu. Dia mahu diberi kesempatan untuk bertemu Bonda. Mengucap pamit terakhir.
“Bonda itu siapa? Mana ada orang dengan nama sepelik itu di sini! Sudah lah. Kita pulang ya!” pujuk Pakcik Rashid pula. Pakcik Rashid tampak hairan tatkala mendengar nama itu disebut. Parasnya tampak melotot ragu.
Sarah meronta-ronta agar kemahuannya diturut. Dia menangis. Meraung agar ditemukan dengan Bonda. Tangan kecilnya terkapai-kapai menunjuk arah pantai. Kecoh situasi di ruang lobi hotel itu dengan karenahnya. Gara-gara itu, semua pengunjung ikut memerhatikan mereka.
“Ada apa Encik Rashid?”
Pengurus Hotel bergegas datang mendapatkan mereka sekeluarga bersama riak yang gelisah. Gusar dengan kekecohan di ruang lobi itu.
“Sarah mahu jumpa Bonda!”
Sarah merayu lagi. Wajahnya sudah melemas dengan simbahan air mata. Mengutus haru.
“Bonda mana, Sarah?”
Pengurus hotel itu bertanya lagi. Wajahnya terpancar aneh. Seakan sedang ligat berfikir dari mana hendak mencari seorang bernama “Bonda” di sini. Dia disurup rasa pelik!
Sarah menceritakan tentang Bonda. Yang selalu mengajak dia bermain di pantai. Yang sering menemaninya saban petang. Sarah jelaskan wajah Bonda yang penuh keibuan. Berkebaya labuh putih. Berselendang putih. Cantik seperti mamanya
Pengurus Hotel itu tampak terpaku. Parasnya memucat lesi setelah mendengar cerita Sarah. Pakcik Rashid dan Makcik Laila pula saling berpandangan berpusar keliru. Pengurus itu menjemput mereka sekeluarga ke ruang pejabatnya di tingkat dua. Menguakkan pintu buat mereka agar memasuki perut dewan mesyuarat di Hotel itu. Terlihat sebuah potret besar berbingkai indah di situ. Potret seorang wanita berpakaian rapi yang masih menyerlah ayu. Penuh pesona!
“Itu Bonda!”
Sarah mengetus keriangan. Tangan kecilnya menuding tajam ke arah potret besar itu. Tubuhnya bingkas melompat-lompat digorak gembira.
“Itu gambar ibu saya. Semua orang mengelar dia Bonda disini! Seperti nama hotel ini. Hotel Seri Bonda,” ujar sang pengurus hotel.
Dia seolah-olah tergamam mengungkaikan kata. Suaranya gugup dalam getar yang dalam. Menyerlahkan paras yang memucat lesi tidak berdarah. Pakcik Rashid dan Makcik Laila makin melotot kehairanan melihat gelagatnya itu
“Tapi....”
“Dia sudah meninggal dunia pada lima tahun lalu!”

Majalah SERI DEWI KELUARGA 
edisi MEI 2010

PROSA : Kocakan


Sekilas air menitis
Menghunjam ke sasar tasik nan tenang
Mampu mengocak jernih
Memudar arca muka
Melelah alur senada
Membikin hiruk
Seakan getaran dari rintikannya
Bisa merubah spektrum alamiah

Sekilas air membidas
Mengempur ke tebing pantai yang laleng
Mampu mengoyah tebing
Memecah butiran pasir
Merekah teguhan karang
Seakan sati dari pukulan padunya
Bisa menimbus sisiran pasir noda

Sekilas air nila berintik
Mencatu ke belanga susu nan likat
Mampu mencemar nuansa
Mengeruh samudra damai
Meluntur fiqura swarna
Seakan noda dari titis heningnya
Bisa meracun segeruh besar citraguna

Air yang bergulir manja
Mampu mengkelam sudut hati yang haru

Air yang bergalur bening
Mampu menyeka segala cela

Air yang memercik waja
Mampu membunuh rakusan api

Namun
Air yang bergonjak besar
Mampu membanjir melemas dunia

Oleh itu
Jangan main main
Dengan kocakan airmu

TUNAS CIPTA
Edisi April 2011

PUISI BONDA SITI ZAINON UNTUK SAYA


Wednesday, 20 May 2009

DI TAMAN NEHRU DERU ANGIN BHOPALl


(Teringat Elizabeth, buat Adreena)
rupanya tipis sekali angin yang menyapa
antara derai gembira kazuko
lembut alun tutur Kim
senyum elizabeth
masih kubawa di hari senja
gagak gegak gempita
angin memintal di koshi
riuh maillu mengenalkan puisi kenya
dan rendra yang senang menggoda
di situlah taman nehru
puisi berhambur di bawah jinjang rhu
kami tertidur di bawah rimbun bhodi
(telah 24 tahun berlalu)
kolio hampir jadi menteri bulgaria
tapi tercekik kerana menyokong islam turki
david maillu amat dihormati
bagai mahaguru
dengan dunia dagang
percetakan dan kedai buku
tanyaku,
mana elizabeth
ayuh kembali lagi berpuisi
di negeri salji!
salam buat Elizabeth, ibumu Adreena
lanai kijang 21:15


Posted by SITI ZAINON ISMAIL at 05:56




Hadiah Puisi terindah dari Bonda Prof Siti zainon untuk saya...

Bonda, saya amat terharu.... seakan bermimpi, seakan bulan mengambang jatuh ke riba

Terima kasih yang tak terhingga

TEA FOR TWO Clara Ng (Novel indonesia terbaik Bulan ini)

Novel Metropop terbaru karya Clara Ng - Tea For Two
Tea for Two adalah perusahaan makcomblang terkenal yang dimiliki Sassy. Tak ada tanggung jawab dan kebahagiaan yang lebih besar daripada mempertemukan dua orang yang awalnya saling tak mengenal kemudian mengantarkan mereka pada kehidupan yang diidam-idamkan. PERNIKAHAN! Hidup berbahagia selama-lamanya. Begitulah moto Tea for Two yang terdengar manis. Tapi... Eits, tunggu dulu!Apakah benar pernikahan adalah satu-satunya jalan terindah bertabur bunga yang diimpikan dan dicita-citakan oleh semua orang? Ternyata nggak semua orang di zaman sekarang menyikapi hal itu dengan kata setuju. Celakanya, pernikahan Sassy sendiri mengandung rangkaian rahasia kecil yang berbuntut menjadi kebohongan publik besar-besaran. KDRT, Kekerasan Dalam Rumah Tangga. Semuanya diawali dari romantisme yang menggebu dan berakhir dengan kekejaman tiada banding.KDRT...
it could happen to you. It could happen to anybody.
Inilah kisah yang menelanjangi sisi buruk pernikahan. Para lajang, bergetarlah, karena lelaki yang kaupikir Mr. Right bisa berubah menjadi Mr. Totally Wrong.
Menghindari stereotip dalam karyanya,
Clara Ng menggambarkan perempuan dalam berbagai wajah.
The Jakarta Post

PSS : Saya baru sahaja membaca buku yang menyentuh hati ini... Mendapatkannya dengan menitip pada teman di Jakarta...Sayangnya sukar mendapatkan karya Clara di Malaysia

PROSA : SENYUM BONDA


Bonda 
Kala mentari merah menyaga 
Memercik aura jingga di wajah mu 
Senyum tetap tertulus
Tiada keluhan untuk rongga daun jatuh 
Pelerai ranting gundah 
Tiada menanti angin mengoras alam 
Penyejuk mandala hijau
Begitu hemat! 

Bonda 
Jiwamu masih terus bertahan 
Kerut tidak menguncar lara 
Biar takdir gempa terus membias 
Mengoyah aur nan tenang 
Saban waktu 
Tetap kau rajut swarna 
Mengalih nuansa kelam 
Begitu hemat! 

Bonda 
Bocah yang jeli 
Citanya melagu gurat senyum mu 
Penghibur hati gundah 
Penawar benak duka
Persis daun swaru 
Menyebar pelukan besar dahan 
Memeluk mesra ranting padu 
Terus memutik bunga 
Biar pun seribu kali resah angin 
Mengugur kelopak kasih 
Tetap kau lahir semburat benih
Terus berulang 
Begitu hemat! 

Senyum bonda 
Tetap terawang 
Kerna hematnya 
Kasih sayang itu 
Cakrawala karma 
Abadinya selangit...

PROSA : SENYUM


Seguras senyummu
Menggugah rasa 
Selipis kumismu rapi 
Melirik hatiku sebati 
Apa yang ada disana? 
Senyum tawamu bermain di mata 

Mata nan bundar 
Sebulat harapan kata diri 
Lentik matamu menggambar sayu 
Ada sentuhan bahagia di sana
Yang mungkin lewat untuk ku 

Jurusan halus keningmu 
Bagai ilalang padi; 
Nan bersemi emas 
Sekali kau terpekur 
Bola mentari tunduk bersyukur
Fajar itu seakan untukku 
Pelangi itu ciptaan khasnya 
Semuanya demi senyummu 

Seguras senyumanmu
Memancarkan akrab 
Tiada ku pinta teman 
Biarlah ku kebah alami 

Senyummu hanya.... 
Tulang rusukku nan padu