CERPEN : Lingkaran Kasih






Rentak jantungnya terasa berlainan benar ketika berada di ruang pejabat pada hari itu. Bagai ada kejanggalan yang menyelit di mana-mana. Seakan wujud kekurangan yang sukar ditafsir minda. Meski ruang bersaiz sederhana besar itu sudah menjadi bagai rumah keduanya sejak puluhan tahun lalu. Entah mengapa benak terkecap kosong. Sekosong-kosongnya.

Nafas dihela panjang. Belakang tubuh disandar lemah pada kusyen penyandar kerusi yang diduduki. Sebuah kotak kecil separa berisi di bucu kaki meja sempat dilirik mata. Keluh lesunya diluah perlahan. Sebahagian barang peribadi telah disusun kemas di dalamnya. Hanya tinggal beberapa longgokan buku nota dan perhiasan meja yang belum dicapai tangan.

“Diucapkan selamat beristirehat kepada Yang Berbahagia Tan Sri Rodziah di atas persaraan beliau. Sumbangan Tan Sri amat besar kepada pihak pengurusan kementerian serta rakyat jelata. Negara benar-benar berbangga dengan pencapaian Tan Sri selama ini yang tiada tandingnya”

Utuh tergiang-giang ucapan Yang Berhormat Perdana Menteri semasa meraikan majlis persaraannya di sebuah hotel mewah malam tadi. Entah mengapa tidak terkutik perasaan haru pun di benaknya dengan pujian sebegitu. Segala didengar hambar. Berlarutan hambar. Sehingga kehadirannya buat kali terakhir ke ruang pejabat pada hari itu turut dirasakan tidak bermaya.

Ya! Ini hari terakhir dia bertugas di kementerian yang telah dikendali hampir empat puluh tahun. Pengalamannya tidak terjangkau ingatan. Sepertimana jasa pada rakyat yang turut melimpah-ruah. Namun, itulah lumrah dunia kerjaya. Andai sudah tiba masanya, dia perlu berundur bersama bakti yang belum tentu bakal dikenang.


 “Tan Sri kena bersyukur kerana bersara dalam waktu sebegini. Lebih baik kita berundur ketika kerjaya politik kita masih berada di kemuncak. Jangan terus bertahan jawatan. Sampai lama-lama orang benci dan bosan akan kita.”

Butir kata Dato’ Bahrin, ketuanya di kementerian yang telah bersara awal tahun lalu, menerpa ke halwa telinga. Amanat yang kerap menyentuh mindanya sejak kebelakangan ini. Juga membangkitkan resah dalam dada. Lantas menggesa dia mengambil keputusan mutlak untuk berundur dari kerjaya yang dipegang. Justeru menurut kesesuaian taraf umurnya sendiri dalam prosedur perkerjaan. Meski rasa tidak rela meninggalkan pucuk pimpinan masih berlegar-legar mengacah kewibawaan.

“Dunia semakin cepat berubah. Orang-orang muda sekarang begitu lain pemikirannya dengan kita. Kehendak mereka berbeza dan segera maju ke hadapan. Kita wajar berusaha menurut rentak andai ingin terus tegar bersaing.”

Nasihat sinis sebegitu juga sudah ralit didengar. Meski nada itu dirasakan sedikit berbau iri, namun diakui ada benarnya. Ya! Zaman pantas berubah. Kemudahan bertugas juga semakin bercorak. Meski perubahan demi perubahan itu adakala pernah menyukarkannya untuk menurut rentak, namun dia tetap mampu menangani.

Pelupuk mata dipejamnya sejenak. Dicuba mententeramkan jiwa yang bergolak tanpa punca. Bidang kerjaya sudah menjadi darah-dagingnya selama hampir separuh umur hidup. Mampukah dia menyesuaikan diri tatkala bersara kelak? Apa yang bakal dilakukan? Tidakkah dilanda bosan atau kekok nanti? Keluhan berat diluah lagi buat ke sekian kali.

“Maafkan saya, Tan Sri, andai saya mengganggu.”

Ketukan di daun pintu kamar beserta teguran sang setiausaha sedikit menggugah ketenangan. Lamunannya mati andar. Tubuh kecil molek Nazirah, yang telah berkhidmat lebih sepuluh tahun dengannya itu bingkas dijamah mata.

“Ada apa Zirah?”

“Ada beberapa panggilan sejak tadi. Semuanya ingin mengucapkan tahniah diatas persaraan Tan Sri. Saya tak berani hendak sambungkan, takut mengganggu pula. Saya ikut seperti yang Tan Sri pesan tadi.”

“Baguslah begitu. Saya pun tak mahu diganggu pada hari ini.”

“Baiklah, Tan Sri. Kalau begitu saya keluar dulu, ya.”

Dia berangguk dengan benak sedikit jengkel. Rasa tersindir pula ketika dimaklumkan tentang panggilan tahniah yang tak putus-putus tiba itu. Hati sedikit cuak tak semena-mena. Padahal dia tahu, perutusan itu diluah ikhlas untuk orang yang bakal bersara sepertinya. Kononnya bertuah kerana akan terlepas dari tanggungjawap kerjaya yang dipikul. Malah dapat berehat sepenuhnya bersama sumber wang persaraan yang terus bergulir sepanjang hayat. Namun mengapa hatinya tidak sekelumit pun terkecap gembira?

Gambar berbingkai di sudut kiri muka meja direnung dalam. Wajah manis tiga zuriat bersama sang suami dikilas satu-persatu. Ada kepiluan mengacah di rongga dada. Dirasakan begitu pantas waktu berlalu. Kini, dua puteri dan seorang putera dari usia perkahwinan lebih 45 tahun itu telah dewasa serta bercambah keluarga diluar kesedaran.

Dia akur tidak begitu mengenali secara mendalam ketiga sosok tubuh yang pernah menjadi janin dalam rahimnya selama lebih sembilan bulan itu. Kesibokan berpolitik dan berkecimpung dalam kerjaya sejak usia muda perkahwinan telah menjarakkan hubungan yang ada. Malah diakui mereka lebih akrab dengan sang ayah berbanding dirinya selaku sang ibu.

Pernah terjentik rasa bersalah kerana tidak pernah menjadi sebahagian dalam kehidupan mereka. Juga kesal mengenang tumbesaran mereka diluar jangkauan mata. Namun dia yakin, pengorbanannya demi rakyat dan negara sentiasa dimengertikan.




Kini, apabila dia kembali menghuni kediaman besar keluarganya itu nanti, masihkah punya kesempatan untuk menebus semula waktu yang berlalu? Di kala anak-anak bukan lagi boleh dipangku dan diasuh? Malah semuanya telah beralih kehidupan berkeluarga di kediaman masing-masing?

“Apalah saya boleh buat kalau sudah duduk saja di rumah nanti ya, abang? Mati kutulah saya agaknya”

Terimbas rungutan bosan yang pernah dihambur pada sang suami suatu ketika dulu. Di saat anggapan kesunyian yang bakal ditempoh semakin mengugat kewibawaan. Di waktu rasa gerun andai diri tidak betah menjadi suri rumah sepenuh masa kelak, mengkacau-bilau waras akal. Rasa buntu apatah lagi.

“Awak tu risau yang bukan-bukanlah, Ziah. Macam-macam awak boleh lakukan semasa di rumah nanti tau. Cuba jernihkan pemikiran tu.”

“Entahlah, abang. Saya ini berpuluh tahun menjadi “Career Woman”. Di pejabat itulah banyak masa saya dihabiskan. Di situlah dunia saya selama ini”.

“Hah! Sekaranglah masanya awak pelbagaikan dunia awak tu. Kehidupan bukan untuk bekerja saja. Banyak lagi yang awak boleh lakukan. Tambahan pula hanya kita berdua saja dirumah tu nanti. Anak-anak semuanya dah besar panjang. Dah ada rumah masing-masing.”

“Berdua dengan awak hendak buat apa? Awak tu pun bukan selalu lekat di rumah. Sibok dengan kayu golf awak tu saja. Takkan hendak ikut awak berpanas terik di padang golf itu pula.”

“Wah! Inilah masanya awak dapat melayan saya sepenuhnya. Sama seperti ketika kita baru berkahwin dulu. Hehehe...”

“Ishh ! Awak ni! Ke situ pula..”

Masih mendegar-degar kekehan tawa sang suami yang tak jelak bergurau mesra. Senyum sinis menukil di ulas bibir. Meski hati sedikit terhibur dengan gurauan itu, namun tetap sukar diusir rasa gelisah yang berbekas.

“Bersara atau tidak, bagi saya sama saja keadaannya, Tan Sri. Saya tetap tak betah dirumah. Waktu inilah hendak sibok berpersatuan. Keluar melancong dengan kawan-kawan. Membeli-belah dimana-mana. Ataupun ikut rutin rawatan SPA dan saloon di merata tempat. Hendak harapkan anak cucu melawat kita, setahun sekali gamaknya baru dapat bersua muka. Itupun di hari raya. Suami pula sibok dengan kawan-kawannya sendiri. Tak diperdulinya kita ni. Jika tak pandai menghabiskan masa, jadi tunggullah kita dirumah.”

Ngomelan Datin Siti Zaharah melintasi liang akal. Terbayang tubuh montel isteri Dato’ Bahrin yang amat gemar bergaya itu. Wanita yang ligat membeli-belah itu memang bukan tandingannya dalam mengumpul koleksi pakaian mewah dan barang kemas. Hobi sebegitu juga bukan citarasanya selama ini. Akan begitukah gelagatnya setelah bersara nanti? Masyallah!

“Inilah waktunya berpeluang mendekatkan diri dengan Allah. Mengumpulkan semula pahala dan mensyukuri rahmatNya bagi waktu-waktu yang pernah kita lekakan dengan alam dunia dulu. Bersolat sunat serta mendalami Al Quran selagi boleh. Menunaikan amal kebajikan buat bekalan akhirat. Tambahan pula ketika usia sudah berangkak senja ini.”

Paras tenang Puan Sri Hajjah Syarihaa ikut menyendati ruang minda. Dia mengetap bibir sambil terus melayar jeda. Tutur lembut itu seibarat menyiram dingin segala resah berbahang di perdu jiwa. Rasa berdosa bahana kelalaiannya selaku manusia beragama pada waktu silam, menerbitkan keinsafan.
Pandangan sempat berkelintar ke sekitar ruang pejabat. Suasana tetap sama seperti seadanya. Gelagat kakitangan bawahan di luar bilik pejabat masih meriah dalam menekuni tugas masing-masing. Para pengunjung yang inginkan perkhidmatan jabatan juga utuh silih-berganti sepersis biasa. Namun mengapa pula hatinya berbeza rasa?



“Maaf Tan Sri.. Saya mengganggu sekali lagi..”

Kepala Nazirah yang menjegul di sebalik muka pintu separa terkuak mematikan khayalan minda. Dia yang sedang memuatkan saki-baki barang peribadi ke dalam kotak terakhir, segera berpaling wajah. Paras sang setiausaha yang sudah berusia hampir separuh abad itu ditekur lunak.

Nazirah adalah setiausaha ke enam berkhidmat untuknya di jabatan itu. Manakala lima orang setiausaha terdahulu yang turut pernah menjadi tangan kanannya dalam kerjaya telah selamat menempuh alam persaraan. Silih-berganti meninggalkannya yang terus bertahan sehingga ke usia mutakhir pekerjaan. Itupun dia masih juga sukar merelakan.

 “Saya ingin maklumkan suami Tan Sri telah sampai dan menunggu di ruang legar bawah. Tan Sri akan berangkat pada jam berapa ya?”

Mata segera menancap ke muka jam besar di tepi dinding kiri yang menunjuk ke angka lima petang. Dia terperangah. Pantas masa berlalu. Tanpa sedar, sudah sehari suntuk dia terperuk di ruang bilik pejabat itu. Berkhayal entah apa-apa. Sebelum meninggalkan minit-minit terakhir kerjayanya itu sebentar lagi.

 “Baiklah, Zira. Sekejab lagi setelah siap berkemas serba-sedikit, saya akan turun, ya.”

Seperti tidak percaya dia mampu melalui tempoh tamat perkhidmatannya itu dalam semudah cara. Melangkah keluar dari kamar kerja sambil memangku kotak kecil terakhir. Bersalaman dalam pamit perpisahan dengan kesemua kakitangan yang ada. Mengetik pas kehadiran terakhir. Sebelum mengamit sang suami yang setia menantinya di muka pintu kereta. Lantas bersama meninggalkan bangunan jabatan disaksikan debu aspal bertebaran. Tanpa bertoleh kembali ke belakang.

Di sepanjang perjalanan pulang itu, dia membisu seribu bahasa. Minda terdetak kosong. Sepertimana pandangan kosongnya ke landasan aspal dihadapan. Sang suami juga bagai mengerti kejanggalan yang bermukim. Lantas turut tidak mengajukan sebarang perbualan.

Sekilas mata melirik ke paras sang suami yang khusyuk memandu disebelah. Rambut memutih hampir menutupi keseluruhan kepala lelaki yang telah bertahun dikahwininya itu sedikit  mengundang haru. Garis-garis kerut yang melatar di segenap wajah orang tercintanya itu juga mengetus semula keinsafan diri. Ya! Lelaki itu sudah tua. Dirinya apatah lagi!

Sejurus kenderaan pacuan empat roda itu memasuki gerbang kediaman mewah miliknya, gelisah di hati dirasakan kian memparah. Aura kesunyian ikut menyelubungi diri. Mampukah dilayar kesepian diri semasa sepenuh hari di perut kediaman ini nanti? Membiarkan tubuh beransur-ansur pikun keseorangan melewati galur waktu? Sekujur tubuh menggeletar disergap gerun tak semena-mena.



“Ziah.. Kita dah sampai ni.. Marilah masuk..”

Sapaan lembut sang suami yang tanpa sedar telah bercegat di hadapan kuakan muka pintu kereta serba-sedikit melupus rasa gementar. Dia termangu seketika. Pandangan meliar ke segenap arah. Suasana tiba-tiba dirasakan asing baginya. Padahal dia menjejak di kediamannya sendiri!

‘Masyallah! Apa yang tak kena dengan diri aku ini!’

Dia melangkah longlai ke muka pintu utama kediaman sejurus mengengsut keluar dari perut kereta. Sang suami yang sibuk memangku sebuah kotak kecil dibelakang diri langsung tidak diendah. Perasaannya terus berbaur rasa. Khayalan demi khayalan lewat kehidupan baru yang bakal ditempoh terus mengacah rasa gentar. Bersulam kusut fikiran yang ligat merangka-rangka aktiviti yang wajar diisi kelak. Dia panik! Kekok!

Jemari tangan lemah menggenggam cembul pintu. Dalam lagak janggal, daun pintu kediaman mewah miliknya itu dikuak lebar. Berseiring kaki menjejak masuk ke ruang dalaman. Dia sedikit terpinga-pinga. Suara riuh-rendah yang menerobos kasar ke halwa telinga mengetus rasa gugup.

Kelihatan kedua puterinya sedang sibuk menghidang sejumlah makanan di atas meja utama ruang makan. Suasana ruang tamu tampak hiruk-piruk dengan beberapa anak kecil saling berkejaran dimana-mana. Bersambut suara saling bertingkah anak-menantu yang rancak berbual di ruang yang sama. Segalanya meriah dalam ragam riuh-rendah.

“Selamat bersara emak! Kami semua berkumpul untuk meraikan emak hari ini.”

Kedua puterinya itu bingkas mengamit lalu menuntunnya ke sebuah sofa di ruang tengah. Senyum simpul sang suami di belakang diri dilirik dalam gamam. Begitu juga sunggingan senyum serta peluk cium anak-menantu yang menyambutnya di waktu itu. Semua wajah ceria itu ditekur dalam lagak terkebil-kebil. Dia terkejut!

“Emak duduk dulu ya. Layan dulu cucu-cucu emak ini. Sudah siap menghidang makanan nanti, kita sekeluarga makan bersama ya!”

Puteri sulung meletakkan seorang bayi mongel di atas ribaannya. Sementara dua orang kanak-kanak kecil alias cucu-cucu yang lain turut meluru ke arahnya. Satu menengger di sisi kiri minta dilayan. Satu lagi langsung bersimpuh comel sambil memeluk di tungkai kaki. Kesemua mata si kecil itu menatap lunak ke arahnya. Mohon dimanja.

Dia terpaku dalam takjub. Sempat dilirik paras girang sang suami yang sedang rancak bergurau senda dengan anak-menantu. Juga beberapa cucu-cucu yang terus ralit bermain kejar-kejar. Sebelum mata menjatuh pada sebujur wajah comel bayi dalam pangkuan yang merenungnya minta diagah. Bersilih paras lugu cucu-cucu lain yang leka menenggek disisi.

Ulas bibir mulai menggerah senyum. Gelisahnya spontan bertukar haru. Kegusaran serentak melenyap serta-merta. Lantas semilir pawana damai menerobos ke rongga dada. Menitip keyakinan baru. Bahwa lingkaran kasih tetap menjelma untuknya.

  
Riesna Zasly

Gambar-Gambar Hiasan Milik Ratna Sari Dewi Soekarno 
 

Tiada ulasan: