Dengan penuh pesona gaya...
Freelance Writer & Journalist ~ Fine Art & Graphic Design ~ OKU Friendly (Deaf) ~ Riesna Zasly Art (M) Sdn Bhd ~ RZ Art Impression
Lim Swee Tin : "Sajak"
kucari jarimu
kerana aku pantailah
kucari tapakmu
kerana engkau kanvas
kerana engkau kanvas
ku hulur garisku
kerana engkau jalan
ku beri langkah ku
kerana aku wajahlah
kerana aku wajahlah
ku angan bedakmu
kerana aku lalanglah
ku paut anginmu
kerana engkau malam
kerana engkau malam
ku menjelma pungguk
kerana engkau cakerawala
ku singgahi bintang-bintang
Petikan "Sebuah Fragmen Cinta"
Lim Swee tinBonda Siti Zainon - "Seloka Si Tanjung"
ditinggali jauh...
bayang mentari tinggal setapak...
Kala panglima tinggalkan seluk akhir...
hanya jejak di celah ukiran purba...
betapa Datuk Hitam mengurai kecewa...
di mata Puteri Sela....
Masih menanti di sana....
antara sedu harap dara Jambi...
sang Puteri Pinang Masak....
atau sedu mimpi Putri Bongsu....
sampaikah Panglima Tunggal?
Kalau tiba angin...
memecah buih Laut Sedidih...
telah kembang sayap senja....
dijentik gelepar sedih...
dari bahtera sarat lara....
Kau kah tanjung...
masih di sana....
Masih di sana?
Petikan "Bunga Putik Putih"
Bonda Siti Zainon Ismail
PROSA : Gerah Sang Bunga
Aku tak ingin jadi mawar jawa
yang dikucup cemar sang kumbang
dihurung kelopak nan rapuh
membias lerai
Aku tak ingin jadi kembang melur
yang dipetik rakus mentera insan padma
buat persembahan krisna
menghuni stupa
Aku tak ingin jadi gerah kenanga
yang diperaga rakus warga cantik
menjaja percik harum stigma
mendagang aroma
Aku tak ingin jadi mercup cempaka
yang dibenih peneman alam maut
menjadi arca rapuh kubur
mengabdi gerun
Biarlah ku jadi sekembang damai
kelopak bunga sedap malam
semekar menatap purnama
menguncup pijar matahari
hadir beriring musim
cantik berbilah waktu
tanpa diganggu.....
ULAS BUKU : Rumpun Puisi "Rindu Ibu"
ANTOLOGI KANAK-KANAK & REMAJA
Sasterawan Negara A Samad Said
SUARA POHON
deru
pepohon
di rimba
sayu
suara
syahdu
alam
merindu
Pengarang : SN A Samad Said
Penerbit : Edisi Seni Warisan Melaka
Hlmn : 117 m/surat
Genre : Antologi PuisiULASAN
Kerinduan untuk menghasilkan sebuah antologi puisi kanak-kanak menjelang remaja sebenarnya telah pun bermula lebih satu dekat yang lalu. krinduan itu tidak cepat dapat diisi kerana kegairahan saya menulis karya sastera dewasa. Tapi dua tahun lalu (2006), kerinduan itu mercup semula, walaupun saya masih dalam kegairahan menulis karya dewasa
A Samad Said
Buku ini mengandungi 101 karya puisi mudah genre kanak-kanak dan menjelang remaja. Satu daripadanya pernah di siarkan iaitu "MERINDU BUKU". Manakalanya 100 karya lain baru pertama diterbitkan khas untuk antologi ini. Susunan temanya terpilih, bertingkat dan bersukat kerana mengikut kegairahan pembaca dalam lingkungan tersebut
PSS : Seorang sahabat penyair dari Sabah, Radhi yang menyarankan saya mencari buku ini kerana katanya bagus sekali... saya pun mencarinya dan menghayatinya satu persatu di dalamnya. Biar pun saya tahu ia sebuah karya untuk anak-anak...
JANGAN ANGKUH YA! Sebagai penyair junior dan penulis muda, kita harus memiliki karya ini untuk dikaji... ia membolehkan kita memperlajari dari bawah cara penghayati puisi yang sebenar-benarnya... bermula dari kata demi kata... ungkapan demi ungkapan... kemudian belajar membina ayat demi ayat... lalu melangsung mencipta sebuah karya indah... ia amat berguna... serta memberi pelajaran yang baik buat kita... Milikilah ia!
Kahlil Gibran : "Sang Nabi"
Apabila kau mencintai,
janganlah berkata
janganlah berkata
"Tuhan ada di dalam hatiku"
Tapi sebaliknya engkau merasa,
"Aku berada di dalam tuhan!"
Cinta tiada berkeninginan
selain mewujudkan maknanya
Namun andai kau mencintai
disertai pelbagai keinginan
Wujudkanlah dia demikian
meluluhkan diri
mengalir bagaikan kali
yang menyanyikan lagu
persembahan malam
Mengenali kepedihan
kemesraan yang terlalu dalam
PROSA : Merisik Kabar Sang Sahabat
Perlukah aku menitip kabar...
pada pawana yang berdesir lalu...
agar mampu ku gerah puntung lingkupmu...
yang tak di ketahui gerah cuacanya....?
Perlukah aku menyisip bait seloka...
pada prahara deras berpusar...
agar bisa ku lontar sinis sepi di gubukmu...
yang tak ku andai rentak jejaknya...?
Sahabat, bisikanlah tapakmu!
Bonda Siti Zainon - "Rukmini"
Yang bisa menakluk segala kasih sayang
yang mempesonakan Ratih puteri
dan segala perempuan
di padang bersih
Yang membenihkan cinta pada lapangan
dan lurah dalam
yang menakluknya dengan nafsu
dan goda
yang menarongkan kecintaan
dan kenikmatan tanpa puas
Tapi dialah ibu yang lebih segalanya
dialah cermin tangkai hati
menara di puncak
taman tergantung
yang memberikan kesihatan
dan kemuliaan
Seri Padma 1984
Petikan "Bunga-Bunga Bulan"
Bonda Siti Zainon ismail
sebuah garapan epik Ramayana Sita Dewi
ULAS BUKU : Alam Puisi (Ilmiah)
"Seribu Satu Pengembaraan Nukilan Puisi"
Pengarang : Siti Zainon Ismail
Penerbit : Dewan Bahasa & Pustaka
Terbitan : 1994
Hlmn : 234 m/surat
Genre : Ilmiah
ULASAN
Buku "ALAM PUISI" ini lontaran pemikiran kesinan Bonda Siti Zainon Ismail yang menyatukan pengalamannya, ketika beliau diundang, dan mengunjungi sesuatu kelompok masyarakat seni khususnya dalam puisi. Beliau telah mengadakan perjalanan dengan rasa keinsafan bahawa ilmu seni itu milik bersama
"Melukis bentuk di air...
Pohon mencipta bayang...
Kuning tembaga siang...
Memetik sinar kecapi...
Mengenali cipta-Mu abadi!"
Sebagai seniman, beliau selalu melihat sesuatu berdasarkan gerak batini, cepat tersentuh nadi kreatif. Sebagai sarjana, beliau harus belajar mengkaji, menulis dan memperkatakan melalui pelbagai pendekatan ilmu. Pendekatan yang sebati dalam dirinya ialah tradisi budaya, kesinambung sejarah serta estetika melayu.
Diantara bab-bab yang terkandung :
+ Esei "Alam Puisi" oleh Bonda Siti Zainon Ismail yang pernah memenangi hadiah sastera
+ Perbualan puisi : Catatan tentang keinginan jiwa dan kesedaran manusia
+ Puisi-Puisi Desa & Kota : Pernyataan dan perucapan murni penyair terhadap alam dan masyarakar
+ Puisi sebagai Pengucapan : Peribadi dan budaya
+ Sorotan Puisi : Dicelah cinta peribadi dan manusiawi
+ Keindahan Abadi : Puisi pengembara sang waktu
+ Baca Puisi : Menghayati sukma penyair
+ Penyerlahan para pujangga puisi : Penyair muda, penulis kedah, sejarah penyair wanita (hawa), puisi kanak-kanak, marzuki ali / lia, sahabat penyair malaysia, pujangga arab (Hafiz & Shiraz), sasterawan negara dan lain-lain lagi
+ Edisi kembara "Perjalanan Bonda di SEA Write Award 1989
"Sejak dulu wajah wanita bagai matahari...
Dia bersinar...
Tetapi menjelang senja ia menghilang...
Wanita dipuja...
Tetapi serentak juga dicaci maki...
Disamping dia tumbuh dan membina kewujudannya...
Ia juga kerap tenggelam dicelah bayang-bayang lelaki...
Dia kerap dilindungi...
Tetapi juga diperas tenaga dan rohnya..."
PSS : Saya memiliki buku berharga ini pada tahun 2007... ketika itu sedang mencari madah-madah indah untuk kertas kerja berunsur kecantikan & kosmetik bagi penyertaan sambutan TAPAK NILAS KARTINI di Konsul Konsulat Indonesia Johor Bahru... lantas saya terperangah... ternyata ia lebih berharga dari madah yang saya cari... dan tanpa sedar, ia amat berguna bagi saya dikemudian harinya...
Kini, ia jadi handbook saya... seperti kamus pujangga sastera... semua yang berkaitan tentang falsafah puisi lengkap di dalamnya... bersama gambar-gambar photo & sketsa yang indah nukilan Bonda... juga rapi dengan pendidikan puisi yang sarat.... saya menimba ilmu melaluinya...
"seribu madah, seribu puisi indah, seribu ilmu puisi dan seribu kembara puisi"
Arabian Rubaiyat of Hafiz - "Yang Tercinta"
Orang pergi ke pintu Yang Tercinta dan mengetuk...
Suatu suara bertanya , "Siapa itu?"...
Ia menjawab : "Inilah aku"....
Suara itu berkata, "Tidak ada ruangan di sini untukku"...
"dan untukmu"...
Pintu ditutup!
Setahun dalam kesunyian & kehilangan...
Orang itu kembali ke pintu Yang tercinta...
Ia mengetuk...
Satu suara dari dalam bertanya, "Siapa itu/"
Orang itu berkata, " Inilah engkau!"
Pintu pun terbuka untuknya
Idries Shah
Biarkan Rerama Terus Bergirang
Terbanglah rama-rama
Gerahkan pesona warna
Biru setulus
Merah semarak
Kuning berperca
Hijau melumut
Terjanglah ke udara
menghirup nuansa lazuardi
Mengiring ukir pelangi
Hidup harus girang
Hayat mesti ria selamanya!
Arabian Omar Khayyam
"Di sini, dengan sepotong roti
Di bawah dahan
Dan daun-daun
Dan daun-daun
Sebotol air anggur
Sebuah buku sajak
Dan kau sama berlagu
di sampingku
di sampingku
Di tengah-tengah hutan
Belantara ini
Belantara ini
Ya!
Hutan belantara juga syurga!"
Omar Khayyam 1965
Hutan belantara juga syurga!"
Omar Khayyam 1965
ULAS BUKU : Matahari Di Atas Gilli
TATKALA SANG PENYAIR MENUKIL NOVEL INDAH
Lintang Sugianto
Pada damar yang menempel di dinding-Mu
Meski tak layak cahayaku
Menyamai matahari-Mu
Sebab api di atas sumbu hanyalah jiwaku
Api yang tak benderang
Api yang kecil
Api yang selalu dipermainkan angin
Aku adalah api
yang menyala selama-lamanya untuk-Mu
Meski minyak telah kering pada sumbu"
ULASAN BUKU
Novel ini mengisahkan perkasihan yang mendebarkan dan diceritakan dengan menari sekali. Cara Lintang Sugianto memperincikan diskripsi dan bermain dengan diksi tentu sekali mampu memikat pembaca untuk menikmati keseluruhan novel ini. Nilai lokal etnik melayu yang melatari novel pasti memikat khalayak nusantara. Sebuah kisah Islami yang sempurna.
Prof Dr Ir Wan Abu Bakar Wan Abas
Mengisahkan riwayat hidup suhada yang berlatar belakang masyarakat pulau gilli di indonesia. Suhada yang yatim berusaha sejak kecil membiaya dirinya sendiri untuk masuk ke sekolah. Berkahwin dan menetap di sebuah pulau yang mana masyarakatnya tidak menerima pendidikan formal. Anak-anak yang buta huruf dan tidak punya cita-cita. Dengan semangat, wanita itu berusaha menerapkan pendidikan di sana. Menempuh halangan demi halangan dari masyarakat yan g sangat kuno. Sangat sendu menghayatinya.
LINTANG SUGIANTO lebih dikenali sebagai seorang penyair di dunia penulisan. Seorang sasterawan yang banyak menukil puisi-puisi hebat. MATAHARI DI ATAS GILLI merupakan novel sulung beliau yang memeranjatkan dunia sastera. Bahasa novelnya sangat halus, indah dan puitis seperti sajak-sajak beliau. Disusun emosi dalam penghayatan cerita yang mengegarkan rasa hati sang pembaca. Beliau berjaya mengarap sebuah novel masyarakat yang benar bermutu tunggi
Pengarang : Lintang Sugianto
Penerbit Indonesia : PT Bentang Pustaka
Penerbit Malaysia : PTS Litera Utama Sdn Bhd
Hlmn : 481 m/surat
PSS : Saya mengetahui Lintang Sugianto sebagai seorang penyair sebelum ini... puisi-puisinya terkenal cantik... sering saya baca dari majalah-majalah indonesia ketika melawat ke jakarta... pada awal tahun 2008, saya dikejutkan dengan kehadiran novel "MATAHARI DI ATAS GILLI" ini... sebuah novel indonesia yang hebat dibawa masuk oleh PTS Publishing... saya tak percaya novel itu hasil karya lintang, kerana selama ini saya tahu lintang hanya menghasilkan puisi sahaja... lintang penyajak tulen... bagaimana penyajak yang tak pernah menulis cerita seperti dia mampu membuat sebuah novel... Saya terkejut...
Setelah memilikinya dan mendapat pengesahan cerita dari teman-teman di jakarta... saya menghayatinya... aduh cantiknya bahasa... pada mulanya memang sukar untuk menghayatinya kerana terlalu puitis... namun setelah selesai membaca keseluruhan cerita, saya rasa terbuai ke awangan... Indahnya cerita... bagai bermimpi... dan saya bilang dalam hati.. "Ini betul-betul karya terbaik"..
teman-teman wajib memilikinya jika ingin mempelajari kosa kata dan menyusun ayat yang indah... buku ini sangat berharga... terbaik di antara yang terbaik... Miliki lah ia!
Mungkinkah Peri Menangis?
Kau tersela mendung cuaca... Awan berpusu-pusu menembus sisa prahara... Di desah angin nan bersemilir lesu... Tiada corak biru tulus di mega sana... Jingga remang senja masih menyorok diri... Kanvas lelangit terhampar sorotan abu-abu... Tiada palitan nuansa indah... Mengarap suram...
Kau cari-cari andai ada margasatwa di tabir ufuk... Tiada lelayang menebar girang... Lenyap luncur elang bertinjau pongah... Hilang sehalus-halus serangga menggambang diri... Entah kemana mereka membujuk perih hati?.. Membawa duka meniti hari?...
Kau terperuk nada hujan menyusur gerah... Menabur butir-butir bening biasan palsu kristal... Menyemai rona mendayu ke persada satwa.. Rintis-rintis gugur berjujuhan longlai... Membuak panorama bergerimis kelam... Bersemi muram
Kau jerjah mata hatimu ke peterana alam... lembar ilalang menunduk pilu.... daun-daun berguguran semu... ada yang berputus tangkai penaung... pohon-pohon mendiam seribu kaku.... kembang bunga menguncup layu... ada yang tercempera mencarik sisa... berpekur malap...
Kau gelojak kehidupanmu yang goyah berbayu lesu
Kau ratapi hening lara yang mencemar inderaloka
Mungkinkah peri sedang menangis?
Sesendu benakmu....
ULAS BUKU : Karya Nan Indah (ilmiah)
Pengarang : Faisal Tehrani
Penerbit : Amenbooks
Hlmn : 336 m/surat
Genre : Ilmiah
ULASAN
PUISI : Diluruh Sendu
Tatkala jasadmu tertunduk teleku
Alur darah menghangat sendi
Jantung berkecipap kencang
Benak mengiring pekur
Di hambat batin pilu
Ada resah mengamok dada
Bersemi gusar
Tatkala parasmu memerah saga
Pauh pipi berbekas lesi
Dahi serata mengusut kerut
Alis berpaut temu
Di jergah raut mendung
Ada pongah melurut wibawa
Berpupur lara
Tatkala matamu termenung jauh
Kolam arca memancar kaca
Pelupuk berbendung air
Kelopak mencangkir bening
Di dera goyah tangis
Ada gerah menganjak esak
Bertabur gundah
Tatkala bibirmu mengatup lesu
Gairah suara nekad tersangkak
Benteng gigi berlaga
Gumam meraih mulut
Di cakna lidah tercenung
Ada gugup menghambur raung
Berderai nelangsa
Lalu engkau pun tahu nescaya apa
Kala diri bergamit rasa
Meluruh sendu!
ULAS BUKU : Mendekati Seni Penulisan Kreatif
Pengarang : Lim Swee Tin
Terbitan : Citra Kurnia Sdn Bhd
Hlmn : 240 m/surat
Konsep : Ilmiah Sastera
ULASAN BUKU
Buku ini adalah sebuah buku bimbingan penulisan kreatif dalam genre puisi dan cerpen. Akan tetapi pendekatan yang digunakan dalam penulisannya amat berbeza daripada yang dilakukan orang sebelum ini.
Membacanya akan membuatkan anda berasa begitu selesa dan santai sekali. Jikalau anda menggunakannya secara proaktif, percayalah buku ini sangat membantu
(Petikan dari kulit belakang buku)
SIAPAKAH LIM SWEE TIN?
+ Penyair terkenal di tanahair terutamanya di era 1970an dan 1980an
+ Aktif menghasilkan puisi bermutu tinggi
+ Penerima SEA Write award untuk tahun 2000
+ Mantan guru 7 pengarang
+ Pensyaraj kesusasteraan Melayu UPM (sejak 2000)
+ Menghasilkan 20 buah buku kumpulan puisi perseorangan
+ Menghasilkan 1 buah buku antologi cerpen
+ Menghasilkan 80 buah antologi gabungan puisi & cerpen
+ Deklamator sajak antarabangsa
+ Panel Sayembara puisi GAPENA-KEKKWA (sejak 1995)
+ Panel hakim hadiah sastera perdana malaysia
+ Antara karya terkenal ialah Eva (1981) / Menyusur musim (1990) & Sebuah Fragmen cinta (1998)
PSS : Ramai teman-teman bertanya saya dimana saya menelaah serta belajar membuat puisi yang indah.... Mereka inginkan buku rujukan yang sesuai dengan jiwa santai mereka... tidak terlalu menekan pola berfikir... mudah difahami dan berkaedah ringan menabur teori...
Nah! Inilah buku panduan ringkas saya... buku kecil yang sering dibawa ke mana-mana... amat berguna... terutamanya dalam menggarap prosedur-prosedur menghasilkan puisi yang benar-benar 'berisi'... very good 'handbook'... bab-bab di dalamnya pun digarap santai... seronok menjelajah isi perutnya...
Ada juga panduan cerpen di dalamnya... namun tak begitu mampat isinya... dan saya tak menggunakannya sangat... mungkin pengarang memang 'otai' dalam puisi... agak kurang dalam cerpen... jadi panduan cerpen yang diterakan agak ringkas untuk disela kegairahan kita membongkar untuk diambil membimbing bina cerpen...
Untuk teman-teman penyair dan penggemar puisi, buku ini amat berguna... konsepnya senang sahaja... ada ditera bagaimana mengungkap idea dan menghalus kosakata... tak berlapik2 dengan teori-teori yang rumit dan memeningkan kepala... milikilah ia...
Bonda Siti Zainon - "Wasiat Burung"
Burung ke berapakah
menjatuhkan biji benih
hingga taman kembali subur
ketika hujan-MU gugur
Bangun dia memetik sayur di kebun
disapunya keringat mentari awal musim
dituainya tanaman
bekal sekurun!
"Bunga-Bunga Bulan"
1984
Akar Umbi Pantun Melayu VII
Pisau raut panjang sekerat
buat meraut rotan saga
ikan di laut asam di darat
dalam belanga berjumpa juga
Kuat tarik kerana kuda
Kuat tarik kerana kuda
kuat ikat kerana tali
buat baik berpada-pada
buat jahat jangan sekali
Baju baharu kain bertekat
Baju baharu kain bertekat
baju belah pakaian kerongsang
bersatu padu kena seikat
kalau berpecah dimakan orang
Petikan "Kartika di Langit Seni
Budayawan Azah Aziz
Sutan Takdir Alisjahbana - "Anakku"
O' anakku....
berbulan-bulan aku menanti engkau...
dalam silu, resah dan kegirangan...
dalam takut, cemas dan harapan....
sekarang engkau telah ada di hadapanku....
kurasakan kegelisahan dalam pangkuanku....
kubuai engkau girang dalam tanganku....
kurasakan kemesraan panasmu pada dadaku...
Dian Rakyat
"Perempuan di Persimpangan Jalan"
Jakarta 1980
Langgan:
Catatan (Atom)