KARYA AKAN DATANG

 
“Tan Sri kena bersyukur kerana bersara dalam waktu sebegini. Lebih baik kita berundur ketika kerjaya politik kita masih berada di kemuncak. Jangan terus bertahan jawatan, sampai lama-lama orang benci dan bosan akan kita.”

Butir kata Dato’ Bahrin, ketuanya di kementerian yang telah bersara awal tahun lalu, menerpa ke halwa telinga. Amanat yang kerap menyentuh mindanya sejak kebelakangan ini. Juga membangkitkan resah dalam dada. Lantas menggesa dia mengambil keputusan mutlak untuk berundur dari kerjaya yang dipegang menurut kesesuaian taraf umurnya sendiri dalam prosedur perkerjaan. Meski rasa tidak rela meninggalkan pucuk pimpinan masih berlegar-legar mengacah kewibawaan.

“Dunia semakin cepat berubah. Orang-orang muda sekarang begitu lain pemikirannya dengan kita. Kehendak mereka berbeza dan segera maju ke hadapan. Kita wajar berusaha menurut rentak andai ingin terus tegar bersaing.”

Nasihat sinis sebegitu juga sudah ralit benar didengar. Meski nada itu dirasakan sedikit berbau iri, namun diakui ada benarnya. Ya! Zaman pantas berubah. Kemudahan bertugas juga semakin dipelbagaikan. Meski perubahan demi perubahan itu adakala pernah menyukarkannya untuk menurut rentak, namun dia tetap mampu menangani.

Pelupuk mata dipejamnya sejenak. Dicuba mententeramkan jiwa yang bergolak tanpa punca. Bidang kerjaya sudah menjadi darah-dagingnya selama hampir separuh umur hidup. Mampukah dia menyesuaikan diri tatkala bersara kelak? Apa yang bakal dilakukan? Tidakkah dilanda bosan atau kekok nanti? Keluhan berat diluah lagi buat ke sekian kali.

Petikan Cerpen "LINGKARAN KASIH" 

2 ulasan:

norihan mohd yusof berkata...

menarik dek!sambung g ye....

Riesna Zasly berkata...

terima kasih sudi membaca :)

Nanti telah disiarkan di majalah, akan diberitahu pada kakak ya :)