CERPEN : Anak Ummi


Adakah kamu tahu bagaimana rasanya menjadi seorang yang gagal?  

Ia seperti rasa hati yang  disurup pilu serta diinjak-injak oleh manusia-manusia kerdil berkaki kotor dan bertubuh gendut. Dada persis ditekan-tekan sehingga sakit mengilu ke ulu benak. Adakala raga bagai digores, dicarik dan dicucuk dagingnya berulang kali dengan ribuan peniti sehalus jarum akupuntur nan tajam. Ia menusuk dan diputar-putarkan seenaknya membikin kelu.  

Jantung seolah-olah dipaksa mengepam deras agar berdegup kencang. Justeru perasaan mencemas entah untuk apa-apa. Mungkin cemas kerana terlalu tidak tahu bagaimana untuk menawar rasa gagal itu. Fikiran pula cenderung pusang. Ia bagai merembes sel di serebrum otak agar semakin membesar. Lagi dan lagi. Cepu kepala ditiup ibarat sebiji belon yang sarat menegang total. Bersedia untuk pecah serta berhambur isinya. 

Adakah kamu tahu tatkala diri diselubungi situasi berdosa? 

Pandangan mata terbias samar untuk menatap apa-apa pun. Pelupuk mata sering membasah tanpa dapat dikawal. Air-air bening berguliran seru tanpa mampu di henti. Kelopaknya tetap terbuka bersama matahati yang mengkelu buta untuk mengkecap segala keindahan. Sekujur tubuh ikut terseksa bahana riak berdosa. Tidak mampu bertingkah waras untuk betah melakukan apa pun. Lenyap indera rasa untuk makan dan minum. Apatah lagi untuk menikmati hidup sedia ada. Seolah-olah perjalanan raga terhenti beroperasi semuanya.  

Diri juga menghadap amnesia yang panjang. Sukar melelapkan mata. Benak meracau seraya bersimpul-simpul lantas liar menerawang tanpa arah tuju. Justeru mata turut melayaninya. Kelopak mata kian memberat melayan kantuk, namun masih tak gerah meraih lena. Serasa waktu berselang waktu, sekujur tubuh bagai dibakar di percu neraka.  Meratap berterusan. 

Aku pernah melayar suasana itu. Justeru aku juga berjaya menebus sergapan kejahilan dosa laluku itu dengan seberkas nuansa bernama budi.






Namaku Kashimah. Aku menjejak kaki ke bumi holland dalam usia mudaku 18 tahun. Terlalu muda untuk jadi seorang pendatang bagi suatu tempat yang berbeza bangsa dan adat budayanya. Aku budak yang pintar. Kerana kecerdikan, aku di utus menyeduh ilmu di negara empat musim itu. Belanda memang hebat. Sehebat nama dan bangsanya. Seindah kincir airnya yang dibina melata. Secantik terusan-terusan air yang disulam bagai corak dimana mengesa hati tertarik. Aku menuntut bidang antropologi disana. Bidang yang ku sukai serta menjadi cita diri. Juga menjadi kebanggaan buat ayah dan ibu. 

Masih ku ingat raut lesu ibu tatkala mengiringiku ke lapangan terbang. Ibu menggenggam erat tangan kananku. Seakan tak mahu dilepaskan. Seperti tidak rela anak gadis satu-satunya ini berlalu pergi dari pangkuannya. Mata ibu kecundang sebak berkaca. Menuntun haru lewat naluri keibuannya. 

Ayah pula tak putus-putus membujuk ibu. Memaut erat pundak ibu di kala melambai aku berlalu. Mengalur tabah pada sosok tubuh ibu yang lesu persis aku akan pergi untuk takkan kembali lagi. Memaut harapan agar ibu redha pada pamitku untuk menyambung cita-cita keluarga. Menyahut impian orang-orang desa kami yang jauh terpinggir. Aku budak pintar satu-satunya yang melangkah tegar melewati tembok pendidikan di desa kami. Mereka cenderung berbangga. 

Ya! Ternyata fisafat seorang ibu itu benar. Kegusaran ibu tatkala meredhakan pemergianku mengundang padah. Aku berkenalan dengan lelaki itu, di negara kincir angin ini. Pensyarahku sendiri. Seusia ayahku. Bahkan ku kira dia jauh lebih tua. Cintaku yang tumbuh pada lelaki yang hidupnya menyongsong semi tulip ini membuat hidupku terbabas.  

Aku menggomol dosa demi dosa bersamanya. Tega bersekedudukan tanpa sebutir lafaz nikah. Sedangkan aku sendiri tahu yang dia sudah punya sebuah keluarga yang serba sempurna. Biar pun ku sedar cintanya padaku tak mustahil hanya sekadar bagai menjamah seraut kecil keju ditempel pada sekeping roti buat sarapan paginya sahaja. Belum tentu punya erti.  

Namun aku tak pernah cenderung perduli. Aku langsung kian lemas dalam rangkulan asmaranya. Alpa dalam kebebasan yang di kecap di pentas dunia baruku. Sehingga azam asalku untuk mengorak ilmu setinggi langit yang kujanjikan pada insan-insan tersayang di  tanahair tenggelam di dasar laut noda. Aku mabuk dengan suasana serba baru yang disuapkan buatku. Pengajianku kecundang. Tanpa kesal untuk ditoleh kembali. 

Ya! Hidup ini tak pernah lari dari biasan hukum karma. Sketsa hidup itu berlandas pada sebab-musabab yang mengarit bahana akibat. Setiap perbuatan harus menanggung risikonya. Takdir girang ku sekelip mata merubah duka. Lelaki yang ku kasih itu pergi selamanya. Mengakhiri usianya dalam pangkuanku lewat segerundung dosa. Aku ditinggalkan kara meratap lara kehilangan cinta. Malah kehilangan segala-galanya. Tidak dapat menuntut hartanya biar sesen pun. Jatuh papa sekelip mata. 

Bahkan dosa itu terus ku pikul bebannya sekali lagi. Ayah dikabarkan menghembus nafas akhir dengan mata membuntang mengenang tingkah jelekku. Mengakhiri usianya bersama liang amarah buatku yang masih tersisa. Aku terpana. Inginku berlari pulang memohon ampun dari sekujur tubuh tua itu. Ingin ku hadir menziarah lalu ku dakap jasad kaku itu bersama limpahan air mata sesalku.  

Namun aku gerun dengan lumpur dosa yang terpalit di sela tubuhku. Aku gentar menghadapi mereka-mereka yang pasti berang dengan langkah serongku. Aku takut menghadapi paras ibu, biarpun berkali-kali ibu merayuku agar pulang ke pangkuannya. Aku resah di sumpah seranah dek sanak-saudara yang pastinya berkabung di atas pemergian ayah. Aku gelisah berbaur malu tatkala memikirkan harus kembali tanpa membawa sekuntum pun bunga cita. Aku tega jadi anak durhaka. Belum bersedia untuk menjejak kaki ke tanah leluhurku. 

Lima tahun ku benamkan rasa sesal sembari mengatur kembali tuju hayat ke pasak keredhaan. Aku menampung hidup dengan bekerja apa sahaja berlandas halal. Disamping rasa bersalah dan gagal yang terus menginjak-nginjak di cepu benak saban waktu. Tiada yang membujuk. Hanya terus meniti masa mengalur takdir yang akrab menjadi penawar. 

“Pulanglah setelah kau benar-benar bersedia, Imah. Tiada siapa yang akan memaksa. Aku juga takkan mendesak. Hanya ku harap, moga kasih ibumu kekal bertahta di relung ingatanmu selalu. Di setiap detik hayat!” 

Kalimat demi kalimat perangsang yang tak putus dari lenny, sahabat akrabku di tanah air terus meluru tiba mengutus aura semangat. Hanya lenny yang sering menemani di setiap waktu sepi. Tak pernah lelah menjadi pendengar setia di setiap detik resah serta kesal yang merundung hidupku di kejauhan ini.  

Lenny juga menjadi kesinambungan buat diriku dengan ibu. Malah, lenny tak pernah melepaskan pautannya di pundak batinku agar aku terus tegar menghirup nafas sehingga nurani bergorak pulih seperti sediakala. Lantas aku mengelusur cerah seraya mencambah sinar terang di sela menghimpun alur semangat untuk terus hidup saksama. Semakin tangguh mengerah sukma untuk kembali ke tanahair. 

Sekilas masa berlalu, tanpa sedar, sudah lima tahun aku mengongsi diri di tanah tumpah bekas penjajah ini. Desakan ibu semakin kuat agar aku segera pulang bersimpuh dipangkuannya. Bersama rindu yang tak terbilang tanggung. Aku membina jati diri untuk pulang. Kepulangan yang tak akan bertoleh kembali pada negara yang pernah menyimpan seperaung  ceritera dukaku ini. Melangkah pergi buat selama-lamanya tanpa meninggalkan jejak. 

“Nak, pulanglah! Ibu merindui mu! Lenny juga ditimpa bahana. Dia sakit tenat, nak. Belum tentu mampu bertahan lebih lama untuk dapat melihat wajahmu!” 

Perkabaran buruk tentang lenny, membuat aku teguh merungkai jalan kembali seraya menjejak kaki tanpa bertangguh ke tanahair. Rupa-rupanya di sepanjang keakraban kami, lenny menyimpan utuh rahsia hidupnya yang kecundang hancur di sebalik sungging senyum semangatnya yang semekar buatku.  

Aku terjeda mendengar kisahnya. Lenny terlanjur menghidap leukimia. Yang bukan sahaja meragut helaan nafasnya sedikit demi sedikit, malah ikut merenggut perkahwinannya yang ku sangkakan bahagia. Suaminya lari dari ungkaian pernikahan bahana tidak tega untuk terus berdamping dengan seorang isteri yang sakit. Meninggalkan dirinya bersama seorang anak kecil yang harus diruntun tangannya agar mampu mandiri di kemudian hari setelah ajalnya tiba. Ternyata lenny tak berdaya mengatur nyawanya lebih lama. 

Aku terlambat! Aku gagal menatap bening mata indah lenny yang ku ketahui indah itu. Gagal melunaskan hasratnya untuk bersua buat terakhir kali. Lenny pergi disahut ilahi tatkala aku baru sahaja menjejak langkah di tanah leluhur desa kami. Hanya sempat menitip sebuah amanat buat diriku. Yang katanya akan membantu aku agar lebih menghargai diriku sendiri. Justeru mengusir pergi rasa bersalahku yang kian mencengkam diri. Aku terperangah. Lemah. Tak terkutik untuk berkata-kata. 

“Imah, Jika kita menabur kemuliaan, pasti badai dosa masa lalu yang mencengkam kita, beransur-ansur merundung pergi. Ku tinggalkan anakku dibawah amanatmu. Agar kau berupaya menjadi seorang ibu dan berkeluarga, seperti impian yang sering kau laungkan ke telingaku saban waktu dulu. Kerana hanya menjadi seorang ibu, seorang perempuan itu berupaya melafaz citra hidupnya!’ 

Ku terima warkah itu bersama tubir mata berkaca-kaca. Sekilas biasan kenangan laluku menderu-deru mengamit tangkai sukma. Aku pernah membunuh janin anakku sendiri bahana menurut serakah nafsu lelaki itu. Bukan satu. Bukan  juga dua. Bahkan berkali- kali, bercanda dosa seraya mempersendakan takdir. Sehingga sukar untuk ku usir rasa kesal itu kini. Apatah lagi riak bersalah yang tanpa lelah terus menyelubungi kalbu saban waktu. Menghambat diriku masa demi masa lewat tempelan perca-perca dosa. 

Terasa pemberian lenny itu terlalu murni bagiku. Amat istimewa rasanya bagi seorang manusia sia-sia sepertiku mendapat kesempatan untuk meraih taraf seorang ibu. Yang justeru pernah menjadi impianku dikala diselubungi nestapa takdir. Dengan satu-satu permata hatinya pula. Yang menurutnya, mampu membantu aku membidas deraan dosa lalu dari terus menghambat jiwa. Bersama restu darinya. 

Dengan kekuatan digalur ibuku, aku berangkat menemui anak itu. Dia amanat lenny buatku. Seorang budak lelaki yang ketara comel. Berusia dua belas tahun. Dengan baju yang compang-camping kotor. Seluar kecilnya lusuh sekali. Sebuah beg kecil uzur kemas dikendong di tangan kanannya. Boneka kain yang lusuh dipeluk erat di tangan kiri. Berteleku haru seraya mendekap nisan kubur lenny. Meratap pemergian mamanya. Dengan air mata yang tak putus bergulir di sela tubir mata kecilnya yang bundar itu. 

Mataku berkaca hiba menatapnya. Beberapa kali ku ajak dia pulang ke kota bersamaku. Namun si kecil itu sekutikpun tidak mengendah. Bahkan makin erat berdekap pada nesan arwah mamanya itu. Seolah-olah tak sanggup berpisah. Ku umpan juga dia dengan beberapa bujukan berlandas kejahilan anak-anak kecil sebayanya. Dia langsung tak perduli. Hatinya seteguh batu. Hanya terus meraung. Meratap. Agar sesosok tubuh kecilnya tidak dipisah dari jasad mamanya yang telah terkubur. Ku hela nafas berat menatapnya. 

“Anak itu sudah berada di situ sejak mamanya disemadikan lagi, kak?” 

“Maksud kamu, sudah dua hari dia meratap di situ?” 

Penjaga rumah lenny yang sudah separa abad usianya itu mengangguk lemah. Menurutnya, biarpun selama ini dia yang membantu lenny mengasuh si anak sejak dilahirkan, namun keakraban ibu dan anak itu sukar dimengertikan. Mereka tak pernah berpisah walau sedetik pun. Begitu akrab. Lantas apabila arwah meninggal dunia, anak itu agak sukar dipujuk. Dia sendiri akui kehilangan asa. 

“Maksud kamu sudah dua hari dia berada di situ. Memeluk batu nesan itu?” 

Pertanyaan ku berulang lagi. Seperti tidak percaya. Penjaga itu mengangguk lesu dilebur takut-takut. Di lubuk hatinya tampak disurup pelbagai rasa. Mungkin malu bahana gagal membujuk kanak-kanak sekecil itu yang selama ini berada dibawah asuhannya. Mungkin juga  takut tatkala memikirkan kemungkinan nasib anak itu kelak. Diselubungi riak bersalah juga gara-gara merahsiakan perihal itu dari orang lain. Aku terpempan dalam diam. 

“Jadi! Bagaimana makan-minumnya?” 

“Saya datang menghantarnya, puan!” 

Aku menggeleng beberapa kali sembari beristiqhar. Setelah itu, aku terus berusaha lagi membujuk si anak kecil itu. Berusaha berkali-kali. Ternyata kata-kata si  penjaga itu benar. Anak itu benar-benar teguh hati jiwanya. Sudah terhumban jauh dalam rimbunan kasihsayang ibunya yang terlanjur keterlaluan. Dapat ku kecap kegagalan bagi meneruskan amanat terakhir lenny itu. Aku kematian daya. 

Hari ketiga, aku bertegas untuk pulang bergamit rasa tewas yang terus menompok di jiwa. Aku bercadang meninggalkan sedikit wang buat kesejahteraan anak itu di bawah si penjaga. Bahkan aku bertekad untuk terus mengirim biaya lagi kelak agar dia mampu meneruskan hidup. Sebelum berlalu, mataku menghambur dengan simbahan air mata sesal. Akur tewas merangkul amanat lenny itu. Gagal membalas budi sahabat baikku itu juga. Gundahku tak terbilang tanggung mengenangkannya. 

“Sahabatku! Maafkan aku! Aku gagal untuk memenuhi amanatmu!” 

Air-air bening tak putus terguras lagi memerah mata. Jiwaku luluh.  

Di waktu aku mulai mengerakkan keretaku untuk berlalu pergi dari tempat itu, tiba-tiba muncul sekujur tubuh kecil menghalang perjalananku di muka kereta. Si kecil itu dengan tubuh kurusnya mendepangkan kedua belah tangan. Parasnya sayu berbaur tangis. Beg berserta anak patung lusuh yang sentiasa dikendong tampak terluruh ke pangkuan kaki. Aku terperanjat. 

“Sani mahu ikut makcik!” 

Ungkapan mendadak dari bibir mongel anak kecil itu menggarap perasaanku sebu. Benak tertujah aneh dengan perubahan mendadaknya itu. Namun, riak rasa itu ku pendamkan sahaja dalam hati. Turut dibuang segala prasangka yang hadir bertandang. Yang penting, hasratku untuk memenuhi amanat lenny terungkai sudah.  

‘Mungkinkah Tuhan menolongku melembutkan hati si anak kecil?’ 
Kini ku tahu namanya Sani. Bermata bundar berona abu-abu, serta dihiasi barisan bulu-bulu halus yang melentis panjang seperti kepak kupu-kupu. Pesona mata itu secara tidak langsung mengingatkan ku akan lenny. Ia mirip benar. Wajahnya juga berpostor ala bulan penuh memperawa ciri-ciri orang jawa. Juga seperti lenny yang begitu utuh cantik berparas jawa. Hidungnya meninggi separa mancung. Ulas bibir tertera manis delima. Rambutnya yang berombak ikal kerinting disisir belahan tepi. Kulitnya berona kuning gading yang halus serta bertubuh kecil rumpun melayu. Tatkala pertama sekali mata mengimbas, pasti tidak percaya yang dia sudah berusia dua belas tahun. Riak wajahnya lugu sekali. Bahkan begitu keanak-anakan. 

Sani tidak banyak berbicara. Di sepanjang perjalanan kami untuk kembali ke kota, bibirnya terkatup erat. Langsung tak bersuara. Hanya sesekali terdengar dengusan kecilnya yang seakan berkeluh panjang sembari matanya menancap tegar ke hadapan dada aspal.  

“Sani! Mengapa tiba-tiba berubah hati hendak ikut makcik ya?” 

Aku menggetus pertanyaan. Kuakui dirundung rasa pelik dengan keputusan mendadak anak kecil itu untuk ikut serta dengan ku. Setelah saban hari aku lelah memujuknya sebelum ini, dan dia tak terkutik pun peduli. Selebihnya aku ingin mengesanya berbual dan terlalu ingin mendengar suaranya. 

“Sani mimpikan mama malam tadi. Mama suruh sani ikut makcik. Mama kata makcik akan jaga sani dengan baik. Seperti mama jaga sani dulu!” 

Sani menjawab sepatah-sepatah. Nada suaranya lugu benar. Masih tampak bergementar serta takut-takut. Matanya juga berkerdip-kerdip janggal. Sejenak pandanganku melirik ke arahnya. Ku perhatikan kedua belah tangannya erat memeluk sebuah anak patung daripada perca kain yang sudah terlalu lusuh. Aku sedar. Semenjak pertemuan pertama kami, anak patung itu sering bersamanya saban waktu. Tak pernah berpisah walau sedetik pun. Tak semena-mena. rasa aneh menghunjam benak. 

“Itu patung siapa, sani? Siapa yang beri?” soalku lagi yang sarat beriak ingin tahu. Tanganku spontan mengusap ubun-ubun kepala sani mesra. Sengaja ku perlakukan begitu, agar dia tidak terlalu gugup terhadapku. Selain cuba menjalin sebuah hubungan yang akrab dengannya. 

“Mama yang beri! Mama kata ini seperti adik sani. Mama kata sani mesti jaga ia dengan baik,“ jawab sani petah.  

Tampak dia sudah semakin lancar berbual. Kegugupannya seolah-olah beransur lenyap diterpa waktu. Sejenak, terimbas kata-kata pembantu rumah lenny yang baru kutinggalkan tadi. Menurutnya, anak patung itu dibuat lenny ketika hamil serta sudah ada pada sani sejak dilahirkan. Tak pernah berenggang. Bahkan sering dijadikan peneman. Dahiku berkerut kehairanan. Tak pernah dibasuh, maka tak berkuman kah? Tak mudaratkah jika dipeluk begitu. Aku menggeleng lagi seraya beristiqhar lagi beberapa kali. 

“Sani harus panggil makcik apa ya?” 

“Panggil saja, ummi!” 

Kami tiba di rumah milikku di bandar johor bahru ketika kirmizi senja mulai mengorak jingga di penjuru langit. Rumah yang ku perolehi dari hasil titik peluh semasa lima tahun membina jati diri di Belanda. Rumah yang dibeli berlandas usul lenny setelah ku pinta agar ia kelak menjadi penempatan untukku setelah pulang ke tanahair.  

Sememangnya aku tak tega untuk menginap kembali di rumah ayah. Aku tak ingin dihantui bayangan rasa bersalah yang mampu merencat perkembangan hidupku. Tambahan pula, rasa janggal untuk bertembung kembali dengan sanak-saudara yang kukira agak sinis memandangku di awal kepulangan dulu. Mereka masih menyimpan jijik pada anak durhaka ini. Biarpun agak pilu gara-gara terpaksa berpisah dengan kubur ayah, namun aku sedar yang hidup harus diteruskan. 

Rumah teres setingkat berlatar mewah ini betul-betul mempapar tema kesukaan ku. Ternyata lenny bijak memilih. Sebuah laman yang luas terbentang di hias indah sosok kiri. Cukup besar untuk ditempatkan sebuah kolam renang. Seluruh cat muka dindingnya di seri dengan rona biru laut kesukaanku yang menenangkan minda. Bahkan ruang dalamnya bersemi perabot kayu jati yang utuh memukau pandangan. 

Ibu kubawa menginap bersama. Selain membantu memadam rasa sendu ibu tika berada di rumah gemulah ayah, ia salah satu langkah agar berupaya berbakti pada ibu. Memang sejak dulu impiku agar kami tinggal bersama agar mampu ku tebus kembali rasa berdosa selama di luar negara. 

Kami hidup bertiga. Aku, ibuku yang kian dimamah pikun serta anak kecil itu. Selain itu, ada ku upah seorang pembantu yang datang pada setiap pagi untuk membasuh kain baju, memasak, mengemas rumah serta mengurus rumahtangga sebelum kembali pulang pada waktu tengahari. Kami juga saling berjaga di antara satu sama lain.  

Memelihara sani memberikan aku suatu cabaran yang baru. Agak sukar membentuknya. Anak ini dungu dalam hampir semua perkara. Banyak yang tidak diketahuinya dengan wajar bagi seorang budak yang telah berusia dua belas tahun. Aku masih ingat, di awal kehidupannya bersamaku. Sani bagai terpercik kejutan budaya. Segala perkara menjadi kekok padanya. Semuanya janggal dilakukannya. Sehingga aku sendiri terpegun melihat tingkahnya itu. 

Sani langsung tidak tahu untuk mandi menggunakan shower. Tidak pernah diasuh untuk mandi sendirian. Menurutnya, mama yang sering memandikan dia menggunakan gayung di rumah lama. Mengusap sabun ditubuhnya dengan segenap kasih sayang. Menyiramkan air dengan setulus kasih. Bahkan tak pernah sekalipun meninggalkannya sewaktu mandi.  

Aku kaget. Terasa jelak untuk memandikan seorang budak yang sudah berumur dua belas tahun. Anak lelaki pula. Aku tak tega dia terus jadi dungu, lantas dengan sabar ku ajar dia untuk mandi sendiri. Kali pertama, ku didik dia bagaimana untuk membuka shower serta menggesa dia menyabun tubuhnya sendiri. Tak lupa ku ajar bagaimana memberus gigi justeru cara membilas lantas mengelap tubuhnya bersih-bersih. Kutunggu di luar daun pintu. Lama kelamaan, barulah sani mampu untuk mandi sendiri. 

Sani juga tidak banyak karenah dalam pemakanan.  Dia tak banyak mengenal lauk-pauk dan tidak betah memakannya dengan betul. Dia hanya menyantap jenis makanan yang sering dijamah berlandas usul arwah mamanya sahaja. Langsung tidak mengenal makanan yang menjadi selera rasa kanak-kanak sebayanya masa kini. Bahkan tidak pernah mengecap makanan ringan seumur hidup.  

Aku terkadang menggeleng kepala mengenangkan anak yang serba pulos itu. Ternyata lenny terlalu tegas menjaga sehingga dia tidak diberi asuhan agar berbuat suatu perkara berlandas pilihannya sendiri. Hanya menjadi penurut pada semua saranan orang padanya. Langsung tidak berdikari. 

Aku puas beristiqhar berkali-kali. Ternyata sani amat dungu dalam mengecap segala limpah kurnia di bumi tuhan ini. Dia tak pernah menonton televisyen pun di sepanjang hidupnya. Katanya, mama dulu melarangnya dari menonton peti yang bersaiz empat segi itu agar otaknya tidak rosak. Aku tergeleng kecil mendengar alasan itu. Lantas dengan helaan nafas berat, kufahamkan dia bahwa andai kita bijak memilih apa yang mahu ditonton, ia malah mampu mengajar kita banyak perkara. Agak mustahil akalnya boleh rosak kalau sekadar menonton siri kartun di situ. 

Sani juga seorang kera sumbang. Dia tidak tahu cara untuk bergaul dengan kanak-kanak sebayanya. Malah tidak pernah mahu mencuba untuk berkawan. Hanya bermain dan berdamping dengan anak patung lusuh buatan arwah mamanya sahaja. Bahkan semua alat permainan baru yang sengaja ku beli untuk membuka mindanya, tidak sekali-kali mengusik perhatiannya. Anak ini bagai amat takut mencuba untuk membuat sebarang aktiviti dan benda baru. Setiap kali alasannya berkisar kepatuhan kepada arwah mamanya sahaja. Aku terkadang bingung. Mengapa lenny mengasuhnya terlalu keras dulu?  

Seminggu kemudian, aku mempersiapkan dirinya untuk masuk ke alam persekolahan yang baru. Sengaja ku atur dia ke sekolah yang agak terbaik di kota besar ini. Harapanku, agar sani mampu belajar dengan lebih baik seraya maju ke hadapan dalam hidupnya sendiri. Ku yakin dia anak yang pintar. Cuma dia mungkin agak kekok orangnya terutama ketika bertembung suasana yang agak baru baginya. 

Di hari pertama menghantar sani bersekolah, aku terledak ketawa bahana geli hati. Wajah sani pucat membiru. Kedua belah tangannya digenggam erat seraya menggeletar. Mata kecilnya juga seakan menguras tangis yang tertahan-tahan. Sejak dari pagi di hari itu, dia membisu tanpa bersuara. Tampak sani dirundung gugup yang sarat di relung benak.  

Paling mengejutkan, sewaktu kami tiba di hadapan pintu pagar sekolah, dia berkeras tak ingin turun dari kereta. Malah dia menghambur tangis seraya berteriak-teriak gara-gara terlalu gerun untuk menempuh situasi yang baru baginya itu. Seolah-olah, tubuh kecilnya hendak ku lempar masuk ke penjara. Lelah aku membujuknya agar masuk ke kelas. Akhirnya, tak semena-mena aku sendiri terpaksa menemaninya masuk serta duduk di balik daun jendela kelas sepanjang hari berlandas rasa simpatiku yang dalam. 

“Kenapa mesti takut, sani? Dulu semasa di kampung, kamu kan pernah ke bersekolah selama lima tahun?” tanyaku dengan riak tidak mengerti.  

Ubun-ubun kepalanya ku elus mesra seraya mereda rasa gugupnya itu. Membujuk dengan lembut agar dia mengerti yang aku sedang cuba memahami dirinya. Sememangnya aku dihambat keliru dengan perilakunya yang amat berbeza berbanding kanak-kanak sebayanya yang lain. Seolah-olah tumbesaran akalnya terencat di silir waktu. Sedangkan ku tahu, dia bijak sekali. 

“Dulu mama selalu temankan sani diluar kelas” suara kecil itu bersahut dengan riak takut-takut. Wajah lugunya keruh sekali. 

“Setiap hari?” Aku bertanya lagi dengan dahi berkerut. Perasaan diundang rasa tidak percaya. 

Sani angguk mengiyakan. Spontan kepalanya menunduk terpekur menatap tanah. Dia seperti agak malu-malu dengan pertanyaanku. Tak semena-mena aku terpempan. Mungkinkah lenny mengawasinya di sekolah selama lima tahun tanpa dibenarkan bersendirian biar sedetik pun. Sehingga anak ini kemaruk bergantung sepenuh padanya. Malah, tidak pernah diasuh untuk berbuat sesuatu perkara mengikut gerak hatinya. 

Aku berkeluh berat. Rasanya aku sudah makin lali untuk mengeluh lagi. Sejak hari itu, aku bertekad untuk merubah pemikiran anak itu. Mendidik agar melawan rasa takut dan janggal yang membenam lama di akalnya. Sedikit demi sedikit, aku mengajar dia berdikari tanpa bergantung dengan sesiapa pun  di sisi. Termasuk juga aku. Adakala, dengan sengaja aku tinggalkan dia seorang diri sambil ku perhatikannya dari jauh. Malah ku beri pilihan padanya untuk berbuat sesuatu berlandas gerak hatinya sendiri, tanpa dipengaruhi orang lain. Memang agak sukar pada mulanya, kerana dia bersifat manja. Namun, masa yang berlalu, berhasil merawat kematangannya dalam diam. 

Aku masih ingat betapa nekadnya aku mengasuh sani untuk berdikari. Adakala dengan sengaja kubiarkan dia berasa gagal tatkala melakukan sesuatu yang agak sukar baginya. Kuasuh dirinya untuk mampu bangkit semula setelah kecundang tewas. Kugarap jiwanya agar kuat menempuh kesilapan demi kesilapan tanpa mengenal putus asa. Aku percaya bahawa suatu kebangkitan dari kesilapan itu mampu menjadi pembina jati diri yang baik andai kita benar-benar belajar menghadapinya. 

Di saat awal aku mencuba, sani tampak agak sukar mengharungi kekalahan. Dia mudah kecundang putus asa. Sehingga aku pula yang ketimbang haru menatap mata bundar kecilnya yang simpatik berkaca bahana tewas. Hatiku luluh melihat air-air bening bergenang di pauh pipinya itu. Namun aku sedar untuk terus bertegas. Aku harus bangkitkan aura semangatnya. Agar dia mampu berdiri dan berlari biarpun cenderung jatuh berulang-kali. 

Pernah aku bertegas menghukum sani dengan keras walaupun kesilapannya hanya sepele. Sengaja ku latih jati dirinya agar mengkental seteguh karang. Sehingga ibuku sendiri tak sanggup melihatnya dan berlalu ke dalam kamar menyisa sendu. Aku juga terkadang hampir kalah disimbah haru tatkala menatap rajuk matanya yang bersinar pilu seraya memprotes kekerasanku penuh hiba. 

“Ummi tak sayangkan saya!” 

Jiwaku hampir rapuh bahana luluh mendengarkan ungkapan itu. Hati keibuanku goyah  tersentuh. Namun aku segera sedar yang aku harus kuat bergelut dengan sumbu-sumbu berbaur lara ini. Sani harus ku asuh sebaik mungkin agar teguh jiwanya. 

Hari demi hari yang berlalu bagai semilir angin yang tak putus menerpa liang-liang rungkup kehidupan. Sani membesar di depan mataku menjadi seorang arjuna yang ganteng. Biarpun sudah pandai bergaya tampan, namun  raut lugunya tetap tidak berubah. Sani menjadi kesayangan kepada ibuku. Mereka rapat sekali. Sedangkan denganku sani agak takut-takut. Semuanya gara-gara ketegasanku padanya. 

Sewaktu usianya mengijak 17 tahun, dengan sengaja ku paksa sani menduduki asrama biarpun universiti yang ditempatinya agak hampir sekali dengan rumah kami. Aku ingin sani belajar berdikari. Ibuku memprotes tegar dengan sikap tegasku. Sani juga merayuku agar dirinya tidak dilempar jauh dari rumah. Dia tak sanggup berjauhan dari kami. Aku kecebur haru namun tetap muktamad dengan keputusanku. Tak perduli sikap rajuk ibu yang beberapa hari tidak mahu menegurku. Tak ku endah sani mogok lapar. Aku tetap kukuh berpendirian, kerana ku tahu semua ini adalah semata-mata demi kebaikan nasibnya kelak. 

Seusai sani belajar, dengan sengaja aku dapatkan sebuah pekerjaan yang memaksa dia pergi jauh dari kami. Aku kerah dan paksa batinnya untuk bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan. Biar pelayaran demi pelayaran yang diharunginya, menggerah utuh jiwanya untuk berdikari. Kali ini Sani benar terkejut dengan ketegasanku yang jitu. Malah ibu juga tersinggung marah. Sani membentak dan tega memberontak keras, namun aku teguh memaksa. 

“Izinkan sani untuk bersama ummi dan nenek di sini. Enam tahun sani akur kehendak ummi untuk hidup di luar rumah sepanjang belajar di universiti. Sani juga ikut segala keputusan ummi selama ini. Sani tak sanggup berpisah lagi, ummi!” 

Sani merayuku dengan deraian air mata yang tak putus merembes dari tubir mata bundarnya. Ibuku dipeluknya erat seolah-olah tak sanggup dipisahkan.  

“Tidak! Sani harus pergi! Keputusan ummi muktamad!’ 

Aku bertegas juga memegang pendirianku. Biarpun, sebagai seorang wanita, batinku sudah hampir kecundang lebur menatap ratapan pilunya. 

“Tolonglah jangan pisahkan sani dengan ummi dan nenek lagi. Sani sudah tidak punya sesiapa lagi dalam hidup ini. Hanya ada ummi dan nenek sahaja!” 

Sani terus meratap. Tubuhnya rebah seraya berlutut di sisiku. Kedua belah kakiku dipeluknya erat. Kain yang kupakai lenjun dibasahi air matanya. Ibuku pula sudah bersimpuh di tepi dinding rumah sambil menyeka air mata dengan lengan baju. 

“Tidak sani! Sani harus pergi. Ini rumah ummi. Sani harus tempoh hidup sendiri. Belajar hidup dengan hasil titik peluh sendiri! Berdikarilah tanpa kami!” Aku tetap utuh dengan pendirianku 

“Sani tak sanggup, ummi!” laung sani lagi. Matanya sudah membengkak menguras sendu. 
“Pergi lah! Kalau tidak jangan mengaku aku ummimu lagi!” 

Aku terpempan dengan kata-kataku sendiri. Masyallah. Ampunkan segala dosaku! 

Sani terkeletak kaku. Wajahnya memucat lesi tak berdarah. Sekilas pelukan tangannya terkulai dari kakiku. Hanya tuhan yang tahu betapa luluh hatiku menatap keadaan sani di waktu itu. Namun, aku terpaksa bahana terikat dengan amanat arwah lenny agar anaknya itu berhasil menjadi seorang manusia yang berjaya mengapai takdir hayatnya. 

“Sani tahu ummi tak pernah sayangkan sani!” 

Sani berlalu di dalam perut kapal yang menelan tubuhnya dan membawanya pergi meninggalkan kami berbatas lautan dalam. Di saat akhir, hanya ibuku sahaja yang dia berungkap pamit. Sedangkan denganku dia terus membisu seraya berpaling wajah. Ternyata dia begitu marah dan benci dengan pendirianku. Sekutik pun tak ditatap wajahku yang ternyata sudah lebur meratap pemergiannya. 

‘Ummi percaya, suatu hari nanti setelah kau dewasa, kau akan akui alasan atas segalanya yang ummi lakukan ini. Kau akan sedar landasan kehidupan yang ummi dasarkan di lubuk jiwamu. Di ketika itu, kau pasti akan menghargai ketegasan ini!’ Aku bermonolog dalam hati. 

Tahun demi tahun mulai berlalu, sani sudah mulai matang dalam mengharungi mandiri kehidupannya seperti yang ku harapkan. Dia tak lupa berutus surat untukku di setiap kali pelayarannya berlabuh di serata penjuru dunia. Menceritakan keterujaan guguran sakura di bumi jepun, rintisan perca salji bagaikan jarum halus di serata eropah serta syurga pantai mediterranean yang berombak ganas berlumur rumpai menghijau. Aku tergamit haru. Mataku sejurus berkaca di setiap kali mendengar perkabaran darinya. Batinku ketawa dalam deru tangis. 

‘Lenny, ternyata aku sudah berhasil menunaikan ikrat amanatmu padaku!’ 

Kini, setelah dua puluh tahun berlalu, usiaku mulai berengsut menginjak tua. Setahun yang lalu, ibu sudah kembali ke alam baqa. Tak mungkin lupus di liang ingatanku akan wajah tenang gemulah ibu ketika di semadikan. Aku juga berasa damai dan puas dapat menabur bakti kepada ibu di sepanjang hayatnya. Ternyata aku berjaya menyemat bahagia seraya menghapus dosa-dosa silam di sela kehidupan kami.  

Kelmarin, sani menghantar kabar akan kepulangannya untuk berumahtangga di sini. Dia sudah menemui pilihan hati yang terbaik, katanya.Dia juga telah diangkat menjadi komander kapal yang disertai sekian lama. Anak kecil yang dulunya lugu, comot dan sentiasa mendakap erat patung perca kain lusuh ini, kini sudah berupaya mengemudi sebuah angkatan kapal yang besar. Aku bersyukur dan berhadrat kagum dengan kejayaannya itu di sela sekujur tubuhku mulai melemah digoras pikun. 

‘Anakku, di waktu mengabdikan diri serta menginjak kau membesar di hadapan mataku, membuat segala rasa bersalahku terlerai diringgis masa. Dosa silamku sekilas meluruh. Ya! Diriku kini berasa damai kerna berhasil menuntun laluan  hayat mudamu!’ 
“Ummi!” 

Aku berpaling ketika mendengar sapaan itu. Tubuh kecil yang berginjak ganteng dan sasa itu meluru ke arahku. Kepalanya direbahkan ke ribaanku yang sedang terpekur lama di atas kerusi kayu goyang yang sering menemani sisa-sisa usia tuaku di rumah ini.  

“Saya sudah pulang, ummi!”

Tegurnya lagi. Tangan kekarnya menyentuh kedua pipiku yang sudah dicemar kereput bahana dibaham waktu. Dahiku bingkas dikucupnya. Lama. Menghangat di sana. Bergalur damai ke segenap urat sendiku. Lantas bergemersik di hati. 
“Sani sayang pada ummi!” 
 Pelupok mataku spontan menyarat. Benakku tergetar haru. Sekilas air-air bening penuh suci itu bergulir indah menyejuk jiwa

3 ulasan:

ra-kun berkata...

kunjungan petang...

mari jaga silaturahmi :)

Tanpa Nama berkata...

sudah bermusim berlalu, baru kini mencobai kembali. ya, dapat juga aku menyabarkan rasa membaca sehingga noktah terakhir. cukup untuk menubrukkan aku ke mari lagi di lain kali..tahniah.

Riesna Zasly berkata...

salam silaturahim rakun...

terima kasih kerana berziarah abgreds