ULAS BUKU : Hujan Pagi (Sastera)

Sastera Terbaik
NOVEL HUJAN PAGI Sasterawan Negara A Samad Said

ULASAN BUKU

Hujan Pagi adalah novel antihero. Hujan Pagi boleh dikatakan sebagai 'novel of ideas'. Novel ini mengesahkan liku-liku kehidupan golongan wartawan yang diketuai oleh Lokman. Mereka terpaksa menghadapi berbagai halangan dan rintangan dalam menghadapi penjajah. Lokman bercita-cita untuk memajukan masyarakat dengan menggunakan akhbar Hujan Pagi. Kemunculan Hujan Pagi hanyalah halusinasi di bawah sedar Lokman. Lokman hidup dalam dua dunia yang kacau, iaitu dunia nyata dan dunia 'imagistiac'. Lokman tidak dapat membezakan dua dunia yang dihadapinya. Dalam dunia yang nyata, Lokman adalah seorang pengelola ruangan bacaan di akhbar Sinar Pagi. Akhbar Sinar Pagi mewakali zaman kini. Fenomena ini dibicarakan oleh A. Samad Said sehingga menampakkan unsur-unsur 'realisme magis'.

Hujan Pagi mengesahkan dunia kewartawanan. Dunia A.Samad Said sendiri. Dunia kewartawanan yang diceritakan terbahagi kepada dua era, iaitu era era 20-an hingga 30-an serta era 70-an. Era 20-an hingga 30-an diterajui oleh oleh Lokman, Rahman, Basri, Musir Ali dan Mehmod Bey. Mereka berjuang dalam zaman pemerintahan Jepun di Malaya. Lokman, Ruzsim, Rahman dan Basri berganding bahu berjuang menentang pemerintahan Jepun di Malaya. Perjuangan mereka menentang kolonis bertujuan memartabatkan semula maruah ketuanan Melayu.

Era 70-an diwakali oleh Ruseli, Narisah, Arfiah, Zuhri, dan Muayah. Mereka membawa bentuk baru dalam dunia persuratkhabaran. Surat khabar yang diwakali mereka ialah Sinar pagi. Bentuk baru Sinar Pagi menyebabkan Lokman tertekan dan terasa diketepikan. Lokman tidak dapat menerima hakikat tersebut. Perubahan yang hendak dibawa menghancurkan cita-citanya untuk membentuk bangsanya. Tekanan ini menyebabkan Lokman terlontar ke dalam halusinasi yang sukar untuk dipulihkan.

Dalam dunia neologisme yang berpanjangan ini, Lokman digambarkan oleh Idrus mempunyai kesadaran yang berjerebu atau konfubulasi. Sebentar sedar, sebentar tidak. Akhbar Sinar Pagi menjadi akhbar Hujan Pagi dalam dunia halusinasi Lokman. Lokman merasakan kehadirannya dalam akhbar Hujan Pagi lebih bermakna.

Keinginan Lokman untuk menjadi Ketua Pengarang dan disegani di alam realiti menjadikan dirinya berubah keperibadian apabila perkara sebaliknya berlaku. Lokman tidak dilayang sewajarnya. Kehadirannya diperlekehkan. Kegawatan ini menyebabkan Lokman terus berhalusinasi. Ditambah pula dengan penekanan yang diberikan oleh pihak pemerintah ke atas akhbar Hujan Pagi.

Rencana yang ditulis oleh Lokman dan Rusli mencurigakan pihak pemerintah. Akhbar Hujan Pagi ditahan dari diedarkan. Pengiriman Hujan Pagi melalui keretapi disekat. Dalam peristiwa lain pula, kolonis telah menyoal siasat serta membuat tangkapan terhadap Ruseli, Gazis, Arfiah dan Lokman sendiri. Kejadian ini menyebabkan Lokman kecewa, lalu membuat keputusan mengasingkan diri di sebuah pulau misteri yang menyerupai seekor buaya besar atau ikan paus, juga disebut Pulau Syahrun Nawi. Di pulau ini Lokman menemui Kitab Batin Melayu. Ribut halusinasinya bertiup semakin kencang. Dia dihinggapi psikosis dan menjadi gila. Dr. Ahmad Dio, seorang pakar psikiatri dipanggil untuk memulihkan penyakit Lokman.

Lajis adik Lokman, mengalami konflik jiwa akibaat memikirkan keadaan abangnya. Dia merasa bersalah kerana meninggalkan abangnya selama sepuluh tahun kerana berada di luar negara. Lajis cuba mengesani dan mengubati penyakit Lokman. Lajis semakin tertekan apabila kematian tunangnya, Asniah akibat kemalangan jalan raya.

Hujan pagi juga turut mengemukakan kisah hidup golongan wartawan. Antaranya ialah Musir Ali yang mempunyai lapan orang anak, dan dia terpaksa tunduk pada keadaan. Dia rela dilabel dengan pelbagai gelaran kerana sanggup menduakan perjuangan dunia akhbar. Dia mempertahankan penderiannya demi melihat keluarganya tidak kelaparan.

Setiap bab dalam novel ini boleh berdiri dengan sendiri dan membicarakan persoalan yang berbeza. Pembaca mesti bijak menjalinkan bab-bab yang dikemukakan dalam novel ini untuk menjadi cerita itu berkaitan. A. Samad Said seolah-olah tidak mementingkan cerita dalam novel ini. Cerita banyak ditumpukan melalui watak-watak Lokman, Lajis dan Norisah. Boleh dikatakan tiada penyelesaian masalah dalam novel ini. Lokman gagal mengatasi masalahnya, Lajis masih buntu akan hubungan dengan abangnya, sedangkan Norisah terus berkemelut dengan masalah cinta.

Membaca Hujan Pagi memerlukan banyak kesabaran dan daya tahan. Jika tidak, kita akan terus berhenti, tanpa menghabiskan untuk menikmati novel ini. Urutan ceritanya lambat, melompat-lompat dan tidak teratur. Hujan Pagi bukan sekadar untuk dibaca. Hujan Pagi mesti ditelaah dengan teliti. Tanpa mentelaah, pembaca akan keliru di mana dia (pembaca) berada. Puluhan watak dikemukakan dalam novel ini. Novel ini berkisar tentang alam nyata dan sekejap-sekejap pula berpindah ke alam tidak nyata.

Hujan Pagi adalah novel intelektual, novel yang penuh dengan ilmu, saranan dan falsafah. Unsur-unsur sejarah, politik, psikologi, legenda dan fasafah diperkatakan dengan meluas dalam novel ini

PSS : Pernah seorang teman bertanya kepada saya, novel apakah yang paling saya lewat untuk saya menghayatinya?... Nah! saya memang cepat membaca buku... malah novel 500 mukasurat novel, kekadang saya boleh membacanya tak sampai dua hari. Begitu cepat membaca justeru menghayati jalan ceritanya sekaligus. Namun saya kalah pada novel HUJAN PAGI ini. Wah! Karya ini benar-benar mencabar daya intelektual diri... penyampaian plot sasteranya juga amat tinggi. Biarpun tak sampai 300 mukasurat sahaja, hampir sebulan baru saya dapat menghayatinya... dengan lelah... dan kemudian baru tahu betapa HEBAT seni ceritanya... Ini adalah kerana, terpaksa mengulang beberapa mukasuratnya untuk memahami plot... Pengalaman menghayatinya benar-benar membuak pengalaman baru.. Saya tak pasti masih ada terdapat di pasaran buku terbitan 1995 ini (DBP)... tapi, teman-teman wajib menghayatinya jika ingin mengenali sastera hebat melayu... Karya yang sangat Ulung!

1 ulasan:

melihat buku berkata...

Sebuah novel yang hebat.
Mencabar pembaca dalam bacaannya untuk memahami karya besar ini.

*seharusnya itu kaver novel Adik Datang bukan?