CERPEN : WARISAN TERAKHIR






Suasana gerimis kesan sisaan hujan menemani perjalanan keretanya di pagi Jumaat itu. Landasan lengang aspal ditekur penuh waspada. Sesekali rasa teruja hendak segera tiba ke haluan yang dituju, mengacah di liang benak. Sepertimana lonjakan perasaan ingin tahu yang turut membuak-buak. 

Dia sedar. Kepulangan kali ini agak berbeza dari kebiasaan. Meski perjalanan berulang-alik ke Kampung Tanjung Belanga sudah menjadi rutin peribadinya saban waktu. Terutama bagi menziarah emak yang mendiami rumah pusaka peninggalan moyang. Juga menjengok Nek Su yang kian uzur dimamah waktu.  Apatah lagi, bersangkut-paut dengan upacara pernikahan adik bongsunya pada hujung minggu itu. 

Ulas bibir mengulum senyum.Tancapan mata utuh menumpu pada pemanduan di hadapan. Terkadang sempat melirik pula pada selonggok plastik besar yang memenuhi ruang penumpang kereta di belakang.  Tak semena-mena rasa lucu menjentik ke liang benak.
Mengenang telatah Nek Su, hatinya gerah berbunga-bunga. Sejak seminggu lalu, neneknya yang telah berusia senja itu tak putus-putus meneleponnya menitip peringatan. Menggesa kembali awal ke kampung halaman. Juga memesan sesuatu untuk dibawa pulang yang sama sekali tidak masuk akal. 

“Liah, kau bawa balik barang yang Nek Su pesan tu nanti tau. Jangan buat-buat lupa pula.” 

“Nek Su nak buat apa dengan benda tu? Bukan boleh dimakan pun. Kalau Nek Su teringin nak makan buahnya, saya boleh belikan di Pasar Larkin. Berlambak ada orang jual.” 

“Nek Su taknak buahnya, Liah. Kau petikkan saja daun-daun tu. Bawa banyak-banyak. Adalah benda yang Nek Su hendak buatkan nanti.

Sejenak, perbualan yang kerap berulang lewat isu yang sama itu, mengimbas ke relung ingatan. Dia spontan terbayang sebatang pokok jambu batu yang menghuni di pinggir perkarangan rumahnya di Gertak Merah. Pohon tua itu memang sudah wujud sejak dia berpindah ke kawasan itu dulu. Malah langsung tak pernah diperdulikan. 

Senyumnya melebar tatkala mengenang diri terkapai-kapai memetik jambakan daun hijau yang siap beranting dari pohon rendang itu. Merelakan tangan berlekit getah yang baunya sedikit meloyakan tekak. Sebelum melonggok ke dalam sebuah plastik besar. Lantas dibiarkan menghuni di  perut kenderaan sehingga di hari keberangkatan. 

Dengus dihambur perlahan. Papantanda simpang laluan masuk ke Daerah Ayer Hitam yang mempamer jelas di sisi jalan, membuyarkan lamunannya. Perhatian kembali menera pada suasana di sekitar. Dia akur. Setelah melewati plaza tol di kawasan itu nanti, keretanya akan terus diluncur melintasi Bandar Batu Pahat. Sebelum tiba di Kampung Tanjung Belanga yang terletak di daerah pendalaman Parit Sulong.

 “Sampai juga kau, Liah!” Senyum girang emak menyambut ketibaannya di depan pintu rumah pusaka. Getusan lega terluah di dalam hati. Perjalanan hampir empat jam dari pusat bandar Johor Bahru itu terasa hilang lelah sejurus menjergah paras tenang emak. 

“Nek Su mana, mak? Tak nampak bayangnya pun..”  Kelibat nenek menjadi sumber pencarian pertama. Dia perasan tubuh tua itu tidak kelihatan di mana-mana. Juga tidak menyambut kepulangannya bersama emak seperti selalu. 

 “Ada dirumah Tok Wan Zainab di depan tu. Ambil daun senduduk katanya. Kejab lagi pulanglah nenek kau tu.” 

Emak menjuih bibir ke arah sebuah rumah jiran terdekat dengan lagak sedikit acuh. Seakan sudah menduga pertanyaan yang diajukan.Tangan emak lincah menyambut sebuah beg pakaian yang dijinjing, lalu dibawa masuk ke ruang ibu rumah. Sebelum sama-sama mengekornya semula ke arah kereta bagi mengangkut saki-baki barang yang ada. 

 “Ini daun jambu batu yang nenek kau suruh bawak tu, ya? Mari emak tolong angkatkan.” 

Perlawaan emak disambut dengan anggukan kecil. Termengah-mengah dia dan emak mengangkut plastik besar yang sendat berisi itu ke sudut dapur. Sempat juga dia mengomel lewat barangan pelik yang beriya-riya dipesan Nek Su itu. Justeru mengetus rasa jengkel. 

“Nek Su nak buat apa benda ni, mak? Tu pergi mencari daun lain lagi pula tu. Apa-apalah nenek aku ni. Masyallah!” 

Emak terledak tawa sambil bergeleng kecil. Sememangnya mereka sekeluarga sudah arif benar dengan sikap Nek Su. Semenjak bersara dari jawatan guru besar hampir dua puluh tahun lalu, Nek Su agak kurang gemar memerap di rumah. Ada sahaja agenda yang dilakukan. Malah acapkali tabiat Nek Su begitu payah dicerna akal. 

Belumpun sempat dia mereda lelah seusai menghadap hidangan enak emak, kelibat Nek Su muncul di muka pintu. Huluran salam serta peluk cium mengiringi pertemuan itu. Sebelum dirinya ditarik Nek Su keluar dari rumah. Menggesa pemintaan diturut. Sekutik pun tidak mengendah tubuhnya yang masih kepenatan. 

“Mari Liah! Liah kena tolong Nek Su kali ini.” 

“Nek Su hendak ke mana pula ni? Kan baru balik dengan karung-karung itu..” 

Dahi berlapis kerut mengenang telatah Nek Su. Meski baru pulang, Nek Su tetap tampak bersemangat. Padahal renikan peluh dilihat melenjun di sebujur wajah tua itu. Juga di sebahagian baju kurung Kedah yang dipakai. Nek Su tidak kenal erti letihkah? Dia beristiqhar panjang di dalam hati. 

 “Kita ke kebun belakang. Liah temankan Nek Su, ya.” 

“Nek Su hendak buat apa pula ni? Tak penat?” 

“Ikut sajalah...” 

Meski benak sedikit cuak, ditemani juga Nek Su ke dusun kecil di belakang rumah. Terpegun dia melihat lincah parang Nek Su menetak ranting-ranting pokok manggis yang masih belum berputik buah. 

Malah, tangan tua itu gigih menarik keluar rumpun-rumpun tumbuhan halia dan lengkuas dari dalam tanah. Sementara dia hanya bantu melonggok serta mengangkat kesemuanya pulang ke rumah. 

Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Tingkah teruja Nek Su yang agak beriya-riya itu mencetus rasa hairan. Seakan berkehendak mengerjakan sesuatu yang sudah lama diidam. Juga tidak sabar-sabar ingin dikotakan. Sedangkan kenduri kahwin adik bongsunya masih jauh dalam tempoh tiga hari lagi. Dia musykil. 

Namun disebalik berkeluh resah itu, dia memahami benar slot-slot agenda yang bakal ditempohnya nanti. Dia pasti dipaksa menemani Nek Su lagi selepas ini. Diajak ke merata tempat yang sukar dimengertikan. Juga agak payah hendak melolos diri. 

Ternyata telahannya benar. Keesokan pagi, tidurnya awal-awal lagi dikejutkan Nek Su. Dia dikerah mengekor ke pasar borong di kampong seberang. Buat membeli pelbagai rencah yang kian merenik rasa ragu. 

“Nek Su buat apa beli macam-macam rempah ni? Bukankah kenduri Adik Ita nanti pakai khidmat katering?” Soalnya separa memprotes. 

Terbelalak mata melihat Nek Su membeli selonggok besar kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkeh, ketumbar serta buah pelaga dari salah sebuah gerai. Tak lupa beberapa ikat batang serai serta beraneka jenis jintan yang turut diborong banyak. Pelik! 

Padahal dia sendiri tahu, majlis perkahwinan Adik Ita diurus sepenuhnya dengan khidmat katering. Kesemua lengkap berbayar seperti dirancang. Mereka sekeluarga sememangnya tidak perlu lagi berbuat apa-apa. 

“Liah bawa semua barang ni masuk ke dalam kereta, ya. Angkat baik-baik tau.” 

“Semua ni Nek Su? Banyaknya.” 

“Angkat sajalah....” 

Dia menyeringai. Aroma pelbagai rempah-ratus yang menusuk hidung kian menampan rasa geram. Sudahlah pertanyaannya tidak disahut, Nek Su selamba mengutus arahan sambil bersenyum simpul pula. 

“Oh ya! Nasib baik Liah ingatkan tentang katering tu. Kita singgah ke tempat katering pula sekejab nanti, ya. Nek Su nak ambil barang.” 

“Hah!” 

Rupanya episod aneh itu tidak tamat begitu sahaja. Dia dikerah menyusul ke syarikat katering yang ditempah emak. Terlopong mulutnya memerhati Nek Su meminta lalu melonggok seguni penuh barang buangan berisi kulit bawang merah ke perut kereta. Paling kaget, daun pohon mengkudu di laman bangunan rumah kedai itu pun turut dikebas Nek Su. 

“Masyallah. Kotornya baju kau, Liah. Cepat pergi mandi. Nanti gatal-gatal pula satu  badan kerana miang daun tu. Hehe...” 

Bercemberut muka menerima sindiran sarat geli hati emak ketika pulang ke rumah. Bibir mencibir kebengangan. Habis berbirat kulit muka dan baju yang dipakai bahana habuk rempah yang bercampur aduk. Pulang pula dengan plastik besar yang seiras karung sampah. Bau yang terpalit apatah lagi. Paling geram, Nek Su hanya selamba menonong masuk dengan senyum simpul yang tetap tak lupus-lupus.

 “Nenek nak masak apa sebenarnya, mak? Bahan rencah semuanya pelik-pelik.” 

Dia mengulang persoalan yang sama. Sempat dilihat beberapa papan berisi telur ayam bersusun tinggi di tepi tungku dapur. Sehimpun dengan bahan-bahan lain yang beraneka bungkusan. Rasa pelik di hati rakus bergelinjang. 

“Kau tanyalah sendiri pada nenek kau tu. Emak tak mahu masuk campur.” 

Emak bersahaja mengelak sambil tersengih panjang. Dia menetap bibir. Andai hanya ingin merebus telur untuk hantaran kahwin, takkan diguna segala rempah-ratus ini? Bersama daun-daun yang tak pernah orang jamah pula? Benaknya terus berteka-teki. Sehinggalah segala kemusykilan itu akhirnya terbongkar secara tidak sengaja. 

“Tak seronoklah kalau macam ni. Sekarang semua orang kahwin bagi coklat dan gula-gula. Kemudian bungkus cantik-cantik atau letak  dalam kotak comel. Lebih pada gaya seperti door gift di hotel itu. Mana ada lagi zaman beri bunga telor seperti dulu. Nek Su ni lecehlah."

 Rengekan Adik Ita yang bersifat memberontak kepada emak semasa sesi berinai di malam itu memperjelaskan segalanya. Dia akhirnya tahu hidangan yang ingin Nek Su sediakan. Meski masih was-was pada rupabentuk serta rasa bunga telor yang kononnya ingin direbus bersama pelbagai jenis ramuan itu. Pengertiannya utuh belum sempurna. 

“Majlis Ita bukan buat di hotel besar. Kita buat di kampung ni saja. Buat apa hendak ikut amalan yang bukan budaya kita? Kitakan ada budaya bangsa kita sendiri. Biar mati anak, jangan mati adat, Ita.” Bidas emak dalam suara separa memujuk. 

“Eii! Siapa nak makan telur warna coklat tu lagi zaman sekarang ni, mak. Baunya saja dah buat orang kembang tekak. Rasanya tak taulah pula. Kata kawan Ita, kalau makan banyak, kentut pun berbau juga nanti.” Cemuh Adik Ita dengan bibir mencemik sinis. 

“Mulut jangan celupar, Ita. Cakap siang pandang-pandang. Cakap malam dengar-dengar!”
Emak menempelak baran. Jegil mata emak jelas mempapar rasa kurang senang lewat keceluparan Adik Ita. Juga bagai resah andai kata-kata itu tertempias ke telinga Nek Su yang menghuni di kamar sebelah. Dia yang turut berada di situ hanya memerhati dalam diam. 

“Bunga telur ni ada maknanya dalam adat kita, Ita. Telur yang direbus harum dengan segala rempah itu lambang berkat orang tua-tua. Semacam memohon tetamu yang datang mendoakan agar jodoh berpanjangan. Restu subur mendapat zuriat.” 

Tanpa disangka-sangka suara Nek Su bergiang dari arah belakang. Bersela kepala Nek Su menjengol dari balik muka pintu bilik yang separa dikuak. Dia dan emak serta-merta terpempan sambil saling berpandangan sesama sendiri. Adik ita yang turut terkejut lewat kemunculan itu, spontan menundukkan wajah. Sedikit mempamer rasa kesal. 

“Zaman dulu-dulu, hidangan telor inilah yang dibawa orang buat bekal berdagang. Isinya tahan lama. Walau berminggu-minggu, rasa enaknya tetap takkan hilang. Kalau di kenduri-kendara, rasa janggal jika hidangannya tidak ada. Orang sampai tercari-cari dibuatnya.” Sambung Neksu dalam lagak bersungguh. Wajah tegang ketiga mereka di kilas mata Nek Su silih berganti. Emak dan Adik Ita diam tak berkutik. Dia turut kehilangan kata-kata. 

“Orang dulu-dulu amat berpegang adat. Bunga telor pun bukanlah berfesyen bekasnya seperti sekarang. Ada cara tersendiri menurut budaya. Biasanya telor rebus itu diisi bersama pulut kukus dan bunga di dalam kelongsong. Kerongsong itu dibuat dari daun pisang bersalut kertas.” Nek Su meneruskan hujah dalam sehela nafas. 

“Biasanya pulut yang dikukus lembut dan diberi warna kuning dimuat dulu ke dalam kelongsong. Lantas ditutup dengan secebis daun pisang yang dipotong bulat.  Kemudian barulah telur rebus yang sudah dicelup dengan pewarna merah diisi pula di atasnya. Akhir sekali, setangkai bunga kertas dicucuk diatas telor tadi. Inilah ciri bentuk bunga telor asal yang dibahagikan kepada tetamu yang datang.” Jelas Nek Su lagi. 

“Tahu tak apa makna tersirat di sebalik warna-warna dan susunan bunga telor itu tadi?” Duga Nek Su. Mereka serentak bergeleng kepala. 

“Pulut kuning itu lambang tanah dan air. Dimana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Warna kuning lambang istiadat yang tak lapok dek zaman. Telor berwarna merah pula memberi isyarat cinta yang didoakan terus bersemekar. Restu mendapat zuriat yang baik dan dirahmati Maha Esa!” Tutur nek su dalam serak suara bagai mendayu-dayu pula. 

“Nek Su tahu, orang sekarang sudah tak perduli lagi dengan tradisi pemberian bunga telor ini. Macam dah lupakan pun. Tapi selagi Nek Su hidup, Nek Su harap anak-cucu Nek Su dapat merasa dan tahu serba-sedikit resepinya. Setelah Nek Su tiada nanti, terpulanglah pada kau orang semua hendak teruskan atau tidak.” Ungkap nek su separa berkeluh lalu perlahan-lahan menyusup keluar dari bilik itu. Dia terkedu bercampur haru. Emak juga tampak termenung jauh. Suasana di perut bilik itu terus sepi. Meski bayang Nek Su sudah menghilang lama dari pandangan mata.

 Dia sedar. Pasti hati nek su tersinggung sampai berhujah panjang seperti itu. Jauh di sudut benak, dia turut dihambat rasa bersalah. Terutama bila dikenang sikap jengkelnya sendiri ketika mengekori Nek Su di sepanjang siang tadi. Kesalnya termercup. 

Lewat malam itu, dia mencari-cari kelibat Nek Su di sekitar rumah dengan benak yang resah. Dalam diam, diperhati Nek Su sedang sibok dengan sebuah tungku dapur yang telah dinyala api. Sebiji periuk sebesar kawah yang separuh diiisi air, teguh berjerang di atasnya. Sementara tangan Nek Su lincah melerai cebisan daun-daun dari ranting. Lantas memasukkan sedikit demi sedikit ke dalam periuk yang sama. Tak terkecuali telur yang turut diisi dengan lagak waspada. 

“Nek su... Errr... Boleh Liah tolong?” Terkial-kial gugup dia menyapa. Dengan lagak kekok, dia duduk bersimpuh di sebelah Nek Su. Cuba memaniskan wajah. 

“Tolong Nek Su ketuk-ketuk batang serai dan lengkuas ni, boleh?” Arah Nek Su selamba. 

Dia menyungging senyum. Perlawaan Nek Su itu serba-sedikit menyurup rasa lega.Tanpa berlengah, jemari tangannya lincah melerai beberapa ikatan batang serai serta balutan kertas berisi lengkuas dan halia yang turut dilonggok berhampiran. Sebelum mengetuknya satu-persatu. Lantas ikut memasukkan ke dalam periuk yang sudah berkepul asap tipis.

 “Zaman dulu Liah, telur-telur macam ni direbus sampai empat hari empat malam. Pelbagai jenis rencah diguna untuk memberi perasa dan warna yang unik. Tapi jenis bahan yang diguna tu berbeza ikut tukang masak yang menyediakan. Tak semestinya sama.” Hujah Nek Su tanpa dipinta. Dia melirik sekilas ke paras tenang Nek Su. Dada terasa lapang. Dia akur. Sekiranya Nek Su sudah membuka mulut bercerita ramah seperti itu, pasti emosi sudah stabil sepersis sediakala.

 “Daun-daun yang banyak ni buat apa pula Nek Su? Tak pernah pula tengok orang memasaknya..” Soalnya dalam lagak ingin tahu. Lebih kepada memberi reaksi balas sebenarnya. 

“Daun pokok manggis, senduduk dan daun jambu batu yang kau bawa tu diguna untuk merebus saja, Liah. Getah daun itulah yang membuat kulit telor berwarna gelap kecoklatan. Tapi tak ganggu rasa telor tu.” Jelas Nek Su ramah. 

“Habis, macamana telor tu boleh rasa macam lemak-lemak masin, Nek Su?” Tanyanya lagi.
Dia spontan membayang rupa bentuk telor rebusan rempah yang sering dimakannya sewaktu kecil dulu. Diakui rasanya begitu berbeza dari telur rebus biasa yang agak tawar. Telor rebus yang dipanggil telor pindang itu lebih terhadam perisanya serta enak dimakan. 

“Kena letak sedikit garam juga ke dalam rebusannya nanti, Liah. Juga sedikit kicap untuk beri rasa masin berlemak dan warna sedikit hitam pada telor. Yang rempah-ratus lain  pula akan tinggalkan bau harum dan sedikit penyedap rasa. Tapi bahan paling utama adalah kulit bawang merah. Tanpa bahan tu, tak lengkaplah hendak merebus.” Nek su terus galak memberi penerangan.  

“Yang batang serai, lengkuas dan halia ni pun mesti hendak bagi telor tu wangi kan, Nek Su?” Duganya dalam benak yang semakin rancak dengan lonjakan ingin tahu. 

“Betul tu, Liah. Bila diketuk dan dimasukkan bersama, rebusan akan jadi wangi sekali.” Nek Su mengiyakan dalam senyum simpul yang mulai melebar. 

Dia terus berangguk menonjol reaksi berminat. Nyalaan api yang berlenggang-liuk dari bumbu tungku dapur memenuhi daya tumpuannya. 

Dari menanti sambil bersimpuh, dia berkisar duduk kepada bersila. Tidak lama kemudian terus berlunjur kaki pula bahana kelenguhan. Namun disedari air dalam periuk itu tidak juga menggelegak. 

“Kecilnya api tu, Nek Su.. Lamalah hendak tunggu air menggelegak..” Getusnya lesu.

  “Api memang tak boleh dinyala besar, Liah. Biarkan sederhana. Tambah pula telur yang diguna tu jenis yang dibeli dari kedai. Kulit telurnya memang mudah retak. Juga cepat pecah. Lainlah kau kita guna telor ayam kampung.” Ujar Nek Su. 

 “Jadi.. lamalah kena tunggu ye, Nek Su?” Dia menuntun kepastian.

 “Ikut jadual, Nek Su hendak merebus selama 5 atau 6 jam sampai keluar baunya. Esok pagi dah boleh dimakan. Tapi kalau hendak sedap lagi, boleh dibiarkan lagi lama. Bergantung pada jumlah telor dan perancangan kitalah juga.” Bilang Nek Su berkira-kira. 

Kepalanya berangguk akur. Meski hati sedikit jengkel bila dikenang betapa payahnya hendak menyediakan hidangan itu. Hendak mencari bahan-bahannya sahaja sudah memeningkan kepala. Belum lagi kena menanti tempoh merebusnya pula. Padahal sekadar untuk merebus telur! 

“Susah juga lah mahu membuatnya. Mana nak mengumpul berjenis-jenis daun tu lagi. Rempah-ratus pun sama. Kalau di bandar, puaslah kena mencari.” Rungutnya dalam helaan nafas panjang. Nek Su tertawa kecil lewat keluhannya itu. 

“Tak semestinya kena ada semua jenis bahan ni, Liah. Boleh memadai saja apa yang ada. Seperti Nek Su cakap tadi, teknik merebusnya berbeza mengikut tukang masak yang menyediakan. Hasilnya akan tetap sama. Bau telur itu tetap ada. Cuma kadang-kadang warna gelap pada telur tu saja tidak segelap yang disangka.” Jelas Nek Su berhemah. 

“Daun-daun ni semua, kalau tak dapat dicari pun, cukuplah ada rempah ratus itu saja. Tapi kulit bawang merah tu mesti ada. Itu yang paling penting!” Tegas Nek Su lagi. 

Dia diam tidak berkutik. Tumpuan terus menera pada periuk rebusan yang sudah dilitup dengan bekas penutup. Semerbak bau harum rempah menggesa rasa teruja hendak menjamah telor itu. Lebih-lebih lagi setelah mendengar penerangan beriya-riya Nek Su sebentar tadi. 

Jam tiga pagi, Nek Su berpamit masuk ke dalam rumah. Ingin bersolat Tahajud katanya. Dia akur untuk terus berjaga menanti rebusan itu. Meski Nek Su tidak muncul-muncul lagi selepas itu. Sehinggalah fajar tampak menyinsing lewat ketibaan hari baru. 

“Liah... Pergilah masuk. Bersolat dan berehat dulu. Air rebusan ni biar emak yang sambung jaga dan cedukkan.” Emak menyergah dari tingkap dapur. 

“Nek Su mana, mak? Soalnya. Dia menguap. Rasa kantuk rakus menggeromol diri. 

“Ada dibiliknya lah itu. Biarlah nenek kau berehat, Liah. Dari kelmarin orang tua tu sibok tak menentu.” Rungut emak pula. 

Dia mengiyakan. Dengan langkah longlai, dia menonong masuk ke dalam bilik. Sempat bersolat khusyuk serta berdoa untuk kesejahteraan majlis yang bakal berlangsung. Sebelum merebah tubuh di atas tilam lenbam. Tertidur pulas. Sehinggalah bunyi riuh-rendah dari sudut dapur pada jam sepuluh pagi mengejutkannya dari terus berlena. 

“Sudah bangun pun Kak Liah. Marilah makan sama. Sedap ni..” 

Sapaan ceria Adik Ita menyambutnya di sudut dapur. Sang pengantin muda itu tampak ralit meratah beberapa biji telor pindang yang telah berkopek kulit. Disamping emak yang sibok mengisi telor ke dalam bekas bermanik. Dia menjuih bibir sambil menjeling sekilas. 

“Malam tadi merungut-rungut, sekarang dia melantak bagai sedang kebulur pula. Huh!” Sindirnya pada Adik Ita. 

Seketika derai tawa memecah keheningan suasana. Dia disergap girang. Rasa penat gara-gara berjaga malam tadi, terus melenyap sebaik menancap longgokan telur comel kecoklatan di dalam besen besar. Bau berempah turut mencambah rasa nyaman. 

“Hantarkan sedikit telur yang sudah dikupas pada nenek kau tu nanti. Mesti dia suka bila dapat jamah panas-panas begini..” Usul emak ketika dia turut leka melahap isi telur yang lemak bermasin. 

Dia akur. Dua biji telur yang siap berkutil kulit disusun dalam sebuah mangkuk. Bergegas dibawanya ke bilik Nek Su di ruang ibu rumah. Tak sabar mahu melihat reaksi ceria Nek Su ketika menerima butir telur yang molek dimasak. Juga pada usaha yang usai dilaksana.

 Dengan waspada, daun pintu bilik Nek Su diketuk berkali-kali. Nama Nek Su turut berseiring diseru. Dahinya berlapis kerut. Panggilannya langsung tidak bersahut. Malah tiada sebarang bunyi pun dari perut kamar yang serba bertutup itu. Dia musykil. 

Daun pintu dari kayu kukuh itu, dikuak perlahan. Dia menjejak masuk sambil mata berkeliar mencari kelibat Nek Su. Sebelum disedar sesosok tubuh sedang berbaring mengiring di atas sejadah. Utuh berselubung dengan telekung putih bersulam tebuk. 

“Nek Su! Bangunlah! Ni Liah ada bawakan sesuatu untuk Nek Su. Mesti Nek Su suka!” 

Dia bersimpuh di sisi Nek Su. Menguntum senyumnya menatap jernih wajah Nek Su yang beradu nyenyak. Tangan kanan bingkas menyentuh bahu tua itu lalu menggerak-gerakkan dalam riak prihatin. Sebelum disedari kedua tangan Nek Su spontan terkulai jatuh dari pangkuan badan. Malah dengus nafas neneknya itu langsung tidak ada. 

Derap jantungnya terasa behenti berdegup. Dia mengemam bibir dalam paras yang mulai memerah padam menahan tangis. Semangkuk telur pindang yang erat di tangan kiri turut terlepas dari pegangan. Lantas jatuh bercempera di atas lantai. 

“Nek Su.........!”



Riesna Zasly
2013 

Tiada ulasan: