CERPEN : Namaku Perempuan


Matahari sudah pun miring sedikit ke arah barat sewaktu kereta Honda CRV berona putih susu yang saya tumpangi meluncur laju di landasan Lebuhraya Pasir Gudang. Gerimis yang menitip sedikit kabus menyelubungi di mana-mana. Sepertimana gemuruh di hati saya yang terus berjelebu, sebaik sahaja roda kenderaan itu memulakan perjalanan.

Ada kejanggalan yang membelenggu diri. Meski hala jalanraya ini kerap dilalui saban waktu untuk ke tempat kerja, namun kini situasinya terasa amat luar biasa. Dada saya tangguh berdebar kencang. Merembes suatu gerak gementar yang sukar dicerna akal. Juga pada sebuah kecurigaan yang payah diusir pergi. Keterlaluankah perasaan saya?


“Kau betul-betul bersungguhkah hendak pergi menziarah mereka, Irah?”


“Mereka pernah cerca kau. Layan kau buruk dulu. Kau masih sanggup hendak jumpa orang sebegitu. Berbaloikah?”


“Jangan niat baik kau hendak berziarah, mereka fikir bukan-bukan pula nanti. Rambut mungkin sama hitam, hati orang lain-lain tau!”


Pertanyaan demi pertanyaan  berbau sarat sangsi serta dihambur dalam riak tidak percaya itu bergetus senada dari ulas bibir para sahabat. Saya tersenyum kelat. Sukar hendak dijawab persoalan itu kepada orang lain. Yang pastinya tidak mampu mengerti aura jiwa saya. Apatah lagi perasaan sendiri juga sukar saya mengertikan.


“Abang izinkan saya pergi, bukan?”


Mata saya berlaga dengan pandangan bening sang suami tatkala persoalan itu diluahkan padanya. Sementelah keraguan lewat isu yang sama sudah terlalu lelah hendak dihadam fikiran. Saya akhirnya meruntun kepastian lewat kewajaran tindakan. Turut menitip restu jua.


“Abang akan temankan Irah ke sana. Lagipun, Shafik bukan orang lain bagi abang. Kami bersepupu. Mak Rafeah juga sanak saudara keluarga abang.”


Tulus butir kata itu menenangkan benak saya. Ibarat disimbah air gunung yang menyegar dingin ke sekujur tubuh. Kecelaruan perasaan saya tercantas sekelip mata. Kecurigaan lewat kemelut itu juga ikut meluruh dibawa pawana lalu. Biarpun saya tahu, perit luka lama lewat memori perkahwinan yang pernah hancur dalam usia hampir lima tahun itu, masih sukar dirawat parutnya.


Saya pejam kedua pelupuk mata sejenak. Cuba mereda debaran di rongga dada yang hilang aturan rentak. Membiar deru udara yang bersemilir lesu dari alat pendingin hawa kereta menyemai kedamaian ke sekujur tubuh. Bersela ngauman enjin kenderaan menerpa sipi ke halwa telinga. Terasa perjalanan ini begitu lambat. Waktu turut mengengsut lewat.



“Apa yang tak kena dengan bini kamu ni, Fik? Takkan belum mengandung-ngandung lagi? Cuba kau tengok anak Makcik Zaharah tu. Tak sampai setahun berkahwin, sudah pun ada isi. Sepupu kamu Si Fatin itu pun, dah dua anaknya. Sedangkan dia bernikah kemudian dari kamu!” 

Tak semena-mena bias-bias pertelingkahan kasar di antara ibu dan anak yang pernah menusuk luka di hati saya pada beberapa tahun lalu, kembali bergiang-giang di halwa telinga.


Ulas bibir bawah saya ketap kuat. Perit. Imbasan peristiwa itu serentak membayang ke perdu ingatan. Di kala saya masih menjadi suri di hati lelaki itu. Lelaki yang pernah menyemai cinta pertama dalam bunga awal perkahwinan. Juga akhirnya turut menghiris duka sulung di hati yang sama. Segalanya bahana ketaatan kepada seorang ibu yang saya gelar mertua.


“Saya sedang berusaha berubat dengan Irah, mak. Doktor pun cakap kami berdua tiada apa-apa masalah. Cuma belum ada rezeki saja.” Kendur suara Shafik membujuk sang ibu seibarat layunya kasih kami yang kian beransur-ansur goyah dalam kemesraan.


Saya tahu Shafik seorang anak yang terlalu taat pada sang ibu. Saya juga sedar kemunculan saya dalam keluarga berdarjat itu tidak begitu dialu-alukan. Malah saya sedar akan nasib diri. Sebagai seorang warga dari Teratak Anak Yatim Nurul Ain, galur keturunan saya sering diacah menjadi pertikaian.


“Itulah kamu! kalau kamu kahwin dengan Si Fatin tu dulu, sudah dua agaknya cucu mak. Ini kamu tergila-gila sangat dengan perempuan tak tahu asal usul tu. Entah-entah memang keturunan mandul, kamu sendiri pun tak sedar!” Lantang tuduhan itu amat pedih untuk diungkap dek lafazan kata.


Di saat itu saya hanya mampu beristiqhar panjang. Tuduhan itu terlalu menghiris bagi seorang perempuan. Apatah lagi dihambur dari ulas bibir seorang perempuan yang lain. Terutama bagi yang bergelar isteri. Namun apa upaya saya untuk meningkah. Juga memberontak. Saya cuma menantu perempuan sepersis si mentimun. Sedangkan dia, sang mertua yang perlu teguh dihormati.


Tahun demi tahun, tuduhan serta cemuhan itu kerap bergasak ke tirai perkahwinan saya. Saya dipulau selaku ahli keluarga yang kononnya kaya harta serta murah zuriat. Saya disisih dalam senyap. Hanya kerana belum mencambah zuriat. Sedangkan usia pernikahan kami belum pun berganjak ke angka lima tahun!


Bukan saya tidak berusaha mengatasi kemelut yang ada. Saya puas merawat diri. Juga lelah menaati sang suami pergi menyuburkan rahim yang dikesan sudah sedia subur lewat pengamatan doktor. Berurut sekeliling pinggang. Meneduh jamu godoq. Bahkan mundar-mandir menuntun pelbagai penawar di segala tempat. Namun, siapa saya untuk menandingi ketentuan Tuhan.


Desakan ibu mertua semakin menimbun kesal di benak sang suami. Shafik berubah tegar. Lembut tingkah serta halus nada bicara Shafik yang selama ini mendingin cerana rumahtangga, mulai bergolak membahangi sumur kebahagiaan. Persengketaan semakin menggelegak. Saya hanyalah seorang perempuan. Cuma mampu pasrah tatkala nurani marak terbakar.


Tahukah bagaimana tersayatnya jiwa tatkala aura cinta bertukar rasa? Rongga dada saya seperti terpuruk ke dalam tubuh. Tulang rangka seakan meretak. Guliran darah merah juga bagai tersangkak mendenyut rentak jantung. Saya kehilangan upaya. Semangat ikut terudum menjadi puing-puing berterbangan.


Gagal menjadi perempuan sempurna bukanlah suatu yang saya impikan ketika itu. Perasaan sungguh kewalahan. Air mata sudah tak berkuasa lagi mencairkan hati suami. Esak sendu bukan lagi menerima semekar bujukan. Kamar beradu juga terus sepi tanpa desah nafas kemesraan. Jiwa saya melebur dalam diam.


“Maafkan abang, Irah. Abang terpaksa. Abang tidak mahu jadi anak derhaka...”


Itulah seungkap alasan Shafik yang membuat saya langsung mematung tanpa sanggup menjawab. Saya kematian kata-kata. Lebih-lebih lagi, hasrat ingin bernikah baru atas saranan ibu mertua hanya dimaklum seusai keputusan jitu dimuktamadkan. Saya hilang hak untuk mempersoal. Apatah lagi bersuara bagi mempertahankan diri. Hinakah saya selaku isterinya?


“Mungkinkah ini pengakhiran kasihsayang abang pada Irah?” 

Pertanyaan spontan itu meluncur terdadak dari ulas bibir saya yang sarat kelu dalam sebak.


Saya terbayang memori percintaan yang pernah seharum sutera dewangga. Saya mengimbas ikrar janji Syafik dulu yang kasih kami tiada akan ada duanya. Saya rasa diperlekehkan. Cinta saya termakan sumpah dari sang pemberi janji. Segalanya demi ketaatan pada seorang perempuan yang saya gelar mertua!



Sepurnama sebelum ulangtahun pernikahan yang ke lima, mimpi ngeri bagi setiap perempuan itu berlangsung di depan mata saya. Shafik memgenakan sepersalinan baju melayu putih yang sama. Sebahagian hujung jari Shafik merah berinai buat kedua kali. Bahkan kedua pengantin diarak cantik bersanding di atas pelamin yang menghias ruang yang tetap sama. Juga di perut rumah agam milik keluarga mertua yang utuh serupa. Sementelah saya bukanlah lagi mempelai perempuannya.


Saya redha dalam kesal menggunung. Tiada tempat mengadu. Hilang tonggak untuk berpaut kasih. Harapan agar diri dimuliakan kerana sanggup menyerah untuk bermadu, ternyata utuh sia-sia. Wajah bermusuh ibu mertua terus menghantui. Lagak isteri muda yang angkuh menyinis, buat saya terkapai-kapai mencari arah. Sampai bilakah saya harus berkorban perasaan?


“Irah! Kau pindah saja duduk di bilik bawah tangga tu. Biar Shafik dan Sarina yang tinggal di bilik lama. Mereka kan baru berkahwin.”


“Tapi, emak. Irah kan sudah lama duduk situ. Abang Shafik pun suruh Irah terus tinggal dibilik lama tu.”


“Hei! Irah! Cuba kau sedar diri sedikit! Ini rumah aku tau. Suka hatilah aku hendak atur bilik-bilik rumah ini kepada sesiapa pun. Kau harus bersyukur aku masih beri kau tinggal di rumah ini. Sedangkan anak aku pun sudah tak hirau kau lagi. Kalau aku halau kau, ke mana kau hendak pergi. Sudahlah kau tiada emak-bapak. Hendak hidup merempat?”


“Tapi, mak.. Abang Shafik.. Err...”


“Sudah! Tiada tapi-tapi lagi. Tentang Shafik, aku tahulah hendak uruskan. Dia anak aku. Dia takkan membantah cakap aku! Aku yakin!”


Selama ini, kisah tragis seperti itu hanya saya hayati lewat buku-buku dongeng lama. Yang sering menemani mimpi silam di usia kanak-kanak. Siapakan menyangka diri harus menempuhnya di alam nyata. Bezanya, watak wanita kejam itu bukanlah ibu tiri. Tapi seorang ibu pada suami saya sendiri!


Saya tewas dalam andaian wajar kehidupan. Mitos seorang perempuan pasti memahami seorang perempuan yang lain, kebenarannya seibarat jauh panggang dari api. Kenyataan rupanya terlalu payah difahami. Bahkan, termaklum kebanyakan wanita yang tega merosak nasib kaum sejenis sendiri.


“Ikut sajalah kehendak mak, Irah! Abang tak kuasa hendak berbalah-balah. Dia kan emak abang!” Hambar suara Shafik yang bertingkah acuh tidak acuh, memberi seribu makna di nubari saya.


Saya terlongo dalam jeda yang panjang. Terasa harga diri saya ditimbang-nilai sesuka hati. Kesal saya memuncak. Adakah ini suami yang saya idam-idamkan dulu? Yang saya yakin cintanya setinggi langit bersemarak lazuardi? Yang berikrar akan memelihara hidup saya sampai ke liang lahad?


Hampir sahaja pertikaian yang berlegar-legar dalam cepu kepala, saya hamburkan. Namun saya cepat-cepat beristiqhar di dalam benak. Siapalah saya ingin mengeluh pada ketentuan jodoh Tuhan. Saya hanyalah seorang perempuan. Dia sang suami. Lantas wanita itu adalah sang mertua yang telapak kakinya bertekap syurga buat suami saya.


Semenjak itu, saya sedar diri bukanlah lagi yang pertama. Saya hanya barang lama yang nilainya sudah diregut. Hanya melukut di tepi gantang. Seolah-olah sehelai kain buruk yang wajar wujud tika diperlukan. Juga harus disorok buat menutup riak malu. Lantas, haruskah saya terus pasrah menjadi fiqura manusia yang tidak dihargai?


“Keturunan aku tak ada yang mandul macam kau tau! Aku sendiri beranak ramai. Kami keluarga subur. Aib bagi aku hendak terus simpan manusia sebatang kara seperti kau ini. Memalukan sungguh!”


Naluri kewanitaan saya terhenyak. Sangkaan saya meleset. Ternyata niat bermurah hati mempasrahkan segalanya, masih belum mampu mengundang nyaman dalam rumahtangga. Saya kian keras dimusuhi. Cemuh-cerca terus bergasak ke halwa telinga. Sindir-perli menjadi igauan mimpi ngeri yang tidak berpenghujung. Saya menderita.



Hari berganti hari, rumah agam itu bukan lagi syurga buat saya. Setiap kali menginjak ke lantai bermozek mewah itu seusai pulang bekerja, telapak kaki terasa bagai tertusuk-tusuk kerikil nan tajam. Makan minum juga sudah tidak seenak dulu. Tidur pun seibarat terpanggang di atas bara api. Ketenteraman jiwa saya goyah sekelip mata.


Pernah batin saya terbentak dalam kemusykilan. Ibu mertua saya seorang perempuan. Saya juga seorang perempuan. Wanita itu turut seorang isteri. Begitu juga saya. Kami serupa! Bukankah kehendak setiap perempuan itu tetap sama dalam menilai sudut kebahagiaan? Apatah lagi riak naluri kewanitaan dalam bab bermadu kasih?


Lantas mengapa kami tidak seiring bercitarasa? Atau ibu mertua saya yang tidak ingin ikut mengerti? Saya lemas dalam pelbagai persoalan yang tidak berjawab.


“Abang, saya sedar yang diri saya tidak diperlukan lagi. Dengan penuh rasa simpati, bebaskanlah saya dari belenggu ini. Saya redha dengan takdir diri saya!” 

Lancar permohonan saya itu seakan bersebati dengan tekad yang telah menebal di perdu jiwa. Tanpa sekelumit pun berkial kesal. Tidak tergagap pun dengan sebarang keraguan.


“Masyallah! Apa Irah cakap ni! Abang tetap sayangkan Irah! Abang tak sanggup berpisah!” 

Entah mengapa nada bantahan Shafik itu terasa tidak bersungguh terdengar ke halwa telinga saya. Seolah-olah berlakon dalam babak yang terlalu lazim ditonton. Penuh kepalsuan.


“Jika abang sayangkan saya, bebaskanlah saya. Saya ingin mencari kebahagiaan saya sendiri di luar sana. Kita mengikat kasih secara baik dulu. Biarlah kasih kita ikut terlerai secara baik juga kini. Agar tiada permusuhan di antara kita kelak!” 

Lantang suara saya sama teguh dengan pendirian yang telah dibulat.


Saya tidak tahu dari mana kekuatan jiwa itu muncul. Saya juga gagal menerka sebab-musabab diri terlalu berani menuntut perkara yang dibenci Tuhan itu. Mungkin penderitaan yang terus-menerus mendera batin, menggesa saya menggegar tiang Arasy. Tambahan pula saya sedar akan untung diri. Perlu berundur tatkala akur tidak dialu-alukan lagi. Saya hanya seorang perempuan. Lantas wanita yang memusuhi saya serta tidak berupaya untuk ditentang itu adalah ibu kepada suami saya sendiri. Saya kalah.


Akhirnya, jambangan kasih yang disemai hampir lima tahun itu terlerai kemas dalam genggaman tangan. Rumah agam yang pernah merai kehadiran saya dalam suasana meriah suatu ketika dulu, saya tinggalkan tanpa diendah. Hirupan udara di alam luar terkecap lebih nyaman. Saya lega. Selega-leganya.


Pada langkah pertama, saya menjejak kembali Teratak Anak Yatim Nurul Ain. Tempat asal-usul saya seperti yang sering diperlekeh sang ibu mertua. Sujud syukur serta pelukan kasihsayang warga senasib menyambut kepulangan saya. Huluran tangan cekal mereka memberi nafas baru pada kehidupan saya yang sedia tercela.


Saya himpun semula semangat diri. Luka peristiwa yang terhimbau kadangkala mengacah kewibawaan. Namun saya segera mengusir segala kepahitan itu jauh dari hati. Biarlah ia hanya sekadar jadam kenangan. Buat tauladan kala diimbas kembali. Juga penguat batin bila sepi menyelubungi diri.


“Kamu tahu, Irah. Menurut sumber LPPKN, dalam tahun 2004, stastitik kes penceraian sebanyak 17,749 pasangan. Bahkan 42.3 peratus daripadanya berpunca dari campurtangan mertua. Rupanya banyak sekali kes begini ya.” Petah suara Fatimah, sahabat baik saya tatkala mengemuka maklumat sahih tanpa ditanya itu, membuat fikiran saya terjeda sejenak.


Saya sungging senyum tanpa riak perasaan. Sekali terdengar, diri berasa bagai disindir dalam diam. Setelah dibolak-balik dek cepu kepala, saya akur pada ketentuan takdir.


Meski jauh di sudut benak, saya tidak menyalahkan seratus peratus perceraian saya dari ulah sang ibu mertua. Saya hanya seorang perempuan. Mertua saya juga seorang perempuan. Bukankah kuasa muktamad talaq bergepal dalam tangan lelaki?


Bertahun saya mencari jati diri. Cuba membina semula cantuman hati yang retak seribu lewat dimungkiri kepercayaan cinta. Sehinggalah saya bertemu dengan dia. Orang kedua yang agak payah pada mulanya untuk dibenih semula kasih dalam hati. Namun dia tangguh menanti kepasrahan saya. Akhirnya saya terpesona untuk kembali mengecap kebahagiaan.



Benarlah kata pujangga. Kegembiraan bukanlah sumpahan sepanjang hayat. Kesengsaraan juga tidaklah bersifat mutlak semata-mata. Segalanya berpusar-pusar lalu saling berganti tawaf di paksi nan sama. Membias warna bercorak. Begitulah hidup saya.


Ya! Saya bernikah semula. Mengahwini fiqura seorang lelaki yang tidak saya duga. Dari bibit pertemuan lewat sesi mencurah isi hati. Berkalih pada sikap saling memerlukan dalam senyap. Lantas saya tempohi dunia rumahtangga ini sekali lagi dalam rasa berbeza. Punya suami. Tanpa sebarang gelar mertua. Kerana kami sama-sama sebatang kara. Cuma ajaibnya dia masih sedarah dengan keluarga mertua yang lama. Meski agak jauh terpinggir.


 “Irah! Irah tak apa-apa kan?” Tak semena-mena sapaan mesra beserta sentuhan lembut di bahu kanan, membuyar segenap lamunan yang menyelubungi diri.


Saya tersentak. Layar kenangan lewat kehidupan silam yang rakus mengulit di cepu fikiran, serentak mati andar. Minda saya kembali ke landasan kenyataan. Berada di perut sebuah kereta Honda CRV yang dipandu suami. Menelusur sebuah perjalanan ke suatu persinggahan yang amat ragu untuk dijejak.


“Irah tak apa-apa!” sahut saya lemah.


Butiran air bening yang sarat menakung di tubir mata, saya seka pantas dengan hujung jari tangan. Ulas bibir janggal menyumbar senyuman. Sebaik mungkin saya sembunyikan nubari yang sedikit terkocak. Berbohonglah kalau saya katakan diri tidak gementar untuk menghadapi perjumpaan itu. Saya hanyalah seorang perempuan. Yang mana tetap sukar mengkambus duka lama.


Sekilas, telapak tangan kanan saya melekap lunak di muka perut yang sudah membuncit. Senyum mulai menyemekar segar. Apatah lagi tatkala saya tersentuh suatu gerakan halus yang bernyawa di situ. Saya berucap syukur dalam hati. Bersela ketusan lega yang dihambur berulang kali.


Ya! Siapalah saya hendak mengganggar takdir Tuhan. Yang mana punya hikmah tersembunyi tanpa tertebak dek akal nan waras. Tempoh lima tahun disengsarai pelbagai dugaan bahana ketiadaan zuriat lewat perkahwinan pertama, sungguh menjerakan saya. Namun, di kala pernikahan kedua ini baru melanjut ke usia empat bulan, saya sudah pun dirahmatkan hamil muda. Sungguh suatu keajaiban yang sukar digambar.


 “Kita sudah sampai Irah! Irah bersedia bukan?”


Paras berkerut sang suami yang menyerlah curiga mulai menyorot ke ruangan mata saya. Pertanyaan itu seakan berseragam dengan bentak benak saya di saat ini. Sebelum pandangan saya sempat kelintar ke suasana laman bangunan Hospital Tawakkal. Sementelah tanpa sedar sudah menyambut kehadiran kami di hadapan. Saya terkesima.


“Insyallah, abang! Irah sudah bersedia!” Getus saya yakin dalam sehela nafas.


Huluran tangan suami, saya sambut dalam redha. Jemari kedua tangan kami kemas berpaut. Seolah-olah berkongsi ketabahan. Dalam iringan tekad nan tulus, saya gorakkan langkah bersama pimpinan suami sebaik sahaja mengengsut keluar dari kereta yang usai diparkir. Meninggalkan segala kecurigaan. Menepis segenap riak prasangka.


Saya tidak tahu kunjungan yang saya lakukan ini wajar ataupun tidak. Saya juga gagal menerka akan penerimaan mereka yang belum tentu baik-buruknya. Namun, saya tetap berpaksi pada niat yang bersih. Berziarah dalam keikhlasan. Tambahan pula nurani kewanitaan saya agak tersentuh seusai mendengar perkabaran itu.


Ternyata rumah agam yang saya tinggalkan dulu dilabuh mendung tidak berkesudahan. Isteri muda Shafik (haruskah disebut bekas madu?) menderita barah rahim. Organ berharga bagi seorang perempuan bergelar isteri itu terlupus fungsinya. Malah bertahun ruang kamar hospital  menjadi rumah kedua sepasang suami-isteri itu tanpa rela.


Mungkinkah ini hukum karma? Terasa ungkapan ini terlalu kejam untuk saya luahkan. Seakan hati saya masih bergumpal dengan dendam pula lagaknya. Sedangkan sekelumit pun saya tidak pernah berniat sedemikian. Meski saya hanyalah seorang perempuan biasa. Jendela silam itu amat payah untuk disangga erat.


“Emak dan Sarina teringin benar hendak berjumpa Irah. Mereka berkali-kali menyebut nama Irah. Abang tahu, tentu sukar untuk Irah percaya kata-kata ini. Tapi inilah kebenarannya.”


Sejenak, suara penuh berharap Shafik lewat panggilan telefon pada tiga hari lalu, bergema semula ke perdu ingatan. Saya menelan liur. Sekujur tubuh bergigil kecil menahan gementar. Ada sibakan ragu yang menghurung diri. Ada percikan sangsi yang mencarik perasaan. Bahkan turut berbaur dalam riak simpati menggunung.


Saya tatap raut tenang sang suami dalam jiwa menuntun sayu. Pautan pada jemari tangan, saya gepal keras. Langkah kaki sang suami terus saya saingi melintasi lorong koridor Hospital Tawakkal yang lengang dalam selubung putih mulus. Sehinggalah tangan kekar suami  menguak lebar daun pintu di sebuah kamar. Lantas saya menginjak masuk dalam paras mempempan.


Kelihatan sekujur tubuh wanita sedang menelentang di atas sebuah katil. Sepasang mata bundar yang separuh kuyu di dalam pembaringan itu menancap tenang ke arah saya. Sebelum paras yang memucat itu bergorak sedikit cerah. Tangan yang terlalu kurus itu bingkas melambai-lambai dalam keadaan payah.


Sarina! Suatu ketika dulu, wanita inilah yang mengantikan saya dalam sepersalinan indah pengantin di sisi Shafik. Juga dijadikan tambatan hati mertua setelah saya gagal membenih zuriat. Kini, paras muda yang anggun itu sudah memucat dalam seribu kerut. Tubuh bugar menawan yang pernah mencerca kekurangan saya dulu, hanya tinggal tulang bersalut kulit.

“Mak! Kak Irah datang, mak! Kak Irah datang!”


Suara serak Sarina yang mendayu-dayu kelelahan menjentik biasan haru di hati saya. Saya hampir menangis dalam kepiluan. Sebelum mata saya tertancap pada sesosok tubuh kurus sang mertua yang sedang berteleku di sebuah bangku tetamu. Wanita itu tampak terperangah menyambut kemunculan saya.


“Irah kau datang juga, nak...”


Wanita berusia separa abad itu menerpa ke arah saya. Tubuh saya dipeluk erat dalam ngongoian tangis. Saya terpaku. Agak terkejut diperlakukan begitu. Lewat sorotan ekor mata, tampak keanggunan wanita itu sudah jauh berubah dimamah kepikunan usia diluar jangkaan saya.


Saya kerling sekilas pada raut tenang sang suami. Saya ikut menatap pada sesosok tubuh jangkung seorang lelaki di sisi beliau yang berwajah keruh dalam mata berkaca. Kesegakan Shafik dilihat telah melebur dalam laut kesengsaraan. Serasa takdir seolah-olah membaham seluruh kehidupan mereka tanpa disangka. Hati saya insaf berbaur pasrah.


“Emak banyak bersalah pada kau, Irah. Mungkin inilah balasan Tuhan pada keluarga emak. Emak berdosa, Irah!”


Rintihan itu menusuk naluri kewanitaan saya yang paling dalam. Mampu dirasa dakapan tubuh kami bertambah erat. Lantas saya nikmati keikhlasan pelukan itu dalam riak perasaan yang sukar ditebak. Bersela butiran air mata mulai bergenang satu-persatu ke pauh pipi.


Saya hanyalah seorang perempuan. Naluri kewanitaan membenarkan hati saya untuk tegar memaafkan.





Riesna Zasly

2 ulasan:

Mawar Berduri berkata...

nice. sememangnya hati wanita itu lembut dan lembut itu adakalanya pedih.

berminat untuk postkan karya anda sebagai penulis jemputan warna kaseh? www.warnakaseh.blogspot.

Riesna Zasly berkata...

terima kasih kerana sudi menghayati cik mawar :)

salam silaturahim ya :)