Aku ingin terbang
Menembus komulus awan
Menerjang kepulan kapasnya
Seakan salju putih
Yang mendamping di kiri kanan
Menyemai dingin
Bersemi putih
Aku ingin terbang
Mengurai biru lazuardi
Mendaki tangkai lelangit
Seakan cakaran kanvas
Yang menyerak swarna pelangi
Menyebu prada
Penuh gemilang
Aku ingin terbang
Mengibar sayap setinggi elang
Mengicip merdu seiring nuri
Persis bersenandung
Bertari kibar sekawan lelayang
Bercorak cakra larat
Berpadu iradat
Aku ingin terbang
Menuntun hangat matahari muda
Menerjang derapan suam suria
Seakan damarwulan jati
Membiak telapak silam
Di pura lara jongrang
Agar kasih bersemi
Mengundang sati
Dan
Aku ingin terbang
Terus berlayang
Mencorak sorga edan
Tampa menoleh ke belakang
Meninggal sendu bumi siluman
Pencarik sakti durja
Dia terduduk lemah di sebuah bangku ruang menunggu di wad kanak-kanak, hospital besar itu. Matanya yang dibasahi air–air bening memandang suram ke arah daun pintu kamar wad yang dihuni anaknya, Alya. Batinnya menggigil keras. Seakan semua situasi di situ turut terhenti melihatkan kekakuan dirinya.
Bangku panjang serta lorong koridor hospital di aras wad kanak-kanak itu tampak lengang dari semua arah tuju. Hanya sesekali dilihat beberapa manusia berseragam serba putih mundar mandir memenuhi rutin tugas masing-masing. Ruang yang tersergap serasa kian hening tanpa cemaran bunyi. Sekilas kedengaran desiran halus deru air con yang menyerak lesu dari celahan lubang udara berjaring di lelangitnya. Aroma ubat begitu menusuk ke liang hidung. Menyentap tenang.
Dinding-dinding putih di kiri-kanan seolah-olah mengejeknya dalam haru. Perasaannya bercangkaliwang. Keliru berbaur rasa. Batinnya diamok amarah yang membuak-buak. Darahnya seolah-olah terdidih mendengar berita itu. Kedua tangannya saling bergepal seraya diremas menempias geram.
‘Masyallah! Mengapa ini yang harus ditempuh anakku!’
Kadangkalanya si kecilnya itu menjerit-jerit ketakutan. Adakala meronta-ronta dalam halusinasi. Tidak mahu menjamah makan dan minum. Tidak lelah berhambur tangis merembes sendu yang senyap. Alya jadi manusia bisu tanpa suara. Hati keibuannya tersentuh. Luka terus mencarik-carik benaknya tambah berdarah. Batinnya meraung hiba. Ketabahan seolah-olah diregut menyimpang takdir. Dia meniti doa dalam kesabaran.
‘Ya Allah, mengapa ini yang harus ku tempuh?’
Dia tak tahu bagaimana dirinya terasuh dengan kata sabar yang maha dalam. Selama ini, seluruh teman-teman mengaguminya. Mereka bilang sukar mencari manusia yang sesabar dirinya. Dia tak mudah melenting marah. Dia juga tak pernah memercikkan emosi tidak terkawal. Bahkan, dia begitu mudah memaafkan setiap perbuatan yang takdirnya terpaksa di tempuh.
Dia bukan nabi. Biarpun setiap orang yang mengenal dirinya bilang kesabarannya persis khalifah mulia itu. Dia insan biasa. Punya perasaan sakit hati bila terluka dan tatkala tertempuh takdir yang buruk. Punya hati yang mampu membias rasa kecewa, gundah dan lara. Mungkin sudah ditakdirkan hatinya mudah menyejuk dalam menempuh setiap kesakitan. Tidak berhambur emosi tak tentu hala. Sukar memendam dendam.
Dalam galur keluarganya, tiada yang seperti dia. Ayahnya terkenal baran. Sedikit kesalahan yang mengganggu di minda, buat tangan ayah tidak diam bertindak. Mungkin semarak merah darah yang mengalir dalam diri ayah yang bertahun-tahun dalam tentera membuat kemarahannya cepat marak.
Ayah juga dari susur galur keturunan pahlawan yang terkenal satria. Mudah mengogah jika hasadnya terusik. Di desanya, seluruh penduduk menghormati ayah dengan penuh gerun. Ayah tidak senang berbicara, tapi mudah menghangat emosi andai telinganya berdesing. Justeru itu, semua orang yang mengenal ayah harus menjaga susila dan ucaptama. Hati-hati agar tidak menunggah sengketa.
Ibu pula dengan dirinya ibarat langit yang bertatang biru dengan tanah merah yang melata di bumi. Begitu kontras berbeza! Hanya raut cantik ibu yang tertanam utuh padanya. Mata bundar ibu yang beralis tajam, bibir berulas tipis dengan lesung pipit pemanis yang membenam di pipi kanan, diwariskan padu dalam diri.
Perwatakan mereka jauh menjurang kontras. Ibu terkenal tidak ragu berperang kata. Setiap peristiwa yang menguris hati, ibu tak gusar meledak garang. Begitu mudah bertinggi suara justeru kadangkala mudah melontar apa sahaja yang tercapai di sekitarnya. Setiap perkara yang merunsing emosi, ibu takkan tekad bersabar untuk lancang berterus terang. Bibirnya takkan mampu mengempang segala luahan benak hati. Biar halwa telinga yang mendengar berasa sakit, asal segala kata kesat bibir yang terluah mampu menghindar sakit luka hati sendiri.
Ibu selalu mendepankan aksi pelindung di kala dirinya yang selalu pasif bertindak. Setiap kali ada kecaman serta ancaman terhadap dirinya, ibu akan bertindak melindungi. Sejak kecil ibu selalu membantu dia menempuh cabaran demi cabaran meniti hidup. Jika dia dibuli orang, ibu pasti cepat meledak memarahi orang itu. Mulut ibu yang bercikcok mampu mengerunkan sesiapa sahaja.
Ibu juga sering mengomel tentang perilaku dirinya yang maha penyabar ini. Kata ibu, orang akan memijak kepala jika dia terus bersikap mendiam diri dan bersikap sabar tak bertempat. Orang juga akan dapat menilai kelemahan dirinya lantas amat mudah untuk diambil kesempatan. Ibu sering menyuruh dia agar tegas memelihara pendirian. Namun dia tetap begitu juga. Biar bagaimana pun ibu membebel pada tingkahnya, kesabaran padu dalam diri buat semuanya tak lut dalam jiwa. Akhirnya ibu behenti mengomel gara-gara penat bercakap dengan dia. Sudah letih menyemat nasihat. Di desa mereka, hanya dia sahaja yang dapat mematahkan pedas ungkapan ibu.
Menurut ibu, sikap pasif yang wujud dalam dirinya mungkin diserap dari perilaku gemulah eyang yang terkenal sabar juga. Eyang sepanjang hidupnya sering menyepi diri dari dunia luar untuk menggelak sengketa. Eyang sentiasa menghindar dari setiap aktiviti yang mengundang nilai-nilai negatif dalam jiwanya. Selalu berbaik sangka dengan semua orang, serta tidak mudah melatah dengan riak jahat di sekitarnya. Itulah sikap murni eyang yang dikenal orang sampai ajalnya tiba. Tiada bermusuhan.
“Hidup kita tidak lama, cu. Pejam-celik mata, usia dengan mudah sudah berinjak tua. Untuk apa kita saling membuat sengketa dengan orang lain demi menghirup nafas yang singkat ini. Jika kita beralah, tak semestinya nilai diri akan kalah. Yang pasti, maruah diri akan terus dihormati.”
Ungkapan berulang-ulang eyang bergiang-giang di halwa telinganya di waktu kecil. Seolah-olah menanam amanat dalam jati diri. Masih terbayang di cepu ingatan, wajah gemulah eyang yang damai menyentuh rasa. Mata eyang yang bersinar abu-abu kecoklatan ibarat sinaran nilam yang terbias tenang dalam takungan air jernih tidak tercemar. Dalam pikunnya, eyang terlihat awet muda. Mungkin hasil ketenangan jiwa mengurangkan kerutan yang ada. Raga kekal utuh tanpa lara yang terpendam.
Sejak kecil, sifat sabarnya membina tabir-tabir kehidupan diri yang tidak terhitung banyak. Dia mudah beralah, membuatkan dia sering dibuli. Biar pun dia anak yang paling bongsu, tapi sikap beralahnya membuatkan si kakak-kakak tak pernah memberi muka padanya. Masih diingat kalau ayah memberikan hadiah buat mereka adik beradik. Biasanya dia hanya dapat mengambil pilihan yang terakhir. Bahkan pilihan akhir itu adakalanya dengan rela ditukar ganti pula kepada yang lain andai ada di antara kakak-kakaknya yang berniat meminta. Dia tetap tersenyum walaupun hadiah yang terpaksa diterimanya tidak secantik dari yang lain. Hatinya begitu polus meredhakan.
Dari segi berkawan, dia juga sering suka beralah. Selain itu, sikap pemurah dan tidak banyak berbicara, menimbulkan rasa terasing menyempadani setiap susur persahabatan untuk kekal dengan dirinya. Teman-teman suka berkawan kerana sikapnya yang tidak banyak karenah dan mudah diambil kesempatan bila perlu.
Setiap kali, ayah menitipkan permainan dan gula-gula, biasanya semuanya itu akan berganti tangan dengan teman-teman yang lain. Pantang ada yang menadah minta, pasti dia tulus memberi. Bahkan kebanyakan permainannya hilang terus bahana ada yang cuai memulangkan. Dia sering dimarahi ayah dan ibu gara-gara itu. Namun seperti selalu, kemarahan mereka mudah sirna tatkala melihatkan wajahnya yang persis boneka comel penuh simpati. Paras sendunya menuntun hati mereka.
Dia meniti zaman remaja persis gadis lain. Tubuh dan wajahnya bermekar cantik sempurna. Dia juga pintar di alam sekolah. Bersama sikap polusnya yang turut berkembang sama. Dia ramai berkenal kawan dan tiada bermusuh, namun tetap bersendiri tanpa teman yang akrab. Nilai anti sosial yang tertanam di benak mengucilkan dirinya dari dunia luar.
Ramai yang mengambil kesempatan berlandas sikap sabarnya. Jika nak dihitung nilai wang ringgit serta harta benda yang dihutang orang, dia pasti sudah mampu memiliki tiga buah banglo mewah. Begitu pemurah tak bertempat. Biar pun begitu, hidupnya tidak pula keputusan wang dan serba kekurangan. Sungguh pelik! Betapa tuhan melimpahkan kurnia pada insan pemurah sepertinya.
Alam remaja yang penuh gelora cinta turut dilaluinya dengan normal seperti gadis lain. Dia teringat kali pertama dia bertemu dengan Hafiz. Pemuda hitam manis, bertubuh tinggi jangkung itu begitu pendiam orangnya. Kumis yang digaya tipis menyerlahkan kekakuan bibirnya meluah bicara. Hafiz memang unik berbanding teman-teman sejurusannya yang lain di universiti dulu. Bersikap mengucil diri serta tampak anti sosial. Tingkah pasif yang serupa membuat mereka serasi berdua.
Hafiz anak kepada seorang petani miskin dan dia amat jatuh kasihan padanya. Sering dia membantu Hafiz dari segi kewangan untuk menyusuri dunia kampus yang tertera banyak mengorban biaya. Selain berkongsi buku-buku rujukan yang tak mampu dibeli. Mereka sering belajar bersama serta serasi dengan minat yang juga serupa; bersikap anti sosial, berulit buku ilmiah saban waktu, dan mengucil dari dunia remaja yang penuh warna. Perhubungan mereka kian terasa perlu tatkala melihatkan tingkah teman-teman lain yang sering meminggirkan mereka, gara-gara sikap mereka yang sedingin salju justeru membosankan. Mereka akrab berkawan sehingga dunia kampus berakhir nyaman.
Setelah beralih ke bidang kerjaya, hubungan mereka tidak pernah terlanjur putus. Dia bertugas menjawat eksekutif korporat di Shah Alam. Hafiz pula memeta langkah di ibukota Kuala Lumpur. Mereka masih di posisi kerjaya yang sama dengan bidang yang mereka raih ilmunya di kampus dulu.
Seakan aturan, di setiap petang Sabtu, jam 3 petang, mereka pasti bertemu sejam dua di sebuah restoran Starbuck di pinggir ibukota Kuala Lumpur. Rutin itu berlangsung bertahun-tahun lamanya. Mereka berbual tentang perkembangan kerjaya, hobi ulat buku serta rutin hidup mereka dalam sepanjang minggu yang ditempuh. Termaktud juga dengan perbualan membosankan yang lain. Namun begitu, mereka tak pernah sekalipun melayarkan luahan hati mahupun kisahan cinta. Hubungan mereka begitu pelik. Tapi, mereka saling tahu yang mereka serasi bersama.
Masa berlalu bagai tidak menunggu sesiapa. Dia sudak menginjak usia 29 tahun. Ibunya yang makin menua sering mencikcok keadaan dirinya yang masih tetap sendiri. Kakak-kakaknya semua sudah berkeluarga justeru berderetan dengan pelbagai ragam anak-anak. Rutin hidup mereka terus berpusar meriah. Tidak seperti dia. Ibu terus mengomel tentang hubungannya dengan Hafiz. Seperti mendesak dia mempersoalkan hala tuju hubungan mereka. Menentukan hidup berjodoh.
“Ibuku ada menyoal tentang kita, Hafiz. Kau kan tahu berapa usia kita sekarang. Kita sebaya. Dan juga tidak ada sesiapa yang menghalang perhubungan kita selama ini. Apa perancangan kau?”
Hafiz terpana. Dia resah. Dia berasa seperti rela dalam terpaksa untuk mengungkap soal jodoh itu kepada Hafiz. Namun dia tahu, ibunya benar.
“Berikan aku masa ya. Nampaknya kehidupan aku di sini tak menginjak rezeki yang membaik. Aku mahu bertukar angin ke Pulau Pinang. Mengumpul wang dan menyalur janji jodoh kita”
“Berapa lama?”
“Tiga tahun. Dan aku akan terus menyunting kau setelah itu”
Dia akur. Tempoh tiga tahun itu dirasakan mampu untuk dia harungi tekad sabar lagi. Sementelah makna kesabaran itu sudah berbati benar dengan dirinya sejak sekian lama.
Dua minggu kemudian, Hafiz memulakan corak hidupnya di Pulau Pinang. Meninggalkan dia yang terus tertakup disini. Meninggalkan rutin temu mereka di setiap 3 petang Sabtu di restoran Starbuck itu. Dia akur dalam rindu yang terpendam.
Di kala berjauhan, mereka tidak pernah berputus hubungan. Perbualan mereka sering berlegar bisu disela sms-sms yang saling berbalas. Selain faktor menjimatkan biaya, mereka juga saling akur dengan sikap bisu mereka. Mereka sama-sama buta kosa kata. Bahkan, seperti lumrah, dia sering menghulurkan ringgit sehelai dua bagi membantu Hafiz memulakan kerjayanya di sana.
Lima tahun berlalu pergi bagai puputan embun yang disejat tanpa disedari layar waktu. Hafiz terus membisu dari bayang-bayang untuk melamarnya. Hatinya gusar. Ibu makin lebat menghunjam pertanyaan tentang janji Hafiz. Ibu gusar dia terus menunggu suatu yang tak pasti. Ibu tak sanggup anak bongsunya jadi andalusia! Ibu terdesak memainkan aksi pelindung seperti yang sering dilakukan semasa dia kecil dulu.
“Makcik nak tahu apa kesudahan kisah ini, Hafiz! Apa kepastiannya!”
“Saya masih belum bersedia, makcik. Maafkan saya, beri saya waktu”
“Kata ini muktamad! Pastikan bersedia.. atau tamatkan semuanya.. dan jangan lupa, pulangkan semua yang kau telah ambil dari anak makcik. Dia sudah begitu banyak berkorban. Makcik akan pastikan dia tak terus terkorban!”
Ternyata ungkapan tegas ibu mengusarkan Hafiz. Hafiz terperangah. Hafiz menghubungi dia untuk bertemu di tempat biasa sehari kemudiannya. Dia akur.
Mereka berjumpa di restoran Starbuck yang sama di pinggir ibukota itu setelah lima tahun. Masih di tempat duduk yang sama. Di posisi kanan pintu masuk, di deretan bangku nombor dua yang sama. Saling berhadap satu sama lain, meminggir kaca restoran yang melata air pancuran kecil di laman luar.
Hafiz tampak serba salah. Pancaran matanya yang suram dengan wajah yang terus menunduk mengisahkan kekesalan diri. Hafiz memohon maaf padanya. Hafiz bilang dia gagal memulakan hidup berkerjaya di Pulau utara yang masyhur itu. Tujuh kali bertukar kerja dan masih belum menjumpai kerjaya yang benar-benar serasi. Gagal! Gagal mengumpul wang untuk jodoh mereka. Gagal juga untuk membayar kembali segala himpunan hutang padanya.
‘Setelah lima tahun!’
Hatinya berdetak. Benak diselubungi kecewa berbaur hampa. Dia mengenangkan wajah ibu yang beriak garang. Hatinya cemas bagaikan jatuh ke jurang yang mencerum dalam. Dia gentar memikirkan tindakan ibunya nanti. Dia menyarankan hafiz meminjam wang darinya dahulu untuk melaksanakan perkahwinan mereka. Hafiz tidak perlu mengeluarkan apa-apa.
Dalam lima tahun ini, wang simpanannya terperuk banyak juga. Lebih-lebih lagi, dia bukan jenis yang gemar berbebas belanja. Tidak seperti Hafiz, yang masih termangu-mangu membina kehidupan. Lima tahun berlalu penuh sia-sia. Biarlah! Dia merelakan. Berkorban untuk kehidupan yang turut akan dikecapinya juga nanti. Dia redha!
Perkahwinan mereka berlangsung dengan seadanya. Lengkap segala adat seperti yang diimpi oleh ibu. Berinai, bersanding, bermakan jamah, memotong kek bertingkat dan selainnya lagi. Ibu jadi seorang yang paling gembira di hari itu. Senyum manisnya menyeri sentiasa. Dibalik mata ibu yang menyinar haru, wajahnya tampak cerah bagai sinar mentari muda di sela-sela awan.
Dia bersyukur dapat mengembirakan hati ibu. Biarpun hanya dia sahaja yang tahu semua kelengkapan perkahwinan ini dari sumber kocek simpanannya. Termasuk mas kahwin yang dipinjamkan bulat-bulat. Hafiz hanya mencuci tangan dan kaki untuk menikahinya. Dia tahu tindakannya agak keterlaluan. Malah mungkin melanggar hukum perkahwinan. Tak apa lah. Baginya pengorbanan besar ini adalah demi cinta mereka. Dia redha!
Kisah hidup rumahtangga mereka, berlangsung normal seperti orang lain. Dia bekerja seperti biasa di syarikat yang sama. Bahkan terus melompat dari satu tangga jawatan ke satu tangga jawatan yang makin meninggi. Dia tampak mudah naik pangkat kerana sikap kerja keras dan kesabarannya mempesonakan sesiapa sahaja. Majikan begitu mengagumi dirinya.
Tidak seperti suaminya! Hafiz masih terus terkial-kial dalam menjejak kerjaya. Masih selalu bertukar tempat kerja. Dia sendiri tidak begitu memahami pendirian suaminya itu. Apakah takdir buruk yang mencengkam Hafiz? Atau Hafiz yang mencengkam takdirnya sendiri hingga terus memburuk? Dia tak mengerti.
Akibatnya, dia terus menjadi pengemudi utama bahtera rumahtangga mereka, termasuk menyediakan semua biaya. Membiarkan suaminya terus berkebil-kebil, mati kutu. Sehinggalah dia melahirkan Alya, anak pertama permata hati mereka. Hafiz tetap begitu. Tak apalah. Dia masih mampu bersabar!
Alya membesar menjadi gadis cilik yang lincah dalam usia mekar 6 tahun. Kulitnya putih mulus. Bermata bundar. Bermulut belahan delima yang diserikan lekuk dalam lesung pipit manis di pipi kiri, seiras dirinya. Alya lincah serta pintar berkata-kata. Sesiapa sahaja yang mendampinginya, pasti tertawan.
Dalam tempoh enam tahun yang panjang itu, Hafiz terus rapuh meniti hidup. Setelah tahun demi tahun berkial-kial mencari tapak kerja, Hafiz mulai berubah dua puluh empat derajat.Hafiz akhirnya tidak berusaha untuk bekerja langsung. Sudah bangga memikul gelaran pengganggur sepenuh masa. Bahkan mula berjinak-jinak membuat niaga projek kerja bersama rakan-rakannya. Setiap kali dia juga yang terus akur meminjamkan modal untuk itu. Dia bersabar. Biarpun semua projek niaga itu musnah terbengkalai tidak lama kemudiannya. Lenyap bersama modal dari titik peluhnya.
Malah ada juga modal yang diheret dari simpanan ibu dan kakak-kakaknya yang tak lupus memberikannya alur semangat. Ia turut musnah jua. Membawa dirinya tersepit dalam gugusan hutang di kiri kanan! Dia sabar dan terus pasrah. Dia bekerja keras untuk melunaskan kesemuanya itu. Dia bekerja sambilan di waktu malam untuk menampung semua hutang, disamping mencari rezeki untuk mereka sekeluarga agar mengecap hidup selesa. Sementara suaminya tetap beriak selamba tanpa endah bersalah. Dia malah terlanjur malu pada ibu dan kakak-kakaknya.
“Apa nak jadi dengan kau ni, Ida! Sepatutnya sejak dulu lagi, kau harus bertegas dengan suami kau yang tak guna tu. Suruh dia cari nafkah. Bukan kau yang terbeban untuk memelihara dia. Bertegas lah, nak!”
Wajah sayu ibu dan ayah yang makin menua melayar di kolam mata. Ayah yang masa mudanya bercekak garang, kini berwajah haru dalam pikun diri melihat getir kehidupan dia. Ibunya juga sudah tak banyak bercikcok lagi. Hanya bersuara tenang menggesa dia bertegas dengan hidupnya yang ada. Seolah-olah sudah lelah menyemat nasihat.
Jiwanya retak. Nada hampa ibu dan ayah membuat dia disurup kecewa yang cukup selara. Dia malu pada ibu. Bersalah pada ayah. Berdosa membuatkan hati mereka tidak tenang memikirkan nasibnya. Dia tak tega berbuat apa-apa. Dia hanya mampu terus bersabar. Tetap berdoa agar takdir suaminya berubah. Dia pasrah!
Petang itu, hatinya yang tersedia ruwet dikejutkan dengan panggilan Mak Tom, jiran di susur kiri rumahnya. Mak Tom bilang Alya jatuh pengsan dan telah dibawa ke hospital. Hatinya kacau. Bukankah suaminya yang sepatut menjaga Alya saban hari di rumah selama ini? Dimanakah suaminya?
Wad kanak-kanak, Hospital Besar Kuala Lumpur itu diredahnya bagai orang yang kalah dengan perasaan. Ya! Dia seolah-olah sudah tewas dengan takdir. Dia memeluk ibu yang turut ditemu di sudut ruang menunggu. Dia beresak dalam pelukan ibu yang menenangkan. Memaut damai dalam hati dari usapan lembut ayah di pundak. Ketenangan itu tidak lama. Dia terpaku tatkala mendengar penjelasan doktor bahwa Alya diperkosa. Anak kecilnya dicabul! Dia panik! Malah ibunya terus rebah, terkejut parah di sisinya. Dia meraung! Menjerit goyah! Suami, Dimanakah kau?
Ibu kecudang nazak. Jantungnya tidak mampu menahan takdir kelam yang meragut Alya, cucunya. Suasana sendu menyelubungi ruang keluarga. Rumah ibu banjir dengan tangisan haru. Bahkan sudah beberapa hari dia jadi lugu. Dia tidak keluar bekerja. Dia tak kemana-mana kerana ibu ternyata tak tega melepaskan dia dari sisi. Dia terus teguh di samping ibu. Hanya sekali-sekala melarikan waktu melihat Alya yang terkedang lemah di wad hospital. Alya masih koma. Dan suaminya terus menghilang tanpa berita. Lenyap tanpa pamit. Hafiz! Dimanakah kau?
“Masyallah! Bukakan hatimu, nak! Adakah sampai ke tahap ini kau masih mampu bersabar lagi? Setiap perkara ada hadnya, Ida. Ibu tahu dia lah durjana itu! Dia lah syaitan yang merosak Alya! Ibu yakin! “
TIDAK! Dia tak percaya! Sebenarnya dia tak mahu percaya. Dia yakin pada cinta Hafiz kepada mereka. Dia yakin kesabarannya takkan dibalas tuhan dengan takdir tuba. Dia teguh berpendirian yang kebaikannya selama ini mampu menghindar tekad aniaya manusia. Hafiz! Dimanakah kau... Pertahanlah dirimu. Katakan semua ini dusta!
“Setiap perkara ada hadnya, Ida. Nanti setelah sampai masanya, kau akan tahu yang batas sabar itu akan mengolak diri kau juga. Percayalah ibu, nak!”
Ibu pergi jua. Meninggalkan dia dalam wajah terdera. Berpisah pada dunia penuh menduga yang tak sanggup dilihat-tempuhnya lagi. Menyelitkan amanat yang memupuk utuh di ruang fikirannya. Kata-kata ibu bergiang di cepu kepala. Bergulir ke semburat hatinya yang mendingin beku. Dia pasrah dalam kelam.
Kehidupan ditempuhnya tabah meniti hari. Bukankah dia seorang yang amat sabar selama ini? Dia takkan beralah pada takdir. Dia bekerja seperti biasa dan sesekali berkejar waktu melawat Alya di hospital. Tak putus juga menziarah ayah yang sudah tinggal tunggal di rumah pusaka. Dia keliru dengan Hafiz. Suaminya terus menghilang tanpa titipan pesan. Panggilan juga tidak berjawab. Apakah ertinya semua ini, suamiku!
Suatu malam, dia dikejutkan dengan kehadiran Hafiz di rumah. Tubuh suaminya kurus melidi seolah-olah menyorot beban derita jiwa yang parah. Bersibak paras yang suram tidak terurus. Hafiz kelihatan kelam kabut mengemas pakaiannya dari perut almari di bilik mereka. Hafiz bilang dia ada kerja di luar daerah. Dia bertanya apakah hafiz tahu yang ibunya telah meninggal dunia, dan keadaan Alya yang terlantar sakit di hospital. Pertanyaannya terus dibiar sipi. Malah dalam gemersik kelam malam itu, Hafiz berlalu pergi lagi setelah meminta sedikit wang belanja darinya. Dia masih tega memberi. Biarlah! Mungkin Hafiz mahukan ketenangan di luar sana. Dia masih bersabar!
Tiga minggu di hospital, Alya sudah beransur sihat. Cuma Alya harus terus di tahan di wad psikiatri kerana masih dinaungi trauma. Doktor memanggil dia untuk menjelaskan keputusan DNA perogol Alya. Arwah ibu yang mengesa ujian itu dibuat sebelum menghembus nafas akhir. Ibu ingin tahu siapa yang merosak Alya. Dia akur pada saranan ibu.
Dengan kalimat Allah, sampul keputusan DNA itu dibukanya penuh redha. Ternyata ketabahannya lebur menatap ketentuan takdir itu. Dia tergamam. Nafasnya sangkut-sangkut menahan desah hati. Tubuhnya terpatung kaku..
“Puan, saya rasa perkara ini harus harus dilaporkan kepada pihak berkuasa. Kes ini sudah menjangkau perbuatan jenayah merogol kanak-kanak. Pihak hospital memohon pertimbangan pihak puan untuk itu.”
Dia terlongo sejenak. Direnung wajah tenang penuh pengertian doktor muda itu dengan mata tak berkedip. Lidahnya kelu. Masyallah! Ternyata takdir terlalu kejam untuk di lewat tempuh. Dia hampir kecundang dalam ratapan nasib diri.
Dengan hamburan air-air bening yang melemas di tubir mata, dia mengangguk perlahan. Akur dengan saranan itu. Biarpun batinnya meronta-ronta kegeraman. Berasa takdir memperlakukan dirinya secara tidak adil. Kalau tak diturut peri kemanusiaannya, mahu sahaja dibunuh lelaki itu dengan tangannya sendiri. Biar jari-jemarinya bergumul darah syaitan bertopeng insan itu.
Dia memerhatikan langkah longlai doktor itu dengan kalbu yang tersayat lirih. Dia terduduk kembali di atas bangku. Berpekur lama. Dia merenung jauh pada nasib yang akan diredahnya kelak. Mencari-cari jati diri untuk menjejak tapak baru kehidupannya bersama Alya. Cuba mengincar ragu yang membuat hala tuju semangatnya tersangkak. Dia tahu, dia harus berani. Demi Alya.
Dari jauh, di ruang koridor hospital, dia melihat sosok tubuh Hafiz yang melangkah santai menghampiri dirinya. Bersela dengan seorang jururawat yang membawa sebuah troli peralatan hospital di sisi belakang. Hafiz beriak selamba mendekatinya. Dengan paras yang tak terkutik kesal mahupun sehama endah.
“Ida, abang nak mintak wang belanja sedikitlah. Boleh berikan tak?”
Nada selamba Hafiz yang tidak berperasaan seperti mengaum-gaum ke halwa telinga. Bagai mengejek harga kesabaran dirinya yang sudah terlanjur parah bertabah. Wajah Hafiz masih beraut senang tanpa riak bersalah. Ya Allah! Inikah suami tercintaku!
Dia teringat wajah sendu si kecil Alya yang kehilangan hilang masa depannya. Dia terkenang air mata penderitaan alya ketika meronta-ronta dinaungi trauma. Berpusar dengan wajah arwah ibu yang bertatap sendu. Mata ayah yang bersinar haru. Juga paras tenang gemulah eyang yang tulus mengukir tekad tabah di dada ingatannya
Dia bangun mendekati Hafiz. Airmata yang melemas di seluruh wajah tak diendahnya lagi. Ditampar wajah yang pernah dicinta suatu ketika dulu itu sekuat hatinya. Jasadnya bagai dirasuk hantu. Ditumbuk dan disepak lelaki itu segenap tenaganya. Sehingga hafiz terdorong lantas tersungkur ke atas lantai.
“Berani kau ke sini ha! Perogol! Perogol anak sendiri! Kau kejam, hafiz! Kau syaitan!”
Dia tidak tahu dari mana dia mendapat kekuatan untuk berteriak selantang itu. Suaranya bergaum ke seluruh ruang bisu hospital besar. Mengejutkan warga yang turut ada di sekitarnya. Tidak lama kemudian ruang itu sudah dikerumuni oleh orang ramai.
Dia tak peduli. Bibirnya terus memaki hamun semaunya. Beg tangan yang dikepal pada kedua belah tangan dilibas seraya memukul sekujur tubuh hafiz. Hafiz mengaduh kesakitan. Sehinggalah dua orang jururawat datang menarik tubuh mundur ke belakang lalu menenangkannya. Tubuh masih meronta-ronta diamok amarah.
Hafiz terpinga-pinga. Dijauhkan diri dari menghadapi situasi tegang itu. Wajah lelakinya memucat lesi gara-gara terkejut. Turut mempamer rasa malu yang tak terbilang tanggung. Tampak tubuhnya menggeletar ketakutan persis melihat hantu.
“Encik! Kami ada waran untuk menangkap encik. Atas tuduhan merogol kanak-kanak!”.
Tiba-tiba, tanpa disedari dua orang anggota polis menyapa hafiz dari arah belakang. Tangan hafiz ditarik lantas digari kemas. Hafiz yang terpinga-pinga. Hafiz cuba memberontak melawan cengkaman tangan anggota polis itu. Namun tubuh kurusnya kalah dalam dekapan yang kuat. Hafiz tampak berdengus lemah. Hafiz pandang lesu ke raut wajahnya. Mata hafiz menyorot hiba seakan memohon simpati darinya.
Dia hanya memerhati hafiz dengan mata yang mencerlang dendam. Tangan masih bergepal erat menahan gelora jiwa. Diperhatikan tubuh hafiz berlalu dengan tangan bergari di depan matanya. Tanpa sekelumit riak kesal. Bersama sorotan tajam seorang ibu yang terluka.
Hadilla diselubungi bingung. Bercelaru fikirannya tatkala dilayar kembali memori pahit itu.Aturan nafas dihela berat bersalut debaran yang tidak kunjung padam. Sementelah pagi yang masih muda pada hari itu ditempohnya dengan wajah nan suram. Keruh gara-gara terpercik kenangan silam yang hadirnya tidak diundang. Lantas segalanya serba muram bahana terputik semula seraut luka yang selama ini tertutup rapi di dada kenyataan. Sementelah naluri turut bersurup kelam nan dalam.
Sekilas, dirasa ruang pejabat yang kaku dalam empat tembok konkrit padu itu seolah-olah melemaskan dirinya dalam diam. Ruang yang menjadi kebanggaannya selama ini. Lambang gemilang dalam kerjaya lewat gurasan titik peluh yang tidak pernah mengenal lelah. Bersela iringan bibit doa serta restu umi yang tidak berpenghujung. Sehingga dia menjadi seorang arkitek yang berjaya di hari ini. Justeru berdiri utuh menggenggam kemewahan manusiawi.
“Ada apa-apa yang Puan nak saya sediakan pagi ini ke?”
Wajah tua setiausahanya menyembul dari balik daun pintu ruang pejabat. Tak semena-mena lamunan Hadilla tersangkak. Seakan berkerut keraguan, setiausahanya itu melihat dia hadir di pejabat dengan sikap tidak acuh. Malah tegar mempamer raut mencuka bersama pakaian yang tidak beres. Justeru tidak memberi salam kepada mereka seperti selalu.
“Tak ada apa-apa lah kak Maznah. Cuma saya nak bersendirian rasanya hari ini. Tunda semua appointment saya ya!”
Tergetus hambar suara Hadilla menjenguk rasa. Lantas setiausaha yang setia berbelas tahun berkhidmat sejak dia berusia 22 tahun itu pun berlalu, sebaik sahajameletak selonggok fail urusan, secawan kopi serta sebotol air mineral di atas meja kerja di hadapannya.
Kamar itu kembali disergap sunyi. Kesepian turut menyentuh ke relung batin Hadilla yang sedia bermurung. Lantas dia bingkas menyibak tirai langsir berwarna biru laut yang menutupi jendela kaca di sepanjang sudut kanan kamar. Membenarkan cahaya matahari yang muda menjingga itu menumpah masuk ke seluruh pelosok ruang dalam. Justeru ikut menjamah ke kulit tubuhnya yang berona kuning gading. Seolah-olah memberi nafas pada kelam suasana. Sembari merangsang semula aura semangatnya di sebalik biasan sinar suam-suam kuku itu.
Setelah itu, Hadilla mulai berlabuh duduk di dalam paduan kerusi empok bersadur baldu kelabu di hadapan meja kerja. Sembari tancapan matanya menerawang ke sekitar ruang yang serba luas itu. Justeru ralit melayan minda yang utuh bercangkaliwang. Dia berdengus kasar beberapa kali. ternyata kemewahan ruang yang terhampar di hadapannya tidak mampu menenangkan benak yang rakus bergelora.
“Pergilah Ila menjenguk. Sudah begitu lama orang tua itu terkedang kaku di hospital. Nampak seperti masanya sudah tak lama!” Masih sayup-sayup tergiang suara Maklong Saanah membujuknya malam tadi, mengegar di nubari.
Hadilla berkeluh lesu. Diyakini sudah cukup sempurna dia melayan kehendak lelaki itu. Sudah ditempahkan sebuah kamar khas di wad kelas pertama. Seorang jururawat juga telah diadakan khas untuk menjaga.
Malah dia tegar membiayai keseluruhan keperluan untuk rawatan yang ada. Baginya itu sudah cukup baik berbanding apa yang pernah lelaki itu lakukan pada umi serta mereka adik-beradik dulu.
Namun Maklong Saanah tetap terus mendesaknya tanpa hilang asa. Bahkan memohon agar dia tidak menyimpan sebarang dendam di dalam hati. Justeru bertegas agar dendam itu tidak bersemarak membakar diri. Sehingga membuak penyesalan padanya dikemudian hari.
“Saya tak mampu menjengah wajahnya, Mak Long... terlalu luka!”
Sejenak, wajah Maklong Saanah tergambar di relung nubari. Adik umi itulah yang berbakti menjaga mereka selama ini. Membalut luka mereka yang tercedera, setelah bubarnya tanggungjawab seorang lelaki bernama ayah. Justeru menjadi peneraju pada semangat hidup mereka sekeluarga.
Maklong Saanah yang berkerjaya sebagai guru itu memelihara kehidupan mereka sekeluarga tanpa sekelumit pun berkeluh. Membiayai seluruh pelajaran mereka adik-beradik. Sehingga mereka mampu menyandang puncak jaya di hari ini. Bakti yang tak terbilang luhur itu amat dikenang seumur hidup.
Maklong Saanah tahu apa yang mereka hadapi. Apa yang gemulah umi tempoh dengan jiwa yang lara. Bagaimana dia, tiga beradik mengaut hidup muda dengan penuh trauma. Maklong saksi segala sengsara. Namun kini dia didesak agar menyibak luka itu kembali. Dia tak sanggup! Maklong tidak mengerti!
Hadilla sekali lagi berkeluh lemah. Jam mewah yang berpaut kaku di sudut atas pintu masuk dikerling tipis. Detak loceng yang bergegar gagah itu melupus sejenak benak yang bercelaru. Bersela sayup-sayup kedengaran suara riuh-rendah para kakitangannya dari luar kamar. Mungkin kesemuanya sedang sibuk bergegas untuk keluar makan tengahari. Dia terjeda seketika. Ternyata sungguh lama perasaannya terjera di ruang biliknya itu. Sehingga di sepanjang pagi itu,dia tidak mampu membereskan apa-apa kerja sekali pun. Hanya berlamun melayan hati kacau. Jiwa tambah pusang!
“Pergilah Ila. Siapa pun dia, dia tetap seorang ayah yang tak dapat dicari ganti. Darahnya mengalir di setiap gerah tubuhmu. Tak dapat di kecuali!”.
Suara bujukan Maklong Saanah menerjah terus di halwa telinga. Bagai menekan-nekan rongga dadanya yang tidak puntus berkuncup debar. Lantas segera diteguk rakus sebotol air mineral yang diraih dari sudut kanan meja. Cuba menyiram kepedihan lewat hati yang senak. Mohon dititip ketenangan minda. Penyejuk raga.
Sepintas lalu, wajah lembut gemulah umi yang dipotret indah di sudut dinding kamar, ditatap dalam benak nan hiba. Senyum umi yang menggoyah rasa, bagai menyejuk semangat. Hanya itulah satu-satunya kenangan wajah umi yang tulus diabadikan.
Potret yang ditempah khas dari pelukis tersohor itu seolah-olah hidup dalam sebuah bingkai besar bersadur rona emas. Wajar membujur sirih umi yang penuh kemelayuan menyentuh pilu di nurani. Disela sepasang mata bundar umi yang beralis indah sarat tarikan. Sinar mata itu sarat menyimpan lara sampai mati.
Umi telah banyak berkorban. Umi menempuhhidup sengsara demi mereka, anak-anaknya. Fiqura umi membenamkan seraut kasih buat mereka dalam lumuran haru. Semenjak kecil mereka tidak pernah hidup dalam kesenangan. Penuh pahit dan getir. Malah masih segar di cepu ingatannya, tatkala mereka hidup di sebuah pondok kecil berdinding papan dan berbumbung nipah milik nenek kepada umi. Di rumah pusaka itulah mereka membesar dan umi mendidik budi pekerti.
Batin Hadilla luruh sayu mengenang umi yang amat cekal berjiwa. Pelbagai kerja dilakukan untuk menyempurnakan mereka. Seraya berbakti pada nenek yang sudah melarat tua. Sepanjang hari umi bekerja di dusun pusaka milik keluarga. Adakala turut mengambil upah membasuh kain serta masuk ke rimba mencari herba terpilih yang mendatangkan duit. Di waktu malam pula, tangan umi tidak pernah lelah menjahit baju pada yang tekun mengupah. Jahitan umi begitu halus sekali. Malah tiada tolok banding di kampung mereka.
Sementara ayah pula begitu jarang menampakkan muka. Seingatnya, sejak kecil mereka tidak pernah dilayan seadanya. Tidak ditanya khabar. Bertegur jauh sekali. Ayah pulang hanya tika ingin berkehendakkan sesuatu dari umi. Justeru hanya untuk melunas hati perut.
Umi selalu parah diperlakukan ayah. Raungan umi membuatkan mereka adik beradik saling menangis berpelukan mengincar lara malam. Tamparan, herdikan serta pukulan ayah pada umi membesarkan mereka dalam naungan trauma.
Hadilla masih ingat semasa tragedi kemuncak dalam hidup mereka di rumah pusaka nenek itu. Ketika itu dia hanya 6 tahun. Malam itu ayah yang berwajah bengis beserta pakaian yang kusut-masai pulang lagi. Riak dipapar baran bersela liang amarah yang tidak terlintas fikir. Lantas umi di pukul teruk. Kepala umi dihantuk keras ke lantai papan. Raungan umi bergegar di persada malam. Ratapan umi menghiba bahana diperlakukan secara tidak adil.
Nenek yang dimamah pikun dan bertubuh kecil cuba melerai amokan tersebut. Namun telah ditolak ke luar tangga kayu yang curam. Sehingga tersungkur menemu ajal. Kak long yang cuba membantu umi, dihentak kayu api di kaki kanan sampai menjadi capek hingga kini. Jeritan kak long ketika itu tak pernah luput di rongga ingatannya seumur hidup.
Ayah ibarat dirasuk syaitan. Dengusan kuat nafas ayah bersela aroma minuman yang memabukkan itu menggerunkan mereka. Jergahan serta bunyi pukulan demi pukulan bergema membingit suasana. Lantas dia dan adik hanya mampu saling berpelukan seraya memandang dari sudut ceruk dapur. Tanpa mampu berbuat apa-apa. Sebelum ayah menghilang lagi bersama barang yang dirampas.
Keesokan hari, situasi suram mengelilingi mereka. Gemulah nenek di kebumikan dengan sepenuh pilu di hati umi. Kehadiran penduduk kampung serta anggota polis tidak mampu memadamkan bara pilu di lubuk hati. Nenek tewas ditangan suami umi sendiri.
Namun umi tidak pernah kalah pada takdir yang menimpa. Umi terus bangkit. Bekerja tidak behenti-henti. Seakan tidak menghirau lelah diri. Justeru terus menbimbing mereka tanpa sekelumit gundah. Bersama senyum yang tetap berukir biar luka terus mencarik. Hanya Tuhan yang tahu hati umi penuh duka sengsara. Ayah pula terus menghilang tidak pulang-pulang. Mungkin sudah dapat apa yang dicita. Atau takut akan dijejaki pihak berkuasa. Mereka aman buat seketika.
Tenyata pelukan damai itu tidak lama. Hidup mereka bergolak lagi tatkala di suatu malam rumah pusaka umi didatangi sekumpulan orang yang mencari ayah. Empat orang pemuda berwajah bengis bersama riak tidak bersahabat menjadi tamu yang tidak diduga. Hadir dengan suara amaran yang menggegar liang nurani. Rusuh di wajah umi tampak tambah gementar.
“Kita harus pergi, nak! Kita harus pergi! Kita harus tinggalkan tempat ini. Bersiaplah!” Nada tenang yang berkisah di wajah umi mengkagetkan mereka. Mata umi yang berkaca bersulam derita pasti diingat mereka seumur hidup.
Mereka bergegas membungkus segala pakaian dalam selonggok kain yang besar. Segala keperluan sekolah juga tak lupa dicapai. Umi mengaul segala lauk yang dimasak ke dalam periuk nasi yang besar lalu turut melonggok ke dalam sehelai kain batik untuk di gendong.
Mereka meninggalkan rumah itu. Kak long dengan longgokan kain baju. Dia yang mengandeng tangan sang adik yang terkapai-kapai mengekori. Umi dengan gendungan periuk di pangkuan. Mereka berjalan tanpa sekalipun menoleh.
Umi bertangis esak di sepanjang jalan. Wajah mereka adik beradik beriak pucat bagai dikejut halilintar. Saat itu hujan turun agak lebat. Berpusar-pusar menyirami tubuh mereka. Airmata umi jatuh bergulir bersama rintis hujan melemas wajah. Mereka basah kuyup. Lantas segera berlindung di sebuah parkin bas dipinggir kampung.
Dari jauh, dia menyeka lemasan hujan di sebujur wajah kecilnya itu seraya bertoleh sejenak. Tampak rumah pusaka nenek diruntuhkan orang. Dusun umi ditarah semuanya. Musnah begitu sahaja.
“Mengapa mereka runtuhkan rumah kita umi? Kenapa kita kena keluar?” Suara kecilnya yang sarat cemas lancar menuntun penjelasan. Umi terus termenung. Pertanyaannya terus dibiar sipi. Kak Long tampak tidak henti-henti berisak tangis seraya menyapu air mata dengan bucu lengan baju.
Suasana begitu muram. Adik memeluknya dari belakang sambil menahan gigil kesejukan. Umi meraih adik dalam pelukan lalu meraungkan tangis hiba lagi. Dia terpaku tidak mengerti. Sesungguhnya dia terlalu kecil benar waktu itu untuk memahami arti lara.
Sepanjang malam, mereka sekeluarga bermalam di situ. Makan nasi bergaul lauk seperti rojak dari periuk nasi gendungan umi. Mulut kecil mereka disuap umi satu-persatu dengan penuh pilu. Umi masih bertekad tenang. Lantas dalam gerimis malam yang membasah, mereka tidur berpelukan dalam pangkuan umi, menahan gigil sejuk. Hanya sehelai tuala lusuh milik umi yang melindung mereka dari hurungan liar agas serta nyamuk.
Sehinggalah Maklong Saanah, adik umi datang menjemput mereka di parkin tersebut. Setelah penghulu kampung mengkabar apabila terkesan kebakaran di rumah pusaka umi, serta kehilangan jejak mereka sekeluarga yang kabur begitu sahaja. Maklong saanah bertekad datang mencari kelibat mereka sekeluarga sampai bertemu. Ajak ikut hidup bersama di kota besar ini. Sementelah Maklong juga sebatang kara menyongsong diri setelah kematian suami. Lantas mereka melayar hidup baru yang lebih sempurna.
Sementelah dia meningkat remaja, barulah pertanyaan masa kecilnya terjawab. Kaki Kak Long menjadi capek bahana dipukul ayah. Geran pusaka nenek yang dirampas ayah lalu di gadaikan pada pemiutang. Tanah dan rumah nenek dirampas juga atas ulah lelaki itu. Ayah membuat umi hilang segalanya. Ayah juga membunuh nenek yang tidak berdosa. Ayah terlalu kejam!
Hadilla menyeka butiran air mata yang bergulir di kedua belah pipi. Sedan kecilnya meluruh segala kesedihan hati. Memori itu terlalu pahit untuk ditelan. Sungguh kelat untuk di kenang. Kisah pertemuan semula dengan ayahnya kini mengincar-incar batin tambah nelangsa. Luka lama berdarah kembali. Kenapa ayah harus muncul lagi, merobek hati mereka ke gaung yang dalam? Kenapa lelaki itu mencari mereka lagi? Mereka tak perlukan pertemuan ini! Tidak idamkan sama sekali!
“Puan, kami nak keluar untuk makan tengahari. Puan hendak kirim apa-apa? Puan ok ke?”
Sapaan kak Maznah di balik daun pintu, membuat khayalannya sekali lagi mati andar.
“Tak mengapalah, kak Maznah. Saya pun nak keluar ni. Tak balik lagi petang nanti”
“Baiklah Puan. Saya pergi dulu ya!”
Kak Maznah bingkas berlalu sambil menutup daun pintu kayu kukuh itu dengan teliti. Seolah-olah gugup melihat dirinya dihurung emosi seperti itu. Tampak aksi yang salah tingkah.
Hadilla bingkas merapi solekan di sekitar mata. Diseka kesan air mata yang menempel dengan sehelai tisu, lalu disapu kembali dengan bedak compak. Tak lupa dipoles lagi gincu di bibir yang sudah samar warnanya. Dia bangun seraya menyisir pula rambutnya yang mengurai mencecah bahu dengan jemari tangan. Dihela nafasnya perlahan seraya terpekur sejenak. Sebelum digenggam kunci kereta dari atas meja. Lantas meraih beg tangan dari perut laci kanan. Dia mahu keluar dari ruang yang melemaskan itu. Lari menenangkan diri.
*****
Kereta dipandu laju meluncur di dada aspal. Sepantas debar yang berdegup kencang di rongga benak. Hadilla masih termangu-mangu mengemudi tanpa arah tujuan. Dia mati kutu. Fikiran utuh berterawang entah ke mana.
Tingkap sisi kereta dibuka bersama deru alat penghawa dingin yang masih melancar di ruang dalam. Angin yang deras menyibak-nyibak wajah serta helaian rambut yang bergurai panjang. Angin ikut mengibar-ngibar kain baju kurung hijau daun pisang yang dikenakan.
Turut menyelak-nyelak lengan baju bersulam rajut di tangan kiri yang sedang memaut kemudi. Sehingga parut itu jelas ternampak
“Apa yang kau nak tenguk sangat ha! Suka sangat nak tenguk! Kau kemari sini. Aku tunjukkan kau yang nak tengok sangat tu! Kemari kau!”
Ayah mengheretnya ke dalam kamar umi. Dia ditangkap mengintai ayah yang sedang sibuk mengulung sesuatu di sebalik pintu kamar. Ayah membanting tubuhnya yang kecil itu tanpa belas kasihan. Tangan kecilnya sakit terpulas dalam genggaman tangan kekar ayah.
“Sakit ayah! Sakit! Jangan ayah! Sakit!”
Raungannya memecah keheningan rumah pusaka. Umi tiada di waktu itu, kerana sibuk membasuh baju di rumah Makcik Gayah. Nenek turut mengikut sambil menjenguk anak Makcik Gayah yang bersalin zuriat pertama.
Paras ayah berseringai menakutkan. Mata membuntang aneh seperti kerasukan. Ayah menenyeh-nenyeh puntung rokok daun yang berbara ke lengannya sambil bergilir-gilir menyedut buat mengepul bara. Dia yang bertubuh kurus meronta-ronta menahan kesakitan. Dicuba sedaya upaya untuk melepaskan diri. Ayah tidak peduli. Makin dikuatkan cengkaman tangan seraya mendekap tubuh kecilnya yang tak berdaya.
Ayah kian kuat tertawa seperti tidak siuman lagaknya. Mata ayah merah seperti jelmaan iblis dan khayalan entah apa-apa. Seakan terhibur melihat dirinya yang masih kecil itu teronta-ronta menanggung kepedihan. Tingkah itu berlaku berulang-ulang sehingga hampir seluruh tangan kecilnya berbirat kesan cucuhan. Lebam-lebam di belakang tubuh kecilnya tak terkira, gara-gara penangan sepakan kaki ayah. Terlalu kejam!
“Honnnnnnnnnn!”
Bunyi hon kenderaan di belakang mematikan lamunan Hadilla lagi. Dia menekan minyak, seraya meluncur keretanya laju melintasi lampu merah. Airmata masih jatuh berjujuhan. Esakan halus masih beraung di rongga dada. Hati disergap sebak. Akhirnya dia memutus untuk behenti di pinggir pantai Danga yang bersisiran panjang di tepi jalan itu. Menyambut sendu hati.
Langit yang membiru tampak suram di sebalik kepulan awan komulus nan putih samar. Hadilla menengadahkan wajah. Membiarkan semilir bayu laut mencecah lembut ke sebujur wajah. Tak dipeduli bahang matahari yang ikut menyentuh hangat kulitnya di tengahari itu. Dia nampak wajah umi di situ. Raut dalam sunggingan senyum yang sejuk terabadi.
Wajah umi sekali melayar di mata hati. Dia masih ingat di saat umi dilanda nazak hampir dipukul maut lewat dua tahun yang lalu. Wajah umi tetap tenang. Umi jatuh ketika mengambil wudhuk di waktu pagi hening. Jeritan Maklong Saanah mengejutkan mereka adik beradik di bilik masing-masing. Kak Long memangku kepala umi yang siap berkerudung putih untuk solat subuh. Wajah umi tetap segar menatap paras mereka, adik-beradik. Satu persatu.
“Umi akan pergi! Rasanya masa telah tiba. Kak Long jagalah adik-adik ya! Jejaklah ayahmu. Maafkanlah dia. Ayahmu cinta umi yang tiada tara. Biarpun dibalas tuba, dia tetap suami umi. Ayahmu jua. Maafkanlah dia. Kerana umi sudah lama memaafkan..” Umi berlalu tanpa rengkuhan sakit. Begitu mudah. Wajah umi yang memutih mulus persis manusia yang tidurnya dalam aman nyenyak. Senyum tetap terukir tanda jiwa nan damai.
Hadilla berdesah pilu. Pawana yang membelai di sekujur tubuh seolah-olah dekapan tangan umi yang mengelus mesra. Airmatanya mengering dalam sejatan angin. Memaut damai.
“Memaafkan itu amat indah, Ila. Contohilah umimu. Dia pergi dalam aman, kerana ada maaf dalam hati. Tiada dendam dibawa pergi dalam jiwa” Bujukan Maklong Saanah terus bergiang. Seolah-olah meluru halus ke liang sukmanya mempuput rasa
Hadilla kembali meneruskan pemanduan. Kereta Honda CRV mewah itu meluncur laju di landasan aspal yang meruap dibahang terik matahari. Bergerak tegar memasuki laman bangunan berwarna putih berbumbung merah yang tersergam besar di hadapannya. Hadilla terus terpaku menatap bangunan itu. Telefon tangannya tiba-tiba berdering.
“Kau kemana Ila. Dia sudah tenat. Datanglah!” Suara lengkingan Maklong Saanah memeranjatkan dirinya yang terduduk kaku. Hadilla tersentak seolah-olah disambar halilintar. Bagai dibias aura semangat baru, dia mengengsut keluar dari perut kereta. Lantas berlari anak memasuki ruang bangunan tersebut. Menuju ke wad kelas pertama
Hadilla melihat Maklong Saanah di sudut ruang menunggu. Di tangannya erat memaut surah kecil Yasin sambil bibir berkumat kamit mengalunkan ayat suci tersebut. Hadilla melangkah perlahan. Maklong Saanah bingkas berdiri menatapnya dengan mata berkaca.
“Akhirnya, kau datang juga ila!” Ucap Maklong Saanah perlahan. Ada haru pada nada suara itu.
Hadilla segera memeluk tubuh Maklong saanah seerat mungkin. Seakan mahu melepaskan segala gemurat hati. Air matanya turut merembes lagi tanpa lelah.
“Ila!”.
Tak semena-mena terdengar namanya diseru dari arah belakang. Hadilla bingkas berkalih pandang. Tampak kelibat Kak Long yang terjengkot-jengkot dengan kaki yang capek itu. Berlangkah gontai ke arahnya dalam biasan haruu. Kaki capek ulahan ayah. Bibir Kak Long menguntum senyuman girang. Tangan kanan kemas menjinjing sang adik yang turut ikut serta.
Adiknya yang sedang menuntut di Amerika itu muncul mendadak seraya mengejutkannya. Bilakah adik pulang? Hadilla terpana. Maklong Saanah terketus ungkapan alhamdulillah di ulas bibir. Mereka adik beradik seolah-olah berjanji pula untuk berkumpul di situ.
“Kita akan sama-sama menempuhnya, Ila! Kita akan sama-sama tunaikan hasrat umi!” Kak Long berucap tegas. Seperti membias semangat kepada mereka adik beradik. Tangan mereka berpaut erat dalam genggaman padu.
“Kak Long sudah memaafkan?”
“Kita akan cuba memaafkan. Demi umi!”
Airmata bergulir di pipi kak Long. Adik sudah tersedu menangis. Maklong Saanah juga masih diselubungi sendu.
Mereka menguak daun pintu putih wad kelas satu itu dengan jiwa yang sengaja didamaikan. Debaran masih sarat mengisi dada. Terlihat seorang tua terkedang lesu di atas sebuah katil serba putih. Wajah tua itu tampak amat pikun menanggung derita jiwa. Kesakitan dari pelbagai penyakit yang ditanggung begitu jelas terpamer lewat nafas yang dihela lesu. Mata tua itu juga dilihat terkebil-kebil menatap mereka dengan riak tidak percaya. Ada gurasan kesal penuh di raut sarat kerutan itu. Mata tua itu berkaca-kaca
“Anakku! Maafkanlah ayah! Maafkan ayah!”
Suara serak serta lesu itu beringis bercampur sendu. Penuh derita. Seperti adik beradiknya, Hadilla digamit haru. Airmata pecah di setiap wajah