MELAYU DELI : Selayang pandang


Layang-layang selayang pandang
Ini lagu Selayang pandang

Lama sudah tidak ke ladang
Tinggi rumput darilah lalang
Lama tak kupandang, hatiku bimbang
Ingin ku turut, ia menghilang

Layang-layang selayang pandang
Hati di dalam, rasa bergoncang

Layang-layang dipohon bambu
Sudah dipandang, hati tak tentu

Buah randu, si buah pinang
Ambil kancip, dibelah rata
Hati yang rindu bukan kepalang
Mengenang nasib jauh di mata

Layang-layang jatuh ke kali
Sekali pandang, jatuh ke hati

Pulau Pandan jauh ke tengah
Balik pulau si angsa dua
Hancurlah badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang jua

Layang-layang dari Cibitung
Terpaut pandang membikin bingung

Kalau sudah sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi

Layang-layang Melayu Deli
Selayang Pandang sampai di sini


"Melestari Estetika Budaya Bangsa"

SEBERKAS PERIBAHASA MELAYU LAMA

Penggunaan perkataan "AIR" dalam peribahasa klasik melayu buat dikongsi sesama...

air beriak tanda tak dalam
+ orang yang sombong
+ besar cakapnya tapi tidak berisi


air besar batu bersibak
+ perselisihan yang besar akan mencerai-beraikan persaudaraan/persahabatan

air cucuran atap jatuhnya ke pelimbahan juga
+ anak mengikut teladan dan  sifat orang tuanya

air dalam berkumbah, air dengkat bercebok
+ pembelajaan harus dipadankan dengan pendapatan

air dicincang tiada kan putus
+ persaudaraan amat sukar dipisahkan

air diminum berasa duri, nasi dimakan rasa sekam
+ orang yang berduka cita

air diminum sembiluan
+ orang yang di dalam kesusahan

air mata jatuh ke perut
+ berdukacita yang tiada tara

air mudik sungai semua teluk diranai
+ orang yang boros

air pun ada pasang surut
+ untung malam tiada tetap, selalu sdilih berganti

air sama air, sampah ke tepi jua
+ jika kita mencampuri pergaduhan orang yang bersanak saudara, apabila mereka berbaik semula, kita juga yang tersisih dari mereka

air setitik digunungkan, tanah sekepal digunungkan
+ membesar-besarkan perkara yang kecil

air yang tenang, jangan disangka tiada buaya
+ orang yang pendiam jangan disangka bodoh

air tenang menghanyutkan
+ orang pendiam yang dapat melakukan pekerjaan payah-payah

air yang dingin juga dapat memadami
+ bersikap lembah lembut juga mampu menyejukkan hati orang yang sedang marah

ada air adalah ikan
+ dimana ada tempat di situ ada rezeki
+ setiap tempat ada adat resamnya yang tersendiri

adakah dari telaga yang jernih, mengalir air yang keruh
+ adakah dari mulut orang baik-baik, mampu keluar kata-kata yang keji

MELAYU DELI - Siti Payung


Tiup api embun berderai
Patah galah haluan perahu
Niat dihati tak hendak bercerai
Kuasa Allah siapa yang tahu

 Siti Payong lagu melayu
Lagu sejak zaman berzaman
Apa malang nasib diriku
Ke sana ke mari dihina orang

Lestarikan estetika budaya bangsa

CITRA PAGI

 

Tengadahkan 
paras segar
menyemilir pawana dingin
bias embun 
nan rakus menyejat
fajar menyongsong seru
rajutan likat damai 
bergalur semu

Hampar lelangit membuak 
gumpalan awan
nilakandi hilang nuansa
prada mentari  
menanjak 
kilau suam-suam kuku
menjejer keringat
kental

Terawang margasatwa 
berkelintar
dedaun berlipur lambai 
alur air melonglai
ibarat seri bersambut
lenturan pasrah
muda hari

RIESNA ZASLY
19 Oktober 2010

Seberkas Peribahasa Melayu lama

Perkataan "Abu" dalam peribahasa Minangkabau (Adat Perpatih) buat dikongsi bersama....

Seperti ABU di atas tunggul
+ dengan mudah boleh dicampak atau terhalau
+ tidak bererti
+ tidak tetap

Sudah menjadi ABU arang
+ sudah rosak sama sekali
+ tiada berguna lagi

Terpegang di ABU hangat
+ Baru sahaja memulakan sesuatu pekerjaan, sudah mendapat kesusahan

LAYANG-LAYANG BERTALI KACA

Sipnosis

Manja , si anak kecil Tengku Shariman yang dikurung dalam sangkar emas sering bermimpi dapat bermain layang-layang sepuas hati. Apabila dia mendapat peluang dengan bantuan Pak Jusoh, pemandunya, kesempatan itu diperguna sepenuh hati.

Sesekali dia melihat layang-layang itu mundur dan sesekali maju. kadangkala dia terkejar-kejar dan kadangkala dia cuma berdiri tegak. ketika itu barulah manja tahu, mengendalikan layang-layang bukanlah mudah.

Tidak bijak menganggar, layang-layang akan terjunam. tidak pandai memegang tali, layang-layang akan mati. memerlukan kebijaksanaan. memerlukan kesabaran.

Bagi manja, bermain layang-layang adalah satu kebebasan yang hakiki. di padang itu, dia boleh berlari, terbang bebas sepuasnya.

Dan disitulah dia bertemu cinta sejati...

Pengarang  :  Norhayati Berahim
Penerbit  :  NB Kara Sdn Bhd
Tema : Novel Fiksyen Kehidupan
M/Surat : 922 pages
Harga Pasaran  :  RM29.90 / RM32.90


Ulasan

* Ini adalah di antara novel termahal dan paling tebal yang pernah saya miliki di sepanjang tahun ini. Karya seorang penulis metro pop tersohor di persada tanahair yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Justeru mempunyai pelbagai rentetan pengalaman dalam penulisan yang tidak terkira.

* Karya penulis Norhayati Berahim ini mula-mula diperkenalkan kepada saya pada tahun 1998, semasa novel kedua saya "SENANDUNG ANAK KAMPUS sedang dalam proses utuk siap penerbitan. Yang mana, novel pertama beliau yang terawal dimiliki adalah novel "TEGUH" edaran Creative Enterprise. Dari "TEGUH" saya mengumpul karya-karyanya sehingga lah novel terbarunya ini dalam hampir lebih 50 judul lewat edaran beberapa syarikat penerbitan. Biarpun ada dua-tiga buah karya terbarunya masih gagal diperolehi bahana kesukaran mencari di sekitar pasaran.

* Seperti penulis metro pop mapan yang lain, karya-karya penulis ini digarap dalam identiti gaya penulisan beliau sendiri. Yang mana simbol itu menjadi kekuatan dalam setiap tema yang dipertengahkan serta membuat karya beliau tetap teguh berada di tangga teratas. Terutama dari sudut keisitimewaan penulis ini memainkan pelbagai perwatakan watak dan kerjaya watak dengan sempurna di setiap karyanya. Lantas karya-karya beliau mengingatkan kita pada karya-karya tersohor novelis terulung tahun-tahun terdahulu, Puan khatijah Hashim dan penulis Maria A Sardjono di Indonesia.

* Setelah mengikuti karya penulis ini hampir belasan tahun, LAYANG_LAYANG BERTALI KACA dikira menyerlahkan kedewasaan beliau dalam gaya penulisan. Topik dan tema cerita digarap sepenuhnya untuk pembaca tegar dewasa. Biarpun pergolakan plot masih tetap dikekal-mudahkan sedari dulu. Malah, tampak ada beberapa ciri penulisan terbaru yang digarap beliau dalam karya ini. Terutama dalam penggunaan perkataan-perkataan aliran arab di beberapa tempat. Juga penggunaan ulasan saduran Bahasa Inggeris di sepanjang penceritaan. Lantas ini secara tidak langsung mematangkan karya ini dalam diam.

* LAYANG_LAYANG BERTALI KACA diantara karya terbaik dari beliau. Selain "AIR MATA KASIH" dan "HATI SEORANG WANITA" terbitan ALAF21 yang menaikan nama beliau di persada penulisan. Cuma sayangnya, LAYANG_LAYANG BERTALI KACA agak kurang menerima promodsi yang sewajarnya dari kedai-kedai buku dan media semasa. Juga agak sukar untuk dicari di pasaran. (Saya mengambil masa 4 bulan mencari karya in i di pasaran kedai buku, kerana MPH di Ipoh menyatakan tidak menjual karya ini. Begitu juga di POPULAR BOOKSTORE, yang mengambil ia dalam kuantiti yang agak kurang) Namun kerja keras untuk memilikinya memang tidak sia-sia, kerana mutu penulisan beliau yang amat mengkagumkan.

Ciri-Ciri Tema Yang Dipertengahkan Dalam Karya Ini

+ Kongkongan ibubapa yang agak keterlaluan terhadap seorang anak bahana fobia penceraian
+ Jurang perilaku berlandas darjat
+ Perubahan minda dan kejiwaan dari negatif ke positif
+ Cenisan isu semasa seperti kes gadis mengandung luar nikah, situasi orang-orang politik, penderaan rumahtangga serta pelbagai mitos masyarakat yang wajar direnung serta dipertimbangkan

PSS : Tidak rugi memiliki karya ini. Terutama untuk mematangkan minda pembacaan serta bagi penggemar bacaan dewasa yang agak mencabar. Berbanding longgokkan karya-karya metro pop yang lain yang lebih mengutarakan kisah-kisah cinta dan cengeng tanpa sebarang manafaat... Wajar dimiliki!!

Melayu Deli - Lela Manja


Lela Manja lagu dikarang
Dari dahulu sampai sekarang
Bunga tak lama masa berkembang
Lagu Melayu tetap tak hilang

Lamalah sudah nama diberi
Lela Manja idaman hati
Lagu yang lama hidangan disaji
Untuk menawan peri abadi

melestari estetika seni budaya bangsa

Seraut Pepatah Arab



"Man thalabal ula sahiral layali"

Sesiapa yang hendak mendapat kemuliaan, 
maka bekerjalah hingga larut malam. 
 

Puisi "MENGUNJUNGI FIRDAUSI-MU" di Majalah Terbitan Dewan Bahasa & Pustaka

Biarpun sudah banyak puisi-puisi saya sebelum ini 
pernah di siar di media cetak tanahair.. 
Namun kemunculan Puisi "MENGUNJUNGI FIRDAUSI-MU" ini 
dianggap agak istimewa..

kerana inilah karya puisi pertama saya yang tembus 
di sebuah majalah sastera 
terbitan Dewan Bahasa & Pustaka 
(TUNAS CIPTA Oktober 2010)...
Syukurrr!!!

  Terima Kasih tidak terhingga..

Penyair & Pelukis : Uncle Gopa (Ghaffar Bahari) diatas permakluman ini
Sasterawati Sifu Azmah Nordin di atas galakan tegar
Warga Dewan Bahasa & Pustaka
Serta 
Para sahabat tersayang