Cerkon : KISAH 'CANTIK' SAYA

Benak saya berdengus lemah. Terasa nafas berdesah persis tertahan-tahan menimbul isak. Mempamer resah yang bercangkaliwang di sudut jiwa. Mata saya sudah memancar guratan pesona haru. Membimbit seribu sendu di nubari. Dengan suara yang tersangkut-sangkut, saya hamburkan ungkapan itu dengan nada yang pilu.
“Saya ingin bersara!”
Seluruh teman-teman terdiam mendengar keputusan saya. Kawan-kawan jadi bisu sesaat, seolah-olah terbius dengan ungkapan keramat saya. Ada yang sudah memaut lemah lengan saya. Ada yang mulutnya berlopong berbentuk O. Ada yang sudah memerah kolam matanya. Malah hampir semuanya mempamer kerutan panjang di wajah. Mereka tidak mahu percaya.
Ya! Ini bukan hanya sekadar sebuah perkerjaan. Yang mana manusia-manusia yang dijumpa hanya berpaut pada kenalan urusan kerja. Tanpa perasaan. Ini juga tidak sekadar sebuah perniagaan, yang mana semua insan yang ditemu hanya berkisar tentang jual beli barang. Bertegur hanya untuk sesuatu. Bersapa hanya untuk tika perlu. Tanpa sentuhan marga sanubari.
14 tahun! Ya! Itu bukan suatu tempoh waktu yang singkat. Biarpun masa seakan pantas berlalu hingga tak terkejar oleh kita. Biarpun waktu berganjak tanpa perduli menghirup nafas-nafas lelah kita di dunia. Jam terus berputar mencatat sejarah. Meninggalkan jejak-jejak yang telah dilangkah. Samada berguna, mahu pun sia-sia.
Namun dalam 14 tahun itu saya mengukuh persahabatan yang tak ternilai. Mengumpul norma-norma hidup lewat setiakawan. Mereka bukan sekadar peniaga yang hanya bertemu di saat berhantar stok barang serta bersilih tukaran wang. Saya menghirup sama norma-norma kehidupan mereka. Di saat mereka mula mempamer papan kukuh petanda awal niaga. Di saat mereka ria dilambung mesra untung. Detik mereka dilambung nelangsa rugi. Sama-sama ketawa. Sama-sama berbicara ‘cantik’. Sama-sama bertangis simpati. Sama-sama juga berkeluh lara. Malah ada yang dari dara, memuncak bernikah lantas beranak pinak. Berginjak tumbuh di depan mata saya. Berkisah di alur sanubari saya. Semuanya bergompol lewat setiakawan
14 tahun itu juga menjadi jati diri sesama kami para sahabat yang sewarna dalam rona ‘cantik’ ini. Ada yang bergurukan saya mengenal warna-warna cantik ini. Berasas niaga dari sekolah cantik saya. Bertatih belajar anatomi facial wajah. Berdidik ngadisalira. Bertekun mengarca pesona rambut. Bersinambung keajaiban spa asia. Begitu bersusah payah. Bercurah peluh. Bermula dari “A”, beralun menjejak seiring saya ke huruf-huruf seterusnya. Dan langsung melangkah, biar pun nanti tanpa fiqura saya lagi disisi mereka.
Teman-teman berkeluh resah
“Mengapa harus begitu?”
“Apa tiada jalan lain?”
Mengapa?Kenapa? Jangan?
Saya justeru ikut berdesah sama.
Saya sudah lelah! Istilah itu sudah lama tersemat erat mencengkam benak. Membikin karat yang meluka dada. Meringgis darah-darah yang sarat membeku lewat jiwa yang disalut pilu, kala hadirnya silih berganti. Berkali-kali datangnya tampa peduli rela atau redha. Hari demi hari menguak nanah. Membikin busut yang semakin lama tak mampu dipikul lagi. Menanti terhambur.
Saya penat! Selain teman-teman se’cantik’ yang terus menghibur, jiwa saya dirundung nelangsa. Di balik kawan-kawan se’cantik’ yang tak putus berbagi semangat, aura saya berdesah pasca putus asa. Saya tak tahu mengapa perasaan ini datang. Saya tak mengerti mengapa nubari ini seakan merengek. Rasa jemu. Rasa mual. Rasa tak senang lagi berpura-pura. Setelah 14 tahun. Wajarkah?
“Mengapa!!”
Saya manusia biasa. Ada hati yang mengendung perasaan. Kerana perasaan itu amat mudah terhiris jika tidak dikendung. Seperti insan lain. Saya punya raga yang menaungi hak jati diri. Yang tercipta agar saya boleh memilih tikungan prinsip senada jiwa. Saya tak mampu untuk memelihara hati semua insan di sekeliling saya. Tak betah bersenyum menghibur setiap manusia di kiri kanan, yang saya tahu tetap punya cela. Tidak mahu mengiyakan tatkala hati saya menolak. Tidak tega akur tatkala jiwa saya bertekad ngeleng. Saya sudah lelah pura-pura. Seperti dipermainkan dunia. Dibuli kehidupan.
Nadi saya bersalur seni. Darah gemurat dari mama yang praktis mengukir seni mengalur jiwanya pada saya. Seni yang halus. Mudah terhenyak sakit. Dunia liburan wang ini melukakan saya. Dunia wang yang terlalu mementingkan diri, biarpun jiwa saya terlus bermaryarakat. Dunia wang yang menenggelamkan nilai ‘cantik’ ini pada sebuah sepuh kepalsuan. Membuat saya sakit. Meningkah saya menyakiti orang lain diluar kemahuan saya. Membuah sakit hati orang pada saya tanpa redha. Dunia yang terlalu kejam.
Saya tak gemar bermusuh. Saya tak tega membenih sengketa lewat diri orang lain. Saya hanya ingin hidup tenang. Mampu bertegu sapa dengan sesiapa sahaja tanpa ragu. Boleh berucap tama tampa didendam mahupun dilempar sinis. Namun kerja ‘cantik’ saya kini memaksa saya menerima gaung-gaung pergaduhan ini. Menghumban diri saya jauh ke dasarnya yang dalam. Membuat jiwa saya sakit, jatuh menghempap kaca-kaca kebencian yang amat kelam
Saya sudah tak rela. Diri jadi tak tegar untuk pasrah. Saya tahu saya harus bertindak. Beriak mengubah nada alur kehidupan saya. Beriak memulakan suatu rona warna baru menyalin suratan kelabu di tikungan benak. Agar batin menyongsong damai. Menginjak luka. Mengincar duka.
“Teman-teman, relakanlah!”
Saya harus pergi. Saya harus mematikan diri untuk tumbuh kembali. Seperti bungaan tulip margarita. Mengembur janin benih. Membibit bayi tunas. Mengembang remaja batang dan dahan yang kukuh untuk berpaut. Membuah keibuan kemuncup muda. Menanti kelahiran kelopak mengembang. Mengembus pesona.
Saya tak lupa. Saya tak akan mampu meluput kenangan. Biarpun tawarikh masa tak boleh berpaling untuk dijenguk, apalagi dinikmati buat kali kedua. Saya semat wajah-wajah ‘cantik’ kamu di jiwa saya. Saya benam liku-liku kemesraan kamu lewat hati mulus saya. Masa tawa. Alam gurau senda penuh seloka. Tempoh berbagi rasa. Berbaur kasihsayang. Bergumul kemesraan jati. Ya! Demi sebuah persahabatan.
“Apa yang akan saya lakukan?”
Cepu kepala saya berimbas pada secubit cita-cita mama saya yang alir jiwanya semarak seni. Yang sering digamit lewat dodoiannya pada halwa telinga kecil saya. Seperti cerita para pari-pari. Hasrat yang terbenam tak tertunai
Sebuah toko mongel...
Mempamer lukisan-lukisan seni mama
Memuat potret-potret lukisan saya
Buku-buku yang saya suka
Benda-benda cantik yang saya gemar
Serlah kristal yang menyegarkan
Gubahan bunga menyejuk raga
Studio seni saya dan mama
Sejalin keluarga
Yang pasti, tidak lagi membuat jiwa saya sakit. Apalagi menyakiti orang lain. Mahupun orang menyakiti saya. Membaur tenang. Menyimpul nyaman. Gemersik damai dalam hati.

Tiada ulasan: