CERPEN : Rajuk Seorang Hawa



Persisiran pantai itu dijejak kakinya sekali lagi. Tanpa perancangan awal, mahupun mengimpi untuk menjengok, dia tiba dalam riak perasaan yang sukar ditebak. Menerawang ke hamparan laut yang sama. Merenung ke persada langit nan serupa. Yang pernah melunak di layar matanya pada puluhan tahun lalu.

Ya! Tujuh belas tahun itu bukanlah suatu tempoh singkat dalam mematang sebuah hubungan akad. Juga bagi mewujud sebuah alasan pada ketidak-serasian hubungan dua hala. Apatah lagi dalam sebuah perkahwinan yang telah membibit empat cahayamata secara saksama dalam galur waktu yang sepersis dirancang. Namun, mengapa perasaan benci itu begitu mudah bergelodak mencemar hati. Berubahkah dia?

“Titt...Titt...”

Bunyi deringan bersulam gerak getaran telefon bimbit di saku celana panjang sedikit menghenyak ketenangan diri. Nafas dihela berat. Dia akur dengan identiti sang pemanggil. Turut akur pada seruan bernada bujukan yang pasti sama. Dirinya langsung tidak berkutik hendak menyahut panggilan itu. Apatah lagi mahu mengambil hirau. Dia muak!

Telapak kaki yang telanjang tanpa sepatu terus digorak merentas persisiran pantai. Dingin pasir lembab yang dipijak, mengabui radang benak. Aroma udara masin berbaur harum rumpai laut mencercah ke liang hidu. Ibarat cuba mendamaikan. Namun akal yang utuh berkeronyok, memudarkan segalanya.

Dua hari lalu, seakan bermimpi dia menjangkaui sebuah perjalanan panjang untuk ke situ. Malam  itu, dia meluru keluar dari kediamannya dengan jiwa berkocak parah. Pemanduannya hilang arah tuju. Lantas seperti ditakdirkan, dia tiba dalam wajah yang sesar terpinga-pinga lewat kesedaran akhir. Semua gara-gara pertengkaran buat ke sekian kalinya terjadi itu.

“Sudah berkali-kali saya beritahu, saya ada kerja luar dengan Encik Arifin sepanjang hari ini. Saya tak ke mana-mana pun. Kenapa awak susah sangat hendak percaya saya, ha?”

“Perlukah saya percaya dengan awak sekarang? Sedangkan kes-kes menggatal awak dulu tu berkepuk dalam simpanan saya. Betulkah awak dengan ketua jabatan awak tu? Atau awak masih berjumpa lagi dengan bini orang tu? Mungkin terus berhubung dengan perempuan Indonesia tu juga? Saya sakit hati tau!”

“Masyallah! Saya berkerjalah! Saya tak melencung ke mana-mana. Kenapa awak asyik mengungkit-ngungkit kisah lama? Kan saya sudah minta maaf. Saya dah bersumpah pun takkan buat lagi. Kenapa awak buat saya begini?”

“Sudah! Banyak sangat alasan awak! Saya tak percaya!”

Ibarat puting-beliung tidak berpenghujung, bait-bait sengketa pada malam itu ralit berlangsung. Mengeruh keharmonian rumahtangga yang dibina. Membahang ketenteraman orang-orang tersayang di sekeliling mereka. Seakan tiada pengakhiran muktamad. Mahupun jalan penyelesaian jitu.

Ulas bibir digetap kuat. Perit. Guraian rambut separa bahu yang selerak diacah pawana nakal, bingkas disibak dengan jemari tangan. Dia akur. Tingkah amarah semakin sukar dikawal sejak persengketaan besar dalam perkahwinannya genap sebulan yang lalu. Dimana tembelang sang suami bermain kayu tiga  terbongkar sekelip mata.

Dalam diam, lelaki itu galak berhubung talian dengan wanita seberang yang tidak diketahui paras rupa. Bahkan, skandal saling bertemu secara sulit dengan seorang wanita berstatus isteri orang alias rakan sepejabat turut terpapar didepan mata. Ego perempuannya benar-benar tercabar.

Gara-gara itu, rumahtangga mereka spontan berombak sebesar tsunami. Nyaris-nyaris melerai ikatan tali suci yang telah berkait hampir dua puluh tahun itu. Sebelum lafaz maaf sang suami yang sarat menghimpun kesal berhasil mereda api pertelingkahan. Justeru beransur-ansur mengendur segala ketegangan dalam mahligai rumahtangga mereka.

Namun, entah mengapa riak curiganya terus membuak-buak sejak pertelagahan yang usai ditamatkan itu. Begitu gemar mengungkit-ngungkit isu silam yang langsung tak kena gaya. Sedangkan sang suami awal-awal lagi telah disambut kemaafannya. Juga bersumpah tidak akan tersadung pada kekhilafan itu lagi. Cemburu keterlaluankah dia? Atau hati memang tidak ikhlas memaafkan?

Bahkan, perilaku sang suami yang berubah drastik sembilan puluh derajat benar-benar disaksikan mata sendiri. Solat lelaki itu tidak lagi tenggelam-timbul. Ziarah untuk hiburan luar pun telah tuntas behenti. Segenap kata darinya juga, bergema menjadi arahan yang begitu gerun diingkar. Suaminya bersungguh menonjol bukti keinsafan.

Namun mengapa mulutnya masih murah meluncur benih-benih keraguan serta menyemarak api pergaduhan? Membuat batinnya sendiri porak-peranda. Kesabaran sang suami juga terus diacah-acah. Lantas naluri anak-anak yang tidak mengerti apa-apa itu pun turut terheret dalam situasi tidak aman. Ah! Dia terkadang kesal mencetus suasana tidak sentosa itu. Namun, perca-perca kecurigaan amat sukar dipadam hati. Masya-Allah!

“Inilah tipikal perempuan kita. Easy to forgive, but difficult to forget. Setelah dibujuk-rayu, mulut begitu mudah mengaku diri sedia memaafkan. Sedangkan dalam hati, bagaikan sembilu menghentam jiwa, susah nak lupa. Adakala sampai berdendam seumur hidup.”

Tak semena-mena butir bicara sahabat baiknya, Duha kembali tergiang-giang ke halwa telinga. Dia menelan liur. Terasa kelat. Perbualan santai yang berlangsung di Cenderakasih Coffee House seusai berseminar di Hotel Four Season pada minggu lalu, mulai membayang di perdu ingatan.

“Kau tak memahami perasaan aku, Duha. Kau tak mengalaminya seperti yang aku rasa.”

Dia beralasan mempertahan ego seorang isteri yang masih terkilan lewat kesetiaan perkahwinan usai diganggu-gugat. Udara nyaman alat pendingin hawa hotel mewah itu langsung tidak terkecap bahana jiwa yang utuh dalam rawan. Suasana damai dalam perhiasan indah di sekeliling diri turut tak lunak dipandang.

“Apa yang aku tak faham lagi ni. Cerita sebenarnya ringkas saja, Nida. Suami kau buat kes. Kau berdua telah bergaduh-sakan pun. Dia sudah pun mohon maaf. Mengaku salah-silap dia. Juga berjanji takkan buat perangai tu lagi. Dan kau juga ikut setuju memaafkan. Benda ni dah selesai dengan rasminya. Tapi hati kau sendiri yang masih terus terkenang-kenang. Makan hati entah apa-apa. Mengungkit sana. Mengungkit sini.”

Duha menempelak pedas. Tangan dan lenggok kepala siap bergerak-gerak menurut ragam emosi perbualan.

“Kau tak faham perasaan aku, Duha...”

Dia mengulang keluh yang sama. Apa lagi yang mampu dilafaz selain ayat sayu itu. Dia kehilangan kata-kata.

“Nida, dengar nasihat aku ni. Kepercayaan itu penting dalam sebuah perkahwinan. Jika kau hilang perkara ini, sia-sia saja kau teruskan rumahtangga kau. Cuba tanya diri kau sendiri. Adakah kau masih mampu percaya pada suami kau tu? Tanpa perlu rasa curiga walau ke mana dia hendak bergerak? Kerana kau sendiri tau yang kau takkan mampu mengawasi dia dua puluh empat jam. Dan jiwa kau pun pasti lelah dengan bermacam-macam curiga. Kau masih percaya dia?”

“Errr... Aku tetap fikirkan anak-anak, Duha”

“Kalau kau fikirkan anak-anak kau yang sedang membesar tu, kau takkan bertingkah begini. Membesar-besarkan isu kecil. Mengungkit-ngungkit kes yang lama selesai. Buat hidup kau tunggang-langgang. Jiwa anak-anak kau ikut kucar-kacir akibat jadi mangsa perang yang tak habis-habis”

“Entahlah, Duha. Aku sendiri tidak mengerti hati sendiri...”

Sebujur wajah mendung diraup dengan kedua telapak tangan. Keluh diluah hambar. Diakui benak masih tersentuh lewat nasihat tidak diundang itu. Segenap butir bicara Duha ada benarnya. Memang dia yang bermasalah hendak menghindar rasa sakit hati. Tetap ralit melayan amarah yang tidak sudah-sudah. Pendendamkah dia?



“Tittt... Tittt...”

Bunyi alat komunikasi kecil berona biru keperakan itu berkumandang buat ke sekian kali. Rengus kasar dihambur lagi. Tangan kiri spontan menyeluk ke dalam saku. Mengalih keluar badan telefon bimbit berjenama Nokia itu ke dalam telapak tangan. Namun, tetap tidak berhasrat mahu menyambut panggilan. Sekadar dibiarkan bergenggam.

Langkah terus diheret menyelusur pasir lenjun. Buih-buih kecil ombak yang saling berkejaran menguis pinggir kaki, sedikit memberi nyaman. Mata mencerlung ke arah beberapa orang kanak-kanak kecil yang ligat bermain di tubir berair di hadapan. Sorak riang berbaur derai tawa mereka serba-sedikit menyemerbak naluri keibuannya nan paling dalam.

Sekilas, raut comel Faizan, bermain di cerana mata. Berganti wajah ceria Fazira yang lunak tersenyum. Bersibak pula paras remaja si anak sulung, Faziana yang tenang dalam diam memberontak. Sebelum berakhir pada sesosok tubuh kecil mongel bayi bongsunya, Fahmi yang membuat degup jantungnya bagai ingin terhenti bahana kerinduan.

Dia menelan liur. Rasa bersalah hadir menggunung. Gara-gara diselubungi amarah, keempat cahayamata menjadi mangsa percaturan telagah. Malah, kini terpaksa ditinggalkan  pada kedua orang tua yang sedang bersisa usia. Itupun setelah anak sulongnya memohon untuk menginap sementara di sisi sang datuk dan nenek pada musim persekolahan. Lebih kepada merayu sebenarnya. Dia mengerti tentang itu.

“Mama, biarlah Ana dan adik-adik duduk dirumah Atuk dan Opah saja cuti sekolah ni. Kami tak mahu susahkan mama di sini lagi.”

“Kenapa hendak mengendeng di rumah Atuk pula? Kan mama dah beri duit belanja cukup untuk bercuti ni. Duit poket dari ayah kau orang pun dah dapat kan?”

“Tak mengapalah, mama. Duduk di rumah Atok dan Opah lebih aman sedikit.”

Berdesing telinga mendengar ungkapan sang anak sulong yang agak bersahaja di waktu itu. Mata terbelalak besar. Tidak menduga, anak remaja yang selama ini agak pendiam mampu bersuara dalam nada memberontak sedemikian rupa. Juga senyap-senyap menjadi pemerhati tegar dalam pergolakan perkahwinan sang ayah dan ibu.

“Iya lah, mama. Kami pun nak pergi rumah Atok juga lah..” Fazira menokok persetujuan

“Izan pun nak ikut...” Begitu juga si anak lelaki sulong yang tak mahu kalah ingin turut menyertai protes aman.

“Habis kalau kau orang semua hendak ke rumah Atok, adik kecil kau di sini ni siapa nak jaga? Opah kau bukan larat sangat.”

“Kami boleh gilir-gilir tolong Opah jaga Adik Fahmi, mama. Kalau ada di sini pun, mama bukan selalu jaga adik. Ayah bekerja. Mama pun sibok kerja. Selalu adik kena hantar ke nursery juga.”

Pelupuk matanya dipejam sejenak. Keegoan sedikit tercabar lewat butir bicara yang amat jujur diluah. Di waktu itu, rasa tersindir pun ada. Namun dia segera sedar pada kenyataan di depan mata. Anak-anak sama sekali tidak bersalah. Juga tidak tanjak ikut terbeban dengan krisis dingin rumahtangga yang tidak berkesudahan. 



“Tittt... Tittt...”

Bunyi nyaring itu menggugat lamunan yang ada. Tangan kiri berisi badan telefon bimbit bingkas diangkat ke hadapan muka. Mata memicing pada skrin telefon yang mempapar jelas identiti si pemanggil. Keluhnya diluah lagi. Orang yang sama. Bujukan yang tetap serupa akan diterima, andai panggilan itu disahut.

Benak mengetus jengkel. Minda utuh kusut meruncing. Matahari yang mulai menghilang di sebalik fajar meremang merah, ditekur tanpa berkerdip. Diluar sedar, kawasan di sekitar pantai yang menyisir panjang tampak melengang. Sepertimana mendung warna hatinya yang terus karam dalam lautan keruh perasaan.

Dia masih ingat ketibaannya ditempat itu pada malam yang agak larut. Tiada yang menyambut. Apatah lagi merasa terundang. Dengan tekad, diputuskan untuk menginap di sebuah resort yang pernah didiami semasa berbulan madu dulu. Justeru sempat memaklum cuti kecemasan buat beberapa hari dari rutin bekerja di pejabat.

Di situlah dia mengenal Ibu Romlah. Pertemuan yang berlangsung di luar landasan fikir. Perkenalan yang bermukadimah tatkala bertanya arah kiblat serta meminjam kain telekung solat di awal menginap. Lantas pekerja resort yang agak ramah itu terus menjadi rakan berbual akrab. Terutama dalam mengenal erti kehidupan.

“Saya sudah lima tahun di sini, mbak. Merantau untuk rezeki yang halal buat keluarga. Ternyata rahmat Allah ada dimana-mana. Rezeki saya termaktud di sini. Anak-anak dan suami juga hidup senang di tanahair. ”

Itulah jawaban tulus Ibu Romlah tatkala diaju persoalan peribadi. Paras tenang wanita berdarah Jawa itu tampak bersimbah sinar semasa berkisah tentang keluarga yang jauh di mata. Sekelumit pun tidak beriak keraguan pada insan-insan tersayang yang ditinggalkan. Malah bola mata jelas memancar bias-bias kerinduan.

“Apa ibu tidak takut suami keseorangan dengan anak-anak di sana? Sedangkan ibu jauh di sini?”

Dia menyisip duga. Kelurusan sikap Ibu Romlah yang begitu yakin dengan pendirian, amat memeranjatkan dirinya. Sukar dipercaya wujudnya ungkapan sejujur itu. Mustahil ada seorang isteri yang amat jernih jiwanya tanpa getusan cemburu sama sekali. Sedangkan sejarah silam turut membuktikan isteri-isteri Rasullullah sendiri pernah saling bergelojak hati dengan iri.

 “Saya bersandar pada keyakinan Allah, mbak. Selain hidup dan mati, jodoh juga ketentuan Tuhan. Siapalah kita ingin mengagungkan cinta sesama manusia yang sudah tentu tidak sempurna sifatnya. Semua itu sementara. Daki dunia. Pinjaman Allah semata-mata.”

Dia terkedu. Keterlusan Ibu Romlah mengutara prinsip berkasih-sayang dalam tuntutan agama membuat dia terpegun dalam kagum. Siapakan menyangka, seorang pekerja resort yang tidak diketahui latar pendidikan, mampu menebar falsafah kehidupan dalam tafsiran sepintar itu. Dia spontan terlopong bahana terpesona.

 “Padahal kita sendiri harus yakin, cinta pada Allah itu mengatasi segala cinta yang ada. Tiada yang mampu menyangkal kesempurnaannya. Cinta itulah yang perlu kita teguhkan. Lestarikan. Malah agungkan selagi bernyawa.”

Ibu Romlah menyambung bait-bait nukilan ayat. Dia terus mematung dalam keegoan yang terpukul. Sekilas, tutur bersahaja wanita seberang itu dikecap bagai menyindir dalam diam. Lantas berdesing pedas ke halwa telinga. Namun tatkala dihadam-hadam dek akal nan waras, pendapat itu sukar digugah kebenarannya. Justeru perlahan-lahan menghembus suatu kesedaran yang bergulir rasa sayu di perdu benak.

 “Kitakan manusia biasa juga, Bu Romlah. Perempuan biasa yang pasti mempunyai rasa sakit hati. Lebih-lebih bila suami yang terang-terang tidak menghargai kita . Apa Bu Romlah tidak terluka kalau diketahui diri tiba-tiba dicurangi dalam diam? Langsung tidak curiga?”

Sekali lagi dia memancing duga. Suasana hiruk-piruk ruang kafetaria resort yang menjadi lokasi bersarapan pada pagi itu, langsung tidak mengganggu tumpuannya pada Ibu Romlah. Bayu laut yang bersemilir deras melalui dinding-dinding terbuka ruang, turut tidak di ambil endah. Segenap perhatian utuh menjeda ke sebujur wajah yang sama.

 “Andai benar suami berselingkuh, apa yang wajar saya lakukan? Mahu menyerang balas? Marah-marah? Berdendam? Perlukan perasaan itu kalau hanya bikin hati sendiri tidak tenteram? Hidup juga porak-peranda pada sengketa yang tidak surut-surut? Sedangkan ketenteraman jiwa itu amat perlu dijaga. Untuk apa dilayan rasa sakit hati, andai menyukarkan hidup aman.”

Ibu Romlah kian bersemangat menutur pendapat. Dari cerlungan mata jernih itu, jelas mempamer keikhlasan hati. Sehingga dia kematian kata-kata hendak meningkah. Juga tersangkak mahu mengaju persoalan baru. Meski benak meronta-ronta ingin meneguh pendirian yang amat dia yakini.

Seusai perbualan santai itu, minda sedarnya mulai rakus berbolak-balik. Makan-minum terkecap hambar lewat akal yang ligat bercangkaliwang. Tidur pada malam itu pun hilang nyenyak dengan pelupuk mata yang terus berkebil-kebil. Kedamaian jiwa langsung tidak wujud. Kegelisahan turut sukar diusir pergi.

Gara-gara itu, banyak masanya dilebur dengan menjelajah sekitar pantai yang menghampar luas. Menebar pandang ke lautan tidak berpenghujung. Seakan mencari-cari jati diri yang telah hilang di sebalik keindahan alam ciptaan Tuhan. Juga mendalami erti kesyukuran. Sepertimana rutin yang sedang dilakukannya pada petang itu.

Dia menghela nafas dalam-dalam. Membiarkan udara berbaur aroma masin laut itu menyendat di rongga dada. Sebelum melepas gelembung nafas itu perlahan-lahan. Sembari mengendurkan urat saraf. Ibarat ingin membuang segenap kerunsingan hati jauh-jauh. Juga menyingkir pergi segala kekeruhan jiwa yang selama ini telah mendarah-daging dengan prasangka.

Keluh berat nan sama diluah lagi. Jauh di sudut benak, dia menyerah kalah dengan ketabahan Ibu Romlah. Ingin menandingi ketulusan jiwa wanita seberang itu pun, rasanya turut tidak mampu. Apatah lagi ingin menyaingi ketenangan murni yang terang-terang dipancarkan dari wajah berusia hampir separa abad itu. Dia tewas!

Namun, iktibar kehidupan yang dipasak secara halus lewat perbualan mereka, serba-sedikit memberi aura jiwa baru padanya. Begitu juga untuk mencari erti kebahagiaan sebenar dalam hubungan suami-isteri. Tak lupa keharmonisan yang harus dikekal dalam melestari hidup sentosa. Dia sedar untuk berubah.

Ulas bibir bawah diketap kuat. Langkah kaki mulai melonglai ke arah salah sebuah pangkin kayu yang dibina berjajar menghadap pantai. Pinggul dilabuh lemah di atas terapan bonggol kayu yang ditukang kasar. Sebelum dia bermangu dalam layar sesalnya sendiri. Rasa bersalah lewat keterlanjuran tingkah. Juga riak berdosa pada suami dan anak-anak.

“Ya Allah! Kenapa aku terlalu menurut kata hati? Aku pentingkan diri sendiri! Aku keterlaluan!”

Sebujur wajah yang mulai menghangat, diraup sekali lagi. Butiran air bening yang menakung di tubir mata, terkesan menyamar pandangan. Sebelum manik-manik sendu itu berjatuhan satu-persatu. Berguliran semu di kedua pauh pipi. Tangisnya langsung pecah dalam perasaan bersalah yang terus membuak-buak. Sedu-esak ikut mengiringi.



“Tittt...! Tittt...!”

Nada dering yang amat dikenal itu berkumandang lagi. Bunyinya sudah tidak kedengaran agak dangkal seperti tadi. Apatah mencetus rasa cuak di dalam hati. Bahkan, irama yang tersendiri itu menyemarak suatu pengharapan pula bagi dirinya. Bagai menitip sebuah kesempatan untuk membaik-pulih keadaan. Juga peluang kedua.

Dalam tingkah gementar, badan telefon bimbit itu ditekap ke telinga kiri. Dia menghela nafas penuh waspada. Gemuruh di perdu benak direda sebaik mungkin. Ulas bibir mulai terbuka. Ibarat bersedia menghambur lafazan kata. Namun getusan suara bagai tersekat di liang kerongkong. Rasa haru dan pilu berbaur menjadi satu.

“Nida...!”

Suara yang amat dikenal terdengar sayu menyeru. Begitu menyentuh ke relung sukma nan paling dalam. Dia terus ditenggelami rasa berdosa. Air mata ikut laju berjujuhan. Bagai hilang bendungan wajar. Sedu-esak juga hilang aturan rentak.

“Errr... iya, abang.”

“Nida...”

Suara itu menyeru lagi. Suara yang sama pernah mengisi seluruh syurga hatinya di ambang remaja dulu. Mengikatnya dengan akad perkahwinan tidak berapa lama kemudian. Juga menyemekar benih-benih impian indah dalam kehidupan berkelamin selama lebih tujuh belas tahun. Tak terkecuali mencorak warna-warna kelam pertelagahan. Bersilah rajutan warna ceria kemesraan. Malah diluar sedar, kini menitip suatu kerinduan yang sukar diluah dek kata-kata.

 “Nida akan pulang, abang. Maafkan Nida kerana keterlaluan mengikut hati. Nida bersalah...”

Lemah suaranya saling bersulam dengan nada esakan yang tidak kunjung padam. Bagai dibangkitkan dalam suatu kewajaan semangat. Pohonan maaf serta luahan rasa bersalah terlafaz jua. Benaknya termercup lega seusai itu. Selega-leganya.

“Saya akan bawa awak pulang!”

Dia tergamam. Bukan ungkapan spontan itu sahaja yang menyepuh rasa terkejut. Namun, riak suara yang menutur lewat corong telefon, seakan terdengar realiti berhampiran diri. Apatah lagi tatkala dirasai suatu sentuhan lembut mendarat di bahu kanan. Menggesa dia bingkas berpaling seraya berkisar duduk.

“Errr... Abang!”

Tak semena-mena wajah keruh dalam raut berharap sang suami memenuhi ruang pandangan. Dengan penampilan kusut-masai tidak terurus. Mata redup yang sama. Senyum lelah yang serupa. Justeru tanpa sedar bercegat merenungnya dalam tancapan mata kuyu. Tulus mohon berdamai.

Dia menjeda dalam riak terperanjat. Khali. Bagai tindakan refleks diri, kedua tubuh mereka saling mendekat. Berhadap dalam gejolak perasaan yang sukar digambar. Senyum sang suami mulai melebar. Pautan tangan kekar itu ikut mencengkam di kedua bahu. Menggesa hatinya digeromol sipu.

Perlahan-lahan ulas bibirnya ikut menyambut senyum. Semakin lama semakin mengawang ceria. Sarat keikhlasan. Sebuah senyum kebahagiaan yang agak lain dari dulu. Senyum yang diungkap penuh redha dalam kemaafan jitu. Juga sarat aroma pasrah. Yang pasti, tuntas melupakan keruh silam.

 Riesna Zasly
2011

Tiada ulasan: