Rentak jantungnya
terasa berlainan benar ketika berada di ruang pejabat pada hari itu. Bagai ada
kejanggalan yang menyelit di mana-mana. Seakan wujud kekurangan yang sukar
ditafsir minda. Meski ruang bersaiz sederhana besar itu sudah menjadi bagai rumah
keduanya sejak puluhan tahun lalu. Entah mengapa benak terkecap kosong.
Sekosong-kosongnya.
Nafas dihela panjang.
Belakang tubuh disandar lemah pada kusyen penyandar kerusi yang diduduki. Sebuah
kotak kecil separa berisi di bucu kaki meja sempat dilirik mata. Keluh lesunya
diluah perlahan. Sebahagian barang peribadi telah disusun kemas di dalamnya. Hanya
tinggal beberapa longgokan buku nota dan perhiasan meja yang belum dicapai
tangan.
“Diucapkan
selamat beristirehat kepada Yang Berbahagia Tan Sri Rodziah di atas persaraan
beliau. Sumbangan Tan Sri amat besar kepada pihak pengurusan kementerian serta
rakyat jelata. Negara benar-benar berbangga dengan pencapaian Tan Sri selama
ini yang tiada tandingnya”
Utuh
tergiang-giang ucapan Yang Berhormat Perdana Menteri semasa meraikan majlis
persaraannya di sebuah hotel mewah malam tadi. Entah mengapa tidak terkutik
perasaan haru pun di benaknya dengan pujian sebegitu. Segala didengar hambar. Berlarutan
hambar. Sehingga kehadirannya buat kali terakhir ke ruang pejabat pada hari itu
turut dirasakan tidak bermaya.
Ya! Ini hari
terakhir dia bertugas di kementerian yang telah dikendali hampir empat puluh
tahun. Pengalamannya tidak terjangkau ingatan. Sepertimana jasa pada rakyat yang
turut melimpah-ruah. Namun, itulah lumrah dunia kerjaya. Andai sudah tiba
masanya, dia perlu berundur bersama bakti yang belum tentu bakal dikenang.
“Tan Sri kena
bersyukur kerana bersara dalam waktu sebegini. Lebih baik kita berundur ketika
kerjaya politik kita masih berada di kemuncak. Jangan terus bertahan jawatan. Sampai
lama-lama orang benci dan bosan akan kita.”
Butir kata Dato’
Bahrin, ketuanya di kementerian yang telah bersara awal tahun lalu, menerpa ke
halwa telinga. Amanat yang kerap menyentuh mindanya sejak kebelakangan ini.
Juga membangkitkan resah dalam dada. Lantas menggesa dia mengambil keputusan
mutlak untuk berundur dari kerjaya yang dipegang. Justeru menurut kesesuaian
taraf umurnya sendiri dalam prosedur perkerjaan. Meski rasa tidak rela meninggalkan
pucuk pimpinan masih berlegar-legar mengacah kewibawaan.
“Dunia semakin
cepat berubah. Orang-orang muda sekarang begitu lain pemikirannya dengan kita.
Kehendak mereka berbeza dan segera maju ke hadapan. Kita wajar berusaha menurut
rentak andai ingin terus tegar bersaing.”
Nasihat sinis sebegitu
juga sudah ralit didengar. Meski nada itu dirasakan sedikit berbau iri, namun diakui
ada benarnya. Ya! Zaman pantas berubah. Kemudahan bertugas juga semakin
bercorak. Meski perubahan demi perubahan itu adakala pernah menyukarkannya
untuk menurut rentak, namun dia tetap mampu menangani.
Pelupuk mata dipejamnya
sejenak. Dicuba mententeramkan jiwa yang bergolak tanpa punca. Bidang kerjaya
sudah menjadi darah-dagingnya selama hampir separuh umur hidup. Mampukah dia
menyesuaikan diri tatkala bersara kelak? Apa yang bakal dilakukan? Tidakkah dilanda
bosan atau kekok nanti? Keluhan berat diluah lagi buat ke sekian kali.
“Maafkan saya,
Tan Sri, andai saya mengganggu.”
Ketukan di daun
pintu kamar beserta teguran sang setiausaha sedikit menggugah ketenangan.
Lamunannya mati andar. Tubuh kecil molek Nazirah, yang telah berkhidmat lebih
sepuluh tahun dengannya itu bingkas dijamah mata.
“Ada apa Zirah?”
“Ada beberapa
panggilan sejak tadi. Semuanya ingin mengucapkan tahniah diatas persaraan Tan Sri.
Saya tak berani hendak sambungkan, takut mengganggu pula. Saya ikut seperti
yang Tan Sri pesan tadi.”
“Baguslah begitu.
Saya pun tak mahu diganggu pada hari ini.”
“Baiklah, Tan
Sri. Kalau begitu saya keluar dulu, ya.”
Dia berangguk
dengan benak sedikit jengkel. Rasa tersindir pula ketika dimaklumkan tentang
panggilan tahniah yang tak putus-putus tiba itu. Hati sedikit cuak tak semena-mena.
Padahal dia tahu, perutusan itu diluah ikhlas untuk orang yang bakal bersara
sepertinya. Kononnya bertuah kerana akan terlepas dari tanggungjawap kerjaya
yang dipikul. Malah dapat berehat sepenuhnya bersama sumber wang persaraan yang
terus bergulir sepanjang hayat. Namun mengapa hatinya tidak sekelumit pun
terkecap gembira?
Gambar
berbingkai di sudut kiri muka meja direnung dalam. Wajah manis tiga zuriat bersama
sang suami dikilas satu-persatu. Ada kepiluan mengacah di rongga dada.
Dirasakan begitu pantas waktu berlalu. Kini, dua puteri dan seorang putera dari
usia perkahwinan lebih 45 tahun itu telah dewasa serta bercambah keluarga
diluar kesedaran.
Dia akur tidak
begitu mengenali secara mendalam ketiga sosok tubuh yang pernah menjadi janin
dalam rahimnya selama lebih sembilan bulan itu. Kesibokan berpolitik dan
berkecimpung dalam kerjaya sejak usia muda perkahwinan telah menjarakkan
hubungan yang ada. Malah diakui mereka lebih akrab dengan sang ayah berbanding
dirinya selaku sang ibu.
Pernah terjentik
rasa bersalah kerana tidak pernah menjadi sebahagian dalam kehidupan mereka.
Juga kesal mengenang tumbesaran mereka diluar jangkauan mata. Namun dia yakin,
pengorbanannya demi rakyat dan negara sentiasa dimengertikan.
Kini, apabila
dia kembali menghuni kediaman besar keluarganya itu nanti, masihkah punya
kesempatan untuk menebus semula waktu yang berlalu? Di kala anak-anak bukan
lagi boleh dipangku dan diasuh? Malah semuanya telah beralih kehidupan berkeluarga
di kediaman masing-masing?
“Apalah saya
boleh buat kalau sudah duduk saja di rumah nanti ya, abang? Mati kutulah saya
agaknya”
Terimbas
rungutan bosan yang pernah dihambur pada sang suami suatu ketika dulu. Di saat
anggapan kesunyian yang bakal ditempoh semakin mengugat kewibawaan. Di waktu
rasa gerun andai diri tidak betah menjadi suri rumah sepenuh masa kelak, mengkacau-bilau
waras akal. Rasa buntu apatah lagi.
“Awak tu risau yang
bukan-bukanlah, Ziah. Macam-macam awak boleh lakukan semasa di rumah nanti tau.
Cuba jernihkan pemikiran tu.”
“Entahlah,
abang. Saya ini berpuluh tahun menjadi “Career Woman”. Di pejabat itulah banyak
masa saya dihabiskan. Di situlah dunia saya selama ini”.
“Hah!
Sekaranglah masanya awak pelbagaikan dunia awak tu. Kehidupan bukan untuk
bekerja saja. Banyak lagi yang awak boleh lakukan. Tambahan pula hanya kita
berdua saja dirumah tu nanti. Anak-anak semuanya dah besar panjang. Dah ada
rumah masing-masing.”
“Berdua dengan
awak hendak buat apa? Awak tu pun bukan selalu lekat di rumah. Sibok dengan
kayu golf awak tu saja. Takkan hendak ikut awak berpanas terik di padang golf
itu pula.”
“Wah! Inilah
masanya awak dapat melayan saya sepenuhnya. Sama seperti ketika kita baru
berkahwin dulu. Hehehe...”
“Ishh ! Awak ni!
Ke situ pula..”
Masih mendegar-degar
kekehan tawa sang suami yang tak jelak bergurau mesra. Senyum sinis menukil di
ulas bibir. Meski hati sedikit terhibur dengan gurauan itu, namun tetap sukar
diusir rasa gelisah yang berbekas.
“Bersara atau
tidak, bagi saya sama saja keadaannya, Tan Sri. Saya tetap tak betah dirumah.
Waktu inilah hendak sibok berpersatuan. Keluar melancong dengan kawan-kawan. Membeli-belah
dimana-mana. Ataupun ikut rutin rawatan SPA dan saloon di merata tempat. Hendak
harapkan anak cucu melawat kita, setahun sekali gamaknya baru dapat bersua
muka. Itupun di hari raya. Suami pula sibok dengan kawan-kawannya sendiri. Tak
diperdulinya kita ni. Jika tak pandai menghabiskan masa, jadi tunggullah kita
dirumah.”
Ngomelan Datin Siti
Zaharah melintasi liang akal. Terbayang tubuh montel isteri Dato’ Bahrin yang amat
gemar bergaya itu. Wanita yang ligat membeli-belah itu memang bukan
tandingannya dalam mengumpul koleksi pakaian mewah dan barang kemas. Hobi
sebegitu juga bukan citarasanya selama ini. Akan begitukah gelagatnya setelah
bersara nanti? Masyallah!
“Inilah waktunya
berpeluang mendekatkan diri dengan Allah. Mengumpulkan semula pahala dan mensyukuri
rahmatNya bagi waktu-waktu yang pernah kita lekakan dengan alam dunia dulu.
Bersolat sunat serta mendalami Al Quran selagi boleh. Menunaikan amal kebajikan
buat bekalan akhirat. Tambahan pula ketika usia sudah berangkak senja ini.”
Paras tenang
Puan Sri Hajjah Syarihaa ikut menyendati ruang minda. Dia mengetap bibir sambil
terus melayar jeda. Tutur lembut itu seibarat menyiram dingin segala resah berbahang
di perdu jiwa. Rasa berdosa bahana kelalaiannya selaku manusia beragama pada waktu
silam, menerbitkan keinsafan.
Pandangan sempat
berkelintar ke sekitar ruang pejabat. Suasana tetap sama seperti seadanya.
Gelagat kakitangan bawahan di luar bilik pejabat masih meriah dalam menekuni
tugas masing-masing. Para pengunjung yang inginkan perkhidmatan jabatan juga
utuh silih-berganti sepersis biasa. Namun mengapa pula hatinya berbeza rasa?
“Maaf Tan Sri..
Saya mengganggu sekali lagi..”
Kepala Nazirah yang
menjegul di sebalik muka pintu separa terkuak mematikan khayalan minda. Dia
yang sedang memuatkan saki-baki barang peribadi ke dalam kotak terakhir, segera
berpaling wajah. Paras sang setiausaha yang sudah berusia hampir separuh abad
itu ditekur lunak.
Nazirah adalah
setiausaha ke enam berkhidmat untuknya di jabatan itu. Manakala lima orang
setiausaha terdahulu yang turut pernah menjadi tangan kanannya dalam kerjaya telah
selamat menempuh alam persaraan. Silih-berganti meninggalkannya yang terus
bertahan sehingga ke usia mutakhir pekerjaan. Itupun dia masih juga sukar
merelakan.
“Saya ingin maklumkan suami Tan Sri telah
sampai dan menunggu di ruang legar bawah. Tan Sri akan berangkat pada jam
berapa ya?”
Mata segera menancap
ke muka jam besar di tepi dinding kiri yang menunjuk ke angka lima petang. Dia
terperangah. Pantas masa berlalu. Tanpa sedar, sudah sehari suntuk dia terperuk
di ruang bilik pejabat itu. Berkhayal entah apa-apa. Sebelum meninggalkan
minit-minit terakhir kerjayanya itu sebentar lagi.
“Baiklah, Zira. Sekejab lagi setelah siap
berkemas serba-sedikit, saya akan turun, ya.”
Seperti tidak
percaya dia mampu melalui tempoh tamat perkhidmatannya itu dalam semudah cara.
Melangkah keluar dari kamar kerja sambil memangku kotak kecil terakhir.
Bersalaman dalam pamit perpisahan dengan kesemua kakitangan yang ada. Mengetik
pas kehadiran terakhir. Sebelum mengamit sang suami yang setia menantinya di
muka pintu kereta. Lantas bersama meninggalkan bangunan jabatan disaksikan debu
aspal bertebaran. Tanpa bertoleh kembali ke belakang.
Di sepanjang
perjalanan pulang itu, dia membisu seribu bahasa. Minda terdetak kosong.
Sepertimana pandangan kosongnya ke landasan aspal dihadapan. Sang suami juga
bagai mengerti kejanggalan yang bermukim. Lantas turut tidak mengajukan sebarang
perbualan.
Sekilas mata
melirik ke paras sang suami yang khusyuk memandu disebelah. Rambut memutih
hampir menutupi keseluruhan kepala lelaki yang telah bertahun dikahwininya itu
sedikit mengundang haru. Garis-garis kerut
yang melatar di segenap wajah orang tercintanya itu juga mengetus semula
keinsafan diri. Ya! Lelaki itu sudah tua. Dirinya apatah lagi!
Sejurus kenderaan
pacuan empat roda itu memasuki gerbang kediaman mewah miliknya, gelisah di hati
dirasakan kian memparah. Aura kesunyian ikut menyelubungi diri. Mampukah
dilayar kesepian diri semasa sepenuh hari di perut kediaman ini nanti?
Membiarkan tubuh beransur-ansur pikun keseorangan melewati galur waktu? Sekujur
tubuh menggeletar disergap gerun tak semena-mena.
“Ziah.. Kita dah
sampai ni.. Marilah masuk..”
Sapaan lembut
sang suami yang tanpa sedar telah bercegat di hadapan kuakan muka pintu kereta
serba-sedikit melupus rasa gementar. Dia termangu seketika. Pandangan meliar ke
segenap arah. Suasana tiba-tiba dirasakan asing baginya. Padahal dia menjejak
di kediamannya sendiri!
‘Masyallah! Apa
yang tak kena dengan diri aku ini!’
Dia melangkah
longlai ke muka pintu utama kediaman sejurus mengengsut keluar dari perut
kereta. Sang suami yang sibuk memangku sebuah kotak kecil dibelakang diri
langsung tidak diendah. Perasaannya terus berbaur rasa. Khayalan demi khayalan
lewat kehidupan baru yang bakal ditempoh terus mengacah rasa gentar. Bersulam
kusut fikiran yang ligat merangka-rangka aktiviti yang wajar diisi kelak. Dia
panik! Kekok!
Jemari tangan lemah
menggenggam cembul pintu. Dalam lagak janggal, daun pintu kediaman mewah
miliknya itu dikuak lebar. Berseiring kaki menjejak masuk ke ruang dalaman. Dia
sedikit terpinga-pinga. Suara riuh-rendah yang menerobos kasar ke halwa telinga
mengetus rasa gugup.
Kelihatan kedua puterinya
sedang sibuk menghidang sejumlah makanan di atas meja utama ruang makan. Suasana
ruang tamu tampak hiruk-piruk dengan beberapa anak kecil saling berkejaran
dimana-mana. Bersambut suara saling bertingkah anak-menantu yang rancak berbual
di ruang yang sama. Segalanya meriah dalam ragam riuh-rendah.
“Selamat bersara
emak! Kami semua berkumpul untuk meraikan emak hari ini.”
Kedua puterinya
itu bingkas mengamit lalu menuntunnya ke sebuah sofa di ruang tengah. Senyum
simpul sang suami di belakang diri dilirik dalam gamam. Begitu juga sunggingan
senyum serta peluk cium anak-menantu yang menyambutnya di waktu itu. Semua
wajah ceria itu ditekur dalam lagak terkebil-kebil. Dia terkejut!
“Emak duduk dulu
ya. Layan dulu cucu-cucu emak ini. Sudah siap menghidang makanan nanti, kita sekeluarga
makan bersama ya!”
Puteri sulung
meletakkan seorang bayi mongel di atas ribaannya. Sementara dua orang
kanak-kanak kecil alias cucu-cucu yang lain turut meluru ke arahnya. Satu
menengger di sisi kiri minta dilayan. Satu lagi langsung bersimpuh comel sambil
memeluk di tungkai kaki. Kesemua mata si kecil itu menatap lunak ke arahnya.
Mohon dimanja.
Dia terpaku
dalam takjub. Sempat dilirik paras girang sang suami yang sedang rancak
bergurau senda dengan anak-menantu. Juga beberapa cucu-cucu yang terus ralit
bermain kejar-kejar. Sebelum mata menjatuh pada sebujur wajah comel bayi dalam
pangkuan yang merenungnya minta diagah. Bersilih paras lugu cucu-cucu lain yang
leka menenggek disisi.
Ulas bibir mulai
menggerah senyum. Gelisahnya spontan bertukar haru. Kegusaran serentak melenyap
serta-merta. Lantas semilir pawana damai menerobos ke rongga dada. Menitip
keyakinan baru. Bahwa lingkaran kasih tetap menjelma untuknya.
Riesna Zasly
Gambar-Gambar Hiasan Milik Ratna Sari Dewi Soekarno