Manuskrip karya dalam 668 mukasurat ini sudah dihantar untuk penerbitan. Doakan agar berhasil dicetak sewajarnya...
PROLOG
Sudah beberapa kali dikerdip-kerdipkan kelopak mata. Justeru membiarkan pandangan menebar ke segenap perosok ruang yang terasa begitu asing baginya. Sembari menerka-nerka lewat kewajaran situasi yang sedang ditempohnya di waktu itu. Yang mana diakui benak masih terlalu sukar untuk akur mempercaya.
Bermimpikah dia? Ataupun diri tercampak pada suatu halusinasi yang terlalu jauh untuk dijangkau fikir? Lantas terterobos ke dalam sebuah ruang khayalan yang tak wajar diangan? Lebih-lebih lagi tatkala menyedari sekujur tubuhnya masih teguh menurut slot-slot drama kehidupan yang tak tertanjak dek akal nan waras. Masyallah!
“Puan Rina tak apa-apa kan?” Teguran lunak Kak Sarinah menerpa ke halwa telinga.
Ilusi dirinya spontan tergugah.Tancapan mata juga bingkas berkalih. Lantas menatap tegar ke paras wanita berusia separa abad yang sedang duduk di sebelahnya itu dalam-dalam. Sembari mencari erti kejujuran lewat pertanyaan nan dihambur. Justeru berbolak-balik akan kewajaran diri bagi menitip sahutan balas.
“Insyallah! Saya baik-baik saja!” Jawabnya hambar.
Dengus diluah kasar. Seakan menempias gusar lewat riak perasaan yang kian sukar ditebak. Dia disungkup serba-salah. Terutama apabila mengenang wujudnya takdir pertemuan yang tidak dirancang. Pertembungan diri dengan Fadli suaminya di suatu suasana yang serentak sama. Disamping seorang gadis muda yang tidak direlakan untuk ikut berjumpa. Dia terkejut!
Paling terperangah, dirinya langsung terlibat dalam layaran peristiwa yang tidak pernah terlintas fikir untuk dialami. Terpengap lewat sibakan kolong khilaf suaminya di masa lalu. Lantas terpaksa memilih untuk menyingkir jauh-jauh keegoannya selaku seorang isteri. Justeru menidakkan maruah sebagai seorang wanita yang tercalar kewibawaan.
“Saya mengerti apa yang puan rasai! Pasti ada hikmah disebalik takdir pertemuan ini! Percayalah!” Tutur Kak Sarinah lagi seraya menyentuh kura tangan kanannya di atas ribaan.
Entah membujuk! Entahkan menyesali! Benaknya terlalu lesu untuk merumus untai-kata yang diluahkan itu. Siapalah mereka yang hanya dapat berkeluh seraya memandang dari jauh. Sedangkan sekeping hati lewat sekujur raga wanitanya yang terus berat memikul. Malah perit jiwa yang tertanggung hanya Tuhan sahaja yang tahu!
Ulas bibir diketap kuat. Pautan di tangan juga spontan dilerai. Lantas digagahkan diri untuk bangun dari dudukannya itu. Melangkah gontai ke salah sebuah ruang balkoni yang terdapat di kawasan laluan koridor Hospital Besar Sultanah Aminah. Sembari mengitari permandangan diluar bangunan yang terbentang luas. Justeru melepas rasa sesak di rongga dada yang sudah terpendam lama.
Dia akur. Sejauh mana sekalipun pendidikan tinggi yang telah di capai, biar seluas mana keterbukaan minda selaku seorang yang mewah berkerjaya, dirinya masih tetap wanita biasa. Punya riak amarah andai kasihnya digugat. Punya seberkas benci tatkala maruah dicalar. Namun, tak terkecuali utuh tersentuh naluri kewanitaan di kala berdepan dengan situasi yang memilukan perasaan. Biarpun terkadang, bias simpati itu berlangsung tidak wajar.
‘Tuhan! Perlukah aku marah? Waraskah hatiku bersedih? Lantas mempuput sendu pada sesuatu yang aku sendiri ragui puncanya? Atau mengamit reaksi yang rakus kerisauan? Ikut resah pada kelahiran seorang zuriat dari benih suamiku sendiri? Sedangkan, ia tidak lahir dari rahim yang kumiliki? Subhanallah!’ batinnya berintih lirih
Dia mengancing gigi menahan gelora perasaan yang tidak karuan. Sembari melayar tancapan mata pada awan-gemawan yang memutih mulus di hamparan langit. Lantas dicuba menyalur ketenteraman pada jiwa, lewat keindahan alamiah nan memukau pandangan. Justeru membiar deru semilir pawana mengelus lembut ke segenap permukaan kulit tubuhnya yang terbuka.
“Kakkkk! Saya terlalu banyak berdosa pada kakak! Errr... Saya mohon maaf?” Tak semena-mena ungkapan penuh hiba dari ulas bibir gadis muda itu semasa menegurnya sebentar tadi, kembali tergiang-giang di halwa telinga.
Batinnya disungkup pilu. Masih segar di liang ingatan pada sebujur wajah yang tampak memucat lesi semasa mencambah kata. Seolah-olah bias kesakitan yang sedang memijar ke sekujur tubuh sarat hamil itu, begitu lelah ditanggung. Bersela luapan perasaan yang tulus mengharu, seraya utuh mengulit nurani gadis itu dalam diam.
Kalbunya benar-benar tersentuh. Seakan takdir pertemuan yang tidak diduga itu telah dimanafaatkan oleh sang gadis sebaik mungkin. Terutama dalam mengungkap sebuah kemaafan padanya. Seibarat cuba melupus luka yang diheretnya saban waktu lewat kehadiran cinta terlarang dalam kemelut perkahwinan. Biarpun ia tidak mungkin dilupakan semudah itu.
Andai dinilai dari sudut kepahitan yang telah ditempoh, dia memang wajar menyimpan segunung nyalaan amarah kepada gadis itu. Bersela liang dendam yang turut dipendam lama. Seiring dengan kekecewaan yang terlebur saban waktu lewat perilaku Fadli. Kerana bayangan gadis itu sering menjadi punca pada rentetan duka yang dialami.
Namun, sebaik sahaja mereka bertemu, baraan benci itu terbeku begitu sahaja. Seibarat disiram air dingin yang menyamankan alur nurani. Kemarahan terusir mendadak. Lantas berganti dengan percikan simpati demi simpati pula. Apatah lagi tatkala menatap sebujur wajah muda itu yang tampak bersih tanpa sebarang cemaran dosa. Terlalu sukar untuk dimusuhi.
“Rina!” Tiba-tiba terdengar suara lembut Fadli menyapanya dari arah belakang tubuh.
Dia tersentak. Lamunannya langsung mati andar. Sesosok tubuh kurus suaminya itu dikerling sepintas lalu. Sebelum pandangan kembali ditebar ke suasana alam yang ralit ditekur. Lantas membiarkan teguran itu tersangkak tanpa bersahut. Sementelah benaknya juga sudah tiada daya hendak menghirau kewujudan lelaki itu lagi dari sisi.
“Abang ingin Rina tahu... Biar apa pun terjadi kini, abang tetap akan menyayangimu, Rina! Percayalah!” Tutur Fadli perlahan
Suaminya itu sudah ikut bercegat di sosok kanan dirinya di ruang balkoni itu. Turut menatap ke arah yang sama. Sembari tangan kiri Fadli tampak menyentuh lembut kura tangannya yang ditekap pada palang balkoni dari binaan konkrit tersebut. Justeru meremas mesra. Seakan menyedarkan dia akan kehadiran lelaki itu di situ.
“Huh!!” Dengus kasarnya sekali lagi dilantun keras. Dilarikan tangan dari pautan itu dalam reaksi mencebik. Sekali lagi mata dikerling tajam ke arah paras kusut suaminya itu sepintas lalu. Sebelum mengengsut sedikit langkah kakinya buat menjauhkan diri.
Dia tidak tahu apa wajarnya tuturkata itu dihambur lewat ulas bibir Fadli kini. Setelah batinnya dicarik-carik buat ke sekian kali. Adakah suaminya itu menyindirnya? Atau fikiran lelaki itu sudah terlalu kusut untuk mengolah alasan seperti selalu? Lantas mengira dengan menghulur ungkapan maaf sahaja sudah cukup untuk menyelesai semua kemelut yang ada? Terasa rongga dadanya memijar dirempuh pelbagai persoalan.
“Abang benar-benar tak menyangka boleh jadi begini, Rina! Sungguh tak jangka boleh bertembung... Err!” Sambung Fadli pula.
Riak wajah Fadli begitu jelas mempapar kecelaruan minda. Kegugupan lelaki itu tatkala berbicara juga amat ketara didengar. Sementelah, butir bicara itu secara terlus mengimbaskan semula dirinya pada peristiwa pertembungan mereka yang usai ditempoh. Dimana dirinya nyaris-nyaris merempuh gadis itu lewat kereta yang dikemudi. Lantas membuat luka dikalbunya tergores lagi buat ke sekian kali.
“Sudahlah, abang! Tolonglah jangan bingungkan kepala Rina lagi! Sekarang ni, semuanya sudah jelas, bukan! Tuhan tunjukkan kebenarannya!” Tempelaknya keras seraya memotong tuturkata Fadli.
Dia muak. Berasa tidak tega hendak mendengar sebarang buah butir penjelasan dari lelaki itu. Lebih-lebih lagi dikala masing-masing sedang disungkup panik lewat situasi yang terjadi. Yang mana segenap masalah yang mendatang ternyata berpunca dari tingkah suaminya itu sendiri. Lantas untuk apa Fadli hendak mempertahankan diri lagi!
“Abang... Err.. Abang minta maaf, Rina!” Tergagap-gagap butir bicara Fadli sewaktu hendak meluah ungkapan yang sering diulang-ulangkan itu padanya. Paras lelaki itu dilihat tambah memucat dimamah kekekokan diri.
“Sudahlah! Rina tak sanggup hendak dengar apa-apa lagi buat masa ini! Hanya dapat redha pada ketentuan Allah sahaja!” Bentaknya tegas.
Ulas bibir bawah diketap kuat. Sebujur wajah yang mulai menghangat begitu ketara dirasa. Lantas segera digorakkan langkah berlalu dari ruang balkoni itu. Sembari cuba menyembunyikan kolam mata yang sudah berkaca bahana rembesan air bening duka. Riak pilu disedari kian menggeromol di segenap rongga dadanya dalam diam.
Lewat sorotan ekor mata, diperhatikan Fadli meraup seluruh muka dengan kedua telapak tangan. Justeru tampak menyibak-yibak helaian rambut yang telah sedia mengusut. Bagai sedih benar menghadap reaksi mendadaknya itu. Tak terkecuali mempapar kecelaruan fikiran yang dilihat sukar disembunyikan.
Dia mengatur langkah ke arah laluan koridor panjang di ruang menunggu berhadapan bilik rawatan ICU itu. Mendekati semula Kak Sarinah yang dilihat masih berteleku di sebuah bangku yang sama. Sebelum perasaannya mulai berkocak tegang tatkala tampak seorang doktor wanita berjalan keluar dari ruang rawatan sebaik sahaja menguak daun pintu dalam reaksi lemah.
“Bagaimana keadaannya, puan doktor?” Suara cemas Kak Sarinah bergema spontan seraya memecah keheningan suasana.
Wanita tua itu dilihat tergesa-gesa bangun lalu menghampiri kelibat sang doktor yang tercegat di hadapan daun pintu ruang ICU tersebut. Sementelah, dirinya juga turut bergegas ke arah yang sama dalam riak perasaan yang utuh berbaur rasa. Diikuti dengan kemunculan Fadli yang berlari anak mendekati mereka setelah itu.
“Bayi berjaya diselamatkan! Anak perempuan!” Getus doktor wanita berbangsa melayu itu sejurus sahaja menghela nafas panjang.
Dia mengancing gigi menahan gelora jiwa. Kak Sarinah yang tercegat di sosok kanan diri bingkas berkalih pandang ke arahnya. Pangkal dahi wanita itu dilihat sudah berlurah kerut. Sejenak mereka saling bertatapan dalam jeda. Seolah-olah cuba menebak galur perasaan masing-masing di saat itu.
“Ibu bayi macamana pula, doktor?” Sampuk Fadli pula tidak sabar. Kedua jari-jemari tangan lelaki itu tampak saling bergepalan seraya berelus kasar.
“Tapi.....”
Dalam dengusan lesu, doktor wanita itu cuba berlanjut kata yang tampak begitu berat hendak dihambur. Kak Sarinah dilihat sudah menekup mulut yang terlopong dengan telapak tangan kanan. Justeru kedengaran beristiqhar panjang memaut ketabahan diri. Sementara Fadli pula sudah tersandar lesu di muka dinding koridor, dalam raut wajah yang sukar dimengertikan.
Herlina juga turut terpempan. Bagai hendak putus tangkai jantungnya bahana berdegup kencang. Butiran air mata pula sudah berguliran semu di kedua belah pauh pipi. Bersela rasa resah dibenak yang tidak berpenghujung. Biarpun dia sedar, terlalu payah hendak dicakna segenap galur perasaannya di saat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan