ULASAN ABSTRAK
Makalah ini menilai Kawin-Kawin sebagai sebuah satira, dan suatu cara
membentuk kritikan sosial terhadap masyarakat Melayu. Penilaian terhadap
kesesuaian genre seperti ini harus mengambilkira sasaran dan juga kedudukan
konteks budaya novel tersebut, iaitu ugama Islam. Perbincangan ini dibentuk
dalam kerangka feminis pascakolonial untuk mengenalpasti dominasi budaya
dengan lelaki diberi kelebihan dari segi kuasa dan kawalan perjanjian undangundang
seperti dalam kontrak mut’ah, manakala perempuan hanya menjadi
objek keseronokan seksual lelaki. Pembacaan dominasi budaya ini merangkumi
analisis aspek hegemoni maskuliniti dan kolonialisme dalam penulisan sastera
Melayu yang boleh dianggap pascakolonial. Kedua-dua aspek ini mempunyai
persamaan dari segi fungsi dan kesan ke atas kumpulan yang terpinggir. Ugama
Islam dan wanita adalah dua kategori yang diliputi dalam perbahasan operasi
kolonialisme dan maskuliniti Melayu. Perbincangan ini ditutup dengan isu
yang berkait dengan penilaian semula aspek kesusasteraan dalam penulisan
Melayu dan tentang perlunya penulis Melayu merenggangkan penulisan mereka
daripada kerangka sastera Barat agar dapat keluar daripada pengaruh
kolonialisme.
Kata kunci: Maskuliniti Melayu, Kolonialisme, Hegemoni, Satira, Seksualiti,
Feminisme
ULASAN
KAWIN-KAWIN - SATIRA UNTUK BERFIKIR
Takhta, wanita dan harta telah digabungkan oleh Azizi Hj Abdullah sebagai satu elemen positif dan negatif yang menggerakkan novel Kawin-kawin, pemenang hadiah pertama Hadiah Sako 2 baru-baru ini. Apa yang tersurat pada novel ini adalah cerita seorang lelaki yang bernama Malang menggilai untuk mengahwini Mas Umm, demi harta, darjat dan kewanitaannya. Apa yang tersirat pula, akan dikupas selepas ini.
Sesuai dengan namanya Malang, dia dihujani dengan situasi malang dari mula hinggalah ke akhir kisahnya. Meskipun dilanda malang dan kekecewaan, Malang bukanlah seorang yang berputus asa. Dia sentiasa mencari idea dan jalan keluar bagi menyelesaikan masalah-masalah yang menimpa dirinya. Jika dia gagal untuk memikirkannya sendirian, dia akan meminta bantuan rakan-rakannya yang tidak lokek di dalam memberi buah fikir.
Sasaran utama di dalam hidup Malang adalah untuk mengahwini Mas Umm dan tinggal di dalam banglonya. Malahan, sasaran tersebut juga tersimpan di dalam diri kebanyakan lelaki di daerah Mas Umm ini. Pemangkin kepada sasaran tersebut adalah Mas Umm sendiri. Selain daripada kecantikan dan kewanitaannya yang digambarkan, Mas Umm turut memiliki sebuah banglo dan harta yang banyak. Kekayan Mas Umm inilah yang menyebabkan hampir semua lelaki bertolak-tolakan untuk bermut'ah dengannya dan langsung dapat menguasai banglo Mas Umm.
Bermut'ah di daerah Mas Umm adalah sesuatu yang dibolehkan kerana daerah ini mengamalkan kitab Arraya karangan Dr. Demo yang membenarkan amalan bermut'ah. Hal ini disokong pula oleh Abul Ahkam Al-Syaikh Hajjul Fatawa sebagai tokoh agama tersohor di daerah Mas Umm. Dengan cara itu, semua lelaki mempunyai peluang untuk menjadi suami Mas Umm sehinggalah tamat tempoh mut'ah, diceraikan oleh suami atau mati sebelum tamat kontrak mut'ahnya.
Setakat ini, Mas Umm telah bermut'ah dengan Bani Putih, Pak Syen, Pak Qum, Awang Dod dan akhir sekali Muallim. Malang telah mencuba nasibnya selepas sahaja Pak Syen bercerai dengan Mas Umm, namun kegagalan demi kegagalan dialami oleh Malang apabila Mas Umm memilih orang lain untuk menjadi suami mut'ahnya.
Usaha-usaha yang dilakukan oleh Malang sememangnya bukan sedikit. Dia dan rakan-rakannya telah sanggup pergi ke Siam untuk mendapatkan minyak dagu orang mati dibunuh, berkempen ke seluruh daerah tentang kebaikan Malang dan meminta rakan serta meminta nasihat serta kerjasama Abul Ahkam Al-Syaikh Hajjul Fatawa. Setelah gagal semua usaha tersebut, Malang berhijrah ke daerah baru, tempat tinggal seorang wanita yang tidak kurang hebatnya iaitu, Siti Menurra.
Di daerah ini Malang cuba berubah kelaku untuk menjadi orang yang alim supaya dapat memenangi hati Lebai Yazan dan Siti Menurra. Hasratnya adalah untuk memperisterikan Siti Menurra supaya dia dapat membuktikan kejantanannya kepada Mualim dan orang-orang di daerah Mas Umm bahawa dia juga mampu berkahwin..
Atas usahanya yang bukan sedikit itu, dia telah dinikahkan dengan Siti Menurra akhirnya. Anehnya, bentuk mas kahwin kepada Siti Menurra bukanlah wang ringgit ataupun barang. Siti Menurra meminta dia menyalin kembali 30 juzuk Al-Quran dengan tulisan tangannya sendiri tanpa ada salah walau satu huruf pun. Disertakan pula ta'liq bahawa jika tugasan itu tidak selesai dalam tempoh 5 tahun bererti mas kahwin untuk Siti Menurra tidak dilangsaikan oleh Malang. Selama itu jugalah dia tidak boleh bersatu dengan isterinya. Jika selepas 5 tahun Malang tidak juga habis menyalinnya, Siti Menurra berhak menuntut fasakh.
Setelah berbincang dengan orang yang bijak pandai, Malang akhirnya menyetujui syarat Siti Menurra. Sebagai orang yang jahil agama dan Al-Quran, tugasan untuk melangsaikan mas kahwinnya itu amat mendera dirinya. Tetapi dia tetap mahu membuktikan yang dia layak untuk mengahwini Siti Menurra kepada Muallim dan Mas Umm.
Azizi amat bijak memainkan simbol di dalam novelnya. Apa yang digambarkan sebenarnya di dalam novel ini bukanlah tentang seks dan lelaki. Malah Azizi mahu kita meneroka lebih jauh dari itu. Mas Umm dan Siti Menurra adalah lambang kuasa yang mahu dimiliki. Lelaki-lelaki di dalam novel ini pula adalah gambaran manusia dengan kerakusan nafsu, sifat tamak dan sikap enau yang mahu melepaskan pucuk sendiri.
Setiap pembaca akan ada penafsiran tersendiri terhadap apa yang diperlambangkan oleh penulis ini. Novel ini kuat berbau satira politiknya. Secara tidak langsung ia menegaskan bahawa manusia sanggup melakukan apa sahaja demi wanita, takhta dan harta. Kisah segelintir kelompok Melayu tipikal yang tidak senang dengan kejayaan orang lain dan sentiasa sahaja mahu menunjuk-nunjuk kelebihan sendiri serta mahu menjatuhkan orang lain.
Kekuatan novel ini terletak pada plotnya yang lancar. Ada ketikanya membaca Kawin-kawin boleh mendera pembaca lantaran perlambangan seksnya yang begitu kuat di sana sini. Ditokok pula dengan gaya bahasa dengan diksi yang sengaja dipilih untuk menguatkan plot lelaki dan seks ini. Novel ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu bahagian pertama yang mengandungi 10 Fasal, Belahan Kedua yang mengandungi 7 Fasal dan Belahan Ketiga dengan 7 lagi Fasal.
Pembahagian ini menjadikan novel ini lebih kemas di mana setiap bahagian meletakkan kisah Malang pada tempat-tempat tertentu. Misalnya, 10 Fasal pertama menceritakan kisah Malang di daerah Mas Umm dan usahanya untuk bermut'ah dengan Mas Umm serta kegagalannya. Belahan Kedua adalah kisah Malang yang mahu beristerikan Siti Menurra dan penderaannya oleh Siti Menurra yang mahukan mas kahwin 30 juzuk Al-Quran yang ditulis oleh Malang sendiri. Sementara Belahan Ketiga merupakan klimaks novel ini dan percaturan terdesak oleh Malang yang ingin bersatu dengan Siti Menurra dan dalam masa yang sama tidak mahu melepaskan peluang untuk bermut'ah dengan Mas Umm.
Pengakhiran novel ini tidak memeranjatkan dan tidak pula mengecewakan pembaca. Azizi memberi keadilan dan kewajaran kepada semua wataknya. Membaca novel ini memberi pembaca dua jenis perasaan: benci berbaur dengan perasaan ingin tahu yang amat meluap. Kita boleh merasa benci dengan watak-watak lelaki yang gelojoh terhadap kuasa, wanita dan harta itu tetapi dalam masa yang sama, kita tetap mahu tahu bagaimana kesudahan kisah ini. Kita seperti ditarik-tarik oleh penulis untuk menghabiskannya ke muka surat 266.
Aspek bahasanya pula menghidangkan kepada pembaca ekspresi-ekspresi yang segar lagi asli. Begitu juga dengan perbandingan yang bersifat diskriptif bagi menggambarkan watak-watak. Sebagai contoh, mulut Malang macam ikan puyu; hati Siti Menurra yang keras bagaikan biji buah kana. Pendek kata, susah untuk dicari sesuatu yang cliché dalam Kawin-kawin.
Cuma ada satu kesilapan yang dikesani pada novel ini. Tetapi itu boleh dilihat dalam dua keadaan. Yang pertama Azizi memang tidak sedar mahupun editornya; dan yang kedua kesilapan menaip. Pada muka surat 17 baris 7 penulis mengatakan bahawa perceraian di antara Awang Dod dan Mas Umm adalah talak raj'i manakala pada muka surat 22 baris 19 pula talak tersebut dipanggil talak bain. Meneliti pengetahuan agama Azizi lewat novel ini, hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana terdapat perbezaan yang jelas di antara talak raj'i dan talak bain. Sekalipun jenis perceraian tersebut tidak memberi kesan langsung kepada cerita, ia tetap boleh mempengaruhi pembaca dengan penurunan ilmu luar sastera yang kurang tepat.
Walau bagaimanapun, secara keseluruhan novel ini mempunyai kekuatannya sendiri dan cukup layak dinobatkan sebagai pemenang teratas Hadiah Sako 2 berbanding dua lagi saingannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan