“Tan Sri kena bersyukur
kerana bersara dalam waktu sebegini. Lebih baik kita berundur ketika kerjaya
politik kita masih berada di kemuncak. Jangan terus bertahan jawatan, sampai
lama-lama orang benci dan bosan akan kita.”
Butir kata Dato’ Bahrin,
ketuanya di kementerian yang telah bersara awal tahun lalu, menerpa ke halwa
telinga. Amanat yang kerap menyentuh mindanya sejak kebelakangan ini. Juga membangkitkan
resah dalam dada. Lantas menggesa dia mengambil keputusan mutlak untuk berundur
dari kerjaya yang dipegang menurut kesesuaian taraf umurnya sendiri dalam
prosedur perkerjaan. Meski rasa tidak rela meninggalkan pucuk pimpinan masih berlegar-legar
mengacah kewibawaan.
“Dunia semakin cepat
berubah. Orang-orang muda sekarang begitu lain pemikirannya dengan kita. Kehendak
mereka berbeza dan segera maju ke hadapan. Kita wajar berusaha menurut rentak
andai ingin terus tegar bersaing.”
Nasihat sinis sebegitu juga
sudah ralit benar didengar. Meski nada itu dirasakan sedikit berbau iri, namun diakui
ada benarnya. Ya! Zaman pantas berubah. Kemudahan bertugas juga semakin
dipelbagaikan. Meski perubahan demi perubahan itu adakala pernah menyukarkannya
untuk menurut rentak, namun dia tetap mampu menangani.
Pelupuk mata dipejamnya
sejenak. Dicuba mententeramkan jiwa yang bergolak tanpa punca. Bidang kerjaya
sudah menjadi darah-dagingnya selama hampir separuh umur hidup. Mampukah dia
menyesuaikan diri tatkala bersara kelak? Apa yang bakal dilakukan? Tidakkah dilanda
bosan atau kekok nanti? Keluhan berat diluah lagi buat ke sekian kali.
Petikan Cerpen "LINGKARAN KASIH"